Assalamualaikum. Malam ni dah masuk 9 syawal. Ibu masih berkira-kira untuk teruskan menulis confession ni. Lepas ibu tidurkan satu- satunya puteri ibu, ibu mula terimbau kembali saat-saat di mana ibu nekad membuat keputusan untuk mengakhirkan rasa yang ibu pendam.
Syawal kali ini, ibu sambut berdua dengan puteri ibu, Amani. Tak seperti tahun lepas, kami masih di temani oleh ayah Amani. Walaupun pagi 1 syawal, ayah Amani datang. Tapi, ia tetap takkan sama seperti tahun sebelumnya. Raya tahun ke 2 Amani kali ini agak hambar. Maafkan ibu sayang. Kerana apa yang jadi, Amani tak dapat membesar bersama dengan ayah. Ibu tak dapat nak berikan seorang ayah dalam proses Amani membesar.
Pagi 1 syawal, ayah Amani datang untuk beraya bersama ibu dan juga Amani. Tapi, hati ibu beku. Ibu dah maafkan ayah, tapi hati ibu dah mati untuk balik bersama ayah. Tahun 2015 ibu bernikah dengan ayah Amani. Perkenalan yang singkat. Di saat itu, ibu sedang kesedihan kerana bakal tunang ibu, baru sahaja meninggal. Di saat keluarga ibu sedang kalut menyelesaikan persiapan pertunangan ibu dengannya. Tapi, Allah lebih sayangkan arwah. Nak di jadikan cerita, ibu kenal ayah Amani tanpa sengaja. Ayah Amani duda anak 2. Masa tu, ibu tak fikir pon ayah Amani nak tolong ibu.
Ya, ayah Amani tahu majlis tunang ibu akan berlangsung bulan seterusnya, tapi juga akan di batalkan kerana bakal tunang ibu dah kembali kepada pencipta kita. Ayah Amani menyatakan hasratnya nak meminang ibu, menggantikan majlis sebelum itu. Ibu betul-betul terkejut. Puas ibu buat solat istikharah. Jawapan yg ibu dapat masa itu memang terima lamaran ayah Amani.
Maka, berlangsunglah pertunangan ibu dengan ayah Amani. Orang yang hanya ibu kenali tak lebih sebulan. Dalam masa tu, ibu cuba mengenali ayah Amani, juga abang dan kakak Amani. Semua berlajan lancar sehinggalah tiba hari pernikahan. Petang sebelum majlis akad nikah, ibu call ayah Amani. Ibu nyatakan masih belum terlambat kalau ayah Amani nak berundur. Ibu tak nak ayah Amani menikahi ibu atas dasar kesian.
Jelas, perasaan ibu dan ayah Amani masih belum lagi ada perasaan cinta, sayang mungkin, tapi cinta agak jauh untuk ayah Amani luahkan pada ibu. Ibu tahu sebab ayah Amani sendiri yang berterus terang. Tapi, malam tu, ibu tetap sah menjadi yg halal buat ayah Amani. Maka, ibu perlu belajar menerima juga mencintai ayah Amani. Suami ibu!
Tahun pertama perkahwinan, ibu masih tak ada tanda mengandung. Manakan tak, ibu dan ayah Amani masih belajar untuk memupuk perasaan cinta selepas berkahwin. Tapi ibu tahu, dugaan amat berat buat ibu. Ayah Amani masih lagi tak dapat lupakan bekas isteri lamanya. Ibu faham, untuk melupakan perkahwinan yang dia bina selama 13tahun bukan mudah. Juga bukan mudah untuk ibu buktikan pada ayah Amani bahawa ibu dan juga bekas isteri ayah Amani adalah individu yang berbeza.
Sepanjang setahun berkahwin, ayah Amani kerap kali marah-marah ibu. Samakan ibu dengan bekas isteri ayah Amani. Sedangkan ibu tak pernah mengenali dia. Ibu buat sebaik mungkin. Bantu ayah Amani jaga makan minum, pakaian, juga sekolah abang & kakak Amani. Kalau gaji ayah Amani tak cukup, ibu tak pernah berkira untuk keluarkan duit ibu untuk tampung belanja kami semua.
Tapi, ibu ingat, abang dan kakak Amani hargai apa yang ibu buat. Abang Amani agak pendiam, dia lebih banyak memerhati dari bercakap. Juga dia mula memahami corak dan juga cara ibu mahu displinkan abang dan kakak di rumah. Abang agak memberontak, tapi lama kelamaan, abang faham kenapa ibu buat semua itu. Cuma kakak Amani semakin menjauh. Lebih-lebih lagi bila mama mereka kerap kali datang dan ambil mereka. Ibu perasan setiap perubahan yang berlaku.
Tapi, bila ibu adukan pada ayah, ibu balik yang di marahi. Ibu langsung tak boleh tegur salah silap abang dan kakak Amani. Ibu terpaksa diam kalau mereka melakukan kesalahan. Ibu hadap, ibu hadam, ibu pendam, ibu telan sorang-sorang. Dan dalam masa yang sama, ayah Amani tak cuba faham apa yang jadi dekat dalam rumah.
Ibu belajar untuk terima tiga orang asing dalam hidup ibu serentak. Ibu belajar sayangkan mereka dengan ikhlas, ibu siapkan keperluan mereka tanpa ibu banyak bunyi. Sebab ibu tahu itu juga tanggungjawap ibu dalam rumah itu. Tapi, ayah tetap tak nampak. Ayah tetap tak jaga perasaan ibu. Yang kerap kali keluar dari mulut ayah, ayah susah nak bercinta. Ayah sayang ibu, tapi ayah tak tahu cinta kah ayah pada ibu. Sebab apa yang ibu buat 100 peratus berbeza dengan hidup yang pernah ayah Amani lalui dahulu.
Ibu taknak cerita pasal bekas isteri ayah Amani. Biarlah itu kisah mereka. Ibu taknak jadikan itu alasan untuk ibu jatuhkan keluarga baru ibu. Ibu nak bina kekuatan untuk didik abang dan kakak Amani. Ibu nak mereka rasa di hargai. Ibu nak mereka rasa ada keluarga yg lengkap. Bukan ibu tiri yang jahat. Bukan juga ibu tiri yang tidak perihatin. Tapi, itu semua khayalan ibu. Apa yang ibu usahakan tak menjadi. Malah, kakak Amani mula membenci ibu.
Banyak kali ibu dengar orang bertanya kenapa ibu tak bagi kakak Amani makan, ibu tak bagi kakak macam-macam. Ibu jadi pelik! Bukan ke kakak Amani dapat semua. Apa yang dia nak, semua ibu bagi walaupun ibu berbunyi untuk mengambil tahu pergerakan dia. Tapi, nampaknya, ibu dah jadi ibu tiri jahat! Ibu tak berjaya! Kakak Amani jaja cerita macam-macam. Ibu hanya diam tatkala ibu dengar semua.
Walaupun ibu sedih. Tapi ibu tak pernah nak tunjuk pada ayah Amani. Ibu tak pernah mengadu apa yang kakak Amani kata pada ibu. Bagi ibu, kakak Amani dalam fasa nak membesar menjadi remaja, maka banyak yang dia rasa tak sesuai mungkin untuk dia. Entahlah, ibu jadi sedih.
Tahun ke 2 perkahwinan, ibu di sahkan mengandung. Ayah Amani mula layan ibu baik sikit. Sebenarnya, ayah Amani seorang yang baik, bertanggungjawab serta penyayang. Ayah jadi macamtu sebab kisah silam dia dengan bekas isteri dulu. Maka dia samakan semua perempuan sama je perangainya. Ibu survive agak lama nak tunjukkan pada ayah Amani yang tak semua perempuan sama. Tak semua orang akan buat benda yang sama. Ibu cuba menjadi positif untuk ayah Amani. Banyak kali!
Tapi, masa kandungan ibu 4bulan, ayah Amani mengamuk. Marahkan ibu sebab ibu terhilangkan dompet duit ibu semasa ibu dan ayah keluar cari barang rumah. Macam-macam ayah cakap malam tu termasuk lah ayah menyesal berkahwin dengan ibu. Ayah benci tengok ibu menangis. Malam tu juga ayah hantar ibu balik rumah atok dan nenek. Masa tu, ibu rasa musnah dah apa yang ibu pertahankan. Hancur dengan kata-kata ayah!
Dalam masa seminggu ayah tinggalkan ibu dekat kampung. Ayah ade lah call juga wasap ibu minta maaf. Tapi tak datang-datang bawa ibu balik. Lepas seminggu, ayah datang minta maaf, dan ajak ibu balik rumah. Ibu lembut hati maafkan ayah Amani. Walaupun ayah dah lukakan hati ibu, tapi ibu fikir demi anak ibu balik. Lagipon ibu tahu ada silap ibu. Jadi takkan ibu nak salahkan ayah Amani sorang. Bila balik rumah, ayah Amani layan ibu baik. Ayah nampak menyesal sangat. Jadi ibu banyak-banyak berdoa biar ayah terus sayang ibu dan layan ibu elok-elok.
Alhamdulillah. Hujung bulan 7,2017. Ibu selamat lahirkan Amani. Walaupun ibu ni agak risau resiko melahirkan secara normal besar sebab tulang belakang ibu pernah patah. Tapi dengan izin Allah, ibu berjaya lahirkan Amani. Sakitnya jangan di tanya. Hanya yang bergelar ibu sahaja yang faham sakit melahirkan. Ibu tanggung sakit tulang belakang serta sakit bersalin semata-mata ibu nak jumpa puteri ibu. Bila dapat tengok wajah comel puteri ibu, sakit tu hilang. Di gantikan dengan bahagia. Ibu tak sangka ibu mampu lahirkan zuriat buat ayah Amani.
Masuk tahun 2018, Allah uji ibu. Ayah buat keputusan berhenti kerja. Sebab gaji ayah selalu di potong tanpa sebab. Ayah dah buat macam-macam komplen. Tapi tetap macam tu jugak. Oleh kerana baran ayah, ayah letak jawatan. Ibu pulak, dah ligat berfikir. Mana nak cari duit untuk tampung belanja 5 orang dalam rumah tu. Abang kakak Amani dah sekolah menengah. Belanja bukan sikit. Dengan ibu yang hanya suri rumah yang buat kuih frozen je, mana nak dapat tampung.
Ibu berdoa banyak-banyak. Allah adakan jalan untuk cukupkan rezeki keluarga ibu. Akhirnya ibu bincang dengan ayah untuk berniaga. Nekad. Buka gerai depan rumah. Allah akan halakan rezeki buat kami jika kami terus berusaha. Maka, sepanjang tahun 2018 ibu mengerah tenaga untuk meniaga. Ibu usahakan untuk cukup belanja rumah. Ayah juga mula bantu ibu selepas hampir sebulan ibu berniaga. Ibu yakin hanya pada Allah sahaja pada masa itu. Dan alhamdulillah. Hasil jualan dapat menampung untuk bayar ansuran rumah, belanja sekolah serta belanja rumah.
Berniaga memang seronok. Cuma, dalam kondisi ibu yang tak berapa nak sihat, dengan semput dan kecederaan lama akibat kemalangan, agak membataskan ibu. Dalam bulan 10,2018 ibu dah cakap dengan ayah, ibu tak larat. Badan rasa dah terlalu penat. Ibu minta ayah untuk cari kerja. Tapi, ayah kata susah nak dapat kerja.
Ayah memang banyak bantu ibu dalam urusan dekat rumah dalam masa ayah dah tak bekerja. Tapi, bagi ibu, ibu penat. Bukan penat fizikal je, tapi mental juga. Manakan tidak, kakak Amani masih tak membantu. Malah kalau dia tolong ibu, akhirnya bila kira hasil jualan banyak juga duit yang ‘short’. Ibu tak nak tuduh kakak Amani apa-apa. Tapi ibu semakin penat dan semakin tertekan.
Bila 1 hari, ayah Amani mula marah-marah lagi. Selalu jugak ayah Amani tak nak pergi kalau ada event keluarga ibu. Ayah Amani akan asingkan diri dari adik beradik ibu. Ayah bagi ibu dan Amani pergi. Tapi ayah taknak. Ayah kata, dia tak suka. Ibu makan hati dengan perangai ayah. Ayah selalu marahkan ibu bila ada yang merungsingkan kepala ayah. Sampai 1 tahap, ayah asyik marahkan ibu sampai lah ayah suruh ibu balik bawa Amani duduk dengan nenek dan atok.
Mulanya tak serius. Tapi, bila Amani menangis. Ayah akan ambil Amani dan marah-marah sambil goncang badan kecil Amani. Ibu yang tengok semua tu jadi sedih. Cepat-cepat ibu ambil Amani. Kadang-kala kalau dah tak sempat, ayah campak je Amani atas katil! Nak gugur jantung ibu nampak tindakan ayah pada Amani. Sampainya hati ayah buat Amani yang kecil macam tu. Mana fikiran waras ayah masa tu?
Makin lama, kemarahan ayah semakin menjadi-jadi. Ibu dah tak dapat nak kawal. Tanpa sebab ayah akan mengamuk. Tanpa sebab juga ayah akan tengking juga maki hamun ibu. Ibu rasa, ibu hidup dalam tekanan. Tiap kali ayah marah-marah, ayah akan ungkit tentang perkahwinan ini. Ayah akan salahkan ibu, ayah cakap macam-macam yang menyakitkan hati ibu. Ibu dah tak tahan. Mental ibu koyak!
Satu malam, ibu peluk Amani kuat-kuat bila ayah mengamuk. Amani yang baru je masuk 1 tahun 4bulan masa itu dah mula bagi riaksi masa ayah marah-marah. Amani akan tutup muka dengan kain lampin serta tutup telinga Amani. Ibu jadi luluh bila tengok Amani jadi macam tu. Ibu tak sampai hati biarkan anak ibu membesar dalam suasana tak sihat. Ibu perlu bertindak!
Dah banyak kali ibu tegur ayah Amani supaya jangan campak Amani, jangan tengking-tengking bila marah depan Amani. Tapi, masa cakap je ayah ingat lepastu jadi balik. Ibu mula tak tahu nak buat macam mana lagi. Ibu risau perkembangan Amani nanti.
Ayah Amani mengamuk lagi. Nasib baik setiap kali ayah mengamuk, ayah tak pernah pukul ibu. Baling barang atau sepak tilam tu adelah, tapi taklah terus ibu kena pukul. Cuma, kata-kata ayah buat hati ibu mati. Ibu dah tak sedih. Ibu dah tak mampu menangis. Ibu jugak dah tak mampu nak bertahan. Ibu minta atok dan nenek datang jemput ibu. Ibu minta atok hantar ibu terus pergi pejabat agama.
Ibu mengadu di pejabat agama tentang masalah rumahtangga ibu. Lepas tu, pegawai yang bertugas sarankan agar ibu duduk asing dengan ayah buat sementara waktu. Ibu jadi lega. Ibu dapat keluar bawa Amani dari rumah tu dan juga ayah. Walaupun ibu sedih, tapi ibu fikirkan Amani. Anak ibu.
Walau pun ibu keluar haritu, ayah masih tahu pergerakan ibu. Tapi bila atok nenek datang, ayah menyorok! Kenapa? Ibu malas nak fikir. Apa yang ibu nak, ibu nak tenangkan fikiran ibu. Lepas balik dari pejabat agama, ibu wasap ayah. Ibu bagi tahu ibu tak balik. Ibu dah pergi pejabat agama. Ayah mengamuk. Ayah kata kenapa tak failkan cerai je terus.
Masatu, hati ibu dah luluh! Ibu nekad. Ibu tak akan balik lagi. Ibu tak mampu dah nak kutip hati ibu yang dah hancur. Ya, ayah datang dan minta maaf. Tapi, ayah dah halau ibu. Ayah halau ibu dengan kata sindiran ayah. Berkali-kali. Dan berkali-kali hati ibu hancur. Sehinggakan menjadi debu. Sayang ibu pada ayah dah hilang. Ibu sedih. Inikan yang ibu cari dalam hubungan perkahwinan? Allah! Kau tolonglah aku!
Masuk harini dah genap lah 6bulan ibu keluar rumah. Ayah izinkan ibu duduk dengan nenek dan atok. Tapi ibu tak rasa ibu mampu nak teruskan perkahwinan ini. Ibu dah pergi mahkamah dan ambil borang cerai. Cuma ibu tak sempat nak isikan lagi sebab sijil nikah ibu rosak. Ibu perlukan copy daripada ayah. Ibu dah minta, tapi masih tak dapat-dapat lagi.
Bukan ibu taknak buat baru, cuma ibu tak mampu nak berulang ke hulu ke hilir dengan mengharapkan atok yang tak sihat. Ibu tak boleh nak bawa kereta atok sebab kaki kiri ibu tak kuat. Ibu nak minta tolong adik ibu. Tapi, sebelum raya haritu, adik ibu dah merungut dekat nenek, kata ibu ni banyak susahkan dia. Ibu sedih. Ibu tahu ibu tak mampu. Tapi ibu nak lepas dari ayah Amani. Ibu dah tak tahan.
Syawal kali ni dah tak ada makna buat ibu. Tapi ibu buat yang terbaik untuk Amani. Ibu minta, bila Amani besar, Amani akan faham tindakan ibu. Ibu dah tak kuat. Hari-hari ibu terbayangkan ayah datang maki hamun ibu. Ibu tak kuat! Ibu nak juga rasa sedikit bahagia. Tolong bahagiakan ibu.
Saat ni, ibu pandang Amani yang tengah tidur. Air mata ibu terus mengalir. Kuatlah anak ibu. Ibu akan terus kuat untuk Amani yang ibu sayang. Selamat malam sayang.
– Ibu Amani (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit