Ya, Allah Memang Wujud

Assalamualaikum. Sebenarnya ini respond kepada confession bertajuk “Wujudkah Allah” (https://iiumc.com/wujudkah-allah/).

Acik (izinkan saya gunakan kata gantinama ini kerana ia sesuai dengan umur acik) terpanggil untuk memberi maklumbalas kepada confessor Wujudkah Allah atas rasa tanggungjawab terhadap saudara seagama.

Apa yang acik nak ceritakan di sini adalah berdasarkan pengalaman peribadi seorang wanita yang dah menjangkau setengah abad.

Acik memang tidak pernah melalui pengalaman sepertimana confessor yang mula meragui kewujudan Allah, tetapi acik pernah meninggalkan tiang agama untuk tempoh yang lama sebab acik rasa acik tidak dapat apa-apa faedah pun dari ibadah tersebut.

Doa acik tidak dimakbul-kan, rasa khusyuk waktu bersolat langsung tidak dirasai pada waktu itu. Pada usia acik yang masuk ke pertengahan 20an, ibadah solat terus acik tinggalkan.

Acik berpuasa sebab mengikut adat budaya sahaja, bukan sebab suruhan Allah. Betapa sombongnya acik pada masa itu.

Keluarga acik sangat mementingkan hal solat. Sejak kecil lagi, acik dididik dengan ajaran agama. Emak dan bapa acik selalu bertanya “dah solat ke?” pada hampir setiap kali waktu solat fardhu. Acik terpaksa menipu.

Bukan tidak ada rasa bersalah bila meninggalkan solat, tapi perasaan putus asa kerana merasakan “Allah tidak adil, tidak bagi apa yang aku nak” lebih kuat menggenggam perasaan acik.

Jadilah acik manusia Islam pada nama sahaja sebab tidak ada bezanya orang Islam yang tidak mendirikan tiang agamanya dengan orang bukan Islam.

Cuma satu perkara yang buatkan acik yakin acik masih Islam, kepercayaan acik pada Tuhan yang satu tak pernah goyah, mungkin berkat doa ibu bapa yang tentunya susah hati dengan sikap acik.

Acik tak pernah persoalkan kewujudan Allah sebab acik yakin Allah itu ada, Maha Besar dan Maha Melihat, cuma acik rasa Allah tidak adil kepada acik.

Sejak kecil, acik selalu jadi mangsa cabul, sehingga acik rasa benci kepada diri sendiri, tiada keyakinan diri, rasa rendah diri yang teramat sangat, tidak pandai bergaul, sangat pemalu dan sentiasa berfikiran negatif.

Acik benci semua pengalaman pahit yang acik lalui.Acik tidak ada saluran untuk melepaskannya kecuali dengan cara protes terhadap Allah yang memberi semua pengalaman tersebut.

Dulu tidak ada komputer, tidak ada internet, tidak ada IIUM Confession yang membolehkan kita meluahkan perasaan tanpa mendedahkan diri kita. Acik tidak ada kawan baik dan Acik tidak percaya kepada orang lain walaupun ibu bapa Acik sendiri.

Pemikiran ibu bapa dulu lebih tertutup, tidak seperti sekarang. Tentunya Acik akan disalahkan jika acik mengadu. Kita lebih mengenal ibu bapa kita sendiri.. kan?

Lagi pula acik sangat malu jika orang lain tahu kisah hidup Acik yang sering jadi mangsa cabul, terutamanya kerana pencabulnya melibatkan keluarga, walaupun bukan keluarga terdekat.

Protes Acik terhadap Allah berlangsung agak lama dari remaja sehinggalah Acik berkahwin dan mempunyai beberapa orang anak. Bukan tidak ada kesedaran untuk bersolat semula.

Acik cuba bersolat tetapi langsung tidak ingat ayat-ayat yang perlu dibaca dan petasaan untuk beribadah memang tidak ada. Acik sedar acik tidak boleh teruskan dengan protes tersebut kerana ia akan mempengaruhi keluarga Acik.

Walaupun acik tidak bersolat, acik tidak mahu mewariskan sikap ini kepada anak-anak. Acik selalu meminta supaya Allah datangkan mimpi siksaan di neraka supaya Acik takut dan insaf serta kembali bersolat.

Allah tetap tidak makbulkan permintaan Acik tetapi Allah memberikan dugaan dalam bentuk lain sehinggakan Acik terpaksa mendekatkan diri dan berpaut kepada Allah untuk melalui dugaan itu.

Bagi seorang isteri, apabila dimadukan, episod kebahagiaan dan ketenangan hidupnya seolah-olah berakhir. Acik yang tiada tempat untuk mengadu, dalam kesedihan yang teramat berpaling kepada Allah untuk meluahkan perasaan dan memohon yang terbaik untuk kebahagiaan acik dan anak-anak di dunia dan akhirat.

Pada masa ini, Acik bukan sahaja mampu ikhlas bersolat fardu, malah sentiasa berzikir, bersolat taubat, tahajud, hajat dan berpuasa sunat. Acik serahkan seluruh jiwa raga dan hidup Acik pada Allah.

Alhamdulillah, semua ibadah itu memberikan ketenangan jiwa yang bukan sedikit. Ketenangan yang tidak dapat dibeli biar pun satu dunia ini bayarannya. Jiwa yang sentiasa resah, gundah akibat tidak mengingatiNya terus hilang sehingga sekarang.

Apa yang Acik pohon, Allah makbulkan, walaupun Acik bermadu, (sebab ini memang takdir hidup Acik) tetapi terasa macam Acik satu-satunya isteri yang ada. Anak-anak mendapat jagaan dan kasih sayang sepenuhnya dari ayah mereka.

Ya, Allah telah makbulkan doa Acik yang memohon supaya diberikan kebahagiaan di dunia (kebahagiaan di akhirat – tunggu Acik m4ti dulu baru boleh cerita).

Kebahagiaan rumahtangga, kerjaya dan kebahagiaan dalam beragama sedang Acik lalui kini dan harapannya sehingga ke akhir hayat, insyaallah.

Menjawab persoalan confessor Wujudkah Allah? Ya, Allah memang wujud tapi kita yang perlu mencariNya. Mencari Allah bukan dengan kehebatan akal semata-mata tetapi dengan keikhlasan untuk menemui jalan yang benar.

Buka pemikiran kita seluas-luasnya untuk fahamkan kewujudan Allah dan kewujudan kita sebagai manusia yang menjadi hamba Allah dan pada masa yang sama, khalifah Allah di muka bumi ini.

Secara logiknya semua benda ada penciptanya dan pencipta dunia yang indah ini dan seluruh cakerawala adalah satu Zat yang Maha Berkuasa dan Maha Hebat.

Hanya kuasa yang hebat sahaja boleh membentuk langit yang seolah-olah terapung tapi tidak jatuh ke bumi, malam bertukar siang dan sebaliknya.

Kita juga kena faham kenapa Allah yang Maha Agung mencipta manusia dan makhluk yang lain.Kita dihasilkan dari tanah (asal kejadian manusia) semata-mata untuk menyembah Allah dan tidak menyamakanNya dengan makhluk yang lain.

Kita juga kena faham dengan konsep dunia dan akhirat. Dunia ini adalah jambatan untuk ke akhirat.

Kita akan hidup di dunia ini dahulu (untuk tempoh yang Allah tetapkan) barulah boleh pergi ke akhirat setelah bergelar jenazah. Dunia ini adalah tempat dimana manusia diuji bagi mendapatkan kedudukan di akhirat yang kekal selama-lamanya.

Bagi Allah, dunia ini ibarat sebelah sayap nyamuk yang membuktikan ianya tidak ada nilai langsung, sekadar tempat ujian dijalankan.

Sebenarnya akhirat yang kita patut kejar kerana di situlah tempat tinggal kita selama-lamanya setelah kita tinggalkan dunia ini. Sama ada tempat akhir kita terletak di neraka atau di syurga bergantung kepada kehidupan kita di dunia.

Fungsi dunia sebagai tempat menguji manusia, tentulah banyak ujian yang akan kita tempohi sepanjang hidup kita. Waktu kita kat sekolah dulu, setiap semester ada ujian, ada peperiksaan di peringkat sekolah dan di peringkat kebangsaan (seperti UPSR, SPM).

Samalah konsep ujian dan peperiksaan di sekolah dengan ujian Allah ke atas manusia di dunia. Ada ujian kecil yang Allah berikan di dunia seperti jari luka (ujian bulanan di sekolah) dan ada ujian besar seperti lumpuh satu badan (sama besar macam SPM di sekolah dari segi analoginya).

Cara kita menangani ujian itulah yang akan menentukan tempat kita di akhirat nanti.

Sekiranya kita redha dan bersabar serta terus beriman kepada Allah, insyaallah syurgalah tempat kita. Sekiranya kita marah dan bermusuh dengan Allah ( macam yang Acik buat tu) kemungkinan nerakalah tempat kita.

Alhamdulillah Allah bagi Acik kesedaran untuk redha dan kembali kepadaNya sebelum Acik meninggal dunia, kalau tidak dah tentu tempat Acik, sebagai orang yang memusuhi Allah hingga ke akhir hayatnya adalah di neraka)

Ada juga yang keliru, kenapa hanya orang Islam yang baik sahaja masuk syurga, tapi orang bukan Islam yang baik tetap masuk neraka.

Sebenarnya begini, bagi Allah, percaya dan yakin dengan keesaanNya itu satu kriteria yang maha penting untuk memasuki syurgaNya (sehinggakan apabila orang bukan Islam hendak memeluk agama Islam, mereka harus mengucapkan kalimah Syahadah yang bermaksud,

“Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah- membuktikan kepentingan kriteria tersebut)

Jadi kalau manusia yang tidak beriman kepada Allah, ini bermaksud, ia tidak memenuhi syarat untuk masuk ke syurga Allah (Syurga itu Allah yang punya, jadi Dia boleh tetapkan kriteria apa sahaja untuk memasukinya..

kriteria yang diberikan tu sangat mudah, percaya dan yakin dengan kewujudan dan keesaanNya semata-mata).

Untuk mudahkan pemahaman, kita boleh ibaratkan hal ini dengan pelajar yang dapat tawaran ke universiti (Acik gelarkan dia Boboi)dengan pelajar yang tidak dapat tawaran tersebut tapi berminat belajar di universiti (kita namakan dia Gegirl).

Si Boboi dah daftar di universiti dan berjaya tamatkan pengajian.Si Gegirl pula walaupun tidak dapat tawaran tetap pergi ke kuliah sepertimana Boboi kerana tidak mahu berpisah dengan Boboi, jantung hatinya. Dia dapat juga tamatkan pengajian seperti Boboi.

Pada pendapat anda, adakah si Gegirl ni tadi layak menerima ijazah seperti Boboi?

Boboi sudah semestinya layak sebab dia sudah memenuhi kriteria yang diperlukan universiti untuk dapat ijazah – mendaftar di universiti dan patuhi peaturannya, ikuti pengajian sepanjang tempoh 4 tahun, bayar yuran dsb.

Gegirl pula, adakah dia memenuhi kriteria tersebut? Yang dipenuhi hanyalah ikuti pengajian selama tempoh 4 tahun (itu pun secara haram), tidak mendaftar sebagai pelajar U dan tidak terikat dengan peraturannya.

Jadi Gegirl memang tak layak mendapat ijazah, sama seperti orang bukan Islam yang tidak mendaftarkan diri sebagai hamba Allah yang beriman kepadaNya, tentulah tidak boleh memasuki syurga Allah.

Ada juga persoalan mengapa Allah turunkan bala contohnya virus, tsunami kepada semua manusia termasuk yang beriman.

Ini ada hubung kait dengan ujian ke atas manusia di dunia sepertimana yang dibincangkan tadi. Juga sebagai pengajaran dan ingatan kepada kita akan kemurkaan Allah atas segala sikap dan kehidupan di dunia yang bertentangan dengan hukum Islam.

Allah, sebagai Zat yang Maha Adil menghantar ramai Nabi kepada manusia dari awal kejadian manusia sebagai ingatan untuk menyembahNya dan meninggalkan amalan yang bertentangan dengan hukum Allah. Rasanya manusia pada tiap zaman menerima utusan Allah tersebut.

Untuk kita Nabi Muhammad s.a.w. diutuskan kepada umat pada zaman baginda hinggalah kepada umat di akhir zaman. Tentulah penyebaran tentang agama Allah ini berlaku di seluruh dunia.

Pembentukan empayar Islam terakhir, kerajaan Uthmaniyyah yang merangkumi timur dan barat serta utara dan selatan membuktikan penyebaran Islsm memang berlaku.

Di dunia moden ini, tipulah sekiranya ada orang yang masih mendakwa tidak dapat perkhabaran tentang Islam kerana internet mampu melangkaui negara dalam menyebarkan maklumat. Hanya bergantung kepada usaha untuk mencari atau tidak sahaja.

Sekiranya Allah menurunkan bala sebagai hukuman atau peringatan, itu adalah hak Allah sebagai pemerintah kerajaan langit dan bumi.

Apa yang dilaksanakan mungkin buruk bagi pandangan kita tetapi Allah yang Maha Mengetahui lebih tahu apa yang lebih baik untuk kita, hambaNya.

Yang penting, apa sahaja yang berlaku dalam kehidupan kita sebagai individu dan masyarakat, terimalah dengan positif dan penuh keredhaan.

Allah telah menjanjikan dalam surah Al Insyirah, setiap kesusahan akan diiring dengan kemudahan. Ambil pengalaman Acik sebagai pengajaran.

Jangan bersangka buruk dengan Allah. Allah menguji hambaNya sebab dia sayang kepada kita. Selagi tidak diuji, kita tidak tahu kekuatan dan kelemahan kita, sikap kita yang mana patut dibuang dan yang mana patut dikekalkan atau dipulihkan.

Semoga penulisan Acik yang ala kadar ini dapat memberi kesedaran dan panduan kepada mereka yang masih bergelumang dengan persoalan tentang kewujudan Allah.

– Acik Kim (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *