Warkah Untuk Ibu

Nama aku Intan. Seorang anak sulung perempuan dari 3 beradik dan berusia 33 tahun. Belum berkahwin. Dan ini kisah aku.

Aku dilahirkan dari keluarga yang biasa2. Tak kaya, tak terlalu susah, alhamdulillah cukup-cukup. Aku anak sulung perempuan yang mana adik-adik aku hanya selang setahun. Angah lelaki dan adik bongsu perempuan.

Umum mengetahui bila mana terlahir sebagai anak sulung, kita terdidik dengan sifat tanggungjawab yang tinggi tak kira lelaki ataupun perempuan. Aku kerja biasa2 sahaja di bandar tak jauh dari rumah.

Di saat rakan2 sahaja kebanyakan mengejar mimpi dan kerjaya di ibukota Kuala Lumpur, aku hanya mampu bekerja berdekatan dengan rumah kerana tiada keizinan untuk aku kerja di luar dari daerah ini.

Ya, selepas graduasi, di sinilah aku hampir 10tahun bekerja di syarikat yang sama. Aku tidaklah berpangkat tinggi tapi aku merupakan orang kepercayaan boss aku kerana aku merupakan antara pekerja lama di sini.

5 tahun lalu, aku bertunang dengan seorang lelaki panggil saja dia Shah (bukan nama sebenar) tapi tidak lama. Hanya beberapa bulan sahaja dan akhirnya musnah semua segala mimpi untuk berumah tangga. Kecewa. Sedih. Putus asa. Bercampur menjadi satu. Mungkin aku kurang bernasib baik bab percintaan.

Selepas kejatuhan itu, aku teruskan hidup seperti biasa. Dan dalam tempoh 5tahun yang itu, adik-adikku selamat mendirikan rumah tangga dengan pasangan masing-masing. Alhamdulillah.

Shah tinggal di utara tanah air. Beberapa bulan selepas kami putus tunang, kawan-kawanku mengajak untuk road trip ke utara. Food hunting kononnya. Dan aku pun tiada masalah. Ku sangkakan aku tiada bermasalah. Rupanya sekali lagi aku tidak mendapat keizinan.

Ayah selalu menjadi yang tiada masalah jika aku mahu ke mana. Tapi segalanya akan berubah bila masuk part ibu. Ibu melarang keras. Ibu selalu berfikir tentang apa keluarga Shah akan cakap. Walhal aku sudah tak peduli apa2 tentang Shah.

Aku ke sana hanya untuk berjalan-jalan. Bukan untuk bertemu dengan Shah atau keluarganya. Ibu tetap melarang. Aku serba salah dengan kawan2. Akhirnya aku turuti kemahuan ibu. Aku minta maaf dengan kawan2. Aku sedih. Terkilan. Bukan aku yang meminta untuk putuskan pertunangan itu. Dan aku sudahpun redha dengan semuanya. Tapi tak mengapa. Aku cuba fahami permintaan ibu.

Pada suatu hari, boss memanggil aku ke officenya. Aku fikir ada apa. Rupanya boss menawarkan jawatan baru untukku. Boss akan membuka cawangan baru di Kota Kinabalu dan meminta aku untuk menjadi pengurus yang menguruskan segala benda di cawangan KK.

Boss menyerahkan beberapa dokumen untuk aku tandatangani bila mana aku bersetuju. Boss meminta aku untuk membacanya terlebih dahulu dan jika aku bersetuju, aku perlu serahkan dokumen itu kembali kepadanya.

Alhamdulillah aku bersyukur dengan tawaran ini. Aku di offer gaji berlipat kali ganda dari gajiku di sini, disediakan tempat tinggal, dan boss membenarkan aku untuk menggunakan kenderaan syarikat sepanjang di sana.

Aku terharu. Boss sangat baik menawarkannya padaku walhal dia boleh saja mencari staff baru yang memang menetap di KK . Aku seperti biasa tiada masalah. Kerana aku juga ingin merasa kerja jauh. Merantau.

Aku nyatakan hasrat ini pada ayah. Ayah seolah sedih tapi aku ingat apa yang ayah katakan hari itu,

“ayah tak kisah kakak nak terima tawaran ni. Ayah percaya kakak boleh jaga diri. Ayah percaya kakak boleh buat kerja baik sebab tu boss kakak bagi peluang ni pada kakak. Peluang tak datang selalu. Kalau kakak rasa nak cuba, takda salahnya. Ayah tak halang. Sekurang-kurangnya pengalaman kakak bertambah. Bukan setakat gaji je.”

Berair mata bila ingat balik ayah cakap. Tapi korang mesti boleh agak. Ya, ibu tak bagi. Ibu berkeras tak bagi. Walaupun ibu selalu bising gaji aku tak sebesar mana (padahal gaji aku naik setiap tahun walaupun sikit ), ibu tetap tak bagi keizinan.

Ibu cuma cakap, “kalau berani, pergilah!”. Allah. Luluh hati. Hancur musnah segala harapan untuk entah yang ke berapa kali. Nangis. Air mata entah turun berapa baldi. Ikutkan jiwa yang memberontak, aku ingin saja lari. Tapi dek kerana fikirkan tak mahu jadi anak derhaka. Aku turutkan saja.

Seminggu rasanya takda selera makan. Takda rasa nak bercakap dengan sesiapa, dan aku menangis hampir setiap hari sebelum tidur. Lebih sakit dari rasa putus tunang dulu. Jauh lebih berganda sakitnya. Dan untuk pertama kalinya, aku menangis semahunya di office boss aku. Betapa aku menyedari peluang takkan datang 2 kali.

Aku meminta maaf kepada boss aku, kerana tak dapat memenuhi permintaan dan kepercayaannya. Boss aku cuma berkata “u anak yang baik. Apa2 u tanya ibu u dulu. Walaupun u tahu u takkan dapat. Tapi u percaya saja. Tuhan mesti bagi u benda yang baik2 nanti. Sebab u anak yang baik”.

Terlalu banyak mimpi2 yang aku korbankan. Yang tak dapat aku ceritakan semuanya. Terlalu banyak harapan yang musnah. Terlalu banyak.

Dear ibu,

Kakak tak pasti ibu akan baca confession ni atau tak. Walaupun jauh di sudut hati, kakak harap ibu baca. Kakak tak kisah selama ni ibu selalu tolak apa yang kakak minta. Kakak tak kisah kalau memang Allah kata jodoh kakak belum sampai.

Kakak bersyukur sangat2 dapat jaga ibu dengan ayah sampai sekarang. Selalu dekat dengan ibu ayah. Boleh nampak ibu ayah hari-hari. Tapi sepanjang 33 tahun ini, kakak tak pernah ada peluang untuk buat keputusan kakak sendiri. Kakak tak pernah sesekali belakangkan ibu ayah untuk semua yang kakak hadapi. Sebab tanpa restu dan doa ibu ayah, siapalah kakak.

Betul, kakak terkilan banyak benda dari kecik lagi. Tapi kakak tahu, kakak takkan ada peluang bela diri. Kakak terima je apa yang ibu nak cakap pasal kakak. Kakak pun terima segala arahan ibu, bila ibu tak bagi kakak travel, kakak tak pergi.

Kakak teringin macam kawan-kawan kakak yang lain. Dapat jalan-jalan ke sana sini. Hmmmm. Kakak bukan taknak rapat dengan ibu. Tapi kakak terlalu takut. Kakak di didik dengan rasa takut. Takut yang sangat2. Macamana kakak nak jadikan ibu tempat untuk kakak luah segala rasa. Kalau nak cakap dengan ibu pun kakak takut.

Kakak selalu doa Allah lembutkan hati ibu. Walaupun kakak tahu susah untuk ibu berlembut dengan kakak. Kakak selalu pesan kat adik2, ada apa masalah bagitahu kakak. Sebab kakak taknak diorang rasa apa yang kakak rasa. Kakak takda tempat cerita. Kakak taknak adik2 rasa macamtu. Selagi kakak boleh tolong, kakak memang akan tolong.

Ibu, walau apapun, kakak bersyukur ada ibu. Bukan kakak tak bersyukur. Tapi kakak taknak hidup dalam rasa takut dengan ibu. Sebab kakak teringin sangat sangat rapat dengan ibu, share semua masalah kat ibu, menangis sambil kena peluk ibu, ketawa sama2. Tapi kakak tak pernah rasa semua tu. Ibu, kakak memang tak pernah cakap. Tapi kakak nak ibu tahu, kakak sayang ibu.

– Intan (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *