Hari ini keputusan SPM diumumkan. Terimbas aku memori berbelas tahun lalu, waktu aku menerima keputusan SPMku.
Aku anak sulung. Harapan dan cita-cita ibu bapa tergalas di bahuku. Aku belajar di sekolah berasrama penuh. Sudah pasti keputusan cemerlang dalam genggaman – kata mereka.
Hakikatnya, aku tidak secemerlang yang disangka. Ya, ada A, B dan C. Masih baik namun tidaklah cemerlang.
Kenapa budak asrama penuh keputusan begitu? Tak belajar ke?
Banyak juga pakcik makcik yang bertanya tentang keputusan SPM ku yang tidak cemerlang di mata mereka. Hingga ada yang mengata keputusan SPM aku adalah kifarah kesombongan aku dengan pakcik makcik (aku pun tak faham justifikasi ini sampai hari ini).
Sejujurnya, aku tidak boleh belajar masa aku di asrama. Kenapa? Dua tahun sebelum aku SPM, bapaku ambil keputusan drastik berhenti kerja kerana kelabu mata dengan wang pampasan yang dijanjikan syarikat tempat kerjanya.
Tanpa fikir panjang, bapa ambil keputusan berhenti kerja.
Keputusan drastik itu memberi impak yang besar pada keluargaku. Keputusan yang semenangnya tidak direstui ibuku.
Kenapa cari penyakit dengan berhenti kerja? Sedangkan anak² semuanya masih bersekolah? Kata bapa, nak cuba berbisnes. Tidak mahu kerja yang terikat dengan sesiapa.
Sejak detik itu, cuaca keluargaku tak pernah aman. Ibu selalu meluah ketidakpuasan hatinya tentang tindakan bapa tanpa henti.
Bayangkan, pagi petang malam asyik bercakap tentang tindakan bapa yang tidak berfikir panjang. Ibu sakit berminggu mengenang tindakan bapa yang langsung tidak menimbang tara masa depan keluarga.
Aku stres. Tapi tiada tempat nak meluah sebab aku menjadi tempat luahan ibu. Kata ibu, jika tidak diluah dia boleh gila. Sebagai anak, tiada apa yang mampu aku lakukan selain menadah telinga, menjadi tempat ibu meluah bicara.
Aku dapat tawaran asrama penuh, tapi aku berat hati nak pergi. Siapa nak tanggung yuran asrama? Yuran dobi? Yuran makan? Tapi mengenangkan kesungguhan ibu menyuruh aku ke asrama, aku gagahkan jua.
Bapa? Sejak berhenti kerja dan membawa kami berhijrah ke kampung, tiada kerja yang serasi dengannya. Terpaksalah bapa buat kerja kampung dengan upah RM 5 – RM 20 sehari. Itu yang membuatkan ibu makin marah dan geram. Nasi dah jadi bubur, bapa hanya mampu membisu.
Sepanjang di asrama, aku kusut dan selalu rasa berdebar bila cikgu sebut perihal yuran. Ya, aku tahu mana ada yang percuma di dunia ini namun aku tiada kemampuan nak membayar yuran sekali gus.
Setiap kali menu ayam di dewan makan, aku sebak teringat apa agaknya yang ibu dan adik²ku makan hari itu. Pernah juga aku dipanggil oleh kaunselor tentang keputusan peperiksaanku yang kurang memuaskan.
Masih aku ingat lagi ayat guru kaunselor itu bila aku dengan polosnya beritahu bapa tidak bekerja lagi, “Habis tu, awak dengan adik² awak makan pasir ke?” Pedih ayat itu. Hampir menangis aku namun aku bertahan.
Tahun SPM lebih mencabar. Banyak duit diperlukan untuk membeli modul², buku² latih tubi, buku² rujukan, potostat macam² nota dan lain². Aku makin stres mengenang di mana sumber wang perlu aku minta.
Bapa? Dengan pendapatan hariannya sebegitu tak mungkin la. Hanya lepas duit minyak pergi dan balik kerja saja. Nampak iklan² ipt buat semangatku kian luntur. Yurannya makan ribu.
Nak mohon biasiswa, tempat temuduga jauh di ibukota. Duit tambang nak pergi pun tak mampu nak adakan. Stres memanjang memikir masa depan.
Pernah aku dipanggil guru di bilik guru, ditanya tentang isu keluargaku, di ceramah tentang tanggungjawab sebagai anak sulung yang perlu menjadi contoh pada adik².
Ya, aku tahu. Tapi, takkan aku nak buka pekung keluargaku, cerita tentang masalah kewangan yang ditempah bapaku, memburukkan bapaku?
Sesak dada bila mengenang kekusutan tahun SPMku. Hari menerima keputusan SPM aku rasa berat hati nak ke sekolah. Rasa tak bersemangat sebab aku tahu, bagaimana sukarnya aku bergelut dengan masalah yang aku pendam sendiri.
Usai terima keputusan, aku diam seribu bahasa. Hanya bapa yang kata keputusan SPMku masih baik. Ibu diam seribu bahasa. Kecewa mungkin.
Tapi ibu masih berharap aku belajar di menara gading walaupun hatiku dah berkobar nak bekerja membantu keluarga. Letih dengan saranan saudara mara yang minta aku ubah nasib keluarga. Tak perlu mereka beritahu pun aku tau aku perlu bantu keluarga aku.
Aku dapat tawaran belajar di matrikulasi. Nak pergi pun baju² guna baju² ehsan makcik pakcik. Baju² lama yang mereka beri pada keluargaku aku pilih yang masih elok untuk dipakai di kolej nanti.
Pernah juga dipersenda rakan sekelas “Antiklah baju kau. Macam baju zaman retro,” kelakar bagi mereka. Tapi menyayat hati bagiku. Aku sedar kemampuan diri. Memang orang susah jadi bahan sendaan orang kan.
Aku tinggalkan matrikulasi dengan tawaran yang lebih baik. Tempat belajar kedua ini aku rasa memang rezeki yang Allah lorongkan kepadaku untuk mengubah nasib keluargaku.
Ibu menangis bila aku menerima tawaran belajar yang kedua ni. Tawaran belajar yang ditaja sepenuhnya. Lega tak terkata. Aku hanya perlu belajar dan diberi elaun belajar. Syukur.
Di tempat belajar kedua ini, aku benar² belajar erti hidup. Merantau jauh ke negeri orang. Masih berbekalkan baju² lama makcik pakcik beri. Setiap kali aku terima elaun, 1/3 aku beri pada ibu, 1/3 aku guna buat makan dan 1/3 buat tambang bas balik kampung.
Bila difikir kembali, baiknya Allah mencukupkan elaun itu walaupun jika aku cerita pada kawan² ramai yang tak percaya.
Jadi siswa miskin di kolej sedih ya. Tak ramai kawan. Mudahnya, tiada yang nak berkawan. Sebab apa? Setiap kali kawan ajak makan di luar, kau mengelak.
Kawan ajak jalan² minggu dapat elaun, kau duduk terperuk dalam bilik makan megi. Kawan² gelar kau antisosial. Aku tahankan telinga sebab aku sedar diri. Aku sanggup jadi kera sumbang dari berhutang atau termakan budi.
Kesusahan menjadikan aku cekal dengan segala masalah yang datang. Kesusahan juga buat aku mengenal erti sahabat, saudara dan manusia.
Baru aku tahu, SPM bukan erti merdeka. Merdeka dari menjadi murid sekolah, ya. Tapi sebenarnya SPM adalah gerbang kehidupan. Kehidupan yang penuh cabaran dan kekerasan sedang menanti diri dalam transisi dari remaja ke dewasa.
Adik² lepasan SPM, selamat datang ke dunia sebenar. Selamat menempuh alam pengajian dan pekerjaan. Masih panjang perjalanan ilmu adik². Apapun pilihan masa hadapan, pastikan pilihan itu tidak merugikan masa muda dan tidak menyusahkan keluarga atau sesiapa ya.
– HambaNya (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
Sedihnya baca, semoga adik menjadi orang yang berjaya dan mampu membantu ibu dan adik adik. Itulah bila bapa tak fikir panjang dalam buat keputusan hingga boleh menjejaskan masa depan anak anak.
Menarik cerita adik. Tabah hadapi cabaran sbg pelajar universiti dlm keadaan payah tiada sokongan kewangan pd awalbya. Tp bila Allah dh berikan rezeki buat kali kedua. Sekarang, dah bekerja atau belum? Jika dh bekerja, moga dpt diteruskan berjimat cermat dgn bahagikan 3 pada pendapatan bulanan. In shaa Allah, dgn istiqamah, moga adik dpt mngubah hidup adik & keluarga menjadi lbh senang & bahagia. Adik perlu sygi diri sendiri terlebih dahulu, jgn biarkn diri mnjadi penjamin kpd org lain utk buat apa2 pinjaman dgn bank atau mana2 sykt berlesen. Itu semua jerat yg akan memusnahkn hidup sebetulnya. Kumpul duit utk bina masa depan sendiri tanpa brgantung dgn org lain. Itulah kejayaan kita yg sebenar. Lulus SPM je STPM ke dgn A berderer bukan jaminan berjaya dlm kerjaya & kehidupan klau x ada jati diri, x ada disiplin, x berjaya jg dlm hidup. Moga adik berjaya dlm kehidupan adik.