Ziarah? Penting Ke?

Assalamualaikum. Saya Athirah, Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada admin kerana menyiarkan tulisan saya pada kali ini. Topic ini tidaklah menarik dan hangat tetapi saya berharap penulisan saya pada kali ini memberi manfaat kepada semua yang membaca.

Pertama sekali yang saya ingin tekankan disini adalah kebertanggungjawaban seorang ketua, boss, guru besar, pengetua, mudir, manager, pegawai atasan atau sebagainya gelaran supaya menjadi seorang ketua dan pemimpin yang prihatin terhadap orang bawahan anda.

Kalau ada antara mereka atau orang yang terdekat dengan mereka seperti ibubapa atau pasangan yang yang diuji dengan masalah kesihatan, ambil lah tahu, ambik peduli, tanyalah khabar mereka. Mereka tak mahukan duit anda tapi mereka mahukan keprihatinan anda sebagai orang atasan tempat mereka bekerja, itu sahaja.

Setahun yang lepas, ayah saya ditahan di wad kerana menghidap kanser. Saya waktu tu masih muda berumur 25 tahun, masih single dan baru sahaja setahun bekerja, saya masih belum ada support system.

Saya sangat sedih dan kecewa bila salah seorang pentadbir ditempat saya bekerja langsung tidak bertanya khabar walapun mereka mengetahui situasi yang saya alami. Kalaupun selisih dengan mereka, tidak langsung keluar dibibir mereka bertanyakan keadaan ayah saya yang terlantar.

Kami bukan nak kamu mengangkat menyanjung kami, tapi cukuplah memahami kesedihan yang saya dan keluarga alami. Kalau ada masa terluang, jenguklah kami di hospital. Kedatangan anda mungkin boleh mengukir senyum dibibir kami yang sudah lama tidak terukir.

Kehadiran anda itu pastinya akan meninggalkan kesan kepada jiwanya yang sedang berduka. Atau sekurang-kurangnya keluarga pesakit akan terhibur hatinya dan hilang rasa sedih walaupun untuk sementara waktu.

Apa yang saya tulis ini bukan untuk meminta simpati, tetapi tidak ingin perkara ini berlaku kepada orang lain. Supaya kisah ini menjadi iktibar kepada semua majikan kerana saya tahu, bukan saya sahaja yang mengalami situasi sebegini.

Saya tidak kisah kalau apa yang saya alami itu perkara yang kecik, setakat demam, sakit –sakit biasa tu saya tak kisah. Tapi sebulan ayah saya di hospital kami mengalami kesedihan yang berpanjangan. Dari awal perubatan dilakukan doctor sahkan ayah brain tumor. Kami sekeluarga berusaha untuk merawat ayah dengan segala usaha.

Bagaimana bermulanya symptom berlaku, kami sekeluarga tidak tidur malam kerana ayah mengalami muntah-muntah berpanjangan hingga ke subuh. Bawa ayah ke hospital kemudian discan, MRI dan sebagainya.

Kemudian selepas beberapa hari, ayah saya tidak sedarkan diri. Doctor bagitahu yang tumor abah dah semakin aktif membesar. Doctor minta keputusan kami sekeluarga malam tu jugak samada nak buat operation atau tidak.

Sungguh, perasaan waktu tu sangat hiba. Hanya mampu menangis dan berdoa agar semuanya selamat. Tapi pada masa yang sama takut kehilangan orang yang tersayang buat selama-lamanya. Air mata tak henti-henti mengalir kat depan semua orang, depan doctor, nurse, waris- waris pesakit lain.

Saya tidak mahu bercerita panjang tentang keadaan kami di hospital, hospital dah jadi rumah no.1 kami, jatuh bangkit perasaan kami, perasaan berharap supaya kesakitan itu diangkat dan berharap Allah beri kesembuhan pada ayah saya, perasaan syukur bila operation berjalan lancar, perasaan syukur dapat berbakti pada ayah…

Basuh muntah ayah, cuci najis ayah, pindah-pindah wad dari wad biasa ke bilik bedah, ke ICU balik kemudian ke wad transit, ke ICU balik, dan rutin saya selepas waktu kerja pasa masa itu kerana posting ini akan lebih panjang jika saya bercerita semua tu.

Untuk pengetahuan semua, waktu raya haji pun kami hanya dengar laungan takbir raya dari tingkap jendela hospital sahaja, sungguh sayu hati ini menerima ujian sebegini. Sungguh, kami perlukan support kerana hati tak kuat nak menempuh sendiri.

Pada masa ini, dapatlah kita lihat memang keluargalah orang yang paling penting, mereka lah orang yang paling ambik berat, mereka lah orang yang selalu ada bersama kita waktu susah dan senang. Kami saling support each other. Walaupun banyak mana bakti kita pada kerja, pada organisasi tapi waktu kita susah mereka takkan ada bersama kita.

Begitu juga majikan saya, sampailah waktu ayah saya meninggal, tiada ucapan takziah yang saya terima, tiada menerima ziarah atau lawatan mereka walaupun yang meninggal itu ayah, bukan saya.

Tapi sebagai seorang yang single ayah tu adalah yang paling penting sama macam pentingnya seorang suami bagi isteri yang dah berkahwin. Tapi saya masih beruntung ada juga beberapa rakan sekerja yang datang ziarah ke hospital dan di rumah kami. Alhamdulillah, mereka sangat baik.

Saya tidak terkilan jika pentadbir, majikan saya tu seorang yang jahil. Tapi saya tau mereka orang yang tahu agama. Selalu ceramah, selalu tazkirah, selalu hadir usrah dan kerja yang memang selalu berada dalam lingkungan sekolah agama tapi mereka tidak tahu untuk praktik ilmu itu.

Atau mungkin sebab saya ni hanya berjawatan biasa, datang dari keluarga biasa, bukan dato’ datin seperti yang lain. Kerja pulak bukan berjawatan tetap, hanyalah sandaran. Wallahu a’lam.

Cuma pesan saya, siapa pun anda, setinggi mana pun ilmu anda, setinggi mana pun jawatan anda, anda belum tahu pengakhiran hidup anda bagaimana. Lagikan pula kalau jawatan tak setinggi mana, setakat penolong kanan sekolah je pun.

Jadilah majikan yang bertanggungjawab, prihatin dan empati dengan orang bawahan. Sentiasalah berbuat baik kerana orang yang berbuat baik sesama manusia bukan sahaja didoakan manusia tapi dia juga didoakan kebaikannya oleh para malaikat.

Sebelum saya mengakhiri penulisan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh warga Hospital University Sains Malaysia HUSM Kubang Kerian sepanjang arwah ayah saya menerima rawatn di sana. Terima kasih doctor, nurse, doctor pakat bius, pakar bedah, HO, MO dan semuanya. Moga Allah membalas segala jasa baik kalian.

Al-fatihah untuk arwah yang telah pergi untuk selama-lamanya. Moga Allah mengampuni, merahmati dan memaafkannya.

– ATHIRAH (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *