Aku anak bongsu keluarga dari 3 adik beradik. Dan hari ni aku nak kongsikan kehidupan aku dan keluarga yang disisihkan waris (saudara mara) . Setiap hari aku membasuh luka dalam hati.
Ibu selalu pesan pada anak-anak, jaga hubungan sesama saudara. Rajin-rajinlah ziarah saudara tak perlu tunggu raya. Memang ibu ayah sering bawa kami anak-anak ziarah pakcik, makcik, anak-anak saudara ibu ayah. Waktu ibu muda dulu, ibu jaga anak-anak abang kakak beliau. Jadi, ibu memang jaga hubungan dan sayang semuanya.
Tahun lepas, aku telah kehilangan ayah. Sejak itu, ibu yang selama ini suri rumah mula bekerja. Kami anak-anak ibu tetap bantu yang semampunya, walaupun kami bukan kerja hebat-hebat seperti sepupu yang lain, kebanyakan dalam bidang professional. Mulanya, kami larang ibu bekerja, taknak ibu penat. Tapi kata ibu bekerja bukan untuk cari duit semata, tapi untuk legakan kesunyian tanpa ayah.
Sejak itu juga, kami mula sedar, waris langsung tak pedulikan kami, bahkan ada lebih teruk lagi. Dulu ayah beli kereta makcik bayar ansuran. Nak beli kereta baru tak mampu, ayah sara kami dengan hasil kampung saja. Selepas ayah tiada, kereta yang bakinya 2-3 bulan akan langsai, makcik ambil kereta yang jadi pengangkutan penting kami. Dengan kereta itulah guna untuk ziarah mereka sebelum ini, walaupun jauh berbeza negeri. Aku menangis bila terpaksa bawa ibu kemana-mana dengan motor buruk, lebih lagi bila basah ditimpa hujan. Yalah, kami tak punya kereta seperti dulu untuk kemana-mana.
Saudara mara kami pula, langsung tak pernah jejak ke rumah untuk ziarah ibu. Rumah kami rumah papan saja, mungkin tak selesa untuk dipijak mereka. Aku faham. Jangankan ziarah, telefon tanya khabar jauh sekali. Langsung tak ada. Lebih lukakan hati, mereka juga sering berkata-kata sinis tentang ibu.
Baru kami sedar, kami tiada tempat bergantung selain sesama keluarga kecil kami. Pilu rasa hati. Aku bukan terlalu baik, marah ada, tapi aku tak keluarkan. Aku tahan saja diperlakukan seperti apa. Mungkin sabar ini diwarisi dari ayah. Ayah jika terluka, dia hanya diam saja. Pernah ibu menangis kerana tak dipedulikan waris, abang dan kakak kandung ibu, anak-anak saudara ibu yg ibu jaga sejak kecil semuanya seperti lupa ibu. Aku dekat dengab ibu dan peluk ibu tanpa sebarang kata. Aku tak pandai nak comforting people sebenarnya.
Memang dalam keluarga besar kami, keluarga kami tak senang berbanding yang lain. Terasa rendah diri, terasing, dibuang. Di media sosial juga aku dibuang mereka. Blocked. Mungkin mereka risau jika aku mahu meminjam wang. Jangan risau warisku, aku bukan jenis meminjam walaupun kehidupan kini sukar. Memang dari dulu prinsip aku selagi boleh usaha sendiri, aku akan buat sendiri. Minta tolong adalah pilihan terakhir. Bahkan, tak ramai kawanku yang tahu keadaan aku susah begini. Aku hanya paparkan sisi indah saja tanpa perlu jaja dan tagih simpati sesiapa.
Apa yang aku nak pesan di sini, jagalah hubungan dengan waris. Aku tiada niat membenci. Dendam pun tidak. Cuma pesan aku, hargailah orang yang berjasa dengan kita. Dan janganlah ambil kesempatan dan aniaya orang yang susah hari ni. Aku tak salahkan takdir lahir dalam golongan kurang senang. Mungkin Tuhan menjaga diri kami sebegini daripada mendongak langit, Alhamdulillah anak-anak ibu tiada yang rosak.
Teresak-esak aku menangis dalam solat, apa je yang aku dah berikan pada ibu? Aku pun nak bagi kesenangan untuk ibu ketika masih ada hayatnya. Aku tahu, ibu tentu lebih penat bersusah payah dalam kehidupan. Aku faham, saat kau susah kau akan dibuang. Kehidupan hari ni lebih memandang harta. Ingatlah warisku, saat ada kematian dalam keluarga kita, jenazah kalian diuruskan di rumah buruk tempat berteduh kami.
– Ana
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit