Yasin

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Aku pernah beberapa kali mengalami peristiwa yang dianggap ganjil. Namun, satu peristiwa ini memberi kesan yang agak dalam untuk diriku. Sudah lama ingin ku kongsikan kisah ini, mungkin ia mampu memberi pengajaran kepada orang lain.

Baiklah begini kisahnya. Isteriku tidak sedar akan kehamilannya yang ketiga. Dia kehairanan kerana sudah 3 bulan tidak datang haid. So, dia syak hamil dan memintaku membeli pregnancy test dan hasilnya memang positif. Seperti biasa, bermulala rutin checkup dan tiada masalah besar sepanjang kehamilannya.

Pada bulan kehamilannya yang ke 7, isteriku, mengalami kesakitan seperti hendak bersalin dan memintaku segera membawanya ke hospital. Walaupun telah mempunyai 2 anak sebelum ini, namum perasaan risau dan takut tetap menyelubungiku.

Aku start kereta dan membawa 2 orang anakku yang masih kecil, ke rumah makcikku kerana aku tau tempoh menunggu yang lama di hospital nanti. Takut diorang bosan dan mengamuk pula.

Selepas itu aku terus memecut laju ke sebuah hospital swasta di shah alam, yang sememangnya kami telah tempah untuk proses bersalin. Memandangkan pukul 12 tengah malam, jalan clear dan tenang je. Sampai di hospital, isteriku, terus dimasukkan ke wad untuk pemeriksaan.

Selepas pemeriksaan awal, doktor memberitahu kami, bayiku berada dalam kedudukan melintang, dan tali pusatnya menghala ke bawah. Itula sebabnya isteriku telah merasakan kesakitan untuk bersalin. Aku berasa amat takut tatkala mendengar penerangan doktor.

Tambah menakutkan lagi, bila doktor memberitahu proses bersalin kali ini akan berosiko tinggi untuk kedua2 ibu dan anak dan pihak hospital tidak berani untuk mengambil risiko itu. Pihak hospital menyarankan segera menghantar isteriku ke hospital kerajaan, dan yang paling dekat ialah hospital sg buloh. Waktu itu, hospital shah masih dalam pembinaan.

Sekali lagi dengan muka pucat aku memecut kereta ke hospital sg buloh, dengan isteriku yang sudah berpeluh menahan kesakitan. Alhamdulillah, kami sampai, lebih kurang jam 1 pagi tanpa sebarang rintangan. Perasaanku sedikit lega.

Selepas pemeriksaan awal, sekali lagi doktor memberitahu, bayi berada dalam keadaan melintang dan sedikit lemah kerana tali pusat sudah mula membelitnya. Doktor menyarankan untuk melakukan pembedahan secepat mungkin. Aku akur dan terus je sign borang kebenaran demi menyelamatkan kedua duanya.

Selepas beberapa ketika menunggu, seorang nurse memberitahu isteriku telah selamat bersalin seorang bayi lelaki. Kedua duanya selamat dan stabil. Aku di bawa ke bilik bayi untuk melihat dan untuk di azankan.

Waktu itu bayi berada dalam keadaan sihat je. Sementara aku pula waktu itu batuk2 dan selsema. Selepas itu aku melawat pula isteriku sebaik dia sedar dan kemudian aku balik rumah, mandi dan tidur sekejap, maklumla sehari suntuk tak tidur.

Waktu tengahari isteriku menelefon memberitahu bayi terpaksa dimasukkan ke nicu kerana badannya membiru dan tidak dapat bernafas dengan sendiri. Aku terperanjat kerana, waktu baru lahir, bayiku sihat je dan tiada komplikasi lain. Aku segera pergi ke hospital berjumpa isteriku dan membawanya berjumpa bayi di nicu.

Bayiku terpaksa di beri bantuan pernafasan melalui hidung. Aku berjumpa doktor dan doktor memberitahu, paru paru bayiku masih belum fully develop disebabkan kelahirannya yang tidak cukup bulan. Doktor memberitahu tidak usah bimbang kerana kes seperti ini agak biasa bagi bayi tidak cukup bulan. Aku berpuas hati dan mengucapkan terima kasih kepada doktor.

Hari kedua, aku berkunjung lagi ke hospital melawat bayi dan isteriku. Namum kali ini kami agak terkejut kerana bayiku dicucuk dengan banyak wayar2 dan ditempatkan di zon merah. Bantuan pernafasan pula di salurkan terus ke paru parunya kerana paru paru sudah tidak mampu berfungsi. Dengan perasaan bimbang, kami bertanya dengan doktor, apa yang terjadi.

Doktor memberitahu, bayiku terkena jangkitan kuman, dan antibiotik telah di berikan untuk mengubatinya. Aku teringat, sewaktu bayi lahir aku telah memegangnya dan diwaktu itu aku batuk dan selsema. Adakah aku penyebabnya?

Isteriku telah mula menangis sambil mengusap2 tangan kecinya nya. Sedih kami melihat pada usia sekecil telah dicucuk sana sini juga dengan pelbagai wayar yang melekap di tubuhnya.

Pada hari ke 3.. seperti biasa kami mengunjungi lagi nicu untuk melawatnya. Kali ini bayiku di tempatkan di satu bilik khas, tiada bayi lain di situ. ada seorang jururawat bertugas 24 jam mengawasinya. Bayiku di tempatkan dalam inkubator dan tidak boleh lagi di sentuh.. Semakin banyak wayar ditubuhnya.. Isteriku kembali menangis sambil memanggil2 namanya.

Aku mula sedar bayiku ialah bayi yang paling tenat di nicu ini. Aku segera mendapatkan doktor untuk kepastian. Kali ini doktor sudah tidak senyum lagi seperti biasa. Dengan wajah gusar dia memberitahuku, bayi berada dalam keadaan tenat. Dia langsung tidak mahu bertindak balas dengan semua ubatan yang diberikan.

Seperti mahu rebah aku mendapat berita itu. Aku rasa sungguh lemah dan tidak berdaya.. Perlahan2 aku menuju ke surau, membiarkan isteriku menangis di sisi bayi kami. Di surau air mataku tumpah jua.

Aku balik ke rumah dengan segala macam perasaan.. Sedih, lemah dan tidak berdaya. Aku seakan2 tau hayat bayiku tidak akan lama.

Selepas sembahyang maghrib, aku mengambil alquran yang sudah lama tidak ku sentuh. Aku ingin menghadiahkan bayiku bacaan yasin. Aku seakan2 tau hayatnya sudah tidak lama lagi. Aku membaca surah yasin sehinggalah pada ayat ke 82..

Innama amruhu iza arodashaian anyakulalahu kun fayakun.. Aku faham makna ayat ini, kerana maksudnya jika Allah menghendaki sesuatu perkara itu berlaku, maka Dia hanya berkata jadilah, maka jadilah sekalipun pada perkara yang amat mustahil bagi manusia.

Aku mengulang ayat ini banyak2 kali. Aku tiba2 terasa amat sedih, sedih bukan kerana bakal kehilangan bayiku, tapi sedih kerana banyaknya dosaku pada penciptaku. Sedih kerana sering lalai dalam mengingatinya. Air mata mula jatuh berguguran. Helaian alquran itu hampir kesemuanya basah dengan air mataku. Aku merasakan keadaan sekelilingku gelap, hanya alquran di depanku yang bercahaya.

Aku juga merasakan ada seorang didepanku.. maha besar, maha kuat tapi maha mengasih dan penyayang. Aku merasakan Dia yang di depanku. Aku tidak mampu untuk memandang ke arahNya. Aku juga tidak mampu untuk meminta kesembuhan untuk anakku. Aku hanya mampu meminta supaya anakku di beri kekuatan.

Tiba-tiba dalam alquran muncul segumpal asap putih umpama roh keluar dan hatiku kuat mengatakan ia terus menuju ke arah bayiku. Saat itu juga naluri seorang ayah mengatakan bayiku telah menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Malam itu, hatiku menjadi amat tenang, tidak langsung terasa sedih, takut dan tidak berdaya. Bersedia menghadapi apa2 jua kemungkinan dengan redho.

Hari ke 4, aku kembali mengunjungi hospital. Setelah mengambil isteriku di wad, kami segera pergi nicu untuk melihat bayi kami. Alhamdulillah bayi kami sudah berada di zon merah bersama bayi2 lain..

Menurut doktor bayi kami mula bertindakbalas dengan ubat dan keadaannya semakin baik. Hari demi hari keadaan bayiku semakin baik sehinggalah hari ke 14 boleh discaj.. Pengalaman yang agak menakutkan selama 14 hari di nicu hospital sg buloh.

Hari ini bayi yang ku namakan iqbal ini sudah berumur 7 tahun. Dah masuk darjah satu. Sangat sihat dan aktif, alhamdulillah. Sehingga hari ini aku masih menganggap dia di beri nyawa kedua. Insya Allah tidak akan ku sia siakan rahmat dan amanah Allah ini.

Sekian sahaja dari aku, pengalaman benar yang amat menakutkan dan banyak memberi keinsafan. Nasihat aku kalau sakit2 tu tak payahla nak dekat dekat dengan bayi ye, pasal antibodi tubuh mereka tidak sekuat orang yang lebih besar. Satu lagi, jika segala usaha tidak membuahkan hasil, mintalah pada pencipta kita Dia maha berkuasa dan maha penyanyang

– Azizol (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *