Women Always Win

Assalamualaikum dan hi.

SELASA, 6 DIS – 01:43 a.m

Masih belum terlelap. Seperti kebiasaan seorang anak muda seperti aku masih leka mengscroll fb, twitter, ig sebelum tidur. Ya, satu tabiat yang perlu diberhentikan huhu. Sambil melihat berita berita sang sahabat, ada yang baru kahwin, ada yang dapat anak, ada yang post gambar makan, ada yang post benda humor, ada yang post gambar balik bercuti dan tak kurang juga post post berkenaan isu semasa, politik, dunia luar, kes kes rohingya, palestin, syria dan pelbagai lagi post.

Tiba tiba mataku tertarik pada satu post berita mengenai kebanggaan seorang kaum sejenisku yang berjaya kuruskan badan. Kisahnya daripada digelar sang badak berjaya menjadi sang zirafah. Seperti lazimnya kisah kekurusan ini perlu diberikan bukti, gambar sebelum dan gambar selepas. Aku mula membaca komen, ada yang mengucapkan tahniah, ada yang minta tips, ada yang cemburu dan aku scroll lagi melihat telatah telatah manusia di ruangan komen itu. Dan pap ! Muncullah seorang manusia, insan yang kalian gemar melabel sebagai ustaz / ustazah facebook. Insan ini menegur tentang pemakaian perempuan itu yang dahulunya labuh di gambar sebelum menjadi sarung nangka di gambar selepas. Insan itu menegur tentang aurat, tentang ketatnya pakaian perempuan itu. Tetapi, silapnya insan itu, dia seorang lelaki. Ya lelaki.

Berduyun duyun superwoman yang lain datang, membela nasib sang hawa yang ditegur. Katanya lelaki itu pervert, katanya lelaki itu melihat benda negatif, ada lagi yang menegur tentang lelaki itu mengaibkan, lagi dipersoalkan mengapa tidak menegur secara personal dan pelbagai lagi hujah hujah kaum hawa.

Aku sebagai perempuan sudah faham. Inilah satu permasalahan sesetengah kaum hawa masa kini. Tidak ku nampak mana silapnya teguran lelaki itu. Aku pandang dari sisi mengaibkan. Tidak kurasa aib. Lelaki itu menegur dengan hikmah, dengan penuh santun. Malah aku tertanya, kalau dikatakan aib, kenapa tuan badan meletakkan gambar tersebut. Aku pandang pula dari sisi lelaki pervert. Kata sang hawa, lelaki nampaknya benda yang negatif, tak tengok pada berita usaha perempuan itu kurus, tapi melihat badan perempuan itu. Kupandang dari sisi kenapa tak tegur secara peribadi. Aku rasakan lebih baik ditegur dikomen. Zaman sekarang zaman fitnah. Bila menegur secara peribadi mesej, dm dan sebagainya, akan di screenshot dan dipost kembali dengan caption :

” ada ustazah/ustaz jadian cuba nak berhujah. Sedangkan diri pun tak betul, ada hati nak tegur orang ”

Dan yang menegur tetap disalahkan. Ini benda yang pernah kulihat. Yang kulihat dari pelbagai sisi.

Like man always said, woman always win.

Wahai wanita.

Jangan disangka kalian perlu sentiasa menang, lelaki menegur tentang aurat kau, kau kata lelaki itu otaknya memikirkan perkara lucah, fokus pada tubuh badan kau, tak melihat pada usaha kau. Tidakkah kau sedar yang kau juga salah. Kenapa kau tidak meletakkan gambar selepas kau kurus itu gambar yang menutup aurat, tidak ketat, tudung dilabuhkan sama seperti gambar sebelum kau kurus.

Ahhh, aku lupa, woman always win.

Kata kau, kalau tak ketat bagaimana kau nak tunjuk kau dah kurus. Ya, ya. Aku terlupa soal yang itu. Aku terlupa yang sudah jadi syarat kalau mahu tunjuk kau sudah kurus, kau harus pakai pakaian yang tunjuk segala lekuk meskipun kau bertudung. Aku lupa, yang kalau mahu tunjuk badan kurus itu tidak boleh dipakai pakaian yang labuh. Nanti orang tak nampak. Aku lupa soal yang itu. Maafkan aku wanita. Tapi aku syukur, kau tidak mencabut tudungmu dengan alasan nak tunjuk lemak dilehermu sudah hilang.

Kau kata, lelaki janganlah tengok kalau dah tahu gambar itu pakai yang ketat. Aduhh, kasihanlah sang lelaki, perempuan yang post, lelaki jugalah yang salah. Wahai kaum hawa, muslimah yang disayangi, ketika mahu kau post adakah niatmu menunjuk kepada sahabatmu sahaja, keluarga mu sahaja, atau satu dunia ? Sebelum kau post, ada diberi pilihan, adakah kau mahu post kau dilihat oleh rakan, rakan kepada rakan, umum atau hanya kau ? Dan dari yang ku lihat, kau sendiri memilih umum bukan ? Dan adakah masih salah sang lelaki terlihat dan menegur khilaf mu itu ?

Tidakkah kau bersyukur lelaki itu menegur mu. Kau sendiri kata, lelaki itu fikirannya lucah. Kenapa tidak kau lihat dari pandangan lain yang mana lelaki itu menegur mu kerana tahu bagaimana pemikiran sang lelaki lain. Lelaki itu menegurmu kerana tahu, akan ada lelaki yang memandang gambarmu dengan penuh nafsu serakah. Tidakkah kau risau, gambarmu menjadi medium untuk sang lelaki membahaskan tentang lekuk lekuk tubuh badanmu. Tidak takutkah kau, disaat zaman dunia semakin maju, gambarmu diedit sehingga hilang pakaianmu. Adakah rela dirimu ditonton sang lelaki bermata keranjang.

Ohhh ya, aku lupa. Woman always win

Makanya lelaki yang harus menundukkan pandangan. Lelaki yang harus melakukan tindakan. Perempuan insan yang lemah, mana mampu nak pakai baju yang labuh dan longgar. Kalau perempuan pakai baju ketat, lelaki harus tundukkan pandangan.

Wahai sang hawa, kau terlampau sibuk perjuangkan hak wanita kau. Sampai kau lupa kenapa Allah meletakkan lelaki sebagai pelindung, sampai kau lupa kenapa Allah takdirkan lelaki itu menegurmu, kau lupa, Allah masih sayangkan dirimu dan mahu menyelamatkanmu dari sang lelaki lain yang berniat jahat terhadap dirimu. Kau lupa lelaki itu mahu menyelamatkan lelaki lain dari mendapat dosa terutama insan yang bergelar ayah. Kau terlampau seronok kongsikan kisahmu, sampai kau lupa yang badanmu turut dikongsikan. Kau lupa tubuh mu yang elok lekuknya itu hanya boleh dipertontonkan sang lelaki yang halal untukmu.

Wahai lelaki,

Tahniah aku ucapkan. Kau punya keberanian menegur secara terang terangan malah dengan penuh hikmah dan sabar melayan serangan sang wanita. Aku bangga dengan sikapmu yang berani berkata benar di zaman ” woman always win “. Sedangkan aku menggunakan medium ini untuk menyampaikan pendapatku.

Wahai lelaki,

Bersabarlah dengan karenah sesetengah wanita. Teruskan perjuangan dakwah anda. Maafkan kaum hawa yang terleka dengan nikmat dunia. Aku harap kau diberi ganjaran pahala melimpah ruah.

Wahai wanita,

Jangan disangka dirimu selalu juara. Bukalah mata, lapangkan minda, tenangkan jiwa menerima teguran.

Aku insan lemah, menulis mungkin ada yang salah. Maafkan aku wahai semua. Ku harap ini boleh menjadi wadah bacaan yang bermanfaat.

Assalamualaikum

– Bungan Melati

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit