Ya Rabb, Aku Sakit

Aku Aisyah. Pengakhiran 20-an. Ya, aku sakit. Tahun lepas, segalanya biasa dan aku bersyukur untuk setiap nafasku..

Tahun ini, 2019. Aku diduga dengan kematian ibuku secara tiba-tiba. Dialah ibu, dialah sahabat baik. Dengan dia, aku bercerita semua benda. Hampir semua benda. Dia ada untuk semua benda aku lakukan. Tahun ini, lengkaplah aku bergelar anak yatim piatu. Ayahku meninggal semasa aku berusia 13 tahun.

Syurga aku pergi. Hancur berkecai hatiku. Beberapa bulan aku merintih, sukar menerima takdir. Hampir setiap hari aku menangis dan melawat kubur ibuku. Setiap hari juga aku tanyakan soalan sama di pusaranya, “kenapa tinggalkan orang?”

Sebelum ini aku pernah beritahu dia, acap kali. “Walau apapun berlaku jangan tinggal orang.” “Orang tak boleh hilang mak.” Dia berjanji untuk setiap kali aku sebutkan ayat tu. Aku tak bersedia. Sekurang-kurangnya tinggalkan aku apabila aku ada teman (suami) yang boleh menjagaku sepertinya. Ya Rabb, besar sungguh dugaanMu.

Aku tak boleh bekerja. Aku memberontak, aku salahkan takdir. Aku asyik ambil cuti. Dan pengarah tukarkanku ke daerah lain.

Ya rabb, mana nilai kesungguhan ku kekalkan prestasi kerjaku bertahun-tahun. Aku korbankan masa dan tenaga untuk kerja. Aku pernah letakkan kerja adalah hidup aku. Aku bersungguh-sungguh bekerja. Aku bukan sengaja, aku tengah bersedih. Tak sampai sebulan ibuku meninggal. Tiada ehsan kah?

Aku jauh hati dengan semua benda. Aku rasa aku tak diperlukan, aku ambil cuti yang lama. Balik kampung untuk merubat hati.

Adik-beradikku semua sudah berkahwin. Kalau jadi apapun, aku bukan keutamaan mereka. Mereka masing-masing ada keluarga, ada anak-anak yang sedang membesar. Sunyi hidupku Ya Rabb.

Aku cuba tabah. Aku perlahan-lahan cuba redha. Ajar diri agar ketentuan Allah adalah yang terbaik.

Kesedihan kehilangan ibu, masalah kerja, aku kongsi dengan bakal suami dari syurgaku. Semua benda aku beritahu dia. Aku sangat sayangkan dia. Aku sayang dia selepas ibuku. Aku sayang dia lebih dari diriku sendiri.

Ya Rabb.

Setelah ibuku meninggal, aku mohon padanya segera halalkanku. Aku tak minta lebih, aku hanya perlukan kekuatan dan tempat berpaut. Dia suruh aku bersabar….

Aku selalu menangis. Aku rasa aku hanya ada dia sahaja. Aku berterus terang dengannya. Dia kekuatan aku. Dia keutamaan aku. Aku sanggup buat apa sahaja untuknya.

Ya, aku terlalu sayangkannya. Mungkin silap aku juga. Kalau kawan heartbroken, aku pandai memberi nasihat, sayang diri sendiri dulu sis. Hati setiap insan itu milik Allah. Ya Rabb, qolbu aku pula yang tidak kuat.

Aku beri semua padanya. Aku beli semua benda kepadanya. Yang aku sendiri tak pernah miliki. Aku fikirkan dirinya dahulu berbanding diriku. Aku sanggup bersusah payah semua benda untuknya.

Aku ubah segalanya. Dia mengongkong untuk segalanya. Aku hampir hilang semua kawan lelakiku. Aku tidak bebas bergerak.

Kenapa aku begitu beriya mengikut rentaknya? Sebab hari pertama kami berkawan, aku niat untuk berkahwin. Aku pernah rasa sakit cinta pertama yang tak kesampaian. Jadi selepas itu, aku tolak semua lelaki yang hadir. Bagi aku, tidak berkahwin pun tak ada masalah. Aku jadi wanita berdikari untuk semua benda.

Dulu, aku tak pernah berminat dengannya. Dia bukan _taste_ aku. Langsung tak berminat untuk kenal. Tapi dia kejar aku, sangat hebat dia mengejarku. Aku tak pernah jumpa lelaki sesungguh dia. Kisah padaku untuk semua benda. Terlalu menjagaku, terlalu sayang padaku.

Lama-kelamaan, aku ajar diriku untuk cintakan dia. Aku berjumpa dan jelaskan segalanya, aku betul-betul kosongkan hati aku beberapa tahun ni untuk bakal suami aku. Aku tak berminat untuk sekadar berkawan. Umur aku dah tak sesuai untuk sekadar mengisi kekosongan hati.

Kalau dia berniat nak serius, dan ada niat untuk halalkan aku. Aku akan cuba untuk mencintainya. Sungguh bukan senang untuk ajar diri menyayangi orang yang tidak pernah kita suka. Ya rabb, dimana lagi silapku..

Dia hadir. Bukan aku doa, bukan aku minta, bukan aku inginkan. Aku fikir Allah betul-betul hadirkan dia untuk aku. Selepas mak aku meninggal, aku ingat Allah ambil mak aku dan gantikan dengan dia. Ya Rabb, sakitnya.

Dia, curang terhadap aku.

Sayang dia bukan untuk aku sorang.

Banyak kali Allah tunjukkan alamat dan bukti. Banyak kali aku rasa tak sedap hati. Tapi aku menangkis segalanya.

Dia lelaki yang baik. Banyak kebaikan dia terhadap aku. Mungkin dia lemah dari segi hati. Aku lupa Allah SWT memiliki setiap hati manusia. Aku bukan dahulukan dia dari Tuhan. Aku memohon dari Allah pada setiap sujud terakhir aku. Moga dia adalah jodohku…

Mungkin juga aku tidak ikhlas. Ya betul, aku masih belajar untuk terima keluarganya. Tapi aku tetap memberi layanan yang sangat baik. Aku banyak juga membantu dalam urusan keluarganya.

Mungkin banyak juga silapku dalam hubungan ini. Aku banyak mendesak dan tidak sabar.

Aku cuba mudahkan segalanya. Kalau tak mampu untuk urusan bertunang. Biar aku tanggung segalanya.

Untuk majlis pernikahan, kita kongsi sama banyak. Kalau tak mampu beli cincin, tak apa guna cincin aku sedia ada. Dia hanya sarungkan kembali ke jari aku. Kalau tak mampu juga buat majlis, tak apa kita buat kat masjid. Awal-awal tak mampu bagi nafkah, tak apa perlahan-lahan. Allah lebih tahu niat kita.

Adakah aku sekadar ingin memudahkan sebuah perkahwinan atau aku dikira aku sedang mengambil kerja Tuhan?

Banyak kebaikan yang ada pada dirinya. Tapi hati dia, hanya dia dan Allah sahaja yang mengetahui. Ya aku boleh berbicara. Tapi hati aku berkecai lagi. Sakit sangat. Terlampau hancur.

Aku panggil dia dengan gelaran bakal suami dari syurga. Dia banyak kali berjanji tahun depan kita berkahwin. Tahun depan dah terlalu dekat. Tapi saat ini aku kalah dalam percaturan.

Kalau dia tidak memberi harapan untuk ke syurga bersama. Sungguh aku tidak segila ini menyintainya.

Aku seakan tidak tahu ke mana harusku melangkah, apa yang aku perlu buat..

Aku hilang Ibuku dan kini aku hilang dia. Aku sekarang sekadar berjalan bersendirian. Ya Rabb, aku sakit.

Kalian, mohon doakan juga bahagian yang baik-baik buatku di dunia ini. Aamiin.

– Aisyah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *