Warkah Seorang Anak

Assalamualaikum ibu ayah dan bakal ibu ayah sekalian. Saya terpanggil kali untuk menulis seusai membaca luahan saudari Zara yang kehadirannya seakan tiada erti buat ibu ayah beliau.

Boleh baca confession saudari Zara di sini, (https://iiumc.com/neraka-yang-disangka-syurga/).

Bukan beliau saja, banyak lagi luahan-luahan di sini tentang sang anak yang diabai ibu ayah, dipertikai hak mereka, direntap kebebasan mereka, termasuk yang dijadikan ‘hamba’. Allahu. Memang itukah fungsi mereka dilahirkan?

Ya, memang tidak dinafikan ibu ayah lah yang telah bersusah payah melahirkan dan mencari rezeki. Memang tidak mudah. Tapi, untuk apa pula anak-anak dilahirkan kalau dinerakan?

Kasihani mereka ibu ayah. Bukankah mereka yang akan menghantar doa buat ibu ayah kelak. Ibu ayah yang sepatutnya menjadi syurga penyejuk hati mereka sebaliknya menjadi neraka buat mereka. Jangan nafikan hak mereka atas lesen ‘ibu ayah – syurga’. Malulah.

Berpada-padalah, fikirlah, bacalah dan carilah ilmu. Jangan hanya ‘hentam keromo’ dan ‘asal boleh’ dalam soal mendidik anak. Bimbang nanti-nanti ibu ayah yang menangis. Saya yakin pembaca di sini semuanya berpendidikan, pasti anda mengerti.

Bukan niat saya nak tunjuk pandai dan nak mengajar ibu ayah. Anggaplah tulisan saya ini sebagai warkah seorang anak buat ibu ayah mereka, tentang hak mereka. Jangan campak kami dalam kederhakaan yang ibu ayah sendiri cipta.

Semakin ramai ibu ayah hari ini besarkan anak-anak dengan telefon pintar. Seawal usia sudah dibelikan telefon buat mereka. Paling kasihan anak-anak yang masih namanya bayi diberi sama, alasannya “nanti anak itu menangis, nak bagi senyap”. Namanya pun anak kecil, fitrahnya menangis.

“Nanti anak-anak merayau, lebih baik beri mereka telefon, mereka akan duduk diam saja di rumah dan itu lebih selamat”.

Yakinkah ibu ayah bahawa mereka selamat? Tak kan semudah itu memberi alasan? Tak mungkin tiada cara lain untuk alasan-alasan tersebut.

Anak-anak ini apabila mereka kurang berhubung dengan dunia fizikal, perkembangan kognitif dan sos**l mereka akan terganggu. Mereka akan jadi pasif jika berterusan begitu.

Bagaimana masa depan mereka nanti? Itu belum lagi sebut tentang content apa yang mereka lihat pada gajet tersebut. Ngeri sungguh kalau dibincangkan.

Tidak saya nafikan, tingkah manusia berubah seiring zaman. Memang tak akan sama zaman dahulu dan sekarang. Tetapi ibu ayah masih boleh kawal dengan cara dan usaha yang termampu sesuai keadaannya. Cubalah sebaiknya. Allah pasti akan ganjari setiap usaha ibu ayah.

Percaya lah, bukan kemewahan yang mereka impikankan. Yang mereka perlukan sebenarnya adalah perhatian dan belaian ibu ayah.

Walaupun tika itu nyatanya mereka gembira, hakikatnya lihatlah apabila mereka mampu menilai kelak. Apa ertinya berharta tetapi miskin kasih?

Jangan cakap anak begitu begini kalau diri sendiri tersalah didik amanah yang Allah beri. Ramai lagi pasangan yang menanti kehadiran anak dalam hidup mereka.

Syukurilah dan didiklah sebaiknya. Jadilah penghias di jiwa anak-anak. Jangan sampai jadi seperti ‘Anakku Sazali’.

“Bapak yang bersalah dalam soal ini, bapak membesarkan Sazali dengan secara memb**i buta saja, segala apa kemahuan Sazali bapak tunaikan.

Segala apa hajat Sazali, bapak sempurnakan, sehingga Sazali pandai cakap bohong sama bapak. Sehingga Sazali menipu bapak. Menipu untuk kepentingan diri.. “

“Tetapi bapak hanya… ’Anakku Sazali’.. bapak yang bertanggungjawab atas segala kelakuan buruk dan baik Sazali..”

-Petikan dialog filem Anakku Sazali-

Teliti baik-baik bait-bait kata Sazali kepada bapaknya. Semoga pembaca dapat renungkan dan faham apa yang cuba saya sampaikan.

Buat anak-anak yang terasa diri diabaikan, teruslah berdoa dan bersabarlah.

Allah tidak menjanjikan hidup ini mudah, tetapi janji Allah sesungguhnya pada setiap kesulitan, ada kesenangan. Mungkin ibu ayah kalian tersepit dalam didikan yang silap juga sebelumnya. Carilah hikmah, moga jumpa tabah.

Salam sayang.

– Kak Long (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *