Lafaz Yang Tersimpan

Meluahkan, bukan cara aku. Mengadu, bukan gaya hidupku. Namun, hati dan perasaanku masih seperti manusia biasa, mempunyai perasaan kasih dan sayang. Luahan atau kata-kata tidak menjadi pilihan ku, hanya tindakan serta pelaku yang dapat aku gambarkan betapa aku menyayangi seseorang.

Bermula dari kecil, aku tidak seperti adik-beradik ku yang lain. Dengan mudah melafazkan, “ Sayang Mak” “Sayang Abah”. Segala aktiviti yang aku sertai di sekolah termasuk mesyuarat PIBG kalau boleh, aku tidak mahu ibu bapa aku hadir, sebab aku tidak mahu mereka tahu hidup aku di sekolah macam mana.

Walau aku tergolong dalam kalangan antara atlet yang popular di sekolah dan belajar di kelas paling hadapan, aku tidak mahu ibu bapaku banggakan dengan apa yang aku capai. Jika boleh aku tidak mahu ibu bapa aku menceritakan atau bersembang dengan saudara mara setiap kejayaan yang aku capai. Tiap kali ibu bapa ku berbicara tentang kejayaan ku, aku akan menarik muka dan terus masuk ke dalam bilik tanpa mengeluarkan sepatah kata kepada ibu bapa ku. (maafkan aku ibu abah)

Aku seorang yang tidak sukakan kesedihan. Tiap perkara sedih yang berlaku dalam hidup aku, akan ku pendamkan. Bagi aku, kesedihan adalah hak kita, dan kita sendiri sepatutnya menyelesaikan kesedihan kita. Kerana, kadang-kadang, kesedihan kita boleh memberi kesan kepada orang sekeliling.

Kemuncak, ketika arwah bapa ku pergi meninggalkan dunia ini, aku tidak menitiskan air mata saat mengetahui perkara tersebut. Dengan tenang aku memandu kereta pulang ke rumah dengan harapan, aku sempat melihat wajahnya buat kali terakhir. Namun, apabila aku berada di hadapan jasad yang kaku, dadaku terasa sesak, sebak menyelubungi diri, namun, air mata ku masih berdegil untuk keluar. Saat aku membacakan Surah Yassin, perlahan-lahan suara aku menjadi serak dan terputus-putus.

Ya Allah, air mata masih berdegil untuk keluar. Mungkin aku ingin dilihat kuat di hadapan adik beradik yang lain. Kemudian jasad yang terbujur kaku dibawa ke masjid untuk disolatkan. Aku masih tenang dan masih tidak lagi menatap wajah bapaku. Lalu jasad dibawa ke tanah perkuburan dan disemadikan. Ketika talqin dibacakan tanpa aku sedari, air mata aku berlinangan tidak berhenti.

Ya Allah, dalam fikiranku, memikirkan, sepanjang bapa aku hidup, mesej yang dia hantar aku endah tidak endah, apabila aku menghubungi rumah, aku hanya bersembang dengan ibu, aku sentiasa menghalang dia menceritakan apa-apa berkenaan diriku samada keputusan peperiksaan atau kejayaan. Namun sebenarnya, jauh di lubuk hati aku, aku amat menyayangi dia. Aku sedaya upaya cuba menggembirakan dia. Namun sepanjang dia bernafas, tidak pernah sekali aku melafazkan rasa sayang aku padanya.

Kini ibuku pula terlantar. Doktor telah menyatakan keadaan ibuku. Tiada lagi apa yang boleh doktor lakukan untuk menyembuhkan ibuku. Tiada lagi rawatan, hanya kesenangan yang dapat diberikan kepada ibuku. Ketika doktor menerangkan keadaan ibuku, aku dengan tenang menerima keadaan tersebut. Berbekalkan ketenangan tersebut aku memaklumkan kepada adik beradik yang lain (ketika itu hanya ada aku sahaja waris di hospital).

Aku berkata dalam hati, “Aku mesti kuat, adik beradik yang lain mengharapkan aku”. Namun, sekeras-keras hati manusia, akan terselit sedikit perasaan kesedihan. Apabila aku usai solat dan menadahkan tangan memohon doa kepadaNya, air mata aku mengalir. Mudahnya air mata aku mengalir ketika aku bersendirian. Air mata aku tidak pernah melimpah apabila aku berada disisi ibuku yang terlantar di katil hospital.

Hanya tanganku erat memegang tangannya. Hanya ayat Al – Quran yang melazimi bibirku. Jauh disudut hatiku, ingin aku luahkan, “Mak, orang sayang mak”. Namun, tidak terluah. Bibir aku tidak membenarkan luahan hati aku dilisankan. Hanya doa ku pohon agar Sang Pencipta memudahkan urusan ibuku.

Luluh hatiku yang sayu
Menatap wajahmu tenang dalam lena
Kasih zahirkan laku
Sedangkan bibirku jauh dari lafaznya
Dan raut tuamu membekas jiwaku
Meredakan rindu mendamaikan kalbu
Tak mungkin kutemu iras sentuhanmu
Biarpun kuredah seluruh dunia
Mencari gantimu
Betapa sukarnya menyusun bicara
Meluahkan rasa menuturkan sayang
Kasih yang terlimpah hanya sekadar
tingkah
Cuma ungkapan kebisuan yang
melindungkan kalimah rahsia
Masih kubiarkan waktu
Melarikan lafaz kasihku padamu
Mengapakah sukar menyusun bicara
Meluahkan rasa menuturkan sayang
Kasih yang terlimpah hanyalah sekadar
tingkah
Cumalah ungkapan bisu kalimah rahsia
Apakah yang hilang andai dilisankan
Bait penghargaan penuh kejujuran
Tak mungkin terlihat cinta yang merona
Jika hanya renungan mata yang bersuara
Bukan tutur kata
Tiada lagi ertinya pengucapan
Andai akhir nafas di hujung helaan
Sebelum mata rapat terpejam
Usah biar kehilangan
Menggantikan lafaz yang tersimpan

*Lafaz Yang tersimpan – UNIC*

Sehingga kini, aku cuba untuk memujuk diri untuk menuturkan kata-kata hikmah kepada ibuku. Namun, bibir masih kaku. Semoga kesesalan yang lalu tidak berulang.

– -army_beep_

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *