Warkah Dari Langkawi

Ke hadapan adinda yang dikasihi,
Abangmu ini kini berada di langkawi bagi menziarahi bonda kita. Kebetulan semasa kekanda menjejakkan kaki di pulau langkawi, hari tersebut merupakan penghujung tahun 2018. Kekanda sempat menyaksikan kemeriahan sambutan tahun baru 2019 di tempat yang agak terkenal di Langkawi iaitu Pantai Chenang. Tatkala kekanda menyaksikan percikan bunga api di bilik di sebuah hotel di sana, kekanda menyedari bahawa kita sudah memasuki era tahun 2019. Memasuki tahun 2019 bermaksud umur kita sudah bertambah. Kekanda akan berusia 29 tahun manakala adinda akan berusia 27 tahun.

Seperti adinda sedia maklum, bonda kita memilih untuk tinggal di bumi permata kedah selepas bonda baru sahaja bersara daripada perkhidmatan awam pada tahun lepas. Alhamdulillah bonda kita berada dalam keadaan yang sangat sihat walafiat. Walaupun sudah bersara, bonda tidak mahu duduk diam sahaja. Bonda ada memberitahu kekanda bahawa beliau ingin membuka sebuah kafe berkonsepkan hipster di sana. Cuma isu tanah beserta lokasi dan harga yang menjadi cabaran buat masa ini. Sama-sama kita doakan moga-moga bonda berjaya dalam usaha beliau.

Adindaku,
Adinda merupakan satu-satunya adik perempuan dalam keluarga kita. Keselamatan, pendidikan dan kehidupan adinda sentiasa menjadi perhatian kekanda. Adinda sangat beruntung kerana mendapat pekerjaan yang sangat dekat dengan rumah kita. Adinda tidak perlu memikirkan untuk membayar makan minum, bil air, bil elektrik dan sebagainya kerana ayahanda dan bonda menanggungnya. Kekanda sangat berbangga kerana akhirnya adinda berjaya juga mendapat pekerjaan yang agak stabil malah adinda mampu membeli kereta proton saga FLX. Cuma pesan kekanda jangan lupa untuk membayar zakat pendapatan. Setinggi manapun kita mencipta kejayaan dalam kerjaya, jangan dilupa kewajiban kita sebagai hamba Allah.

Adinda,
Walaupun adinda sudah berjaya dalam bidang akaedmik dan mendapat pekerjaan yang agak stabil, satu perkara yang menjadi kerisauan kekanda. Adinda pernah meluahkan kepada kekanda yang adinda tidak mahu berkahwin dan ingin hidup solo selamanya. Adinda memberi sebab yang lelaki sekarang sudah tidak berguna dan tak boleh pakai. Kekanda memahami perasaan adinda apabila saban hari adinda melihat dengan mata kepala adinda sendiri serta di dada akhbar dan media sosial, para suami yang tidak bertanggungjawab, tidak membayar nafkah, kaki pukul, curang dengan wanita lain dan banyak lagi. Kekanda akui memang wujud golongan suami yang sebegitu. Tetapi, tahukah adinda bahawa ramai juga para suami yang baik, soleh, bertanggungjawab, penyayang malah kekanda pernah membaca ada suami yang setia menjaga isterinya yang lumpuh sehingga akhir hayat isteri itu.

Adindaku tersayang,
Adinda kini sudah berusia 27 tahun. Kekanda tahu kebanyakan daripada kawan adinda sudah bergelar isteri malah ada yang sudah mempunyai 2 orang anak. Adinda tidak perlu membohongi diri sendiri. Kekanda tahu jauh di sudut hati adinda yang adinda juga mahu memiliki apa yang kawan adinda miliki iaitu mempunyai suami, anak dan rumah sendiri. Adinda tidak perlu rasa malu sebab perkara itu adalah fitrah bagi semua manusia lebih-lebih lagi bagi seorang wanita.

Adinda,
Sebagai orang islam, kita kena sentiasa bersangka baik dengan Allah dan berfikiran optimis. Allah melarang orang islam daripada bersikap putus asa dengan kehidupan. Adinda terlampau risau bahawa adinda akan mendapat suami yang bersikap buruk seperti yang kekanda nyatakan tadi. Terlalu takut dan berfikiran negatif tidak membawa kita ke mana. Adinda perlu ingat, Allah memang ciptakan kehidupan ini sebagai medan ujian. Dunia memang dicipta untuk diuji. Sebab itu adanya ganjaran syurga di akhirat buat mereka yang sabar dan istiqamah dalam islam. Dalam kehidupan ini mahu atau tidak mahu, kita memang akan merasai apa itu sakit, sedih, kecewa, takut dan segalanya yang pahit. Tetapi yakinlah dengan Allah bahawa di sebalik kepahitan itu, Allah akan hadirkan kegembiraan dan kemanisan yang akan mengubat terus kepahitan tadi. Itu janji Allah dalam Al Quran dan adinda kena berpegang kepada itu. Syaratnya, adinda kena sentiasa bersabar, bersangka baik dengan Allah dan banyakkan amal soleh. Ingat, apa Allah kata dalam Quran, mintalah pertolongan Allah dengan solat dan sabar.

Adinda,
Andai adinda masih berkeras untuk hidup solo, cuba adinda fikirkan, andai adinda jatuh sakit, siapa yang akan menjaga adinda? Adakah adinda berani jamin yang adinda akan sihat sentiasa? Takkan adinda nak mengharapkan ayahanda dan bonda lagi bagi menjaga adinda? Kekanda dan adinda yang lain boleh sahaja menjaga adinda tetapi kami tidak menjamin dapat menjaga adinda sepenuhnya sebab kekanda dan lain-lain ada komitmen juga kepada keluarga, anak-anak, kerjaya dan lain-lain. Alangkah baiknya dan pasti penjagaan itu lebih sempurna andai dijaga oleh suami atau anak-anak adinda. Izinkan kekanda berkongsi isi daripada hadis qudsi yang Allah sentiasa menurut sangkaan para hamba-Nya. Jika positif yang adinda fikirkan, positif yang adinda dapat. Jika negatif yang adinda fikirkan, negatif yang adinda dapat. Daripada adinda takut berkahwin sebab dapat suami jahat, apa kata adinda berdoa setiap hari kepada Allah supaya Allah hadirkan suami yang soleh, baik dan bertanggungjawab dalam hidup adinda.

Adindaku sayang,
Ketahuilah adinda bahawa pemilihan bakal suami adinda bakal menentukan masa depan adinda pada fasa berikutnya. Memilih bakal suami bermaksud adinda akan hidup bersama dia sampai akhir hayat. Memilih bakal suami bermaksud dia yang akan menjadi ayah kepada anak-anak adinda. Memilih bakal suami bermasud syurga adinda di bawah kakinya. Jika adinda jumpa seorang lelaki yang ingin mengenali adinda, pesanan kekanda kepada adinda supaya jangan terburu-buru. Jangan terburu-buru untuk terus menerima lamarannya jika dia menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan adinda walaupun adinda suka dan selesa dengannya. Sebab adinda belum mengenali dia sepenuhnya. Percayalah warna sebenar dia akan terserlah selepas bergelar suami. Jangan juga terburu-buru untuk terus menutup pintu hati adinda kepadanya walaupun adinda tidak begitu menggemarinya. Sebab manalah tahu jejaka yang adinda tidak suka itulah yang akan menjadi suami yang benar-benar setia dan menyayangi adinda sepenuh hati.

Adindaku,
Dua perkara utama adinda kena buat bila adinda didekati oleh jejaka yang berhasrat ingin berkahwin dengan adinda iaitu melakukan SOLAT ISTIKHARAH dan buat SESI INTERVIEW. Sebelum melakukan solat istikharah, neutralkan perasaan adinda dan serah kepada Allah. Buat beberapa kali hingga Allah hadirkan petunjuk dengan hati adinda cenderung kepada mana-mana jejaka. Buat juga sesi interview. Soalan paling utama yang perlu ditanya adalah WHY? Kalau kekanda di tempat adinda, kekanda akan panggil semua jejaka yang ingin mendekati adinda ke rumah kekanda. Di situ adinda boleh nilai calon jejaka yang benar-benar serius yang ingin mengahwini adinda. Sesi interview jangan juga terlalu formal. Buat secara santai. Di situ adinda boleh nilai calon dengan interaksi dia dengan ayahanda dan ahli keluarga kita. Paling penting jangan lupa adakan sesi pertanyaan sebagai contoh perancangan masa depan, pendidikan, kewangan dan sebagainya.

Adindaku,
Ramai yang bercakap jodoh itu adalah ketentuan Allah. Ya, kehidupan kita termasuk jodoh adalah ketentuan Allah. Tetapi jangan lupa Allah juga memberi kita hak untuk memilih. Sebab itu dalam Quran Allah sebut manusia yang masuk neraka disebabkan pilihan mereka di dunia yang tidak mahu beriman. Allah tidak zalim. Kita berhak memilih. Setiap pilihan kita akan mempunyai pengakhiran hidup kita yang berbeza termasuk juga dalam soal jodoh. Pilihan kita semua berada dalam pengetahuan Allah. Itulah maksud takdir yang sebenar. Ingatlah adindaku, jika seorang jejaka ingin mendekatimu dan kamu dapati dia seorang yang soleh dan baik, janganlah kamu terus pintu hati kamu kepadanya. Buatlah seperti yang kekanda pesan iaitu solat istikharah dan sesi interview. Hargailah usahanya yang mempunyai niat baik untuk menghalalkan adinda. Bukan saja-saja Allah hadirkan seseorang dalam hidup adinda termasuk jejaka tersebut termasuk walaupun adinda rasa annoying dengan dia. Mana tahu, jejaka itulah yang Allah takdirkan menjadi teman sehidup semati adinda. Jika adinda sudah membuat keputusan untuk menolak, tolaklah dengan baik. Tapi pesan kekanda jangan tolak dulu selagi tak buat dua perkara ini iaitu solat istikharah dan sesi interview.

Sekian sahaja warkah daripada kekanda dari langkawi. Semoga kita jumpa lagi semasa kekanda dan bonda mendarat di KLIA 2 nanti. Selamat tahun baru 2019 daripada kekanda. Moga-moga tahun 2019 menghadirkan lebih banyak kebaikan dan kemanisan dalam keluarga kita. Wassalam.

– Kekanda

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *