Y: Tertinggal Buku

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada pembaca IIUM Confessions. Tujuan aku menulis adalah untuk berkongsi sedikit kisah hidup aku sepanjang bergelar pelajar SPM sesi 2019.

Mungkin dengan kisah ini, dapat mengalihkan sedikit daripada confession-confession masalah keluarga, masalah-masalah rumahtangga suami dan isteri, dan masalah percintaan yang sering dibawa di dalam komuniti IIUM Confession.

Penulisan aku hanya suka-suka. Harap tiada siapa yang terasa dan sakit hati ketika membaca.

(Dialog yang digunakan dalam cerita aku ini mungkin tak sama dengan yang sebenar sebab aku mungkin dah terlupa. Nama-nama yang digunakan juga bukanlah nama yang sebenar)

Aku perkenalkan diri, nama aku Y (bukan nama sebenar). Alhamdulillah aku dikurniakan keluarga yang cukup bahagia. Tidak mempunyai masalah dalam hal perbelanjaan keluarga. Di sekolah, aku mengambil aliran Sains Komputer berikutan minatku yang mendalam dalam bidang meng”edit” gambar.

Aliran Sains Komputer mempunyai subjek yang hampir serupa dengan aliran Sains Tulen, cuma untuk subjek Biologi ditukarkan kepada subjek Sains Komputer. Kimia, Fizik, dan Add Math termasuk dalam subjek aliran SK, Sains Komputer.

Entah kenapa, bermula dari tingkatan 2 hingga kini, aku mempunyai masalah terhadap keyakinan diri. Aku seorang yang penakut bila berhadapan dengan ramai orang sedangkan aku yang dulu, merupakan seorang yang berani dan seorang yang peramah. Dan ianya bermula dengan satu detik hitam yang membuatkan aku berubah seratus lapan puluh darjah.

2019 bermula dengan penuh keazaman. Azam yang paling utama tak lain dan tak bukan untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam SPM.

Sebagai perancangan awal, aku membuat keputusan untuk mendaftarkan diri dalam tuisyen luar dengan mengambil subjek matapelajaran BM, BI, Matematik dan Sejarah. Dua subjek disusun dalam sehari dan pada waktu malam dari pukul 8:10 hingga pukul 10:10.

Harinya pula diawal minggu, iaitu hari Isnin dan Selasa. Tak dilupa pula subjek Add Math, tuisyen bagi kelas Add Math bermula lambat beberapa minggu daripada subjek-subjek teras dan telah ditetapkan pada hari jumaat. Cabaran diawal tahun.

Semuanya berjalan dengan lancar.. namun apabila sekolah juga turut sama naik dengan kerja sekolah yang banyak. Aku mati akal. Selalunya, kerja sekolah yang tidak sempat disiapkan pada waktu petang semestinya akan disambungkan pada waktu malam. Namun dengan adanya tuisyen, perkara menjadi lebih sukar.

Satu hari,

Aku dipertanggungjawabkan untuk menyiapkan kerja sekolah Add Math, dan kerja tersebut ingin dibincangkan ataupun disemak esok. Ditakdirkan hari itu hari selasa. Waktu petang tidak cukup untuk aku siapkan kerja sebanyak itu.

Jadi aku membuat keputusan untuk menyambung membuat latihan Add Math setelah tamat tuisyen pada malam tersebut. Aku bersengkang mata, menyiapkannya dengan sepenuh tenaga. Akhirnya, ia berjaya disiapkan di waktu tengah malam.

Pagi esoknya aku bangun dalam keadaan terlewat. Badan masih penat. Aku solat dan menyiapkan diri dan menyarung beg sekolahku dengan sarapan pagi yang sedikit dan terus bergerak ke sekolah. Setiba di sekolah, seperti yang kita semua sedia maklum, semestinya terdapat rakan yang menjalankan projek “kerja last minute”.

Aku perkenalkan kawan aku, Pim. Seorang yang pelik dan selalu tidur di dalam kelas. Aku masuk ke kelas pagi itu dengan wajah yang biasa. Pim sedang terlentok di atas meja. Di dalam kelas itu, tiada siapa yang ingin duduk bersebelahan dengannya. Aku sebagai tanda kasihan, aku merelakan diri untuk duduk disebelahnya.

“Pim, dah-dah lah tu tidur.” kata aku.

Pim tidak menjawab. Aku menyambung.

“Kerja Add Math semalam yang cikgu bagi kau dah buat belum?”

Pim terus mengangkat kepalanya dengan laju. Dalam keadaan kekeliruan dia bertanya kepada aku

“Cikgu ada bagi kerja ke?”

“Adalah. Kau tak buat lah tu.” aku menjawab

“Page berapa cikgu bagi?”

Pim seorang yang takkan buat kerja sekolah di rumah. Adapun beberapa kali kerana dia meminati cikgu itu ataupun cikgu itu ada kaitan dengan maknya yang juga merupakan guru. Ibunya mengajar di sekolah rendah.

Subjek Add Math bukan subjek yang menggerunkan Pim, tetapi cikgunya yang garang, membuatkan Pim kecut. Nama cikgu itu, Cikgu Eti. Antara cikgu yang paling garang di dalam sekolah. Kata-katanya tajam. Sentapannya maut. Gerakannya menakutkan. Mana mungkin pelajar tidak takut.

“Y nak pinjam buku jap aku tak tahu la nak buat soalan ni macam mana”

Aku dah terbiasa dengan helah meniru si Pim ini, tetapi kerana risau akan perkara dikemudian waktu, aku bersetuju untuk memberinya meminjam buku. Tempikan guru kepada Pim, tempiasnya terkena aku jua.

Malang tidak berbau, buku latihan Add Math tidak kelihatan di dalam beg. Aku menanyakan kepada rakan lain sekiranya ada yang mengambil buku ku. Sekilas aku mengimbau hari semalam.
Aku terlupa nak bawa masuk beg.

Semalam, bermati-matian aku menyiapkan dan pengakhirannya aku tertinggal. Hanya Allah yang tahu betapa kecewanya aku. Aku hanya meletakkan buku itu diatas meja belajar di dalam bilik. Waktu subjek Bahasa Inggeris, kelas aku perlu pergi ke suatu bilik. Bilik itu merupakan bilik khas bagi subjek Bahasa Inggeris.

Aku dengan perasaan kecewa, aku memikirkan jalan penyelesaian bagi masalah ini. Aku cuba untuk menghubungi ayahku yang berada di rumah dengan harapan ayahku dapat menghantar buku itu ke sekolah. Namun, ayah aku baru sahaja menghantar aku dan adikku pada waktu pagi ke sekolah. Ayah aku mengatakan dia tidak dapat menghantarkan buku itu.

Pada waktu ini, jam menunjukkan pukul 9:30 pagi. Waktu subjek Add Math adalah selepas rehat pada pukul 10:50 pagi. Selepas waktu subjek Bahasa Inggeris, ialah rehat dan diteruskan dengan Add Math.

Masa sebelum subjek Bahasa Inggeris pada waktu itu ialah Sains Komputer / GKT (Grafik Komunikasi Teknikal). Kelas kami terbahagi kepada dua aliran. GKT adalah nama baru bagi LK, Lukisan Kejuruteraan. Kelas Sains Komputer di Makmal Komputer dan GKT di bengkel.

Setelah tamat kelas Sains Komputer itulah aku bertindak menghubungi ayahku. Namun perancangan untuk mengirimkan buku tidak berjaya.

Pelajar SK sampai terlebih dahulu di bilik khas subjek Bahasa Inggeris, BKI. Pelajar SK hanya terdiri daripada 7 orang dan semua lelaki. Aku dengan perasaan sayu, aku masuk ke dalam bilik BKI dengan wajah yang tak ceria.

Aku duduk sambil mengusapkan tangan di muka. Air mata jatuh mengenangkan nasibku yang malang. Bukan kerana takutkan cikgu itu. Tetapi kerana penat melakukan perkara yang seolah sia-sia. Tiada gunanya aku memberi alasan. Alasan sebegitu terlampau “cliche”.

Keazaman ku cukup tinggi untuk tahun ini, dan berkat guru amatlah penting bagi mendapatkan keputusan yang cemerlang.

Cikgu matapelajaran Bahasa Inggeris, Cikgu Husna mengecam tingkah laku aku. Cikgu cuba menanyakan, namun aku tidak menjawab. Kawan aku, Alif, menerangkan kepada cikgu berkaitan peristiwa pagi yang menyakitkan itu. Cikgu cuba untuk meredakan perasaan aku dengan berkata;

“Alah Y, tak apalah tak siap kerja sekolah Add Math tu sekali”

Cikgu Husna menyambung lagi,

“Kerja sekolah Cikgu kalau tak siap tak ada pun sampai nangis macamni”

Aku tak boleh menjawab. Lagi aku menjawab lagi berderai air mata jantan aku ini. Kata-kata Cikgu Husna mungkin sebagai pujukan semata, kerana kerja sekolahnya kebanyakannya aku buat, dan ya aku ada tak terbuat sebab kadang-kadang aku buat cikgu lupa nak semak, dan kadang-kadang cikgu lupa cikgu bagi kerja dan semestinya kadang-kadang cikgu bagi kerja aku lupa. Hahaha.

Dan awal-awal tahun 2019 seingat aku tiada lagi kerja sekolah subjek Bahasa Inggeris yang aku tertinggal. Jikalau tak silap lah.

Cikgu Husna, guru dalam lingkungan 50 tahun, seorang yang penyayang dan paling dekat dengan pelajar. Boleh bergurau dan memahami anak muridnya. Namun disebabkan usia, Cikgu Husna sering terlupa. Cikgu Husna sangat fasih berbahasa Bahasa Inggeris. Mengalahkan guru-guru melayu yang mengajar matapelajaran yang sama dengan beliau. Sering digelar ustazah kerana tudungnya yang labuh. Typical melayu.

Alhamdulillah, aku dapat mengeringkan air mata sebelum pelajar GKT yang terdiri daripada lelaki dan perempuan masuk. Namun masalah belum selesai.

Mata merah ku dikesan oleh seorang rakan GKT yang bernama Zarif. Zarif seorang yang bersahaja dan sangat baik denganku. Dia mencadangkan supaya aku meminjam buku kelas lain, dan meniru rakan sekelas untuk menyiapkan halaman-halaman yang diingini pada waktu rehat. Walaupun caranya agak kotor. Aku mengiyakan sahajalah.

Aku naik ke kelas dengan laju, pergi ke kelas sebelah dan cuba untuk meminjam buku latihan. Seorang rakan India, Dinesh membenarkan aku untuk menggunakan bukunya.

“Eh, bolei bolei, ambil sajaa” kata Dinesh.

Cubaan meniru pun bermula. Masa berlalu begitu pantas di waktu yang genting. Aku meniru di permulaan, dan seterusnya aku melakukannya sendiri. Tak sanggup untuk melakukan perkara itu. Cikgu Eti masuk dengan muka yang serius seperti setiap kali kelas Add Math bermula. Rakan sekelas masih belum masuk sepenuhnya, jadi guru duduk sambil melakukan kerjanya.

Kedudukan meja aku berhadapan dengan meja guru. Posisi yang amat baik untuk meniru. Mata tak sanggup memandang Cikgu Eti. Ada sedikit terpandang, mukanya serius. Aku mula takut. Tetapi aku tidak mahu memburukkan lagi hari yang telah aku tempuhi sehingga kini. Aku meneruskan kerja sehingga siap. Akhirnya, aku siap.

Aku pelik seolah cikgu memahami, tak seperti sebelum ini. Cikgu tidak memarahi. Seolah ada sesuatu yang tidak kena.

Aku menarik nafas lega, kelas Add Math berjalan dengan jayanya. Alhamdulillah.
Bermula dari tragedi itu aku menyimpan hasrat yang dalam supaya TIDAK TINGGAL BUKU LAGI!

Aku ingin berkongsi lebih banyak lagi, tetapi jikalau tiada sesiapa ingin mendengarkan aku tutup disini sahaja.

Maaf atas terlebih dan terkurang, aku hanya pelajar SPM yang ingin berkongsi beberapa pengalaman manis dan pahit sepanjang era aku di sekolah menengah. Terima kasih kerana sudi membaca.

Sekian.

– Y (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *