Assalamualaikum, Salam Syawal & Salam Sejahtera.
Saya terpanggil untuk berkongsi pengalaman setelah membaca kisah, “Zuriat Anak Lelaki” (https://iiumc.com/zuriat-anak-lelaki/).
Saya telah berkahwin untuk kedua kali, Alhamdulillah saya sangat bersyukur dengan kebahagiaan dan ketenangan selama 16 tahun kami bersama dalam perkahwinan ini.
Perkahwinan saya yang pertama hanya bertahan selama 4 tahun dan kami telah dikurniakan 2 orang anak lelaki.
Saya dikurniakan anak pertama setelah 3 bulan bernikah, itupun sebaik sahaja saya berhenti mengambil pil perancang kerana saya telah dinasihatkan oleh doktor pakar untuk menangguhkan kehamilan.
Anak kedua lahir setahun 2 bulan kemudian. Allah kurniakan saya rezeki mudah hamil tetapi Allah uji saya dengan perceraian dan perpisahan dengan kedua anak lelaki yang gagal saya temui sehingga kini.
Trauma dengan perpisahan itu, saya mengambil kaedah perancang IUCD untuk tahun pertama perkahwinan kedua saya.
Allah kurniakan saya suami yang baik tetapi saya diuji dengan lewat mendapat zuriat sehingga kami hampir berputus asa.
Sehingga 4 orang adik-adik suami yang berkahwin selepas kami sudah mempunyai zuriat, kami masih belum mempunyai anak.
Saya pernah di ceramah oleh seorang pakcik suami sewaktu saya pergi beraya ke rumahnya masuk tahun kelima perkahwinan kami dengan soalan-soalan,
“Tak pergi check ke? Kenapa merancang (beliau hanya serkap jarang)? Tak nak anak ke?”, dan kami hanya tersenyum.
Sebagai kakitangan hospital (bukan doktor) dan wanita yang sudah mempunyai anak, saya amat faham dan tahu apa perlu yang dilakukan.
Alhamdulillah masuk tahun kelima saya hamil. Allah uji saya dengan pembedahan apendiks sewaktu kandungan 10 minggu, tetapi Allah kurniakan keselamatan tanpa sebarang komplikasi.
Saya mendapat anak lelaki juga dan setahun 2 bulan kemudian saya melahirkan anak lelaki yang keempat.
Setahun 4 bulan kemudian saya melahirkan anak kelima, perempuan dengan ujian anak lahir pramatang dan saya tumpah darah sehingga hampir kehilangan nyawa.
Allah masih beri saya peluang bernafas untuk membesarkan anak-anak saya.
Anak lelaki saya yang keempat Allah uji dengan ADHD tetapi anak saya semakin membaik dengan bimbingan guru-guru PPKI.
Ujian yang penuh dengan hikmah dan rahmat dari Allah sentiasa buat saya lebih bersyukur walaupun terselit rasa sedih dan hiba.
Mudah hamil tetapi tiada jodoh sehingga terpisah dengan anak2.
Bahagia tetapi lambat mendapat zuriat.
Mendapat anak perempuan setelah 4 lelaki tetapi hampir kehilangan nyawa.
Mudah hamil anak keempat dan kelima tetapi Allah uji anak keempat dengan ADHD.
Banyakkan bersyukur sis dan lihat sekeliling betapa ramai insan yang masih menjadi pejuang garis merah, dikurniakan anak kelainan upaya dan diuji dengan pasangan yang bermasalah seperti curang, narsistik dan sebagainya.
Saya doakan sis lebih tenang, berlapang dada dan mudah rasa gembira walau dengan sedikit kegembiraan.
– Mama P (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit