Assalamualaikum pembaca sekalian.
Semasa confession ni ditulis, aku baru sahaja selesai solat zohor. Seperti biasa solat zohor aku bukan 4 rakaat. Tapi lebih dari tu. Kenapa? Sebab aku ada satu penyakit yang dah menyakiti hati dan jiwa aku selama berbelas tahun. Aku sentiasa rasa was-was dengan solat aku. Bukan sekadar solat. Kebersihan dan wuduk juga menghantui jiwa aku berkurun lamanya.
Aku selalu terpikir, kadang-kadang aku marah tuhan. Kenapa mesti aku? Kenapa penyakit dan perasaan ni tak diberi je pada orang yang tak nak solat? Ramai je kat luar sana yang tak sujud pun dekat Kau ya Allah. Kenapa mesti aku? Aku. HambaMu yang sentiasa takut untuk tidak bersujud padaMu?
Semua ni bermula masa aku Tingkatan 2. Masa tu aku baru nak start ambil wuduk. Tiba-tiba sorang kawan aku tegur aku, “kau ambil wuduk ni niat tak? Ambil wuduk kena niat tau.” Ye mestilah aku tahu ambil wuduk kena ada niat. Tapi sejak dia tegur aku tu.. wuduk aku jadi sangat berat dan susah untuk diambil. Niat dan air pada aku kena serentak. Air dimuka, niat serentak baca dihati. Kadang bila tak serentak aku akan ulang ulang ulang ulang sampai berjam-jam aku habiskan untuk ambil wuduk pada bahagian muka sahaja. Tu baru muka. Belum lagi aku rasa air tak rata kat tangan, eh terlupa tangan kiri dah basuh ke belum masa tengah basuh kaki? Ubun2 dan ke belum ye tadi? Dan terpaksa ulang balik semua kalau aku was-was sangat. Kalau basuh tangan kaki tu habis semua celah kuku aku sental nak pastikan air kena pada kulit. Gilakan aku?
Cerita pulak bab solat. Angkat takbir kau tak yah kira betapa gigihnya aku berulang kali Allahu Akbar Allahu Akbar sebab angkat tangan tak serentak niat di hati. Baca Al Fatihah? Malas nak cerita. Setiap sebutan huruf dengung tak dengung semua aku baca jelas. Kalau aku rasa tersalah baca aku ulang balik baca Al Fatihah tu. Sampai aku rasa penat. Rakaat? Dari 4 jadi 6 jadi 7? Sujud? Paling gila. Aku pernah sujud berkali-kali sebab aku cakap aku belum sujud 2 kali padahal aku dah sujud lebih dari 10 kali kot. Malu tak payah cakap. Orang yang tengok aku solat mesti kata aku gila. Aku tak ramai kawan masa sekolah dulu aku rasa salah satu sebabnya yang ni lah. Orang tak suka solat sebelah aku yang gila ni. Memang kalau aku pun aku tak nak solat sebelah aku. Tak aman tengok.
Sebelum ambil wuduk, kita orang perempuan kene bersihkan dulu kemaluan kita kan? Maaf masuk bab sensitive sikit. Elok pula masa f2 tu, ustaz aku ada cerita seorang wanita ni tak masuk syurga sebab dia ambil remeh kebersihan kemaluan dia. Solat tak diterima sebab solat dalam keadaan tak bersih. Jadi sebelum solat aku akan bersihkan dulu apa yang patut. Berapa lama masa aku ambil? 15 minit tu normal bagi aku sekarang ni. Dulu awal2 dijangkiti was-was ni mahu sejam aku duduk membersih je. Belum kira bila dah cuci masa tu lah rasa macam ada benda keluar kat “depanlah kat belakanglah”. Then ulanglah balik semua seksaan yang aku alami tu sampai aku puas hati.
Aku menderita penyakit ni sangat-sangat teruk sampai berjam-jam dalam tandas untuk 10 tahun terawal. Sejak aku kahwin, aku dah slow sikit. Kadang-kadang aku buat dek je. Bab mencuci dah jadi 10 minit, ambil wuduk masih lebih dari 3 kali basuhan.. tapi aku dapat shortkan dalam 10 minit berbanding sejam. Solat pulak? Masih lagi kadang2 tu aku was-was rakaat. Tapi tak sedasyat dulu. Most of the time aku ignore je was-was tu. Tapi nak ignore tu sakitnya tuhan je tahu. Bila tidur malam aku teringat zohor aku tadi betul ke cukup 4 rakaat? Subuh tadi betul ke dah doa qunut? Ntah-ntah tak cukup rakaat. Macam mana ni? Rasa macam nak qada’ je semua solat tu balik. Letihnya…..
Aku kesian kat anak aku. Masa awal-awal dia lahir dulu aku anggap dia najis. Aku tak boleh sentuh dia kalau aku ada wuduk. Aku tak akan duduk atas cadar katil aku sebab pada aku ada najis anak aku atas tu masa aku salinkan dia selepas mandi. Kalau dia berak masa aku ada wuduk antara solat magrib isya’, aku rela biarkan dia tak bercuci. Sejam pun sejamlah. Nasib baik ayah dia memahami jiwa aku. Ayah dia akan tolong basuhkan. Aku tak pasti suami aku tau ke tak sakit aku ni.. tapi aku rasa dia boleh agak kebiasaan aku. Dia tau waktu antara maghrib isya dia tak boleh sentuh aku sebab aku jaga wuduk aku untuk dua solat ni terus. Kadang-kadang sengaja aku solat asar lewat waktu jadi aku boleh gabungkan asar, maghrib, isya ni terus. Terukkan?
Aku ada zaman gelap aku masa umur aku 18 tahun. Sepanjang tahun tu aku tak solat dan tak puasa sebab aku fed up dengan agama sendiri. Pada aku islam tu menyusahkan. Tipu je bila kata islam tu mudah dan bertimbang rasa. Kenapa solat dan wuduk tu jadi benda paling berat dalam hidup aku? Paling stress bila nak mandi wajib. Sekarang ni bila suami ajak tidur sama pun aku rasa stress sangat sebab aku penat layan perasaan aku masa mandi wajib. Aku selalu ketuk kepala dan dahi aku sebab suruh berhenti layan perasaan aku ni. CUKUP! CUKUP LAH PEREMPUAN GILA. Sampai bila nak macamni? Aku tak salahkan syaitan hasut aku jadi was-was.. mungkin ye hasutan tu ada. Tapi pada aku ni masalah psikologi dan minda aku sendiri sebenarnya adalah punca utama aku jadi macamni.
Tapi sekurangnya-kurangnya aku bersyukur. Dalam kesakitan aku, aku sentiasa murah rezeki. Allah sentiasa mudahkan hidup aku dari aspek yang lain. Dan aku sekarang ni slow-slow cuba untuk pulih. aku cemburu tengok orang solat smooth je. Ambil wuduk tenang je. Ada tak readers diluar sana yang hadapi apa yang aku hadapi? Boleh tak korang kongsi cara korang sembuhkan penyakit ni? Aku mahu pulih sepenuhnya. Aku rindukan diri aku yang dulu. Aku nak mati dalam keadaan tenang. Aku takut solat dan wuduk aku selama ni Allah tak terima sebab terpesong sangat caranya. Aku berlebih-lebihan dalam berwuduk dan beribadah. Tapi hakikatnya.. Cuma aku je yang tahu betapa aku mahu sempurna dimataMu ya Allah. Ampunkan dosa aku. Terimalah ibadahku. Sembuhkanlah aku ya Allah..
– Hamba Hina
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit