Zaman Kanak-kanak Mencorak Aku

“Kau nak tau, aku bercita-cita nak buat rumah dekat kawasan kampung. Kemudian, dekat tepi rumah ada sungai mengalir, air jernih. Dekat belakang rumah, ada padang, dan dekat padang tu ada kambing. Fuhh…seperti di sorga”, kataku kepada seorang teman.

“Alaa…mimpi boleh lah Matz. Ko jadi anak ikan dato’ alip bolehlah dapat. hahaha… ” balasnya bergurau.

Sebelum itu, kami berbual di ‘group Whatsapp’, mengenai beza gaji di Kuala Lumpur dan ibu negeri lainnya. Di Ipoh contohnya, lepasan ijazah nak dibayar RM1.8k pun susah. Kemudian, masuk pula bab kehidupan di kampung, walau gaji kecil, kos hidup rendah, suasana juga aman damai, bebas dari ‘traffic jam’ dan hiruk pikuk kota.

Perlahan-lahan, kisah dahulu menerjah di dalam sanubari, kisah sewaktu aku masih setahun jagung, masih bertatih untuk mengenal dunia.
Lalu aku menambah bicara,

“Kecik-kecik dulu, kami adik beradik beradik pergi sekolah naik motor je. Tak pernah terfikir pun waktu tu akan ada kereta. Pak aku berulang-alik hantar kami adik-beradik pergi sekolah. Setahun sekali, balik kampung di Kuala Kangsar, naik bas loncat. Bertahun-tahun macam tu.

Ada suatu petang tu, pandangan hati aku tertarik dengan kepulan awan yang bentuknya memanjang melintasi langit biru. Mata aku mengekor kapal terbang yang sayup-sayup kejauhan sehingga hilang dari pandangan.

Sambil itu aku berangan, suatu hari nanti nak naik kapal terbang juga. Tapi, hati kecil ku berkata, itu hanyalah mimpi.
Mungkin kerana faktor sekeliling, dah biasa hidup susah, jadi perkara-perkara sedemikian ku anggap mustahil.
Waktu berlalu, tahun berganti tahun, beberapa bulan selepas tamat ‘degree’ di UiTM, aku dapat naik kapal terbang. Pesawat MAS, menuju ke Istanbul. Tapi, bukan duit sendiri, ‘Along’ yang sponsor.
Kali pertama naik kapal terbang, memang terasa seperti di alam khayalan. Rezeki yang datang bergolek, tak pernah langsung nak jangka.

Hari ini? Setiap bulan aku naik pewasat menuju ke Kota Kinabalu, atas urusan kerja.

Tiada yang mustahil di dunia ini jika di izinkanNya, kita harus berusaha dulu, kemudian Tuhan akan buka jalannya…”

Panjang lebar aku tulis kepada mereka.

Tamat bicara itu, fikiran ku kembali melayang memori lain sewaktu masih kanak-kanak, sekolah rendah.
Waktu dahulu, aku ini jenis suka merayau, balik sekolah, letak bag, makan kemudian keluar rumah. Petang sebelum maghrib baru balik. Kadang-kadang Umi tak bagi keluar, aku keluar juga ikut tingkap bilik, kemudian senyap-senyap berjalan ke pintu depan, ambil kasut, lepas tu keluar main.
Adik beradik ramai, tapi bermula aku darjah 2, dua orang abang aku sudah masuk asrama. Dua orang adik ku pula, mereka jenis duduk di rumah. Kakak dan abang ku lagi seorang juga begitu.
Jadi, dalam kebanyakan waktunya, aku keluar rumah, main sorang-sorang je. Mungkin sebab itu, aku jadi pemalu dan pendiam.

Pemalu sampaikan aku rasa kekok untuk bergaul dengan abang aku sendiri. Tak semesra macam bergaul dengan kawan-kawan sebaya. Nak bersembang pun aku rasa segan. Tapi, itu dulu lah, bila dah besar ni, mungkin kerana lebih matang, rasa kekok tu kuranglah sikit.

Nak di jadikan cerita, suatu hari, balik rumah petang tu, Umi marah aku sangat-sangat. Sampai hari ini aku masih basah di ingatan akan bait-baitnya, Umi kata, orang cakap dia tak pandai jaga anak, asyik keluar merayau je, dah macam anak orang Asli. Umi rasa malu.

Aku hanya berdiam diri. Hari-hari seterusnya, balik ke sekolah, duduk dalam bilik je. Tapi tak bertahan lama, akhirnya aku teruskan perangai lama, keluar merayau, main sorang-sorang lagi. Kawan lain ada juga, tapi mereka pukul 5 baru boleh keluar main. Aku? Tak kira masa, kecuali malam. Malam di haramkan keluar rumah.

Tapi, entah kenapa. Peristiwa itu basah di dalam jiwa, menjadi sebahagian darah daging, sampai ke hari ini. Mungkin kerana aku terasa hati, rasa di hina…

Kecil dahulu, aku memang kurang bijak. Matematik dan bahasa Inggeris paling teruk. Darjah dua baru pandai membaca. Ramai orang, pandai membaca tanpa sedar, ‘subconscious mind’ kata orang putih . Tapi aku lain, kefahaman aku untuk membaca datang seperti angin yang tiba-tiba menerpa ke muka. Masih aku ingat peristiwa pagi itu. Semenjak itu, pelajaran bahasa Melayu yang paling aku minat, semua cikgu yang mengajar bahasa Melayu dari darjah 1 sampai ke tingkatan 5 aku hafal nama dan ingat wajah mereka.

Tahun berganti tahun, akhirnya SPM, aku dapat anugerah antara pelajar terbaik. Tapi, siapa sangka kecil-kecil dahulu perangai aku bagaimana?

Hati kecil aku, ingin sekali melihat anak makcik yang kata Umi aku tak pandai jaga anak tu, yang kata aku macam orang Asli, tau main je, nak tengok berjaya sampai tara mana. Tapi, fikiran macam tu kan tak baik, jadi aku sekadar biarkan niat itu di dalam hati. Lagi pun, aku sudah berpindah rumah dari tempat yang dulu. Jiran aku itu pun, mesti sudah berpindah juga.

Yang lebih kelakar, di tahun 2018 ini, ramai ibu bapa pula yang runsing bila anak hanya tahu duduk rumah dan menghadap gajet. Ada juga terbaca, kanak-kanak yang bermain ‘kotor’ aktif bermain di luar rumah, akan lebih bijak dan berimaginasi tinggi berbanding yang menghadap gajet setiap hari.

Boleh jadi, aku hari ini, kerana sejarah kanak-kanak aku yang rajin buat aktiviti ‘outdoor’ setiap hari.
Juga, tak semestinya, kurung anak dekat rumah, dia boleh jadi bijak dan boleh jadi baik, ada yang masuk Universiti, baru mengenal erti kebebasan, bebas dari kongkongan, kemudian mula lah cuba itu ini.

Aku cemerlang SPM dulu pun, bukan nya tekun sangat belajar, cumanya, waktu belajar…belajarlah, waktu main…mainlah. Sampaikan, minggu SPM pun, petangnya aku masih keluar main juga. Tak pernah rasa takut dengan exam. Masuk UiTM baru faham erti takut exam, mungkin sebab kalau gagal, kena ulang semester agaknya.

Ibu bapa di luar sana, kalau anak suka keluar, yang paling penting, kena tahu dengan siapa mereka berkawan. Tak semua orang kuat, boleh terselamat dari pengaruh rakan sebaya. Lagi bahaya, kalau mereka berkawan dengan rakan yang bukan sebaya, jenis kutu rayau walau umur dah belia, jenis ni macam-macam benda baru dah cuba, kemudian tak segan silu nak ajar orang lain.

Akhir kata, sayang Umi. Berkat doa mu, daku berjaya…

Dan ini untuk para pembaca, sebuah nasihat yang terpahat di dinding sekolah aku dulu,

Rajin belajar, pasti berjaya
Tiada kegagalan, setelah berusaha
Itulah cara membalas jasa
Pengorbanan guru dan keluarga tercinta

– Matz

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit