Realiti Guru Sekolah Swasta

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca IIUM Confession. Saya tertarik dengan luahan ‘Kerana Aku Seorang Guru’, (https://iiumc.com/kerana-aku-seorang-guru/), yang disiarkan baru-baru ini. Saya bersimpati dengan nasib yang menimpa Mrs A. Sebelum itu, saya ucapkan tahniah kepada confessor kerana mempunyai ‘passion’ yang mendalam dalam bidang pendidikan. Ini kualiti yang sangat mahal bagi seseorang yang bergelar pendidik. dengan adanya passion yang mendalam, seorang guru akan rasa bersemangat untuk bekerja walaupun diuji dengan pelbagai dugaan.

Terlebih dahulu saya ingin memperkenalkan diri saya sebagai Cikgu B. Saya merupakan seorang guru yang mempunyai pengalaman mengajar hampir 15 tahun di pelbagai institusi pendidikan swasta dan kerajaan. Malahan saya pernah juga berada dalam situasi Mrs A iaitu mengajar di sebuah sekolah Islam. Tempoh 15 tahun ini banyak pengalaman suka duka yang dilalui sehingga pada hari ini saya berupaya membangunkan sekolah saya sendiri. Alhamdulillah sekolah saya ini berkembang dengan baik mempunyai ratusan pelajar dengan bantuan 25 orang guru dan kakitangan. Apa yang ingin saya kongsikan ini ialah apa yang perlu dilakukan oleh confessor dan adik-adik lain yang ingin menceburkan diri dalam bidang pendidikan swasta.

Pertama sekali, matlamat yang jelas untuk menjadi seorang pendidik. Untuk menjadi seorang pendidik kita harus menyiapkan diri kita dengan pelbagai ilmu dan kemahiran. Antara kemahiran yang penting ialah kemahiran menguruskan emosi. Walaupun kita sedang marah, belajar untuk kawal emosi. Segera alihkan kemarahan kita apabila kita mula hilang kawalan diri. Jangan sampai pelajar dapat lihat kita ‘lost’ dan tahu titik kelemahan kita.

Kedua, sentiasa peka pada arahan dan ikut SOP yang ditetapkan. Setiap sekolah akan mempunyai SOP tertentu untuk melancarkan tugasan. Dalam kes confessor, rakannya telah melanggar SOP apabila ada membuat sentuhan fizikal terhadap pelajar. Atas niat apa sekalipun, sentuhan fizikal adalah sesuatu yang tidak wajar dilakukan kerana perkara ini boleh menyebabkan berlakunya pelanggaran SOP.

Saya akui saya pernah merotan pelajar semasa menjadi guru di sekolah swasta Islam. Perkara ini kira-kira 13 tahun dahulu dan perkara itu tidak dianggap kesalahan serius walaupun yang dirotan itu seorang anak Dato’ Seri. Malahan saya masih berhubung baik dengan anak murid tersebut dan secara berseloroh dia kata, kalau cikgu tak rotan saya dulu, tak merasa la saya jadi lawyer hari ini. Aktiviti merotan pelajar ini lebih menjadi-jadi semasa saya menjadi guru GSTT. Di sekolah tersebut, hampir semua guru membawa rotan masuk ke kelas. Asalnya rotan itu untuk ketuk meja supaya pelajar diam. Tapi adakalanya terlibas juga pada pelajar yang mengganggu proses P&P.

Saya hanya belajar mengawal kelas tanpa rotan dan sebarang sentuhan fizikal apabila mengajar di sebuah sekolah swasta elit milik bangsa asing. Sekolah itu menetapkan SOP yang ketat dan kami guru dan pelajar sama-sama mematuhi SOP yang ditetapkan. Alhamdulillah proses P&P berjalan dengan sangat lancar. Kelas yang kecil dan bilangan pelajar yang sedikit bahkan dengan alat bantu pembelajaran yang banyak membolehkan proses pembelajaran berlangsung dengan harmoni tanpa perlu guru terjerit-jerit untuk marah. Malah sekolah juga ada sistem merit untuk mengawal disiplin pelajar.

Selepas saya membangunkan sendiri sekolah saya barulah saya sedar kesan dari segi tindakan undang-undang terhadap sekolah sekiranya pihak sekolah melanggar arahan yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib. Zaman telah berubah. Cara mendidik juga berubah. Walaupun ada ibu bapa yang membenarkan anak mereka dirotan, namun saya dengan tegas tidak membenarkan kakitangan saya membuat apa-apa sentuhan fizikal kepada pelajar. Hal ini untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku kerana banyak perkara luar jangka yang kadang-kadang kita tidak terjangka.

Saya beri contoh satu kejadian yang berlaku di sekolah saya. Mereka ini pelajar sekolah menengah. Dua pelajar telah bergaduh mulut. Salah seorang pelajar telah menumbuk dada pelajar seorang lagi secara perlahan dan tidak ada apa-apa kesan pun. Rakan yang menjadi saksi turut mengakui perkara tersebut. Pelajar tersebut telah balik dan mengadu kepada bapanya. Anaknya mengatakan dia rasa sakit dada dan sukar untuk bernafas dan minta dibawa ke hospital. Kebetulan pelajar tersebut ada penyakit asma (rakan yang menumbuk tidak mengetahui hal tersebut). Ayahnya membawa ke hospital swasta kerana ada insurans.

Apabila sampai ke hospital, pelajar tersebut menyatakan kepada doktor bahawa dia ‘dibuli’ oleh rakan dan menokok tambah cerita bahawa dia berasa sakit kepala. Berdasarkan penceritaan pelajar tersebut doktor telah membuat keputusan untuk membuat full check up termasuk x-ray dan CT Scan. Selepas full check up, didapati pelajar tersebut tidak ada apa-apa kecederaan. Pihak insurans tidak mahu menanggung bil hospital yang mencecah belasan ribu ringgit melainkan ada laporan polis mengatakan pelajar tersebut dibuli. Saya tidak bersetuju laporan polis dibuat kerana pelajar saya akan disiasat dan boleh dikenakan reman kerana membuli walhal dia tidak berniat pun untuk membuli. Perkara ini pasti akan beri kesan emosi kepada pelajar saya. Akhirnya perkara itu dapat diselesaikan dengan baik. Suka saya nyatakan pelajar yang ditumbuk itu sebenarnya mild autisme. Cuba bayangkan kalau yang menumbuk atau memukul pelajar tersebut kakitangan saya, harusnya saya sebagai pentadbir lebih sakit kepala. Sebab itulah, jangan sekali-kali sentuh pelajar. Gunakan bentuk hukuman lain yang lebih sesuai.

Ketiga, fahami tugas hakiki seorang guru di sekolah. Laksanakan tugas tersebut tanpa mencampuradukkan urusan peribadi. Jangan bawa masuk emosi dalam tugas hakiki. Apa yang berlaku dalam kes confessor ialah beliau mahu membela kawannya yang dirasakan teraniaya. Perkara ini sepatutnya diselesaikan antara rakannya dengan pihak pentadbir. Malahan rakannya mengakui ada membuat sentuhan kepada pelajar. Di sinilah bermulanya konflik antara confessor dengan pentadbir. Hal ini kemudian berlarutan dan melibatkan emosi yang berpanjangan. Ditambah pula dengan melibatkan emosi pelajar, rakan-rakan guru dan ibu bapa. Lebih memburukkan keadaan apabila confessor secara terbuka meluahkan perasaan di media sosial. Confessor secara berterusan merasakan dirinya sebagai mangsa dan sedaya upaya membuktikan dirinya tidak bersalah. Sebagai seorang pentadbir sekolah, di sinilah saya lihat titik punca penamatan tugas confessor di sekolah tersebut.

Keempat, sentiasa bersikap profesional dengan pelajar dan ibu bapa pelajar. Walau apa jua masalah peribadi kita dengan pihak sekolah, jangan sesekali luahkan kepada mereka kerana tindakan ini tidak profesional. Confessor boleh luahkan pada rakan sekerja atau kenalan rapat. Pelajar dan ibu bapa itu client kepada sekolah. Mereka yang membawa masuk duit kepada sekolah untuk melancarkan urusan sekolah termasuk membayar gaji confessor sendiri. Bayangkan kesan tindakan confessor yang emosional ini mempengaruhi pertimbangan mereka terhadap sekolah. Sekolah swasta digerakkan sepenuhnya dengan yuran dari pelajar. Jangan hanya kerana kemarahan kita yang seketika merosakkan sekolah yang telah dibangunkan susah payah oleh orang lain. Ramai orang lain yang berkongsi rezeki di sekolah yang sama. Jadi mohon fikir panjang sebelum bertindak.

Berikut ialah sudut pandang saya sebagai seorang pentadbir apabila menguruskan sesebuah organisasi. Sudut pandang ini hanya saya dapat selepas melalui pengalaman yang sama apabila berdepan dengan staff yang melanggar SOP dan bertindak emosi apabila dikenakan tindakan tatatertib.

Pertama, apabila bersetuju untuk berkerja di sesuatu organisasi, fahamilah peraturan asas dan budaya kerja di tempat tersebut. Baca senarai tugas yang dinyatakan dalam surat tawaran. Terima tawaran sekiranya ada yakin anda boleh melakukan senarai tugas yang dinyatakan. Sekiranya anda sudah faham tanggungjawab tersebut, adalah tidak wajar untuk anda bersungut dan mengeluh-ngeluh secara terbuka dengan tugas yang sendiri pilih.

Kedua, adalah tidak wajar untuk untuk andai mempertikaikan tugas dan tanggungjawab orang lain yang berada di luar bidang kuasa anda. Dalam organisasi setiap orang ada tugas dan tanggungjawab masing-masing. Sila baca TANGGUNG dan JAWAB. Dalam kes confessor, beliau mempertikaikan cara pengurusan sekolah tersebut menangani kesnya. Saya juga dapati komen dari pembaca rata-rata menyalahkan pihak sekolah dan ada yang menuduh sekolah sebagai mata duitan dan hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

Saya bagi situasi begini, seorang guru telah melanggar SOP yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Ibu bapa pelajar kemudian mengambil tindakan undang-undang. Dalam kes ini, siapakah yang akan bertanggungjawab sepenuhnya dengan kejadian tersebut? Pihak manakah yang akan terjejas? Siapakah yang akan menerima kesan secara menyeluruh? Cuba ambil iktibar dari kejadian pelajar tahfiz kemalangan yang menyaman sekolah kerana guru yang memandu tidak mempunyai lesen, pengusaha taska yang diarahkan tutup kerana kecuaian kakitangan dan banyak lagi kejadian pelanggaran SOP sekolah yang mengheret pentadbir sekolah swasta ke muka pengadilan.

Di sinilah yang membezakan organisasi kerajaan dan swasta. Adalakanya pekerja merasakan majikan swasta ini kejam dan tidak bertimbang rasa, namum sebaliknya mereka tidak nampak kesan besar yang akan berlaku apabila berlaku sesuatu pelanggaran SOP ini. Guru boleh lepas tangan begitu, tetapi pentadbir perlu bertanggungjawab sepenuhnya.

Bagi pihak confessor, beliau hanya nampak dirinya seorang yang teraniaya kerana beliau tidak berupaya memandang peranan dan tanggungjawab pihak pentadbir dalam skop yang lebih meluas. Saya percaya pentadbir mengambil langkah yang sukar untuk meminta confessor melepaskan jawatan tersebut kerana confessor seorang guru yang bagus dan ada passion. Namun apabila confessor gagal mengawal emosi dan berterusan bersikap mangsa keadaan menyebabkan confessor menjadi duri dalam daging dalam sekolah tersebut.

Sebagai seorang yang matang, sewajarnya kejadian ini tidak dipanjangkan ke pihak luar sehingga menimbulkan persepsi yang tidak baik kepada pentadbir dan sekolah.Perbincangan secara tertutup dan sikap saling memaafkan boleh menghentikan perkara ini dari berpanjangan. Confessor ada menyatakan bahawa pihak sekolah menunaikan tanggungjawab mereka dengan baik dari segi pembayaran gaji. Jadi sangat tidak wajar untuk confessor bertindak seperti kebudak-budakan dan tidak matang.

Dalam satu organisasi adalah sangat penting untuk bekerja dengan hati yang tenang dan berlapang dada. Masalah komunikasi akan timbul jika pekerja dan majikan mempunyai rasa syak wasangka yang berpanjangan. Sebagai majikan, sekiranya saya mempunyai seorang pekerja yang bagus dan tip top dalam menjalankan tugas, namun kalau beliau tidak pandai mengawal emosi dan bersikap seperti kebudak-budakan,dan mempengaruhi orang lain dalam organisasi, saya dengan senang hati akan melepaskannya pergi.

Akhir kata, semoga confessor jadikan pengalaman ini sebagai pengajaran yang mahal dan lebih berhati-hati pada masa depan. Tutup kisah ini dan jangan panjangkan lagi pada bakal majikan lain. Kutip nilai-nilai positif yang diterima sepanjang berkhidmat di sekolah tersebut. Gunakan pengalaman tersebut untuk memajukan diri di tempat lain. Selamat maju jaya dan jangan berputus asa mendidik anak bangsa.

– Cikgu Besar

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *