Where Are You Papa?

Assalamualaikum… Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Admin kerana sudi menyiarkan hasil coretan saya. Apa yang dicoretkan disini bukanlah untuk memalukan sesiapa dan bukan niat untuk memburuk-burukkan sesiapa. Apa yang baik itu datang daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu dari kelemahan diri saya sendiri. Pertama sekali saya memperkenalkan diri. Nama saya Aina dan saya merupakan anak perempuan tunggal di dalam keluarga. Kehidupan yang ingin Aina coretkan bermula dengan perkhabaran mama menghidap kanser pangkal rahim. Sewaktu itu usia Aina 16 tahun.

Pada awalnya, mama dan papa cuba menyembunyikan perkara tersebut daripada pengetahuan Aina. Namun hari semakin hari kesihatan mama semakin merosot dan Aina mulai mengesyaki sesuatu kepada mama. Akhirnya, mama memberitahu dokor mengesahkan mama menghidap kanser pangkal rahim. Papa seorang yang setia pada pandangan mata Aina. Papa setia disisi mama dan tidak pernah lekang senyuman di muka papa untuk mama. Sepanjang mama menjalani rawatan papa akan sentiasa menemani mama. Bulan berganti bulan, mama terus menjalani rawatan, namun kesihatan mama masih merosot. Aina ketika itu hanya mampu memberikan sokongan dan doa untuk mama.

Sikap papa mulai berubah sedikit demi sedikit. Kalau dahulu papa sering menemani mama membuat sesi rawatan, namun kini tiada lagi papa disisi mama. Kadang-kadang Aina perlu memanggil teksi untuk membawa mama ke hospital. Papa mula memberi alasan sibuk dengan urusan kerja. Aina pada awalnya tidak ambil kisah dengan sikap papa memandangkan kerjaya papa yang memerlukan papa perlu memberi fokus yang lebih untuk kerjanya. Namun lama-kelamaan, papa mula tinggalkan mama dan Aina dirumah sendirian. Kadang-kadang dalam masa seminggu adalah 2 @ 3 kali berjumpa papa dirumah. Perbelanjaan rumah juga dikurangkan dengan alasan perlu berjimat cermat disebabkan kos rawatan mama yang mahal.

Jika sebelum ini, Aina mengikuti kelas tuisyen tambahan diluar waktu sekolah namun papa memberitahu supaya Aina berhenti daripada kelas tersebut. Bila tanya kepada papa, alasan yang diberikan mama sendirian dirumah dan yuran tuisyen Aina mahal. Aina mengikut sahaja kehendak papa. Selepas habis waktu sekolah Aina akan terus balik ke rumah untuk menjaga mama. Tahun berikutnya Aina bakal menghadapi SPM. Tahun yang paling sibuk dan mendebarkan untuk Aina. Tambah pula dengan keadaan mama yang tidak sihat dan papa yang tidak mempedulikan mama.

Papa mula naik suara dengan mama dan Aina. Apa yang membuatkan Aina terkilan dengan papa apabila suatu hari sewaktu Aina pulang dari sekolah, Aina terdengar perbualan mama dan papa. Papa cakap mama menyusahkan hidup dia, mama tak sembuh-sembuh, hidup papa musnah dan bermacam-macam perkataan yang menyakitkan keluar dari mulut papa. Allahuakhbar….. Berang dengan cakap-cakap papa, Aina mula bersuara kenapa tiba-tiba papa mula berubah, kenapa papa layan mama macam sampah, kenapa papa tak lagi disisi mama bila mama perlukan papa?…. Papa terdiam.

Hubungan Aina dengan papa tidak lagi rapat seperti dahulu. Papa bukan lagi papa yang Aina kenal. Papa dah berubah. Sangat berubah. Mama pula kini penghuni tetap di hospital. Mama tak mampu untuk bergerak sendirian dan semakin lemah disebabkan kansernya mula merebak ke organ-organ yang lain. Dikala sanak saudara datang mengungjungi mama, papa tiada. Yes, papa tak datang menjenguk mama. Mujur ahli keluarga yang lain menolong Aina menjaga mama sepanjang di hospital. Mama tidak lagi berharap dengan papa. Aina masih berharap agar papa datang melawat mama ketika itu sebelum terlambat.

Selepas tamat peperiksaan SPM, Aina ambil alih tanggungjawab sepenuhnya menjaga mama. Suatu hari, mama meminta Aina untuk menghubungi papa. Aina mengikut kehendak mama dan menghubungi papa. Paling mengejutkan Aina apabila panggilan telefon dijawab oleh seorang wanita dan wanita tersebut memperkenalkan diri sebagai isteri papa. Aina rasakan ibarat sebijik batu yang menghempap kepala. Sampai hati papa! Wanita tersebut memperkenalkan diri sebagai Maria dan dia memberitahu mereka telah berkahwin 6 bulan yang lepas. Katanya papa tiada dirumah ketika itu. Aina dengan berat hati memberitahu mama tengah sakit tenat dan nak berjumpa dengan papa.

Selang beberapa hari selepas kejadian telefon itu, seorang wanita lingkungan 30-an datang melawat mama dan dialah Maria @ isteri baru papa. Mama tidak menyangka dengan kehadiran madunya itu. Maria bersalaman dengan mama dan memberitahu dia isteri baru kepada papa. Aina yang tidak dapat menahan perasaan ketika itu mula menyerang Maria dengan kata-kata yang terkubur dalam hati. Mama ketika itu hanya mampu mengalirkankan air mata. Aina memberontak dengan sikap papa dan kata-kata kesat dilontarkan kepada Maria. Maria mula bersuara. Dia sendiri terkejut apabila mengetahui mama sakit dan masih lagi hidup kerana sebelum mereka berkahwin papa memberitahu dia seorang duda, telah kematian isteri dan tiada anak. Papa, what the hell are you doing?? Sampai hati papa cakap mama dah mati. Sampai hati papa cakap papa tak ada anak. Allahu…. Jadi selama ini papa memang mendoakan supaya mama mati cepat.

Selepas peristiwa di hospital, Aina nekad untuk berjumpa dengan papa. Papa agak terkejut dengan kedatangan Aina dirumah barunya bersama Maria. Aina cakap mama tengah tenat dan dia nak sangat jumpa papa sebelum terlambat. Papa ketika itu diam dan kemudian papa bersuara.. Maafkan papa sebab tinggalkan Aina & mama. Papa sudah tawar hati dengan perkahwinan papa & mama. Papa sudah jumpa dengan seseorang sebagai pengganti mama. Mama tidak mampu lagi bagi apa yang papa mahukan seperti dulu. Mama bukan lagi mama yang dulu. Itulah kata-kata hikmat yang amat perit yang keluar dari mulut seorang lelaki yang Aina hormat & paling Aina sayang sebelum ini. Sampai hati papa. Manusia jenis apa papa ni. Sanggup tinggalkan seorang wanita yang telah berkorban apa sahaja untuk seorang lelaki bergelar suami.

Dipendekkan cerita, selepas mengharungi liku-liku yang mencabar bagi keluarga Aina, pada tanggal 12 Mac 2015 mama telah menghempuskan nafasnya yang terakhir di katil hospital. Innalillahiwainnailaihirojiun… Pulanglah mama ke sisi pencipta-Nya. Papa? Jangan ditanya apa yang telah dibuat. Seminggu sebelum pemergian mama, Aina dikhabarkan papa bersama isteri barunya sedang bercuti di luar negara. Aina hanya memaklumkan pemergian mama melalui mesej dan hanya dibalas selepas 2 hari mama meninggal. Kejam betul papa sampai mama meninggal pun papa tiada di sisi mama.

Kini, Aina tinggal bersama ibu saudara di selatan tanah air. Kenangan dengan mama & papa adalah yang paling indah dalam hidup Aina. Kata-kata akhir mama yang Aina masih ingat sampai sekarang ‘Aina, kita bukan hidup seorang diri, kita ada tuhan. Yakin dengan-Nya’. Papa jarang sekali untuk menjenguk Aina. Perbelanjaan bulanan sepenuhnya ditanggung oleh ibu saudara Aina dan hasil simpanan arwah mama.

Dear papa,
Seandainya papa ada terbaca coretan ini, Aina harap papa sentiasa dalam lindungan tuhan. Walaupun apa yang papa buat adalah perit untuk Aina & arwah mama, Aina maafkan papa sepertimana mama memaafkan papa. Mama telah maafkan papa sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir. Arwah mama tersangat rindukan papa. Aina harap suatu hari nanti Aina dapat bertemu semula dengan papa.

Dear Maria,
Jagalah papa dengan baik. Apa yang berlaku adalah takdir yang telah ditentukan. Arwah mama telahpun memaafkan Maria.

Aina dah penat untuk mengejar kasih sayang seorang lelaki yang bergelar papa.

-Aina D-

– Aina D

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *