Zina Yang Dinormalisasikan

Assalamualaikum. Saya seorang suami dan juga ayah kepada 3 anak.

Hujung tahun lepas adalah titik permulaan dimana saya dan isteri start over semula hubungan kami, yang mungkin puncanya biasa bagi orang lain. Tapi ianya sangat besar bagi kami. Maaf jika panjang sikit.

Isteri seorang yang baik. Dia surirumah, setiap hari jaga anak-anak. Dia jaga makan pakai kami. Apa saya bawa balik, itulah yang dia masak.

Bila saya nak bersama, dia tak pernah menolak dan layan saya dengan baik. Saya mengeluh pasal kerja, dia dengar. Kadang saya fikir, saya ni cukup bagus ke untuk dia?

Kami sudah berkahwin 6 tahun. Walaupun dia isteri yang baik, kami bergaduh hampir setiap hari. Kebanyakannya sebab yang kecil.

Pada waktu tu saya fikir mungkin kami tak ada keserasian.. saya jadikan tu alasan untuk justify apa silap saya. Sedangkan dia tak bersalah pun, saya yang salah. Ketagih video 18. Saya patut berhenti dari dulu sebelum nikah lagi.

Walaupun lepas bersama isteri, saya akan buka video 18 tu, baru saya tidur. Selama 5 tahun saya tonton, dia tak tahu kegiatan saya. Didepan dia, saya adalah lelaki yang perfect dan menjaga pandangan.

Dia berpendapat begitu kerana dia adalah cinta pertama saya. Dan memang betul dia adalah satu satunya perempuan dalam hidup saya.

Saya memang nerd, tak pandai mengayat perempuan. Tapi bab ketagih ni je saya fail.

Kenapa saya ketagih? Sebab perempuan dalam web tu lawa ke? Tak. Sebab taste saya ke? Tak juga.

Kadang rasa geli tengok semua perempuan tu. Tapi kenapa tengok juga kalau geli? Sebab saya dah ketagih nak bagi otak makan dengan hormon dopamine. Itu je sebabnya.

Ketagih.

Lama-lama saya rasa malu untuk solat sebab terbuai dengan dosa. Tapi isteri tak tahu saya berhenti solat. Mungkin ada sebab, Allah ciptakan perempuan ni dengan firasat.

Cepat atau lambat je. Akhirnya saya tertangkap semasa tengah tonton. Isteri tengok skrin, dia rampas handphone dan kuncikan diri dia dalam bilik lain. Saya hanya dengar dia menangis semahunya.

Dia keluar bilik, dia menangis cakap pada saya yang dia tak pernah buka benda macam tu. Tak pernah membayangkan lelaki lain selain saya.

Dia cakap kadang saya tolak ajakan dia, tapi dia tetap ingat saya. Dia persoalkan diri dia, tak cukup baik ke dia sampai saya buka benda ni.

Dan banyak lagi benda dia cakap membuatkan saya rasa bodoh, useless, tak guna. Isteri sangat menjaga maruah dia, tapi perbuatan saya seolah olah menjatuhkan maruah diri sendiri.

Esoknya saya ambil leave kerja. Saya jumpa ustaz dimasjid berdekatan meminta bantuan kaunseling.

Dari situlah ustaz mengatakan saya telah berbuat maksiat zina dan menerangkan apa kesan menonton video 18 dalam rumahtangga.

Rumahtangga hilang keberkatan, tidak mendapat redha Allah. Menjadi punca kepada kelalaian dalam beribadah. Hati menjadi hitam dan jauh dari Allah. Jadi pelupa.

Ustaz juga mengatakan ia bukan perbuatan seorang muslim.

Adalah haram melihat aurat bukan mahram malah lagi besar, melihat orang lain bersetubuh. Di padang mahsyar nanti juga, semua video tu akan terpampang ketika berhimpun sebagai saksi perbuatan kita.

Astaghfirullah. Masa ni saya hanya mampu menangis depan ustaz.

Adakah ini, zina yang telah dinormalisasikan oleh semua orang? Dimana orang-orang kata menonton 18 adalah normal dikalangan lelaki?

Tetapi kenapa saya rasa macam sampah lepas ustaz beritahu kesan?

Saya tak berhenti sehingga harini solat taubat dan memohon ampun pada isteri. Memang saya ketagih. Tapi demi Allah, tak pernah saya rasa nak bersama dengan perempuan dalam video.

Awalnya isteri tak mampu maafkan saya. Bagi dia ikatan nikah itu suci dan perbuatan saya membuatkan rumahtangga kami tak diredhai.

Alhamdulillah.. ustaz bantu menasihati isteri bahawa besar pahala Allah beri pada dia jika dia memaafkan suami yang sungguh bertaubat.

Malu. Saya malu semalunya pada isteri, walaupun selepas semua tu jadi, dia tetap layan saya dengan baik. Saya fikir dia akan tolak untuk bersama, dan saya dah bersedia untuk kena reject. Tapi dia tetap layan baik seperti biasa.

Mungkin orang akan cakap, kamu bertaubat hanya kerana kamu tertangkap. Tapi bagi saya, tak. Saya anggap isteri sebagai penyelamat saya dunia akhirat.

Dia selamatkan saya dari terus hanyut. Mungkin kalau tak tertangkap awal, saya akan cuba benda yang lebih teruk dari ni, dengan anggapan ianya normal. Astaghfirullah.

Selepas jumpa ustaz, hidup kami banyak berubah. Saya mula solat semula. Kalau ada masa, saya akan solat taubat.

Kalau saya ada dirumah, saya dan isteri akan solat berjemaah. Kami tak pernah solat jemaah sebelum ni. Hati saya yang sebelum ni kosong, sekarang rasa terisi.

Yang paling terasa kesannya, kami tak lagi bergaduh semenjak tu. Saya rasa ini lah saat kami yang paling bahagia.. kalaulah dari awal saya berhenti, mungkin lagi awal saya rasa kebahagiaan ni?

Menonton video 18 tak normal. Bujang atau berkahwin, tetap haram.

Bukan hanya dalam islam, malah saya jumpa artikel bahasa inggeris tentang kesannya pada marriage. Orang inggeris juga pandang serius tentang ni. Kalau dulu saya anggap benda ini biasa, sekarang saya anggap benda ni tak normal.

Jangan jadikan alasan isteri tak perfect, untuk buat perkara yang jelas dosa besar. Kalau dah ketagih macam saya, isteri baik macam mana pun tetap ketagih.

Ustaz tu juga bertanya pada saya, apa perasaan saya jika saya membuka 18 dan melihat wajah adik beradik, anak ataupun isteri sendiri didalam tu? Astaghfirullah. Saya tak redha. Mungkin saya akan menggigil dan marah kalau perkara tu jadi.

Semoga Allah ampunkan saya dan kita semua..

– Axz (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *