Assalamualaikum dan hi. Aku Lily (bukan nama sebenar lah), tapi berdasarkan cerita yang bakal aku ceritakan, mungkin ada yang kenal atau tahu kisah aku. Kisah ini terjadi sekitar 8 atau 9 tahun lalu.
Terasa nak kongsi sebab baru saja lepas belek-belek Facebook ternampak confession daripada “Adik” (https://iiumc.com/saka-keluarga/). Satu persatu kisah dia aku baca, dan tetiba rasa nak kongsi kisah aku. Perlu diingatkan, kisah ni panjang. Aku nak sekali harung kan saja cerita.
Baru-baru ni popular kat TikTok kes muka naik jerawat sebab buatan orang lah apa lah. Benda ni pernah terjadi kat aku. Tapi bukan disebabkan buatan dari sesiapa. Apa pon semuanya jadi berkehendak dengan ketentuan Allah juga. Kalau Allah tak benarkan, takkan terjadi.
Kisahnya bermula bila muka aku tiba-tiba naik jerawat yang teruk. Padahal sebelum tu muka aku elok, naik jerawat pon susah.
Mula dengan biji-biji kecil, daripada biji-biji kecil die bercantum satu sama lain jadi jerawat jenis bengkak, sakit. Mula dengan bahagian rahang, kemudian pipi, naik ke dahi dan lama-lama penuh 1 muka.
Aku awalnya ingatkan sebab hormon. Masa tu umur aku baru nak jejak 20 tahun, orang kata hormon berubah bila dah menginjak ke umur pangkal dua.
Jadi aku mati-mati ingat sebab hormon atau sebab aku tukar guna produk dari safi hijau pergi ke safi rania (brand popular waktu tu, duta die Nora Danish haaa)
Bila dah jadi macam tu, aku berhenti guna safi rania. Aku patah balik guna safi hijau. Bukanlah aku guna produk aneh aneh (yelaa biasa orang kata kulit jadi macam tu sebab timbang kilo)
Tapi kulit muka tetap macam tu. Ada waktu rasa gatal sangat. Ada waktu rasa panas. Bila aku pegang pon rasa panas sungguh muka aku.
Ada waktu aku rasa satu muka bengkak. Sampai 1 tahap aku benci betul tengok muka sendiri. Aku tak pandang cermin sebab aku rasa meluat dengan diri sendiri.
Kisahnya terungkap bila ada salah satu staff dekat jabatan aku belajar (aku belajar dekat Borneo, kos keluar masuk hutan) tegur aku. Kenapa dengan muka kau.
Aku pon jawab tak tahu lah. Tiba-tiba ja. Orang jadi perasan sebab muka aku jadi teruk macam tu dalam masa dua minggu. Mendadak berubah.
Daripada biji-biji kecil jadi jerawat jenis bisul. Rupanya staff jabatan tu pon bukan calang-calang orang. Die ada serba sikit ilmu batin ni. Die pesan kat aku, cari orang berubat.
Aku pula masa tu blurr. Sakit apa nak aku berubat. Aku tak terfikir lah punca muka aku tu ada sebab mistik. Staf tu pon cakap, ni bukan jerawat biasa.
Dan dari situ lah bermulanya bermacam-macam kisah mistik aku. Aku mula berubat dengan orang yang staf tu cadangkan. Melalui mesej saja (zaman tu takde WhatsApp bagai semua ni, ada Facebook dengan Skype saja paling maju). Orang tu suruh lahh sembur sirih kat muka 3 hari berturut.
Gigih kawan kawan aku carikan sirih. Kemudian kunyah kan sampai melecur mulut diorg (aku tak mungkin lupa benda ni, terima kasih korang) sembur kat muka aku.
Waktu tu tak fikir geli apa semua. Sebab fikir nak baik saja. Lepas saja sembur sirih bagai, surut kejap bengkak, panas.
Tapi jerawat masih ada. Aku pula waktu tu dah boleh mula rasa yang aneh-aneh. Rasa macam ada orang pandang. Rasa macam ada kelibat saja selalu kalau aku sorang-sorang. Hari terakhir berubat, aku kena mandi air tanah merah. Gigih pergi ladang cari tanah merah nak buat mandi.
Cuti semester, aku balik kampung. Bila balik kampung, aku rasa 1 beban tu hilang. Aku rasa lega sangat. Muka aku beransur elok. Masih ada jerawat, tapi takde dah muncul biji-biji yang boleh bercantum-cantum tu.
Sebelum aku balik cuti semester, aku ada pergi join ruqyah. Sebab masa tu aku macam tak berapa percaya lagi muka aku ni salah satu petanda ada yang berdamping dengan aku.
Pergi ruqyah dengan niat nak cek saja. Dan tak sangka masa ustaz tu baca ruqyah aku memang tak boleh kawal dah diri. Bergetar satu badan terutamanya tangan kanan aku. Jari-jari mengetuk-getuk lantai sendiri.
Aku cuba lawan sendiri sebenarnya, ikut bacaan ayat ruqyah dalam hati walaupun dah dipesan jangan ikut bacaan.
Tapi tu lah petanda terbesar, ada sesuatu pada aku. Aku tak tahu apakah Ia atau Siapakah dia. 2 3 kali juga aku pergi ruqyah. Tapi setiap kali, tak berjalan lancar. Tak selesai-selesai. Aku separuh sedar, berkomunikasi pon hmm hmm saja. Badan aku yang jadi sakit-sakit.
Bayangkan waktu aku di ruqyah, kaki aku dipegang dua kawan lelaki badan sasa (pemain ragbi), sorang kawan perempuan tahan badan aku. Dedua kawan laki aku tu boleh terlepas pegang kaki aku. Aku mampu tolak diorang. Walhal badan aku kecil (berat bawah 45kg, tinggi bawah 150cm).
Berubat dekat negeri kelahiran aku pon sama. Aku boleh tendang abang-abang aku. Terkejut diorang. Sejak berubat, aku jadi murung. Banyak diamkan diri. Banyak buat hal sendiri. Aku lagi selesa sorang-sorang. Aku cakap dengan mak ayah aku, nak balik. Taknak sambung belajar.
Aku masa tu ada lagi setahun. Ayah aku suruh aku balik, berubat kat negeri kitorang. Bila balik, aku sambung berubat. Tapi takde perubahan, sebab tiap kali perubat nak berkomunikasi dengan dia, dia pergi macam tu saja. Dan aku sedar. Sampai ke sudah tak jumpa punca mana datang benda tu.
Sampai satu tahap aku penat sangat dah berubat. Tiap kali berubat sakit-sakit badan aku. Lebam-lebam. Buat aku makin sakit. Air penawar berbotol-botol buat mandi, buat minum. Mandi daun bidara dah berkali-kali. Semua tak berkesan.
Bila aku balik kampus semula, aku rasa beban tu semula. Aku berjaya habiskan tahun terakhir aku. Aku balik negeri kelahiran aku dan sambung berubat.
Waktu ni, pengorbanan ayah aku besar sangat sampai aku give up sebab aku tak sanggup tengok ayah aku sedih.
Tiap kali aku berubat, mata ayah berkaca. Sebab ayah tak tahu nak bantu macam mana, ayah kesian tengok anak dia sakit. Sampai aku minta dengan ayah, taknak dah berubat mana-mana.
Sakit. Benda ni tak tahu punca. Kalau tahu punca, senang kita nak cari. Benda ni effect sekali hubungan aku dengan mana-mana lelaki yang aku cuba sayang. Tiba-tiba jadi meluat, malas nak contact. Padahal kalau tak sebelum tu elok saja semua.
Lepas saja aku bagitau aku berubat ni semua dekat diorang. Semua jadi kucar-kacir. Aku putus tunang (salah 1 sebab, aku jadi menyampah, marah dengan bekas tunang aku, hilang rasa sayang).
Waktu ni aku berubat dengan orang yang tolong ubatkan mak bekas tunang. Pon orang tu tak mampu tolong. Sama saja macam aku ruqyah dekat Borneo dulu.
Cuma orang tu suruh selidik semula. Susur galur ayah dengan mak. Aku pernah sangsi dengan ayah mak. Aku tanya diorang. Atok nenek belah diorang ada amalkan apa-apa ke sampai aku terkesan sekarang.
Sebabnya perubat kata, benda ni taknak bagitau apa-apa. Takut ada berkait dengan susur galur atas-atas.
Bila selidik, moyang perempuan aku bidan. Arwah atok laki pula asal negeri seberang, memang datang sini ada bekalan die, keris (lepas arwah atok meninggal, keris tu dah bagi kat orang yang berpengalaman dalam hal-hal mistik, lepas tu tak tahu apa kisah).
Belah mak pula, arwah atok laki memang boleh mengubat orang sikit. Dengar-dengar dari mulut-mulut orang, atok pernah masukkan tangan dalam mulut buaya zaman komunis dulu. Tangan yang die masukkan tu, boleh sembuhkan lepuh mulut (tak tahu sahih ye).
Mak pula, ayah kata ada sorang nenek (sedara mara mak) yang nak turunkan ilmu mengurut dekat mak. Tapi mak tolak. Aku pernah mimpikan arwah atok laki belah ayah. Sebelum muka aku teruk. Tapi aku anggap mungkin aku teringat saja kot.
Aku sejak kecil, ada satu perangai suka pergi makam. Suka baca-baca sejarah dekat makam-makam tu. Dan waktu aku sekolah jauh, dekat area sekolah aku tu, ada macam-macam makam pahlawan. Tiap kali ayah hantar balik, mesti aku ajak ayah singgah.
Aku cuma nak tengok saja. Arwah atok laki belah ayah meninggal waktu aku umur 12 tahun. Arwah atok meninggal sehari selepas tarikh lahir aku. Kubur arwah atok dekat dengan makam sultan.
Tiap kali aku pergi ziarah kubur arwah atok, aku akan ajak ayah pergi makam tu sekali. Aku cuma datang nak tengok dan sedekahkan Al-Fatihah tu saja. Takde pula nak tabur bunga siram air. Bila benda ni jadi kat aku, aku macam ada kena mengena ke semua ni.
Benda ni hilang bila aku akhirnya jumpa dengan perubat yang serasi. Ada orang kata, nak berubat ni pon kena serasi baru menjadi. Tapi apa semua berkehendak oleh Allah. Kawan kerja ayah, tahu ayah kerap ke sana ke sini bawa aku berubat. Tapi tak elok-elok.
Aku tak suka bila ada rasa tiba-tiba aku tak boleh kawal badan aku terutamanya jari-jari kanan aku. Selalu saja bergerak-gerak sendiri tiba-tiba ibarat macam kita tengah rentak kan sesuatu ketuk atas meja gitu. Kadang aku dengar ayat AlQuran pon aku jadi rimas.
Kawan ayah cadangkan sorang perubat ni. Waktu ayah nak bawa aku jumpa perubat ni, aku jadi protes. Aku tak nak bersiap.Padahal ayah dah pesan awal. Lepas maghrib karang kita pergi.
Dah masuk maghrib aku boleh duduk-duduk lagi kat katil taknak bersiap. Kena marah dengan mak, aku buat tak tahu saja.
Ayah masuk bilik, ayah cakap elok-elok baru aku pelan-pelan bersiap. Tu pon saja-saja melambatkan masa. Hati aku waktu tu betul-betul berontak taknak. Masuk kereta pon aku diam saja pandang luar yang gelap gelita tu. Sikit pon tak rasa takut. Rumah perubat tu jauh ke dalam.
Bila sampai, kami disambung dengan pelajar perubat tu seorang ustaz. Kawasan perubat tu tinggal damai sangat walaupun malam tak nampak apa-apa tapi terasa damainya. Kat kawasan situ ada pondok tahfiz.
Ayah kata perubat tu bekas mufti brunai. Aku tak tahu lah sebab waktu tu aku memang tak nak ambil tahu langsung. Aku menonong saja buat hal sendiri.
Bila ustaz bawa aku pergi rumah perubat, aku taknak masuk rumah. Ayah tarik aku pelan-pelan. Aku masuk, perubat suruh duduk sebelah dia. Aku gelarkan dia atok. Sebab dia bahasakan diri die atok.
Atok terbaring saja. Memang lumpuh satu badan, anak dia yang uruskan dia. Tapi dia boleh bercakap. Tangan boleh bergerak. Cakap masih lancar. Dia cuma minta aku duduk sebelah dia saja. Dia takde sentuh aku apa semua. Dia tanya soalan pon, ayah yang jawab.
Aku tak pandang dia langsung. Lama-lama baru aku boleh pandang dia. Lepas tu dia cakap dengan aku. Tadi benci yea tengok muka atok. Aku angguk. Dia senyum. Sekarang dah okay?
Aku jawab dah. Pastu atok pon cakap, yang benci atok tadi, benda tu. Dia tak nak datang sini. Aku pon boleh mula berbual tanya mana datang dia semua.
Atok cuma cakap, dia nak kawan saja. Aku pon jawab, saya tak nak kawan dengan dia. Saya taknak. Aku ucapkan dengan tegas. Pastu atok jawab, dah atok dah suruh balik.
Bila aku tanya mana datang benda tu. Atok kata, mungkin hutan, mungkin mana-mana. Dia suka saja. Dia nak jaga. Jadi alhamdulillah, bukan dari susur galur aku. Balik tu adalah beberapa perkara atok suruh aku buat.
Pertama, mandi air mandian mak (maksudnya, mak aku mandi shower, aku mesti kena air mandian mak tu), jangan tidur lepas asar (ni aku memang sepanjang aku kena, tiap kali asar aku mengantok lah, lesu lah). Lagi 1 aku tak ingat apa. Dah lamaa sangat ni.
Lepas saja dari tu, alhamdulillah. Aku takde dah rasa sebelum ni. Serba tak kena. Takde dah rasa nak murung sentiasa, sendu sorang-sorang. Dan alhamdulillah dah berjaya sayang laki (sekarang dah jadi laki aku). Dia tahu kisah aku, dan dia cukup sabar kalau aku buat perangai tak menentu tiba-tiba.
Lagi beberapa hari nak kahwin, boleh jadi tak nak kahwin. Lepas kahwin pula, benda ni dah beransur hilang. Kecuali kadang aku masih ada rasa.
Cuma aku pernah cakap, kau nak ada, ikut suka lah kalau taknak pergi. Tapi aku takkan kawan dengan kau sampai bila-bila. Kalau sesuatu kawasan tu ada yang tak kena pon, aku akan cakap dengan laki aku, cepat-cepat pergi.
Instinct aku jadi kuat lepas kejadian tu. Orang kata, kalau benda ni dah masuk, dah ada lubang. Senang yang lain boleh masuk sekali. Tapi Alhamdulillah, sampai hari ni Allah masih jaga aku. Aku setakat rasa-rasa gitu saja. Kelibat kadang-kadang. Tapi aku selalu positif kan diri itu perasaan saja.
Aku ingat benda ni dah selesai. Tapi bulan puasa tahun 2013, aku tiba-tiba mimpi atok (perubat). Dalam mimpi aku tu, muka dia jadi bengis sangat. Aku terkejut. Bulan puasa kot mana ada syaitan nak main-main. Tapi jin tetap ada.
Aku bagitau ayah. Esoknya terus pergi jumpa atok. Kali ni datang, atok dah tak larat sangat. Uzur. Terbaring. Tak mampu nak bercakap.
Yang sampai kan anak dia saja. Anak dia bagitau, atok kata, benda tu ada lagi. Cuma tak boleh masuk dalam badan aku dah.
Aku jawab, saya tak nak dia ada dekat dengan saya tok. Pergi lah dia. Itu lahh kali terakhir aku jumpa atok. Tak lama lepas tu atok meninggal (Al-Fatihah). Bila ayah call bagitau atok dah meninggal, badan aku terus seram sejuk.
Tapi aku percaya, semua atas Allah. Atok tu perantara sahaja. Tu yang tetiba boleh buat perangai balik tiba-tiba nak putus lah. Taknak kahwin lah. Menyampah lah (nasib jadi kahwin juga )
Itu lah kisah aku. Sejak berubat dengan atok, muka aku makin elok dari hari ke hari. Gatal, bengkak, jerawat jenis bisul hilang. Tinggal parut dan jerawat biasa. Tapi aku sampai sekarang tak tahu, tak dapat jawapan sebenarnya apakah Ia atau Siapakah dia tu. Datang dari mana apa semua.
Yang aku tahu dia nak berkawan. Pada mulanya aku nak terima, tapi bila aku fikirkan balik dan pernah terbaca benda ni takut sampai ke anak cucu takkan terlepas. Aku tak nak. Lagi pon bukan keperluan.
Kadang ada waktu, perasaan aku berbolak balik. Hati berbisik, kalau ada, senangkan nak tahu orang dengki kita.
Tapi aku istighfar balik. Aku teringat pesan atok, jangan berkawan. Nanti makan diri lama-lama. Allah saja ke bergantungan kita. Aku kagum dengan atok. Hanya dengan dia aku serasi. Dan cara dia pon tak menyentuh aku langsung, aku tak rasa sakit.
Kadang aku takut juga jatuh syirik. Tapi mungkin kita tak tahu apa ilmu yang Allah beri pada seseorang itu sampaikan dia mampu buat sebegitu.
Itu saja kisah aku yang hambar dan panjang. Maaflah kalau ada yang rasa menyampah baca panjang-panjang.
Penghabisanya, dengan keadaan kita yang tengah struggle sekarang, semoga semuanya dipermudahkan. Semoga diberi kesembuhan kepada yang sakit dan kita semua terus dilindungi. Aaminn️…
Sekian. Assalamualaikum, bye.
– Lily (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit