Yang Bujang Dan Sesuatu

Assalamualaikum dan salam sejahtera pada semua. Harap-harap cerita ni dapat disiarkan.

Coretan ini berkisarkan tentang diri aku. Sebelum tu aku kenalkan diri sebagai Idz saja. Apa yang aku nak coretkan ini sekadar luahan perasaan dan teguran untuk diri sendiri dan semua yang membaca.

Aku seorang jejaka yang berusia lewat 30-an dan masih bujang. Mempunyai pekerjaan, tidak merokok, suka memasak dan mengemas dan kehidupan yang agak sederhana.

Bujang? Kenapa masih bujang? Ya sebab aku takde perasaan terhadap kaum hawa. Lebih mudah aku seorang gay atau sukakan kepada kaum sejenis.

Sebenarnya perasaan sukakan kaum sejenis ni sejak aku dari bangku sekolah rendah. Akan tetapi pembaca jangan salah anggap yang aku ni dah tersasar jauh.

Alhamdulillah aku belum lagi mencapai tahap sampai buat seks luar tabii, ada pasangan dan sebagainya yang bertentangan dengan ajaran Islam. Doakan aku terus kuat melawan nafsu ini.

Apa yang aku nak luahkan kat sini adalah berkenaan orang sekeliling. Sudah tentu keluarga aku dan masyarakat setempat tak tahu aku jenis macam ni. Cuma dikalangan kawan-kawan rapat je yang tahu.

Apa yang aku perhatikan adalah kalangan-kalangan orang sekeliling aku terutamanya kaum hawa GEMAR menjadi AGEN PENCARI JODOH kepada lelaki yang bujang di tempat kerja mahupun jiran tetangga tambah-tambah kalau adik beradik.

Pertama sekali, kakak-kakak makcik-makcik tolong ye kalau sekali korang cakap nak KENANkan sesorang wanita kepada lelaki-lelaki yang masih bujang takde masalah.

Akan tetapi kalau sampai asyik berulang kali masih bercakap benda yang sama membuatkan kami rimas. Takkan kami nak cakap yang kami ni suka lelaki.

Bayangkan betapa struggle kami menepis dan mengelakkan isu-isu ini berlegar di sekeliling kami. Sampai paksa-paksa suruh keluar bagai tu macam tak kena. Ada sampai kami terpaksa menipu cakap dah tunang, dah jadi duda, bini kat kampong dan sebagainya.

Mesti pembaca berkata kahwin je la. Orang tu nak menyelamatkan kau dari terus terpesong. Cuba korang berada di situasi kami yang mempunyai nafsu seperti ini. Begitu tertekannya dan sakitnya mental dan emosi untuk melawannya.

Ok kat sini mari sini aku ceritakan. Aku tak minta dijadikan seperti ini ya. Mempunyai perasaan songsang sejak zaman kanak-kanak. Korang tak akan pernah faham betapa terseksanya jiwa raga aku nak menahan nafsu supaya tidak terbabas.

Masyarakat sekeliling fikir kahwin akan menyebabkan kau tidak terfikirkan gejala-gejala songsang. Adakah anda pasti??? Cuba tengok sekarang banyak berlaku lelaki yang dah ada isteri tapi makan luar dengan kekasih gelap? Ada yang sampai bercerai-berai sebab suami g*y?

Bagi aku biar aku menjadi bujang daripada aku menyeksa bakal isteri aku kalau aku tak sentuh dia. Aku berdosa kalau aku buat macam tu. Mudah bagi mata masyarakat akan tetapi menjadi kepayahan kepada orang yang menghadapi.

Ada yang siap suggest kat aku kau cari isteri lesbian so sama-sama tak payah pening. Apa punya nasihat tu. Sanggup kau buat camtu. Berdosa weh. Sebab tu kalau anda semua jumpa orang seperti kami ni jangan mudah jatuh hukum.

Ayat yang paling selalu jumpa “Neraka la tempat kau”. Siapa kita nak menentukan syurga neraka seseorang itu.

Apapun terima kasih kerana mendengar keluhan aku. Doakan aku semoga dapat melawan nafsu songsang ini.

Yang Bujang dan Sesuatu

– En Idz (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *