Assalamualaikum admin dan pembaca. Aku Amir, berusia awal 30-an dan berasal dari sebuah negeri di pantai timur. Aku cukup terkesan dengan confession bertajuk, Kerana Mulut Nyawa Binasa (https://iiumc.com/kerana-mulut-nyawa-binasa/). Tapi bukan lah soal kekepohan SN Nora yang membawa mulut tapi lebih kepada penderitaan mereka yang menghidap HIV atas kesilapan orang lain, bukan mereka sendiri. Kisah aku bermula beberapa tahun yang lepas.
Selepas mak pencen, dia mula menjejak kawan-kawan lama di universiti. Waktu aku cuti, mak ajak aku teman dia ke utara tanah air untuk bertemu bff paling rapat dia yang dah lost contact selama 30 tahun lebih. Dah jumpa, mereka berpeluk sampai terloncat-loncat gembira, ada jugak air mata menangis sebab rindu. Lama mereka bersembang, tapi yang aku pelik dalam perjalanan balik mak nampak sugul sedih sesekali mengelap air mata. Mungkin sedih berpisah. Bila ditanya dia jawab ok saja.
Pagi esoknya mak masih begitu. Aku tanya lagi kalau dia ada apa-apa masalah. “Mak tak boleh tidur, semalaman mak fikir pasal Cik Yah kawan mak tu. 30 tahun tak jumpa, tak sangka kawan mak yang sihat, ceria dulu kena penyakit macam tu. Mak sedih mir”. Aku agak konfius dengar cerita mak. “Cik Yah ada HIV mir, kena dari suami dia”. Allahuakbar. Makin kuat mak menangis.
Mak sambung lagi, katanya sekarang Cik Yah tinggal dengan anak bongsunya, semua perempuan. Yang sulong dan kedua dah berkeluarga dan tinggal jauh seorang di Brunei seorang lagi di Johor mengikut suami masing-masing. Yang bongsu ini ramai yang meminta tapi ditolak atas alasan tak mahu berkahwin nak duduk dan jaga Cik Yah sampai bila-bila. “Amir mahu kahwin dengan Dian (anak bongsu Cik Yah)?”. Allahuakbar!
Kami sekali lagi ke utara. Mak mengutarakan cadangan pada Cik Yah. Tentu sekali disambut dengan gembira. Entah macam mana, Dian yang mahu membujang dan aku yang pening kepala dengan rancangan mak akhirnya berjaya disatukan selepas 6 bulan.
Pada malam pertama perkahwinan, Dian memberitahu yang dia belum sedia dengan hubungan kelamin. Aku terima saja tidak mahu memaksa. Kami tidur sekatil, berbual, bergurau, solat jemaah bersama macam roommate dan housemate tapi perihal ‘itu’ tidak pernah kami sentuh. Dia uruskan makan minum pakai aku dengan baik. Lama kami begitu sampaikan Dian fikir aku gay kerana aku rilek saja haha. Hinggalah pada suatu hari dia akhirnya buka mulut tentang sakit ibu dan bagaimana itu terjadi.
Cerita Dian, arwah ayah seorang pegawai kastam. Semuanya baik sampailah dia bertugas di sempadan. Waktu tu ibu baru melahirkan Dian. Ayah mula berubah tiap kali balik rumah hujung minggu, menjadi panas baran. Semua tak kena. Waktu Dian umur 2 tahun, ayah sakit-sakit. Kurus keding, ada kudis di kaki sampaikan tak dapat bekerja.
Ibu upah orang tolong jagakan waktu siang dan malam ibu yang uruskan sendiri. Ayah sakit 2-3 bulan kemudian meninggal. Waktu nak uruskan jenazah, abang kepada ibu mahu membantu tapi ibu halang. “Dia ada AIDS”. Masatu menangis lah ayah, mak, adik beradik ibu bila dapat tahu satu-satunya puteri kesayangan dalam keluarga mereka dijangkiti HIV.
Tapi Dian dan kakaknya belum mengerti apa-apa. Selepas ayah meninggal, ibu selalu pesan “Rajinkan belajar, solat quran jangan tinggal, nanti ibu dah takde duduk dengan Wan dengan Tokwan elok-elok”. Hampir setiap hari ibu pesan sebelum tidur dan tiap-tiap malam juga lah Dian dan kakaknya menangis bimbang ibu pon mahu pergi. Ternyata yang ditakutkan itu berlaku.
Waktu Dian darjah 3, ibu ditahan dalam wad sebulan lebih. Tok dan Tokwan lah yang menjaga mereka, hujung minggu pula Pakngah dan Pakteh yang datang tengokkan secara bergilir. Ibu tak pernah dapatkan rawatan sebelum ni sebab taknak sesiapa tahu pasal penyakit dia. Syukur, ibu punya ayah mak dan adik beradik yang cukup supportive suruh dapatkan rawatan, kena kuat untuk besarkan anak-anak.
Bila ibu dah balik rumah, Tok dah tak tertahan. Dia terlepas depan Dian adik beradik yang ibu menghidap HIV dan sakit tu tiada ubat. Saat tu semua menangis. “Dina benci ayah! Sebab ayah ibu sakit! Sampai bila-bila Dina takkan maafkan ayah!”. Kakak sulong menghambur amarah sambil menangis. Tapi ibu pesan jangan benci pada ayah. Masatu tahulah semua bahawa ayah mendapat penyakit tu semasa bertugas di sempadan.
Ayah berkenalan dengan seorang janda warga Siam dan disitulah bermula semuanya. Mereka melakukan hubungan intim dan ayah juga tinggal di rumah janda tersebut sepanjang berada di sempadan. *Entah kenapa banyak sungguh kes janda menyondol rumahtangga orang. Sudahlah menyondol, ditinggalkan pula penyakit sial*. Nak salahkan janda tersebut saja tak guna, masakan berbunyi kalau hanya sebelah tangan yang bertepuk. Salahkan nafsu dan setan yang merajai diri.
Sampaikan sekarang mereka sekeluarga tak pernah sentuh hal arwah ayah. Biarlah hilang segala yang menyedihkan. Kubur pon tidak pernah dijejak malah dilupakan apatah lagi mahu mendoakan. Mereka sekeluarga ada juga berusaha mencari kubur ayah, tapi entah kenapa mungkin Allah lenyapkan dari ingatan. Tiada jejak langsung. Keluarga ayah pula membuang ibu dan anak-anak, mereka dicemuh. Konon ibu lah punca abang sulong mereka mendapat AIDS, tak reti jaga diri untuk suami katanya.
Bila ditanya tentang kubur ayah, mereka sendiri tak tahu. Kenapa tak cuba untuk memaafkan, tanya aku. “Siapa kata tak pernah? Tapi tiap kali hantar ibu pergi hospital dapatkan rawatan, tiap kali tengok ibu yang demam susah kebah sebab imuniti rendah, saya jadi teringat yang semua ni sebab ayah”. Itu jawapan Dian. Dia jadi alergik dengan lelaki, susah percaya dan senang katanya jadi benci.
Bila ditanya kenapa sudi berkahwin dengan aku? . “Sebab ibu sentiasa positif tak semestinya yang jadi pada ibu akan jadi pada anak-anak. Lelaki baik itu ada, perlu cari dan doa mintak pada Allah. Inshaallah awak baik”. Terharu dan sedih aku bila mendengar cerita Dian. Betapa kuatnya ibu, disebalik senyuman gelak tawa dia menanggung sakit yang masih tiada ubatnya. Dibawa pula oleh lelaki yang sepatutnya menjadi suami yang melindungi keluarga. Terpaksa gagah berdiri demi anak-anak. Dan disebalik wajah manis Dian, ada duka yang berbuku dalam dada.
Tapi Allah itu Maha Baik. Sekarang ibu dan mak bahagia melancong sana sini mentang-mentang dua-dua dah pencen. Dahla besfren, berbesan pulak tu. Kesihatan ibu juga sangat baik, CD4 nya tinggi dan kuman tak dapat dikesan bersembunyi. Semoga ibu dijauhkan daripada AIDS.
Ada beza HIV dan AIDS. Tak semua yang menghidap HIV ada AIDS tapi semua yang ada AIDS ada HIV. Doakan ibu agar dikurniakan kesembuhan dan doakan juga Dian yang bakal melahirkan anak sulong kami bulan 8 nanti inshaAllah. Doakan juga aku jadi suami dan ayah yang baik pada Dian dan anak-anak kami nanti.
Kerana nafsu, mereka berzina. Kerana seorang lelaki yang melakukan zina, ibu dapat HIV, anak-anak hilang ayah, keluarga yang harmoni porak-peranda. Benci, marah, kesal, sedih semua ada. Mujur masih ada iman dan sokongan. Jangan kita nilai mereka yang mengidap HIV ini datang dari mereka sendiri, boleh jadi atas keterlanjuran dan kesilapan manusia lain.
– Amir (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit