Assalamualaikum semua, saya Karim, pertengahan 20-an, sekarang tengah sambung belajar. Ada yang kata hensem/cantik ni subjektif dan relatif, bergantung kepada orang yang memandang seperti pepatah inggeris ‘beauty is in the eyes of the beholder’.
Namun bagi aku, secara literal dan ijmak masyarakat, hensem itu boleh disepakati pada artis-artis tempatan dan antarabangsa. Bahkan huduh juga boleh disepakati, cuma tak terluah sahaja sebab nanti digelar kurang ajar.
Maka dengan sandaran itu, aku sedar laa jugak aku ni tak hensem. Muka biasa-biasa, allignment gigi lari sikit, rambut kerinting. Jadi dekat sini aku syorkan beberapa cara dan solusi bagi golongan macam aku ni untuk lebih berkeyakinan bagi mengatasi masalah anda yang tidak hensem.
1) Selalu bersyukur dan berakhlak mulia.
Itulah manusia, selalu tak bersyukur bila tak dapat nikmat rupa kacak dan menyalahkan takdir, ibu bapa, persekitaran akibat tidak mewarisi genetik hensem. Kita kena rasa bersyukur bahawa kita masih bernafas lagi, masih diberi peluang nikmat iman dan islam, masih mampu bekerja, cukup anggota badan dan tidak kehilangan mana-mana pancaindera. Bukankah itu nikmat yang besar dari Allah.
Kemudian setelah sedar, jadilah pemuda yang soleh dan berakhlak mulia. Utamakan solat bejermaah, menghormati orang tua, menepati janji, menjaga maruah, jangan mencarut bersepah-sepah. Nescaya karakter anda akan mengaburi ciri tak hensem anda.
2) Jadi kelakar.
Kalau tengok shuib dan jep sepahtu tak kacak mana. Tapi lelaki kelakar mudah didekati wanita. Fokus pada lawak yang sebenar dan kurangkan pada lawak hambar dan pickupline murahan. Sikit-sikit sudah, dan letuskan lawak anda 3 kali sehari sahaja. Maka perkara itu akan jadi langka dan lebih dihargai. Menjadi lawak juga membaiki keyakinan dan skil interpersonal.
3) Jadi kaya.
Perempuan mahukan jaminan dari seorang lelaki. Jaminan bahawa masa depannya akan jadi cerah jika lelaki itu berwang, bekerjaya dan berwawasan. Aku tak salahkan wanita, fitrahnya begitu. Maka berusahalah menjadi kaya, nescaya ciri tak hensem anda itu akan dilupakan secara semulajadi.
4) Jadi pandai.
Banyakkan membaca dan menambah ilmu. Kalau kita pandai, anda akan terus dipandang tinggi. Lihatlah sainstis terkemuka seperti albert einstien yang tidak hensem mana. Cuba bayangkan einstien tu jadi artis, maka pelawak adalah selayaknya. Jadi berusahalah jadi sepandai mungkin dan membina kredibiliti ilmu dengan menulis dan sambung belajar. Lama-lama orang lupa tak hensem kau, dia ingat pada kesarjanaan kau sahaja.
5) Jadi sihat/sado.
Secara alami, haiwan yang paling fit akan survive kat dunia ni. Sebagai contoh, singa yang paling gagah akan memenangi persaingan menjadi ketua kawanan dan mampu meneruskan keturunan akibat kegagahan, fitness dan kemengangannya. Jadi manusia yang terikut sistem ini juga akan memilih orang yang sihat (fitness bagus, tidak kurus cikeding) dan kurang penyakit bawaan genetik dan persekitaran (sejarah keluarga cancer, HIV, pembawa gen talasemia, hisap rokok).
Maka anda boleh mulakan gaya hidup sihat, bersukan dengan aktif dan bergaya, jauhi perkara yang merosakkan diri. Nescaya seperti semulajadi anda menjadi tarikan yang besar untuk berpasangan dan terus melupakan sifat tak hensem anda.
Sebagai penutup, jadilah diri sendiri dan tumpukan usaha untuk perbaiki diri setiap masa. Jika anda tidak hensem, nescaya ramai lagi tak hensem. Jika anda rasa hensem, baliklah cermin diri semula. Tapi bab pasangan ni, ikut jodoh juga sebab aku pun membujang lagi.
– Karim
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit