Wujudkah B4pa Yang Tidak Sayangkan An4k

Assalamualaikum… sedikit tentang latar belakang aku, Seorang wanita berkerjaya berumur 37 tahun, sudah berkahwin 10 tahun dan dikurniakan 3 orang anak.

Sekadar ingin meluah rasa, mendapatkan sekelumit semangat yang telah hilang.

Sengaja aku letakkan ayat tanya pada tajuk yang aku dah tau jawapannya. Ya, memang wujud bapa yang begitu…tidak Sayangkan anak.

Sesungguhnya keadaan ini perit untuk kuterjemahkan dengan kata-kata mahupun tulisan.

Tapi aku cuba untuk sampaikan apa yang terbuku di hati dengan harapan ada yang sudi memberi kata semangat atau ada bapa-bapa di luar sana yang ada penjelasan terhadap apa yang berlaku kepadaku ini.

Mungkin nanti ada yang respon “eh, biasalah.. lelaki memang macam tu”.

Mungkin kata-kata itu sedikit sebanyak boleh melegakan hatiku.

Aku dibesarkan dalam keluarga tipikal melayu kampung zaman 90an. Kami orang susah. Ibu bapaku penoreh getah yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Jadi, keperitan hidup memang dah jadi sebati dalam hidup kami. Tapi bagi aku, keperitan hidup bukanlah alasan untuk engkau tertekan hingga bencikan anak sendiri.

Aku sering sahaja melihat keharmonian hubungan anak dan bapa walaupun hidupnya susah.

Kenapa aku kata bapaku tidak pernah sayangkan aku? Tidak pernah pun sekelumit kasih sayang yang ditunjukkan.

Seumur hidupku ini aku sangat jarang bercakap dengan bapa. Bercakap kalau sangat perlu, itupun sebulan sekali pun payah.

Dari kecil ya, bukan sejak dah besar gajah ni. Aku pun tak faham kenapa, tapi hubungan kami ni memang bukan macam anak dan bapa ya.

Kalau aku bertembung dengan bapa, situasinya.. aku balik dari sekolah naik basikal dan dia naik motorsikal, paling tak sepatutnya akan saling balas senyuman.

Tapi tidak ya. Dia akan masam mencuka sambil toleh tempat lain. Kau rasa? Tapi itu sebenarnya tidaklah terkesan sangat dihatiku.

Yang paling tak kulupakan bila dia pernah cakap kepada ibuku, yang aku ini tak berguna, patut dijual ke Siam sahaja.

Masa itu aku baru berumur 14 tahun. Usia remaja yang sedang memberontak. Mujurlah masih ada iman senipis kulit bawang yang tak mendorong aku melakukan perkara yang bukan-bukan.

Apa yang menyedihkan, aku tidak pun melakukan apa-apa kesalahan ketika itu. Ketika itu, ibuku sedang sakit dan perlu ditahan di wad.

Ibuku hanya menyatakan hasratnya inginkan aku yang menjaganya di hospital. Bapaku yang tidak setuju kerana kononnya dialah yang layak jaga ibuku di wad lalu menghamburkan kata-kata yang menghiris-hiris hatiku.

Sebenarnya terlalu banyak peristiwa lain yang tak mampu aku ceritakan satu persatu. Tetapi kesimpulannya memang tiada unsur kasih sayang dalam jiwa bapa terhadap anak-anaknya. Bukan aku Seorang ya yang jadi mangsa.

Semua anak-anaknya. Ibuku pun dah puas bertekak, bergaduh tahap nak baling parang, tapi keadaan masih sama sampailah hari ini. Dia masih bersikap dingin dan katanya-katanya sering menyakitkan hati.

Bersyukur juga kerana dia jarang menggunakan kekerasan fizikal. Pernah juga aku disebat, tapi aku bukanlah sampai tahap penderaan.

Namun, kadang-kadang aku rasakan lebih baik dia pukul aku daripada mendera aku secara mental.

Cerita bapa tak sayang anak ini rupanya tidak berakhir pada satu generasi sahaja. Aku yang trauma dengan kisah hidupku sendiri mengharapkan akan membina rumahtangga mawaddah yang penuh limpahan kasih sayang.

Aku pilih suami yang berimejkan Islam (ala-ala lelaki lindungan kaabah gitu), tidak bercinta sangat, kenal, tunang dan nikah. Kononnya lelaki begini akan menjadi Imam terbaik buat aku dan anak-anak.

Kusangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Suamiku yang kusangka penyayang rupanya Seorang yang panas baran.

Ya, dia normal, tidaklah sedingin bapa. Masih bercakap, bergurau dengan anak-anak. Tetapi ada masa tertentu yang dia tidak dapat kawal kemarahan dan anak-anak akan jadi mangsa.

Kadang-kadang punca kemarahan hanyalah sikat yang beralih tempat, habis dimaki hamunnya.

Dia pernah menghantukkan kepala anakku yang berusia 2 tahun ke dinding hanya disebabkan anakku merengek meminta ais krim di tangannya.

Dia juga sering menghamburkan kata-kata kesat terhadap anak-anakku. Contohnya, “kau ni hidup menyusahkan orang”. “B*d*h”. “Ban*an*” dan sewaktu dengannya sedangkan anakku ketika itu baru berumur 5 tahun.

Puas aku bergaduh, protes, merayu, ugut nak bercerai sekalipun, keadaan tidak berubah, dia akan berubah sekejap, kemudian jadi lagi dan lagi. Yang paling aku tak boleh hadam, dia sangat sayangkan anak buahnya.

Kalau balik kampung suami, anak buahnya akan melekat dengannya. Aku hairan. Aku pernah cakap padanya, “boleh tak abang sayang anak-anak kita macam abang sayang anak buah abang?”. Tiada jawapan yang diberikan.

Aku semakin hari semakin buntu dalam masa yang sama aku rasa bodohnya aku bertahan sampai bertahun-tahun begini. Dia sentiasa nak tambah anak, mahukan anak yang ramai, tapi memang aku takkan.

Aku tak sanggup menahan sakit bersalin, dan apabila anak dah besar sikit, akan dimakikan boleh bapanya sendiri. Tapi untuk melangkah pergi bersama anak-anak, jujurnya aku belum sekuat itu. Bodohnya aku.

Benarlah ungkapan ” kita akan diuji dengan apa yang kita paling tak mahu ianya berlaku”. Aku yang tidak disayangi bapaku sendiri, kini anakku seolah-olah menerima nasib yang sama. Aku tidak tahu sampai bila aku masih bertahan.

Aku sering bertanya kepada Yang Maha Esa, adilkah Dia menguji aku sebegini?

Kepada bapa-bapa di luar sana, kami sebagai anak sangat dahagakan kasih sayang kalian. Jika malu nak tunjukkan kasih sayang kepada anak-anak, sekurang-kurangnya janganlah dirobekkan hati mereka.

– Tiara (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *