Assalamulaikum semua. Kalau admin post kan confession ini, aku ucapkan terima kasih daun keladi. Apa yang aku nak sampaikan mungkin cerita yang hampir sama seperti orang lain bahkan mungkin juga orang lain ditimpa nasib yang lebih malang berbanding aku sekarang ini.
Aku bercinta dengan Fariz (bukan nama sebenar) selama hampir setahun lama nya. Berjumpa di syarikat dia bekerja kerana tuntutan kerja aku yang memerlukan aku berurusan dengan dia.
Pada mulanya aku tak berminat untuk berkenalan dengan lebih lanjut memandangkan aku juga telah mengalami patah hati yang teruk sekitar 2017, bercinta hampir 2 tahun dengan salah seorang rakan sekolah aku dulu dan putus angkara tiada perasaan terhadap aku lagi. Sejak dari tu aku tersangatlah fobia dan aku sangat menjaga diri aku dari mudah jatuh cinta terhadap lelaki.
Namun begitu, semenjak Fariz hadir dalam hidup aku, aku merasakan yang dia menepati ciri-ciri yang aku inginkan. Masakan tidak, bicaranya lembut dan sangat mengambil berat terhadap aku membuatkan aku jatuh cinta lagi sekali.
Dan semenjak itu aku dan Fariz menjalinkan hubungan cinta. Segalanya begitu indah di awal perkenalan walaupun aku sedikit jual mahal kerana perasaan takut tu masih ada kan.
Selepas beberapa bulan perasaan aku mekar buat Fariz, maka 1 hari terbongkar satu rahsia yang menyentap hati dan perasaan aku sebagai perempuan. Rupanya perasaan Fariz telah berkurang kepada aku tanpa aku sedari. Semuanya berpunca daripada aku juga.
Aku terlalu sensitif dan mudah merajuk dengan perkara sekecil-kecilnya seperti batal untuk makan sama-sama ataupun berjalan untuk mencari barang bersama kerana urusan keluarga.
Pada masa itu juga, aku menghilangkan diri selama seminggu dan hubungan kami masih boleh diselamatkan kerana Fariz akui dia tidak boleh hidup tanpa aku dan begitu juga perasaan aku pada dia.
Berbulan berlalu dari kejadian itu, aku telah menjemput Fariz dan sekeluarga datang ke rumah aku memandangkan itu hari raya aidilfitri dan seminggu selepas itu keluarganya menjemput aku dan keluarga aku untuk datang ke rumahnya.
Ibu bapa kami juga telah berkenalan dan juga telah membincangkan sedikit ke mana hala tuju perhubungan kami dan menyerahkan hal lain kepada kami. Aku menaruh harapan yang besar untuk hidup bersama dan aku semakin merasakan aku sudah hampir ke gerbang perkahwinan apabila Fariz telah mengajak aku untuk mengikuti kursus kahwin bersama-sama.
Tetapi, lumrah alam setiap perhubungan tu ada pasang dan surutnya dan aku mengakui aku sentiasa mengulangi kesilapan yang sama sehingga akhirnya buat kali ke-2 Fariz telah tawar hati nya kepada aku.
Aku terlupa bahawa Fariz juga seorang lelaki biasa yang ada perasaan. Aku terlalu menurut kata hati apabila sering merajuk untuk benda yang tak sepatutnya, cemburu buta apabila Fariz mempunyai rakan perempuan yang ramai dan Fariz juga merasakan aku mengonkong kehidupannya selama ini.
Kini, aku merasakan impian aku sudah musnah untuk hidup bersama kerana Fariz enggan untuk meneruskan perhubungan ini. Rasa sakit dan pedih tu terasa dan juga menyentap seluruh hati dan perasaan aku kerana aku perlu melalui fasa patah hati sekali lagi.
Sedih juga bila teringat aku pernah bersuara untuk menetapkan tarikh pertunangan dan merancang untuk berkahwin tetapi Fariz seperti acuh tidak acuh sahaja dengan cadangan aku.
Sebelum berpisah, Fariz juga telah menunjukkan kelainan layanan nya pada aku. Yelah, orang dah tak ada perasaanya lain bezanya berbanding orang yang memang nak hidup dengan kita. Fariz juga mengakui hatinya tiada lagi pada aku seperti mula kami berkenalan.
Mulanya aku masih memujuk untuk kembali seperti dulu namun Fariz telah menolak dan mohon untuk diberikan masa kepada dia. Akhirnya aku mengalah dan terpaksa melepaskan Fariz walaupun aku rasa dialah yang terbaik untuk aku. Namun aku masih berdoa agar hatinya lembut dan kembali kepada aku.
Pengharapan aku yang terakhir hanyalah Dia. Cuma pesanan aku, layanlah pasangan kau sebaik-baiknya kerana yang terbaik mungkin hanya sekali datang dalam hidup kau.
– Bunga Lara (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit