Warkah Buat Bidadari

Bismillahirahmanirrahim..

Malam yang damai ini, aku titipkan rasa kasih dan rinduku pada semua bidadari yang sudi meluangkan masa membelek warkah ku yang tak seberapa ini. Doaku agar sentiasa Allah memelihara kesejahteraan dan keselamatan kalian walau dimana kalian berada.

Bidadari sekalian,

Aku amat yakin dan pasti, kalian ini adalah dari anak, kakak, adik, saudara, serta sahabat yang baik dan punya budi pekerti mulia. Kalian anak yang taat pada ibubapa serta peka dengan nasihat serta kasih sayang mereka. Aku jua seorang anak, kakak, dan semua yang diatas.

Warkah ini sengaja aku coretkan untuk aku ingatkan diriku dan kaliam bahawa kita adalah bidadari yang dijadikan Allah dengan penuh rasa kasih sayang dan emosi. Kitalah sebaik-baik kejadian yang Dia ciptakan kerna kita punya akal fikiran. Subhanallah.

Namun, sejak akhir-akhir ini, apa yang aku lihat banyak bidadari yang lalai dalam menggalas amanah untuk menjaga diri dan maruah keluarga. Ya, aku juga perempuan, pernah juga lalai dan Dia sedarkan dengan izinNya.

Bidadari sekalian,

Canggihnya teknologi harini bukan tiket untuk kita terus bebas menunjukkan siapa buah hati pengarang jantung yang belum halal pada umum dengan penuh rasa bangga dan bahagia.

Apa yang buat aku lagi merasa sedih, takut, dan bimbang bila si perempuan/ lelaki berani bermalam di rumah keluarga perempuan/ lelaki tanpa sebarang ikatan sah. Iya, dengan pengawasan keluarga, selama mana? mampu tak kita jujur dengan diri sendiri setiap masa sedang syaitan takpernah berputus asa untuk memastikan anak Adam terus lalai dan hanyut dari sekecil-kecil perkara hingga perkara yang besar.

Andai seronok kerana berteman istimewa yang kita impikan jadi kenyataan, jangan lupa bahawa hati manusia semuanya dibawah aturan Allah SWT. Sayang yang tiada ikatan sah Dia boleh tarik bila-bila umpama Allah rentap harta Qarun sekelip mata. Ingat-ingatlah pada besarnya kasih sayang ayahanda dan bonda yang jauh lebih mulia pengorbanan mereka buat kita tanpa kira waktu.

Kiranya hubungan itu membawa pada kelalaian, mohonlah petunjuk dan perlindungan dari Allah agar dikurniakan urusan yang mudah dalam soal jodoh ini. Pendapat dan nasihat ahli keluarga khasnya dalam soal mencari teman hidup/jodoh ini jangan kita abaikan kerana mereka lebih makan garam.

Pada bidadari yang sedang menuntut ilmu, fokus dahulu pada ilmu, amanah dan cita-cita yang pernah ditanam dalam jiwa. Gunakan sebaiknya pengalaman menuntut ilmu untuk terus istiqamah mendapatkan ilmu yang lain-lain.

Soal pasangan hidup ini, jangan terlampau ambil berat, sampai masanya berjodoh Allah akan izinkan pada waktunya yang Dia Maha Mengetahui kamu mampu untuk berkahwin dan layak ada di fasa itu.

Kepada bidadari yang masih menanti, teruskan berdoa dan berusaha untuk menjadi yang terbaik dan istiqamah di jalanNya. Semoga Allah kurniakan kita jodoh yang terbaik untuk iman, ibadah, keluarga, agama, masyarakat, dunia dan akhirat kita. Tak perlu merasa takut dengan keadaan satu demi satu sahabat kita dimiliki orang, Allah lebih tahu titik bahagia setiap kita dimana dan bila. Yakin dan percaya dengan lembaranNya.

Indahnya insan yang namanya perempuan ini bukan pada raut wajah semata, namun perasaan malu yang Allah cambahkan dalam diri kita ini adalah sesuatu yang sangat mahal dibandingkan dengan segala harta benda di dunia.

Akhir kalam, wanita ini ibarat timun, ia di sakiti juga ia dipersalahkan, ia menyakiti juga ia dipersalahkan. Langkah terbaik? berusahalah sehabis baik untuk memelihara agama, akhlak serta maruah diri dan keluarga. Manisnya akan terasa jua dengan izin Allah. Wallahualam.

Salam sayang,

– Mawar putih

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *