Assalammualaikum dan salam sejahtera pembaca IIUM Confession semua. Aku Audelia, pernah mengirimkan kisah aku di sini, (https://iiumc.com/347am9102020/).
Lepas beberapa bulan tulisan aku disiarkan, baru aku ada kesempatan untuk menulis bahagian kedua ini. Terutamanya selepas membaca kisah Along di post, (https://iiumc.com/layak-ke-
Sejujurnya, aku dapat merasai apa yang dia rasa. Hampir sama kisah kami, disebabkan itu, aku sangat memahami situasinya.
Terima kasih admin IIUM Confession kerana meluluskan post aku sebelum ini. Aku membaca kesemua komen-komen pembaca pada post aku itu. Ada juga yang aku like komennya tanda setuju dan berterima kasih.
Apapun, terima kasih atas komen yang memberi kata-kata semangat dan sokongan kepada aku dah keluarga.
Bagi yang memberikan komen negatif dan cercaan, juga terima kasih aku ucapkan. Semoga anda atau keturunan anda tidak merasai azab yang dilalui ini, sebab aku percaya, tak semua orang mampu hadapinya.
Aku dalam bahagian ini, ingin menjelaskan beberapa persoalan pembaca, dan menceritakan kisah terbaru antara aku dan bapa aku. Yang mungkin kali ini situasinya agak tragis dan agresif.
IBU
Menjawab beberapa persoalan yang dipersoalkan, terutamanya mengapa ibu aku masih lagi bersama dengan bapa dan tidak bercerai.
Susah aku nak huraikan, sebab aku dah banyak kali utarakan cadangan ini. Tetapi, mungkin seperti kata pembaca lain, orang lama, cukup takut dengan perkataan cerai, ibu tunggal, dan janda.
Walaupun hakikatnya, hidupnya boleh berubah ke tahap yang lebih baik berbanding sekarang. Doakan ibu aku semoga terus kuat menghadapi sikap zalim suaminya ini sekiranya ibu masih mahu bertahan dalam perkahwinan toksik ini.
Dan semoga Allah pendekkan kezaliman bapa aku kepada ibu aku dengan mencabut nyawa bapaku yang mendera mental dan emosi terlalu banyak pihak.
KENAPA AKU HULURKAN WANG?
Ada yang mempertikaikan kenapa aku masih hulurkan wang kepada bapa. Sejujurnya, satu sahaja alasan aku. Sebab aku taknak dia hamburkan kemarahan dan barannya kepada ibu aku. Aku tak kuat nak tengok ibu aku dimarah dan dicerca setiap kali kehendak dia tak dituruti.
Aku lebih rela keluarkan duit poket aku untuk selamatkan ibu aku daripada jadi mangsa dia.
Bila kehendak dia tak dituruti, dia sanggup lancarkan perang dengan ibu aku sehingga berhari-hari atau bermingu lamanya. Aku taknak ibu aku menjadi tertekan walaupun aku tahu, ibu aku seorang yang kuat mentalnya.
SUAMI AKU MALANG BERISTERIKAN AKU?
Ada yang cakap, suami aku malang beristerikan aku. Nauzubillah, aku tak faham apa yang dimaksudkan suami aku malang sebab berkahwin dengan aku. Adakah kerana suami aku mendapat bapa mertua yang toksik?
Sejujurnya, aku bersyukur dikurniakan suami yang sangat memahami situasi aku dan menjadi support system paling kuat aku.
Saat aku menangis bila terlalu stress dengan perangai bapa, suami aku lah yang akan memujuk dan beri sokongan terhebatnya.
Dia juga yang menasihati aku supaya tidak ambil peduli lagi tentang bapaku, sebaliknya fokus kepada ibuku. Semoga Allah rahmati suami aku dan berkati perkahwinan kami hingga syurgaNya nanti.
Terima kasih juga kepada suamiku, kerana aku dapat menumpang kasih daripada keluarganya yang sangat harmoni dan mengasihi aku walaupun mereka tahu situasi aku.
ISTERI INDONESIA BAPA
Berkenaan isteri Indonesianya, mudah kata, situasi perempuan tersebut digantung tak bertali (padan muka! Baru dia rasa apa ibu aku rasa selama ini. Dia fikir kahwin dengan bapa aku berduit agaknya).
Selepas duit KWSP bapa habis dan dia tiada duit lagi, terus diabaikan perempuan itu dan kembali ke rumah kami kerana bapa tiada duit untuk menanggung kehidupannya.
Sehinggakan semasa hari raya, perempuan itu menelefon meminta bapa aku balik ke rumahnya, bapa aku menipu dengan mengatakan kakinya patah tidak boleh bergerak (walhal tiada duit nak ditabur).
Kami pula sebenarnya, seronok bila bapa tiada dan tinggal di rumah perempuan itu sebab kami bahagia dengan ketiadaan dia. Tapi, itulah. Ibu aku pula memendam rasa. Susah aku nak cakap dalam situasi ini.
TRAGEDI BARU
Baru-baru ini, adik aku yang kemalangan hingga ada kecacatan kekal beberapa tahun lalu mendapat duit insurans. Aku tak tahu amaun sebenar, tapi mencecah ratus ribu juga.
Adik aku beli kereta baharu berjenama H untuk dirinya, bagi sedikit kepada ibu, masukkan duit haji untuk ibu, beri sedikit kepada kami adik beradik, dan beli kereta daripada bapa dengan niat nak bagi duit bukan secara membuta.
(Bapa ada kereta Proton Wira secondhand. Dia beli semasa dapat duit KWSP tapi atas nama adik aku sebab nama bapa disenarai hitam tak boleh beli kereta).
Aku tak ada masalah tentang adik aku, sebab pada aku, duit dia, hak dia. Adik aku ini pun baik orangnya, tak kedekut dengan keluarga. Selalu kongsi rezeki dengan kami bila dia ada rezeki lebih.
Mungkin dia rasa berhutang budi sebab semasa dia kemalangan teruk dan masuk wad berbulan lamanya, aku, ibu, dan adik-beradik yang silih berganti menjaga dia di hospital dan pusat rehabilitasi.
Yang jadi masalah, bila kereta tu dah dibeli daripada bapa, bapa aku jadi kelabu mata. Dia dapat sejumlah duit yang adik aku bagi dari kereta dia itu, dia pergi beli kereta buruk jenama sama dengan kereta lama dia.
Sebab katanya dia dah tak ada kereta, padahal awal-awal adik aku dah cakap, dia beli kereta bapa tapi bapa aku boleh terus gunakan kereta tu sebab adik aku dah ada kereta lain.
Tapi kebodohan bapa aku ini tiada hadnya. Agaknya dia marah sebab adik aku tak izinkan dia bawa kereta baru H adik aku.
Adik aku memang sengaja tak bagi dia bawa kereta baru tu sebab dah tahu dia akan buat macam harta dia sendiri, ke sana sini berlagak menayang & tak jaga harta.
Sama macam Proton Wira yang dibeli adik aku tu. Sebelum ni setiap kali nak bayar road tax, servis, tukar tayar, rosak, dan sebagainya, adik aku yang keluar duit. Yang bapa aku tahu, bawa saja.
Kalau rosak, dibiarkan saja sampailah dibaiki orang lain baru dia sentuh semula kereta tu.
Kereta yang bapa beli dengan duit yang diberi adik itu bukannya kereta yang elok, tetapi versi kereta buruk. Boleh buat besi buruk.
Kereta tiada enjin dan perlu banyak diperbaiki. Memang tak cukup lah duit yang dia dapat dengan duit yang nak dikeluarkan untuk perbaiki kereta buruk itu.
Jadi apa solusi yang bapa ada?
Ya, aku lah mangsanya.
Sebelum itu, buat pengetahuan pembaca, sejak bapa hantar Whatsapp yang dia tak izin aku lawat jenazah dia kalau dia mati atau aku akan kena badi mayat dia, itulah mesej terakhir daripada dia.
Dan aku juga tak ada bagi dia duit lagi, sebab aku kecil hati dengan dia.
Ada sekali saja aku Whatsapp dia selepas itu, mesej elok-elok maklumkan berita gembira yang aku hamil.
Aku masih hormat dia, aku minta dia doakan keselamatan dan kesihatan aku dan bakal cucunya. Tapi, dia cuma bluetick sahaja Whatsapp aku itu. Haha! Beria kan aku padahal bapa aku tak peduli pun.
Okey berbalik kepada cerita, selepas dia bluetick Whatsapp berita aku mengandung tu, dalam beberapa minggu kemudian tiba-tiba dia Whatsapp aku. Dia hantar gambar kereta, bonet depan dibuka, dengan ayat,
“Tolong bankinkan 500 nak bayar pomen tak cukup duit. Kalau boleh, tak boleh dah, tapi ingat…”
Ayat tergantung kan? Dia tak sambung ayat tu.
Aku rasa marah sebab dia mintak RM500 macam 50 sen saja nilainya. Tak fikir langsung aku ni tengah mengandung nak saving duit utk bakal baby, nak guna utk kos pregnancy. Yang dia tau, dia nak duit dan mesti ada. Macam kita ni kerja cop duit saja.
Aku memang marah masa dia minta duit, tapi aku ada juga rasa lembut hati lagi sebab rasa kasihan. Aku terus mesej adik aku yang baru dapat insurans tu, dan tunjuk screenshot Whatsapp bapa.
Adik aku cakap, suruh bagi je duit yang dia mintak tu dan adik aku akan gantikan semula.
Tapi, aku rasa tak adil, sebab bapa pasti akan semakin meminta sebab dia tahu kehendak dia dilayan bila dia gunakan ugutan dia sebelum ni sebagai modal minta duit yang banyak dan berterusan.
Aku cuba lawan arus, aku guna cara lain. Aku reverse balik dengan guna gaya bahasa sama macam mesej bapa tu. Aku rasa ayat dia kasar dan bukan meminta secara baik, tetapi secara niat jahat dan mengugut.
Masa tengok gambar kereta tu, aku pelik kenapa dengan kereta tu. Aku bukan faham pun pasal kereta. Lalu aku reply,
Aku : Pomen apa yang bayar RM500?
Bapa : Kau nampak tak kereta tu turun enjin. Kalau nak bagi kau bagi. Kereta belum siap banyak barang kena beli. Kalau kau tak boleh tolong kau kena ingat…
Aku : Kena ingat apa?
Bapa : Anak kau bukan cucu aku dan kau ingat apa yang pernah aku kata kat kau dulu.
(Dulu tu maksudnya yang dia kata jangan lawat jenazah dia kalau dia mati atau aku kena badi mayat dia)
Masa ni, memang emosi aku terus terganggu. Berjurai air mata aku bila bapa aku sendiri cakap kalau tak diberi duit yang dia nak, dia tak kan mengaku darah daging dia sendiri.
Aku nak balas mesej tu dengan hamburkan semua kekecewaan aku sebagai anak dia biar dia tahu apa yang aku pendam selama ni. Lantaklah dia nak marah ke apa.
Tapi, akhirnya tak terhambur pun, sebab aku tak sampai hati kalau kat rumah dia mengamuk pada ibu dan adik-adik aku.
Aku melalak teruk, suami aku terus datang kat aku dan tenangkan aku suruh bersabar dan jangan dilayan lagi bapa aku. Dia pun dah semakin rimas agaknya dengan perangai bodoh bapa mertuanya.
Masa ni lama aku menangis, memang mulut aku menyumpah seranah sampaikan suami aku tegur. Tapi tu lah, tengah marah, sedih kecewa, memang tak terkawal emosi sampai lupa aku tengah mengandung.
Dah lama sikit, aku rasa lega dengan pujukan suami aku, aku terus cakap kat suami yang aku nekad, aku tak akan jejak lagi rumah kampung tu sampai dia dah tak ada.
Walaupun aku berhabis puluh ribu untuk rumah tu, aku taknak dah jejak kaki dan hadap muka manusia yang menidakkan darah daging tu. Aku cakap dengan ibu aku, lepas ni aku akan balik ke negeri tu, tapi hanya akan jumpa ibu aku di tempat lain.
Aku tahu, ini memang amarah aku. Tapi, apa yang aku boleh buat?
Aku dah nekad takkan menurut lagi kehendak bapa. Aku takkan hulur lagi duit pada dia. Biarlah orang bercerita macam-macam, biarlah dia membawa mulut ke sana sini. Aku dah taknak kasihan pada orang yang tak pernah kasihan dan peduli tentang anaknya sendiri.
Aku takkan menurut lagi kehendak dia yang sentiasa dahagakan wang, sebab berapa banyak pun dilambak, dia takkan pernah cukup. Dan paling menyakitkan hati, menggunakan ugutan untuk dapat apa yang dia mahukan. Bapa apa sebegini?
Kalau masih ada yang membela dia dengan mengatakan dia bapa wajar dihormati dan aku umpama seorang anak yang derhaka, aku tak boleh nak cakap apa. Sakitnya hati seorang anak, hanya yang melalui sahaja yang tahu.
Betullah orang kata, kita takkan mampu memilih siapa ibu bapa kita.
Benda sebegini yang menjadikan aku kuat iltizam untuk menjadi ibu yang baik kepada anak-anak aku nanti. Aku tak nak mereka alami benda yang sama. Aku mahu mereka mendapat kasih sayang secukupnya.
Mungkin selepas ini akan ada tragedi lain. Aku tak tahu apa, Cuma aku mampu harap, aku kuat dan terus kuat. Dan keluarga aku juga dilindungi Allah sentiasa daripada kezaliman seorang lelaki bernama bapa.
Maaf jika ada ayat aku yang kasar dan tidak sesuai. Masih terbuai emosi amarah.
Aku tahu, ramai yang alami perkara yang sama dengan aku. Mungkin bukan bapa, tetapi ibu, atau adik beradik. Aku doakan semoga kalian tabah dan mampu keluar dari kehidupan yang toksik ini.
Kepada pembaca, doakan kami yang berada dalam situasi ini supaya kuat.
Kami bukan mahu menderhaka. Tapi, keadaan yang memaksa kami.
Noble Strength,
– Audelia (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit