Anakku Meninggal Dalam Kandungan II

Untuk part I, (https://iiumc.com/anakku-meninggal-dalam-kandungan/).

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat para pembaca. Terima kasih kepada yang sudi membaca kisah aku yang terdahulu. Aku ucapkan terima kasih atas kata-kata semangat dari para pembaca. Ketika aku taip confession ini, hati aku dah redha dengan apa yang berlaku dan aku cukup bertenang dengan keadaan sekarang.

Setelah anak yang dikandung tinggal seorang, aku fikir semuanya akan jadi lebih mudah tetapi malangnya keadaan anak dalam kandunganku semakin parah sehingga aku dirujuk ke Hospital Umum Sarawak untuk dipantau doktor pakar O & G yang lebih berpengalaman. Malangnya doktor pakar O & G di Hospital Umum Sarawak memberitahu aku dan suami hanya 20%-30% peluang anak berjaya survive kecuali ada keajaiban berlaku. Disebabkan aku dan suami masih ingin meneruskan kandungan ini yang memasuki minggu ke-27, doktor memberikan aku suntikan DEXA iaitu suntikan untuk mematangkan paru-paru bayi.

Aku masih meneruskan rutin harian seperti biasa sehingga 31hb December, 2018. Saat yang aku paling takut akan berlaku, akhirnya terjadi juga. Pada mulanya aku turun kerja seperti biasa tetapi hati aku gelisah dan susah hati sebab aku langsung tak rasa pergerakkan bayi dari pagi. Aku meminta kebenaran untuk balik pukul 3 petang dan segera ke klinik swasta. Sampai di klinik, bila doktor wanita scan kandungan, memang nyata jantung bayi dah berhenti berdegup. 24hb Disember, 2018 aku diberi suntikan DEXA dan 31hb Disember, 2018, baby aku dah pergi buat selamanya. Hanya Allah yang tahu rahsia hati bila diuji sebegini. Allah uji sebab Allah sayang. Doktor memberi surat untuk refer aku ke hospital terus pada malam itu juga.

Aku, suami dan ibu ayahku ke hospital malam itu juga tetapi doktor meminta aku datang kembali 2hb Januari, 2019. Aku masuk ward 2hb Januari, 2019 dan doktor memasukkan ubat induce pada pukul 11.30 pagi. Pada pukul 2 petang, aku mula rasa sakit perut yang amat sehingga pukul 6.45 petang, aku terdengar bunyi seperti belon pecah dan rasa cecair hangat yang mengalir keluar. Suamiku segera memanggil doktor. Memandangkan air ketuban telah pecah dan bukaan terbuka 3cm, doktor dan nurse menolak katilku ke bilik bersalin.

Aku selamat melahirkan baby lelaki pada pukul 11.41 malam dan baby perempuan pada pukul 11.58 malam. Anak syurgaku merupakan bayi kembar sepasang. Allah sangat permudahkan urusanku melahirkankan anak syurga. Hatiku terasa sayu bila bersalin tanpa suara tangisan bayi yang amat dinantikan semua ibu. Aku seorang ibu yang tak sempat dukung bayi sendiri, tak sempat susukan bayi sendiri, tak sempat melihat bayi sendiri membesar dan tak sempat dengar suara tangis bayi sendiri.

Keesokkannya, aku discharge dari hospital, masih sempat ke tanah perkuburan dan melihat bayiku untuk kali terakhir. Aku tenang tanpa setitis air mata. Semua urusan pengebumian berjalan lancar dan sempat dikebumikan sebelum zohor. Aku berpantang di kampung.

Aku dan suami redha dengan apa yang berlaku. Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk aku dan suami. Memang sudah ditakdirkan kandungan ku hanya bertahan sehingga minggu ke-27. Aku hargai sangat-sangat usaha doktor dan nurse sewaktu dalam bilik bersalin. Terima kasih para doktor dan nurse yang bertugas sebab cukup bersabar dan memberi kata-kata semangat. Terima kasih rakan sekerja, kawan-kawan dan jiran yang mengambil berat dan memberi ruang untuk aku meluahkan rasa hati. Aku bahagia sangat keluarga aku ada di saat aku memerlukan terutama ibu yang menjaga aku dalam pantang.

Sekarang aku dah habis berpantang dan kembali ke rumahku sendiri. Kadang-kadang menitis jua air mata bila teringat kembali kenangan masa mengandung kerana baru sebulan lebih berlalu. Bila aku buka facebook, orang bercerita dan post tentang anak tambah-tambah lagi anak yang baru lahir, aku tak nak tengok dan baca sebab aku akan terkenang kembali kisah lalu. Bila aku dan suami berjalan-jalan di pasaraya, aku rasa sayu sangat tengok anak kecil yang sihat dan berlari menikmati zaman riang. Aku ajar hati aku untuk redha. Aku selalu sibukkan diri aku dengan pelbagai pekara supaya aku lepaskan kenangan lama satu persatu. Aku bersyukur aku tak ambil masa yang lama untuk pulih kembali.

Aku dan suami memberikan nama Mohd Khalis dan Nur Khaleeda untuk anak syurga kami. Hari ini genaplah 50 hari bayiku meninggalkan aku dan suami. Mungkin Allah tahu seandainya anak kami hidup, mungkin aku dan suami tidak kuat untuk menempuh dugaan sekiranya anak kami sakit dan tidak normal seperti anak orang lain.

Jika Allah berkehendakkan sesuatu, maka jadilah ia. Kita hanya merancang tapi Allah lebih tahu yang terbaik untuk kita. Alhamdulillah atas nikmat Allah masih memberi aku bernafas sehingga hari ini. Sekian, terima kasih.

– Nur Afiza

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *