Yang Masih Ada Ibubapa

Salam Aidilfitri buat para pembaca. Ada sesuatu yang saya nak luahkan. Terasa lekat dikerongkong selagi tak lepaskan! Sekadar renungan sketsa raya.

Kenapa ya susah sangat family lain nak atur adik beradik untuk stay dengan mak ayah? Kenapa anak sulong @ anak lelaki tak boleh nak head your family untuk jaga mak ayah yang walau masih gagah, tapi itukan mak ayah kita??

Alhamdulillah family saya, semua boleh berkorban untuk masih bersama dengan ibu. Walau kami kehilangan ayah waktu masih muda, baru nak kenal dunia yang kejam, tapi kami cuba untuk takkan tinggal ibu sendirian.

Saya sendiri berkorban tak tamatkan pelajaran di peringkat universiti untuk teman ibu.

Walaupun ibu bekerja, tapi kami sangat memahami sunyinya hidup tanpa teman hidup. Tak terpalit sekelumit rasa menyesal, kerana ilmu boleh dipelajari pelbagai kaedah.

Cuma abang (suami) yang agak kecewa. Sampai sekarang masih mengungkit. Tidak mengapalah abang, tanpa segulung ijazah pun, saya mampu cari makan untuk kita.

Berbalik kepada isunya, setelah adik adik tamat persekolahan, baru saya mengorak langkah dengan berkahwin, dan ikut suami ke tempat kerja beliau.

Adik adik juga turut minta saya uruskan tempat belajar ke peringkat tinggi sekitar di negeri rumah ibu. Adik lelaki pula sekarang bekerja di luar negara.

Dia juga berjanji dengan adik bongsu kami, kalau dah tiba waktu mendirikan rumah tangga, abang pula yang akan bersama ibu.

Ibu kami sangat bahagia dengan arwah ayah semasa arwah hidup. Arwah juga sangat mengambil berat dengan keperluan ibu. Tidak juga berpesan kepada kami supaya jaga ibu dan sebagainya.

Tapi ayah selalu sebut pada ibu, ibu boleh bersandar kepada kami jika beliau tiada di dunia nanti. Namun kerana mengenangkan penat lelah ibu ayah, kami ambil inisiatif sendiri untuk tidak tinggalkan ibu sendirian.

Begitu lah kami sekeluarga. Ya, saya tinggal jauh di timur tanah air bersama suami. Namun adakala kalau adik bongsu nak ke mana-mana saya akan pulang sendirian ke rumah ibu.

Saya tidak beritahu ibu bahawa saya pulang untuk teman ibu, tapi hanya urusan kerja. Kami sangat menjaga perasaan ibu.

Yelah, ibu pun ada egois sendiri. Taknak rasa bergantung dengan anak-anak. Tapi caring kami takkan tunjuk. Itu lah yang menguatkan lagi hubungan kami sekeluarga.

Jika kami terpaksa jua tinggal ibu, kami pesan kepada jiran-jiran minta tengokkan ibu jika berkelapangan. Tapi jarang sangatlah!

Berbeza dengan keluarga mertua. Saya tahu mertua juga harapkan anak-anak perlakukan sedemikian kepada mereka. Namun, kerana komitmen masing-masing agak sukar untuk berbuat sedemikian.

Mak mertua seorang yang sangat sensitif. Mulut kata lain hati kata lain. Anak-anak terlajak kata dan bergurau, terus lain jadinya.

Anak-anak mereka langsung tak boleh bersembang seperti kawan ada saja yang tidak kena di pendengaran mereka.

Saya sendiri cuba nasihatkan abang (suami) untuk cuba cara keluarga saya, tapi abang hanya diam. Kuasa mengarah dalam keluarganya bukan terletak di tangannya kerana bapak masih ada.

Entah lah, bila tiba apa-apa perayaan, pasti pertengkaran akan berlaku antara keluarga mertua. Abang ipar tinggal senegeri dengan keluarganya, namun hanya tinggal di rumah sendiri.

Mertua sunyi bila hari raya tambahan pula musim covid sejak tahun lepas. Berbagai juadah raya beliau sedia seperti lazimnya mengharapkan keluarga ipar datang bersama anak-anak.

Tapi kalau datangnya malam selepas beraya tu, agaknya lauk pun dah boleh simpan dalam peti ais.

Tiap kali perayaan ada saja permasalahan. Maaf saya katakan, tak boleh ke mereka berkorban sedikit untuk mak ayah mereka?

Adik tak boleh pulang ke kampung halaman, kenapa abang tak ambil alih dulu gembirakan hati mak ayah? Bukan ada orang pun datang beraya rumah mereka pun. Tahun-tahun sebelum ni pun begitu juga.

Mak mertua sangat tak sehaluan dengan bapak mertua. Kalau dah anak-anak tak ada, cerianya terus pudar.

Berbeza ibu bapa lain, walau anak tak ada di sisi, tapi teman hidup masih ada sudah cukup meriah suasana. Kebiasaannya bapak cool saja. Anak call tanya khabar sudah cukup baginya.

Namun mak pula lain keletahnya. Anak call, lagi merajuk pula. Siap pakej marah-marah pula tu.

Abang pula tak pernah call ibu saya tanya khabar, tapi bila tiba maknya, saya pula paksa abang call tanya khabar. Di mana silap pun tak pasti. Sedangkan mak sangat menjaga anak-anaknya sejak kecil.

Ditatang bagai minyak yang penuh hingga melimpah ruah! Mungkin mak tak sangka, setelah apa yang dia berikan, anak-anak pun dah ada kehidupan sendiri, begini anak-anaknya balas.

Yelah, kita ni pun menantu, nak tegur lebih-lebih ada yang terus tak beraya nanti.

Allah, jika ibu bapa masih ada tapi dah tak tahu nak bahagikan tugas masing-masing, lagi parah bila salah seorang dah tak ada. Mungkin mereka belum rasa kehilangan. Itu pasal mereka buat tak nampak saja.

Hidup ni jangan hanya terus mengejar ke hadapan, kadang-kadang kena toleh ke belakang, tengok siapa tertinggal.

Memang kita tak boleh nak menakluk segalanya, tapi kita boleh pilih mana yang perlu diutamakan. Jangan bila hilang tangan yang sentiasa menadah doa untuk kita, baru nak menyesal tak sudah.

– Perantau (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *