Kak A adalah senior setahun uni aku. Masa belajar, walaupun mengambil course yang sama, makan di dewan makan yang sama, berada di fakulti dan asrama yang sama, menggunakan lift yang sama tak pula kami bertembung. Kami tidak saling mengenali.
10 tahun selepas aku habis belajar, dengan takdir Allah aku berjumpa dengannya. She is pretty, very athletic, bagus kerjanya, soft skill yang mantap, a mother to many children. Siap ada anak angkat.
Suami pula pjj yang 2 minggu sekali baru mereka berjumpa. Huge respect for her. Dah 10 tahun juga mereka pjj.
Kak A nak bersara muda pada usia 40 tahun, mengikut suami. Suasana di sini sesuai untuk pembesaran anak-anak tapi job scope si suami tiada di pekan ini.
Dengan teletah dia, betapa bersemangatnya dia bekerja dan bermain sukan, siapa sangka Kak A pernah mengalami zaman gelap ketika kanak-kanak dan remaja.
Ayah dan ibu Kak A bercerai ketika Kak A berusia 4 tahun. Selepas 4 tahun ayahnya banyak tidak pulang ke rumah, tidak ambil tahu pasal mereka 7 beradik, nafkah pun culas.
Apa yang terjadi, sebenarnya ayah Kak A dah berpoligami selama 4 tahun sebelum bercerai.
Kiranya hampir tiada figura ayah dalam hidupnya. Sakit untuk ibu kak A bila bercerai. Kerana ibunya berpelajaran rendah, bukan wanita berdikari.
Kerana dia diasuh dari kecil oleh atuk dan nenek untuk menjadi seorang isteri dan suri rumah. Selari dengan zaman itu. Tapi demi anak, si ibu gagahkan jua meniaga nasi lemak.
Kak A pada awalnya seperti kanak-kanak yang lain, hidup ceria, suka bermain, belajar, yakin bertanya soalan di dalam kelas. Peperiksaan juga dapat tempat pertama. Sehinggalah habis darjah 1, baru dia mengerti.
Baru dia faham kenapa pagi-pagi pak saudara yang hantarkannya ke sekolah. Petang hampir tiada orang datang ambil, kadang sampai maghrib baru ibu datang ambil. Ketakutan si anak.
Yuran sekolah tak berbayar. Baju lusuh. Baru faham dia tiada ayah. Tak seperti orang lain.
Jadi sejak darjah 2, mukanya sugul tak ceria, menjadi kanak-kanak pendiam dan dia tekad tak nak ke sekolah. Kalau boleh dia nak bekerja bantu ibunya.
Sekecil usia 8 tahun, dia menjadi matang sebelum usia. Namun Allah Maha Baik. Kak A dikurniakan otak yang pandai.
Dia pandai membaca seawal 4 tahun. Dalam 2 minggu, dia hanya ke sekolah sehari. Tapi masih mampu pegang title top student.
Tak ada guru yang marah, sebab faham keadaan keluarga kak A dan sebab keputusan peperiksaan kak A pun mantap. Alhamdulillah kak A dapat straight A UPSR dan PMR. Selepas PMR, berbulan kak A baru ambil slip peperiksaan.
Ya lah, yuran sekolah pun tak mampu bayar, keputusan pun disekat. Tapi sekali lagi Allah Maha Pemurah, Maha Penyayang Kak A dapat tawaran ke SBP di negeri sebelah, tawaran thrid intake mungkin kerana ketika itu sudah masuk bulan May.
Ibu Kak A pergilah meminta tolong, merayu supaya bekas suaminya tolong hantarkan Kak A ke SBP tersebut.
Dan ayah Kak A hantarkan bersama ibu tirinya. Dalam kereta, ibu tiri Kak A bersuara,
“Abang, tak payah mengaku ni anak abang. Cakap je ni anak orang kampung yang susah, ayah dia dah tiada. Kita tolong hantarkan je.”
Dan itulah yang diungkapkan kepada guru sebaik mendaftar.
Malah yuran sekolah pun tidak dibayar. Sekadar tinggalkan duit belanja RM50 kemudian berlalu pulang malah tidak pernah bertanya khabar si anak selama hampir 2 tahun di SBP itu. Sebak menangis Kak A.
Dalam sebak, entah dari mana datangnya kekuatan dia memberitahu cikgu,
“Sebenarnya tu ayah dan mak tiri saya”.
Seakan memahami, si cikgu berkata, “tak apa, saya faham. Awak belajar je. Cikgu akan arrange bantuan untuk awak belajar”.
Kak A pelajar cemerlang, melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan dan berjaya menjadi seorang doktor. Tapi ibu tirinya tak pernah puas, malah diherdik dan dihina.
“Doktor ni glamour je lebih, gaji kecil”.
Ayah Kak A ni kontraktor. Orang ada-ada.
Berduit. Disegani di kawasan ini. Dari segi kewangan, mungkin ya boleh berpoligami.
Tapi dari segi tanggungjawab ke laut dalam. Sejak berpoligami dan seterusnya bercerai memang nafkah tidak diberi kepada anak-anak. Si ayah dan ibu tiri memang a perfect match made in hell.
Saling melengkapi. Si ayah memberitahu orang ramai dengan bangganya yang dia memberi nafkah kepada anak-anaknya RM 5k sebulan. Dihina dan difitnah si ibu, makan duit anak-anak, bodoh tak pandai uruskan duit.
Di mata orang, dia seorang ayah yang bagus dan bekas isteri adalah orang yang jahat. Kak A percaya yang Allah sengaja ceraikan ayah dan ibunya sebab ayahnya memang tak layak untuk ibu. Ibunya adalah sebaik-baik manusia.
Mengajar anak-anak jangan sesekali membenci si ayah, sebab ayah tetap seorang ayah. Tapi itulah jahatnya si ayah, ketika mereka tiada duit, si ibu berkata pergilah minta dengan ayah kamu.
Bila anak-anak meminta duit dari si ayah yang sepatutnya diberi tanpa diminta sebagai nafkah wajib, si ayah dan ibu tiri bukan setakat menghina mereka dan ibu mereka malah pernah melemparkan duit syiling untuk dikutip oleh anak-anak ini.
Sejak itu, biarlah tak ada duit, biarlah terpaksa ikat perut mereka tidak akan meminta dengan si ayah. Sekarang Kak A dah berjaya. Dia dan suami ada hampir 10 rumah sewa.
Kak A dan adik-beradik InsyaAllah adalah anak-anak yang soleh dan solehah hasil didikan si ibu, masih menyantuni si ayah. Bukan atas dasar kasih sayang kerana ia dah lama mati tapi kerana ihsan sebagai seorang anak.
Apabila si ayah jatuh bankrap, anak inilah yang menolong. Apabila nenek (ibu si ayah) meninggal, kak A yang tolong uruskan.
Begitu juga ketika ibu tiri yang sangat dia benci meninggal, atas dasar ihsan dia tolong uruskan, mandikan walaupun ketika itu dia sarat mengandung.
Tapi si ayah masih begitu, langsung tiada penghargaan kepada anak-anak ini.
Mungkin sebab benci kepada ibunya, maka anak-anak ini juga wajar dibenci?
Dalam berhubung dengan si anak, selalu si anak ditengking, diherdik. Contoh, bila si ayah mengajak anak ke rumah untuk dinner, si anak memberitahu “maaf ayah, saya demam”.
Tapi jawapan si ayah, “kau kena datang jugak malam ni, jangan jatuhkan air muka aku”.
Bila si anak paksakan diri untuk datang, rupa-rupanya anak kesayangan tak datang pun dan terus si ayah menjawab, “Owh dia sakit kepala”. Banyak insiden yang berlaku yang si ayah marah-marah, herdik dan menghina kak A dan adik beradiknya.
Malah pilih kasih juga sangat ketara antara cucu-cucunya. Cucu-cucu dari arwah ibu tiri Kak A sangatlah disanjung, ditimang oleh si ayah. Kak A rasa she had enough.
Dah sampai masanya dia menjarakkan diri dari seorang ayah. Ayah yang pernah 4 kali menyebut, “itu bukan anak saya”. Ayah yang pernah menampar dia di saat dia sakit ketika kecil.
Asbab kecemasan si ibu meminta tolong si ayah membawa si anak ke hospital. Dalam perjalanan ke hospital si ibu tiri menunjuk kepada si ayah yang si anak memakai baju berlubang.
“Kau sengaja nak jatuhkan air muka aku kan?”
Pang! Muka si kecil itu ditampar.
“Kalau dia sakit, akak akan jaga. Kalau dia mati akak akan uruskan”.
Tapi kalau tiada keperluan, rasanya akak tak perlu dekat dengan ayah. Kak A bercerita sambil air mata berlinangan.
“Trauma waktu kecil yang akak lalui tak mungkin akak akan lupa sampai bila-bila”.
Itulah kisah Kak A. Tak hairan portfolio yang dipegang Kak A kini sangat dekat di hatinya iaitu Klinik Mesra Remaja.
Baru 9 bulan saya mengenali Kak A, sungguh saya kagumi kekuatan dan kebaikan hatinya.
Saya doakan Allah memberikan akak ketenangan, kebahagian dan kejayaan di dunia dan akhirat. Aamiin.
– Yang melihat dengan sayu (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit