Wanita, sesungguhnya ujian hidup ini memang sangat hebat. Oleh itu, harungilah hidup ini dengan semangat dan jiwa yang kental. Ujian hidup setiap insan berbeza.
Tidak sama antara satu sama lain. Ada yang perjalanan hidupnya mudah. Ada yang perjalanan hidupnya penuh onak duri. Seolah-olah tidak ada gambaran bahagia.
Oleh yang demikian, kita perlu sayangi diri kita dahulu sebelum kita berkorban segala-galanya untuk orang llain.
Che Haneem namaku. Usia sekarang di awal 50-an. Melalui perjalanan hidup yang ku rasakan terlalu panjang.
Sejak usia kecil telah melalui sejarah hitam. Pernah menjadi mangsa c*bul dan r*g0l diusia seawal 6 tahun.
Mula bekerja secara sambilan sejak di awal usia remaja. Mencari duit poket sendiri untuk sambung persekolahan di sekolah menengah.
Tamat sekolah menengah dengan keputusan yang baik tetapi tidak dapat melanjutkan pelajaran ke Universiti atas faktor kewangan.
Ditakdirkan berkahwin pada awal usia 20 tahun. Disangka panas hingga ke petang, rupanya ribut petir di tengah hari. Selepas berkahwin baru tahu bahawa sisuami adalah penagih d*dah.
Namun, apakan daya dengan usia yang terlalu muda. Ku hadap sahaja kehidupan dan ujian perkahwinan itu.
Bagiku yang penting adalah sayangi diriku. Walaupun berkahwin dengan penagih d*dah, kugagahi perjuangan hidup bersamanya.
Setahun perkahwinan, kami dikurniakan seorang anak. Melihat anak semakin membesar, aku berusaha untuk keluarga kecil kami. Aku bekerja, sambil bekerja aku sambung belajar.
Sehinggalah melahirkan anak ke dua. Baru tamat Diploma. Rumahtangga kami pasang surut. Al-maklum sahaja, suami penagih d*dah.
Walaupun begitu, suami masih bekerja. Setelah lahir anak ke dua, suami berubah. Alhamdulillah. Aku masih fokus kepada kerja, belajar dan tanggungjawab sebagai ibu dan isteri.
Tahun demi tahun aku lalui kehidupan ini. Pelbagai ujian dan cabaran telah aku lalui. Ketika melalui saat yang paling sukar, aku perbanyakkan mengadu kepada Allah.
Aku bangkit kuatkan semangat diri kerana prinsip hidupku adalah walau apapun jua, hidup ini mesti aku teruskan dengan semangat dan jiwa yang kental.
Jika aku tidak bangkit untuk diriku siapa lagi yang akan tolong hulurkan tangan untuk aku. Aku kena SAYANG DIRIKU. ALLAH sentiasa melihat dan bersamaku. Aku kena terus kuat dan berusaha.
Begitulah hidupku tahun demi tahun. Aku lalui bersama keluarga kecilku.
Suami yang pada mulanya menagih d*dah sehinggalah dia berhenti menagih d*dah. Bersama-sama kami membesarkan anak-anak kami.
Aku pula dari diploma, ijazah dan master sambil bekerja aku sambung belajar secara PJJ.
Sekarang umur aku 50 tahun, aku masih lagi sambung belajar PHD. Semua ini aku lakukan kerana aku sayang diriku.
Hidup ini memang penuh dengan ujian. Aku melaluinya sejak aku kecil. Kini, aku sudah merasa puas dengan kehidupan ini. Anak-anak sudah dewasa. Masing-masing ada kehidupan sendiri.
Suamiku sudah 3 tahun kembali menghadap ALLAH. Semoga dia tenang di sana. Semoga kita dapat bersama lagi di sana nanti.
Walau siapapun dia, aku berterima kasih kerana dia sudi mengambil aku sebagai isterinya walau pun tahu kisah silamku.
Dia juga sentiasa ada memberikan sokongan moral ketika aku menyatakan aku hendak sambung belajar secara PJJ. Terima kasih atas segalanya.
Wanita, SAYANGI DIRIMU. Kejayaan dan kebahagiaan pasti akan engkau rasai.
– Che Haneem (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit