Yang Tidak Layak Bahagia

“People write because no one listens”

Assalamualaikum semua. Namaku Asyfa. Ramai orang panggil aku Asy (bukan nama sebenar). Disini aku ingin bercerita mengenai masalah yang aku tak tahu nak luah dengan siapa.

Aku anak pertama dari tiga adik beradik dan kini aku menyambung pelajaran ke universiti. Adik saya pula masih bersekolah di sekolah menengah.

Aku datang dari keluarga yang sederhana. Ada kalanya turut merasai hidup umpama makan pagi kais pagi, makan petang kais petang.

Hidup kami boleh dikatakan hanya sekadar cukup-cukup makan.

Walaupun aku tidak mempunyai adik yang ramai tetapi memandangkan ayahku sudah tua dan tidak bekerja, kami sekeluarga hanya bergantung harap dengan duit pencen dan juga duit ptptn yang aku perolehi setiap semester.

Aku ingatkan bila aku ada duit ptptn aku boleh membuat sedikit simpanan sebelum dipanggil pulang ke universiti untuk menjalani pembelajaran secara bersemuka. Tetapi ternyata aku silap.

Ayahku pada mulanya meminta wang dariku katanya untuk membeli barang keperluan dapur.

Sebagai seorang anak, sudah pasti aku tidak akan kedekut dengan orang tuaku sendiri.

Pada mulanya, aku memberi beberapa jumlah wang sepertimana yang diminta olehnya tetapi setelah ayahku pulang dari pasar, aku lihat anggaran harga barang-barang keperluan itu tidak sama seperti nilai wang yang aku beri padanya.

Aku husnudzon barangkali ayahku menggunakan baki wang yang selebihnya untuk membeli minyak motor, satu-satunya kenderaan yang kami ada.

Selang beberapa hari kemudian, ayahku meminta wang sekali lagi. Kali ini nilainya lebih dari nilai wang yang diminta beberapa hari sebelum ini.

Seperti biasa, aku memberi tanpa banyak soal. Aku berbuat sedemikian kerana tidak patut sebagai seorang anak aku berkira padanya setelah apa yang dia lakukan untuk aku dan adik-adikku terutamanya membesarkan kami sehingga saat ini.

Bukan itu sahaja, ibuku turut meminta wangku. Katanya nanti dia akan ganti wangku. Wang yang dipinjam olehnya digunakan untuk membeli pakaian, beg, kasut dan barang-barang yang lain.

Begitulah yang terjadi pada hari, minggu dan bulan yang seterusnya. Sehingga saat ini, baru aku tahu duit yang diminta oleh ayahku digunakan untuk berjudi.

Aku terkejut sangat dan pada waktu yang sama aku turut kecewa. Aku ingatkan ayahku sudah berhenti melakukan perbuatan terkutuk itu.

Buat pengetahuan semua, ayahku seorang mualaf. Walaupun sudah memeluk Islam tetapi ayahku tidak menjalankan kehidupan sepenuhnya sebagai seorang Muslim yang sepatutnya.

Agaknya inilah bahana memeluk Islam disebabkan oleh perkahwinan, bukan kerana faham apa itu Islam secara mendalam.

Keluargaku tidak “religious” bahkan aku sendiri belajar memahami Islam ketika berada di sekolah,melalui bacaan buku-buku agama dan berkawan rapat dengan pelajar-pelajar maahad tahfiz.

Dari sinilah aku aktif terlibat dalam aktiviti ceramah agama dan persatuan pemuda pemudi Islam di tempatku.

Perbuatan ayahku ini buatkan aku teringat kembali ketika beliau masih sihat dan cerdas. Dahulu, ayahku sangat kedekut terhadap ibuku.

Acapkali ibuku meminta wang untuk membeli barang dapur atau ingin jalan-jalan ke bandar pasti ayahku akan marah sehingga mereka bergaduh besar.

Kadangkala aku lihat ibuku tidak ubah seperti mengemis meminta wang daripada suami sendiri.

Ibuku juga pernah meminta izin ayahku supaya membenarkan dia pergi bekerja tapi ayahku tidak benarkan. Rasanya semua sudah maklum, orang wanita ini sukakan kecantikan, perhiasan dan kecantikan.

Kadangkala ibu meluah dia cemburu melihat adik-beradiknya yang lain mempunyai suami yang baik hati, tidak kedekut dan sentiasa membelikan apa sahaja untuk mereka. Berbeza dengan nasib ibuku.

Aku teringat dahulu, setelah lama bergaduh barulah ayahku memberi wang tetapi dalam keadaan marah dan membebel malah turut melempar duit tersebut terhadap ibuku dan berkata “Jangan sampai aku tidak halalkan semua ini”.

Walaupun beliau tidak melempar duit itu dengan bersungguh-sungguh tetapi ianya tetap membuatkan aku sakit hati. Apatah lagi ibuku sudah pasti dia amat kecewa dengan sikap ayahku.

Yang ajaibnya bila dengan sepupu atau dengan rakan-rakannya, tutur katanya berubah lembut dan nampak peramah sahaja manakala dengan kami seringkali beliau menaikkan suara.

Aku dan adik-adikku berasa kesian dan sedih melihat nasib ibuku sedangkan sewaktu ayahku mengalami kemalangan disebabkan oleh mabuk ketika memandu dan patah tulang kaki dan tangan sehingga terpaksa menggunakan kerusi roda,

Ibuku tetap setia menjaga beliau tanpa mengharap apa-apa balasan kerana dia sedar itulah tugas seorang isteri.

Tidak pernah aku dengar ibuku mengeluh.

Malah, sewaktu aku berusia sepuluh tahun, ayahku juga pernah disihir orang sehingga kakinya luka bernanah dan membuatkan beliau tidak dapat berjalan dan seperti biasa ibuku juga yang membersihkan nanah dan membantu beliau membersihkan diri dalam kamar mandi.

Sebagai seorang anak, aku merasakan aku ini anak yang menyusahkan kerana aku masih tidak mampu senangkan hati orang tuaku dengan memenuhi kehendak mereka.

Andai sahaja aku anak yang tidak kenang budi, sudah pasti aku akan derhaka dan melawan kata-kata ayahku. Tapi aku tidak mampu. Untuk berkata “tidak” sahaja pun aku rasa sukar.

Ayah selalu mengatur kehidupan kami dari kecil sehingga kini. Ayah tidak pernah bertanya sama ada kami suka atau tidak terhadap segala apa yang dia aturkan.

Hingga kini, aku banyak memendam perasaan dan terasa hati kerana kebanyakan aturan beliau jauh lari dari cita-cita dan impianku.

Perasaanku bercampur baur. Sudah dua kali aku berniat untuk membunuh diri kerana tidak tahan dengan tekanan di rumah, masalah kewangan dan masalah orang tuaku.

Yang peliknya setiap kali aku ingin membunuh diri, ada sahaja orang yang selamatkan aku. Entah kenapa aku masih dipanjangkan umur sedangkan aku saat ini merasa tiada apa-apa kepentingan untuk aku teruskan hidup.

Hidupku jauh dari erti “bahagia”. Untuk merasa bahagia saja aku merasa tidak layak.

Semua orang mesti tahu isu yang hangat di media sosial iaitu isu “scammer”.

Bulan-bulan lalu, aku juga mengalami nasib yang sama, duit dalam akaun bank aku hilang sebanyak RM700 sedangkan duit itu aku simpan untuk keperluanku di universiti nanti seperti membayar sewa rumah, makanan dan duit naik kenderaan awam ke uni.

Aku sudah laporkan kepada pihak polis dan bank beserta dengan bukti tetapi hingga saat ini tiada apa-apa khabar berita.

Aku juga berusaha mencari kerja untuk mengumpul duit sebelum kembali ke uni bulan sepuluh ini tapi aku langsung tidak bernasib baik. Satu pekerjaan pun tidak dapat sehingga kini.

Aku juga memohon bantuan dari pihak kerajaan negeri tetapi katanya aku tidak layak.

Dan sekali lagi aku pelik, rakanku yang berasal dari keluarga M40 pula dapat bantuan dari kerajaan negeri sedangkan dia berasal dari keluarga yang mampu.

Adakah disebabkan keluarganya aktif dalam kegiatan politik ? Dunia memang tidak adil. Hak yang benar-benar memerlukan diketepikan, yang miskin bertambah miskin dan si kaya bertambah kaya.

Aku buntu. Aku ingin berhenti belajar tapi pada waktu yang sama aku tahu tinggi harapan ibuku yang ingin aku mempunyai segulung ijazah.

Disebabkan semua masalah ini, prestasi pelajaranku semakin tidak memberangsangkan malah pointerku semakin menurun.

Akalku berbelah bahagi antara perasaanku atau harapan ibuku. Aku rasakan aku hidup bukan untuk diriku tapi untuk orang tua sendiri.

Perasaanku? Siapa yang ambil peduli? Jawapannya tiada. Kalaulah semua masalah dapat diselesaikan dengan hanya hilang dari dunia ini.

Kalaulah semudah itu.

Aku juga lupa bila kali terakhir aku senyum dengan ikhlas. Kerana hidupku semuanya terasa tawar dan hambar. Ingin keluar bersama rakan juga tidak dibenarkan. Hidupku terkongkong dalam penjara dunia.

Dan disebabkan mataku menjadi saksi hubungan ayah dan ibuku yang tidak harmonis ini, aku trauma untuk percayakan orang, trauma untuk percayakan janji-janji sebab ayahku juga banyak berjanji yang janjinya tidak pernah ditepati.

Ayahku terlalu acapkali buatkan aku berharap padanya. Dan sekali lagi, aku terpaksa bertanggungjawab atas semua rasa pedih yang merelung atmaku.

Aku tidak perlu orang lain untuk kecewakan aku, cukup ayah ku seorang sahaja buatkan hidupku rasa tidak berguna.

Akhirnya aku jadi begini, hilang arah tujuan. Aku tidak ingin hampakan harapan ibu. Tapi aku juga tidak punya pilihan. Bagaimana aku ingin “survive” dengan baki wang yang cuma tiga belas ringgit dalam akaun bankku ?

Apa yang perlu aku buat?

– Asy (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *