Zuriat Yang Dinantikan

Namaku Nur, bulan 11 tahun 2022 genap 7 tahun Nur dan suami berumah tangga. Seperti perkahwinan pasangan lain yang sangat2 berkeinginan zuriat. Begitu juga kami berdua.

Kami bersyukur kerana dikurniakan pekerjaan yang stabil sehingga mampu membuat rawatan kesuburan. Berkali-kali proses IUI, IVF, tradisional semua kami sudah usaha.

Sakit fizikal dan mental juga sudah dilalui sepanjang proses tersebut, tapi Nur yakin ada hikmah yang Allah janjikan nanti.

Setiap kali rawatan dan beroleh keputusan yang tidak menyebelahi kami, suami sentiasa senyum dan perkataan “Allahuakbar” dan “Alhamdulillah” tidak lekang dari bibirnya.

Bertahun-tahun Nur dan suami membuat rawatan, sehingga Nur rasa “down” yang sangat teruk namun bangkit semula kerana pujukan serta kata-kata motivasi dari suami.

Rintihan di sepertiga malam agar impian kami ini dapat dimakbulkan antara kekuatan Nur.

Seumur hidup, Nur rasa antara hikmah Nur dan suami belum diizinkan mempunyai zuriat bila mana kita merintih dan menyerahkan jiwa raga kepadaNYA.

Antara Nur dan suami kami saling memujuk antara satu sama lain dan semestinya jiwa wanita kadang-kadang ampuh dan mudah terasa hati. Semoga Allah jaga hati Nur dan suami untuk kuat dan terus kuat.

Keluarga sebelah Nur Alhamdulillah tiada desakan atau kata-kata sinis didengari. Kedua ibu bapa sangat-sangat terbuka dan sentiasa mendoakan kebaikan buat kami.

Cuma di sebelah suami ada juga terdengar kata-kata dari saudara yang mengguris hati namun seperti Nur beritahu tadi, suami sangat-sangat memberikan sokongan dan motivasi.

Dan Nur kembali bersemangat. Mertua? Alhamdulillah untuk perkahwinan menginjak 7 tahun ini, mereka sama seperti anak mereka. Selalu sangat menjaga hati Nur.

Ibu mertua Nur akan uruskan appointment atau booking kalau dia ada dengar mana-mana ustazah yang boleh merawat, bidan-bidan yang boleh membantu kami.

Nur menangis dihadapan ustazah bila ustazah angkat tangan berdoa untuk Nur dan beritahu ibu mertua yang selalu minta doakan yang terbaik buat Nur dan suami.

Ibu mertua Nur kalau kami sekeluarga balik ramai2 dia tidak pernah membeza-bezakan menantunya dan sentiasa menjaga kata-katanya.

Nur masih ingat ibu mertua menangis teresak-esak bila melihat Nur mengerang kesakitan setelah bius habis selepas prosedur “operation”.

Ibu Nur jauh diutara tanah air, maka keluarga mertua yang banyak menyaksikan proses/ prosedur Nur di hospital. Bapa mertua pun sangat2 baik orangnya.

Dia tahu sahaja kalau kami mahu balik ke kampung, dibelinya segala makanan kegemaran kami, walaupun tidak berapa sihat, mampu gagah naik motor mencari apa yang kami suami isteri gemari.

Nur hanya mahukan doa dari kalian semua di sini agar doakan Nur dan suami sentiasa berkasih sayang, tabah berusaha dan dikurniakan zuriat yang sihat soleh dan solehah.

Mohon doakan juga rezeki dan kesihatan yang baik buat kedua ibu bapa Nur, juga kedua mertua yang sangat utuh kasih sayang buat Nur yang serba kekurangan ini.

Rezeki kami mempunyai ibu bapa yang sentiasa berkasih sayang dengan menantu. Nur juga berharap kasih sayang dan rezeki mempunyai keluarga yang baik ini berkekalan.

Nur kuat sebab doa dari orang sekeliling Nur, selain dari izin dari Allah untuk Nur terus berusaha dalam perjuangan mendapatkan zuriat.

Mungkin ada doa antara kalian mustajab, diangkat dan dimakbulkan olehNYA. Mohon doakan Nur dan suami ya!

– Nur (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *