Kerana Mulut, Nyawa Binasa

Kerana Mulut, Nyawa Binasa

Pada awal tahun 2003, aku merupakan salah seorang jururawat terlatih yang baru sahaja memulakan tugasan di sebuah hospital yang terletak di pantai timur. Aku ditempatkan di wad perubatan lelaki, dan pada hari tersebut, sudah genap 6 bulan aku bertugas memberikan perkhidmatan kepada pesakit.

Wad yang aku jaga ini menempatkan pesakit dalam pelbagai lapisan umur. Ada yang sudah tua, ada yang masih muda. Kesemua pesakit ini ditempatkan di wad ini atas pelbagai diagnosis seperti kencing manis yang tak terkawal, angin ahmar dan yang paling ramai adalah pesakit yang dijangkiti dengan penyakit-berjangkit.

Kebanyakkan pesakit di wad ini mempunyai jangkitan kuman seperti human immunodefiency virus (HIV) serta komplikasinya dan pelbagai penyakit akibat jangkitan kuman di paru-paru, buah pinggang dan lain-lain.

Apabila seseorang itu mempunyai status HIV yang positif, penjagaanya perlu aku lakukan dengan berhati-hati. Bukan itu sahaja, perkataan HIV ini merupakan satu perkataan yang teramat sensitif, dan sebagai salah seorang jururawat mahupun sesiapa sekalipun, konsep dan peraturan privacy and confidentiality harus dijaga dengan betul. Walau bagaimanapun, kadangkala aku perhatikan, sewenang-wenang sahaja seseorang staf kesihatan itu bersembang mengenai pesakit mereka antara satu sama lain termasuk di dalam pantri wad.

Sekiranya perbualan mereka itu bertujuan untuk pembelajaran dan amaran untuk berjaga-jaga dengan sesetengah pesakit, itu tidak mengapa. Tetapi kalau dah cerita dan umpatan serta bercakap buruk di belakang pesakit, itu sebenarnya tidak boleh. Memang kadangkala aku perhatikan, perbuatan mereka ini yang memandang remeh bab privacy and confidentiality ini yang tampak kecil, tetapi sebenarnya amat berbahaya.

Pada awal aku ditempatkan di sini, aku rasa amat bertuah kerana seniorku, Kak Nora (bukan nama sebenar) yang belajar bersamaku di sebuah kolej kejururawatan di Selangor merupakan staff nurse (SN) di wad yang sama dengan aku. Dia sudahpun bekerja awal 2 tahun daripada aku.

Tetapi sebenarnya, sewaktu dia di kolej dahulu pun, aku banyak kali mendengar cerita buruk mengenainya, yang mana ramai orang tidak berkenan dan suka akan perangainya yang suka kepoh, suka menjaga tepi kain orang, dan suka menjaja cerita-cerita buruk orang lain.

Asalnya, aku cuba berfikiran positif, kerana tahu-tahu sahajalah, cerita orang, sudah tentulah ada yang ditokok tambah, diberi perasa dan dibubuh garam dan kunyit bagi menyedapkan cerita fitnah dan umpatan. Tetapi jangkaan aku meleset apabila aku menjadi akrab dengannya. Memang perangai SN Nora ni amat menjengkelkan kadangkala.

Dia menjaja cerita bukan sahaja pesakit, malah sesama staff lain sesuka hati, dan aku sebenarnya buat tidak kisah akan perlakuannya itu. Itulah sebabnya dia agak rapat dengan diriku. Namun, itulah yang aku ingin ceritakan mengenai kesannya apabila seseorang ini suka sangat mengumpat dan suka menjaja cerita hasil operasinya yang suka menjaga tepi kain orang.

Cerita ini bermula apabila seorang lelaki bernama En Osman (bukan nama sebenar) dimasukkan ke wad akibat jangkitan kuman di paru-parunya. Lelaki berumur 34 tahun, yang bekerja sebagai seorang pensyarah itu dipakaikan dengan topeng gas oksigen kerana kadar oksigen di dalam darahnya agak rendah. Suhu badannya juga tinggi. Pagi itu, aku dihadiri oleh 2 orang pakar rawatan penyakit berjangkit (infectious disease specialist), iaitu Dr Lau dan Dr Saliza bersama beberapa orang medical officer (MO) dan house officer (HO).

Mereka terkejut apabila melihat X-ray pesakit ini, yang mana menunjukkan jangkitan kuman yang agak teruk, di mana dalam keadaan begitu, diagnosis Pneumocytis carinii pneumonia (PCP) dibuat. Masalah dengan PCP dalam pesakit yang baru kali pertama dimasukkan ke hospital tanpa ada apa-apa sejarah penyakit lain adalah sesuatu yang agak besar dan berat berselindung diagnosis berkenaan.

Kuman dan penyakit sebegini kebiasaanya dihidapi oleh pesakit yang mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah, di mana jangkitan HIV, kanser darah atau penyakit autoimmune menjadi beberapa jenis penyakit yang boleh merendahkan imuniti seseorang itu. Mahu tak mahu, penyiasatan lain perlu dilaksanakan.

Habis sahaja round pagi di wad berkenaan, aku lihat Dr Hanan, HO di wad ini mengambil darah pesakit tersebut, serta terus dihantar untuk beberapa ujian untuk memastikan diagnosis yang tepat disamping menyiasat sama ada pesakit ini mempunyai penyakit lain (underlying illness) atau tidak, Rawatan antibiotik dimulakan untuk merawat kuman di paru-parunya.

Petang itu, aku lihat Dr Hanan menemubual Encik Osman dibalik tirai bersebelahan dengan katilnya yang terletak di kubikel pesakit yang akut. Dari kaunter jururawat, aku terdengar suaranya yang tenggelam timbul dengan suasana wad yang agak bising akibat kesibukan para doktor dan jururawat lain yang sedang menyiapkan tugasan untuk pesakit.

Sesekali telinga aku menangkap perkataan RVD, iaitu retroviral disease yang mana membawa maksud yang sama dengan HIV. Mereka menggunakan perkataan ini kerana perkataan HIV itu terlalu sensitif untuk disebutkan diantara doktor dengan pesakit. Dr Hanan menjengulkan kepala di balik tirai sambil memanggil aku. Aku segera ke katil Encik Osman.

“Staff nurse, awak tolong ambilkan saya nasal prong untuk pesakit ni boleh? Boss dah suruh tukar pada nasal prong. Tak perlu dah facemask ni”, katanya.

“Baik doktor”, aku menjawab sambil menuju ke stor perubatan mengambil nasal prong yang diminta.

Aku sampai di katil Encik Osman dan mula memasang dan menukar topeng oksigennya. Sambil aku sedang membuat tugasanku, aku mendengar dengan jelas percakapan Dr Hanan dengan Encik Osman yang ingin menyelidik lebih lanjut mengenai penyakitnya itu.

“Tidak doktor, demi Allah saya tak pernah tidur dengan pelacur, atau ada hubungan seks dengan sesiapa selain isteri saya. Saya tak pernah menerima transfusi darah atau mengambil dadah sebelum ini”, katanya.

“Tapi Encik Osman, status awak ni positif tau. Sekali lagi saya tanya, adakah Encik Osman pernah membuat perkara-perkara yang saya tanya tadi”, kata Dr Hanan dengan perlahan.

“Saya sumpah doktor, saya tak pernah”.

“Sekarang ini, Encik Osman ada berapa orang anak?”.

“2 orang doktor, kedua-duanya berada di sekolah rendah”

“Diorang di rumah macamana?”

“Alhamdulillah doktor, mereka sihat”

“Isteri Encik Osman ada ke?”

“Ya, ada doktor. Petang nanti dia sampai”

“Baiklah. Staff nurse, awak tolong inform saya ya kalau PAP (waris pesakit) ni datang”

Aku mengangguk. Aku agak tergamam juga apabila terdengar keputusan darah pesakit ini adalah positif dengan HIV. Namun, aku cuba juga untuk berfikir daripada mana datangnya penyakit ini sekiranya dia bersungguh-sungguh mengatakan dia tidak pernah membuat apa-apa perbuatan berisiko tinggi.

Tapi, mungkin isterinya pula? Ah, bodoh sungguh apa yang aku fikirkan. Aku tidak boleh menuduh atau menuding jari sesuka hati aku. Negatif sungguh minda aku ini.

Petang itu, jam 3.30 petang, aku lihat isteri Encik Osman hadir bersama dua orang anaknya. Dr Hanan sudah diberitahu, dan dia memberi kebenaran untuk anak-anak Encik Osman masuk di wad menziarahi bapanya memandangkan awal-awal lagi ibunya sudah pesan supaya tidak berlari ke sana dan ke mari di dalam wad.

Lagipun, sebentar nanti, isteri Encik Osman akan ‘dipinjam’ buat sementara waktu untuk ditemubual oleh Dr Hanan dan Dr Lau, jadi sekurang-kurangnya buat sementara waktu, 2 orang anak kembar itu bolehlah duduk bersama ayahnya.

Aku menghampiri doktor pakar, Dr Lau memberitahu bahawa isteri pesakit sudah pun tiba. Dr Hanan pun sudah perasan akan isteri Encik Osman sudah berada di situ. Dia mengambil fail pesakit serta mengiringi isteri pesakit dan Dr Lau untuk ke sebuah bilik tertutup di wad berkenaan.

Bilik tersebut sebenarnya merupakan bilik pegawai perubatan (MO) tetapi kadangkala digunakan untuk berbincang beberapa perkara yang amat sensitif, contohnya seperti kes ini.

Dr Hanan melambai-lambaikan tangannya kepadaku. Dia ingin aku masuk sekali ke bilik berkenaan sebagai saksi dan peneman. Dr Lau sudahpun menunggu di bilik berkenaan dan dia duduk di atas kerusi menghadap komputer dalam bilik itu. Aku masuk ke dalam bilik berkenaan dan diarahkan untuk mengunci pintu dari dalam.

Aku melihat perwatakkan dan gaya isteri Encik Osman yang bernama Puan Sofia ini. Wajahnya cantik, tubuh badannya langsung tidak menunjukkan yang dia merupakan ibu kepada dua orang anak.

“Puan Sofia ya, saya Dr Lau, pakar yang merawat suami puan”, kata Dr Lau.

“Ya saya doktor, terima kasih saya ucapkan.” katanya

“Sebelum saya nak bertanya soalan, adakah puan nak beritahu kami apa-apa informasi berkaitan suami Puan Sofia? Atau apa-apa maklumat yang kami boleh gunapakai untuk merawat Encik Osman?”, Dr Lau berkata.

Puan Sofia melihat sekeliling, memandang muka aku dan Dr Hanan, kemudian dia memandang muka Dr Lau kembali sambil berkata,

“Begini doktor… bolehkah saya beritahu doktor satu perkara ini, dan doktor berjanji tidak akan memberitahu Encik Osman dan mencatat apa-apa di dalam fail pesakit?”, katanya menyebabkan semua antara kami terdiam.

“Baik, saya boleh bagi jaminan. Dr Hanan, awak jangan tulis apa-apa di fail pesakit ya”, kata Dr Lau. Dr Hanan mengangguk. Puan Sofia berkata,

“Saya curang dengan suami saya doktor’, katanya menyebabkan darahku berasa berderau.

“Tidak mengapa, apa yang puan boleh beritahu?”, kata Dr Lau.

“Suami saya selalu outstation. Pihak kolejnya sering menghantar dia untuk memberikan syarahan di kolej-kolej lain. Dalam masa seminggu, kadangkala hanya sehari dua sahaja yang dia dapat balik ke rumah. Saya tidak bekerja, saya merupakan suri rumah sepenuh masa”

“Abang suami saya tinggal selang 2 rumah daripada saya. Dia selalu mengunjungi saya untuk bermain-main dengan anak saya. Tetapi, pada suatu hari, semuanya tampak berbeza. Saya sedang berada dalam tekanan apabila cikgu sekolah anak kami sering membuat aduan mengenai anak-anak kami yang tidak cemerlang dalam akademik. Saya sedang bersedih, dan pada satu malam, selesai saya tidurkan anak-anak saya, saya ke rumah abangnya”, kata Puan Sofia.

“Abangnya sudah berkawin? Kerja apa?”, tanya Dr Lau.

“Abangnya dah bercerai 5 tahun lepas. Saya selalu tidur dengannya, sehingga ke tahap beberapa kali dalam seminggu. Tetapi 3 bulan lepas saya tak datang ke rumahnya lagi”

“Sebab apa?”, kata Dr Hanan pula.

“Sebab saya baru dapat tahu dia seorang penagih dadah. Saya terus langsung tidak menghubunginya, tetapi dia sering mengugut saya, meminta wang dan seks. Katanya, jika saya tidak menuruti kemahuannya, dia akan cerita segalanya pada suami saya”, kata-kata berkenaan menyebabkan aku hampir nak pitam kerana ceritanya amat teruk sekali untuk mindaku yang kerdil ini.

“Bila kali terakhir awak buat perkara tu?”

“Sebulan lepas doktor”

“Ada buat apa-apa ujian darah tak?”

“Tiada doktor”

Dr Lau dan Dr Hanan masing-masing memandang satu sama lain.

“Begini, kami akan ambil darah, dan hantar satu ujian darah untuk periksa sama ada awak ada jangkitan kuman RVD atau tidak, serta beberapa penyakit bawaan seks yang lain”, kata Dr Lau.

“Doktor, saya nak pesan sekali lagi, tolonglah simpan rahsia ini. Saya tak mahu apa-apa berlaku dalam rumahtangga kami lagi”, katanya sambil berjalan meninggalkan bilik tersebut.

Pintu ditutupi semula. Suasana jadi sunyi sepi selama beberapa minit. Masing-masing masih memproses pengakuan Puan Sofia tadi.

“Hanan, you don’t need to write anything in the BHT. Please just send few screening test, HIV, Hepatitis B, Gonorrhea, Syphilis and so on. Put it under anonymous”, kata Dr Lau kepada Dr Hanan.

“Boss, the HIV can be ordered anonymously, but other test needs patient’s name”, kata Dr Hanan mengatakan ujian darah HIV sahaja yang boleh dibuat tanpa nama, tetapi ujian-ujian lain memerlukan nama pesakit.

“Its fine, that other test, just put the wife’s name. Just don’t write anything on the BHT okay”, kata Dr Lau. BHT (bed head ticket) merupakan singkatan yang digunakan oleh doktor dan staf kesihatan untuk fail yang mengandungi maklumat pesakit.

“Yes boss. Kak Di, tolong register nama pesakit ni ya”, kata Dr Hanan.

Aku mengangguk dan kami semua meninggalkan bilik tersebut. Dr Hanan memanggil Puan Sofia, dan mengambil darahnya di bilik tersebut. Sememangnya, kami ingin rahsiakan perkara ini daripada Encik Osman.

Ujian darah dihantar, dan pada hari tersebut, Encik Osman nampak sedikit baik daripada hari kemasukkannya di wad. Dia dipindahkan didalam bilik isolasi di katil bernombor 27. Keputusan darah isterinya nanti akan sampai didalam sekeping sampul surat, yang menunjukkan status HIVnya sama ada reaktif atau tidak reaktif. Keputusan darah yang lain pula dihantar menerusi sistem komputer di hospital.

Rawatan Encik Osman dijalankan seperti biasa, dan pada keesokkan harinya, aku bercuti selama 2 hari kerana ada urusan nak dibuat di kampung. SN Nora pula menjaga kubikel yang menempatkan katil Encik Osman pada hari-hari berikutnya.

3 hari kemudian, aku kembali bertugas seperti biasa, dan pada syif pagi berkenaan, aku bertugas sebagai runner sahaja.

Memang dah jadi tradisi di sini yang mana semua pesakit dikehendaki duduk dan bangun awal pagi, kerana mengikut doktor pakar wad ini, dia tidak mahu pesakit terperap dan berbaring sahaja setiap hari. Dia nakkan semua pesakit ada di atas kerusi, kecuali jika pesakit tersebut tidak boleh bangun.

Idea ini amat bijak memandangkan pada setiap pagi, kami, jururawat di wad ini perlu mengemas katil pesakit. SN Nora menemani menjaga katil Encik Osman pada hari itu, jadi, aku dan dia terus mengemas katil tersebut. Dalam masa kami sedang mengemas, Encik Osman sedang duduk di atas kerusi memandang ke luar tingkap.

SN Nora keluar daripada bilik untuk meletakkan cadar dan sarung bantal ke bilik linen. Aku sedang memasang cadar yang baru dan bersih.

“Adik misi, saya nak tanya pendapat sikit?”, Encik Osman bertanya secara tiba-tiba.

“Pendapat apa encik?”

“Bagaimana saya nak hadap isteri saya apabila saya sudah sembuh? Mengapa dia buat saya sedemikian? Sampai sungguh hati dia”

Aku terkedu dan terpaku. Ah, bagaimana pula dia boleh tahu pasal perkara ni? Bukankah segalanya tidak tertulis pada BHT pesakit. Aku mendiamkan diri sahaja tanpa membalas apa-apa jawapan.

SN Nora masuk kembali, menyelesaikan bedmaking bersama aku. Setelah siap, aku keluar dituruti olehnya daripada belakang. Terus aku berkata,

“Eh, macamana patient ni boleh tahu pasal isteri dia yang ada RVD?”

“Oh, semalam dia ada tanya. Masa tu aku baru dapat keputusan darah isteri dia, aku kepilkan dalam BHT dia. Lepas tu, aku terus jawab sahajalah pertanyaan dia”, kata SN Nora.

“Eh, akak tak tahu ke wife patient ni tak bagi beritahu pada siapa-siapa pasal ujian ni?”, aku berkata, menerangkan perkara seolah-olah tidak diketahui olehnya.

“Aku tak tahu pun. Mana ada tulis apa-apa dalam BHT pesakit pasal wife dia tak bagi beritahu tu”, jawabnya.

Aku menerima jawapan tersebut dengan sedikit sakit hati. Kalau dah ada keputusan darah pun, mana boleh sesuka hati sahaja nak dedahkan informasi dan maklumat sewenang-wenangnya pada pesakit. Inikan pula darah isteri pesakit tersebut. Tetapi, aku tak mahu perkara ini berpanjangan. Aku tak suka membesarkan perkara-perkara yang kecil.

Setelah genap seminggu Encik Osman di dalam wad, dia dibenarkan untuk disjac, memandangkan rawatannya sudah selesai. Satu temujanji diberikan bagi dirinya untuk hadir semula ke klinik satu minggu daripada tarikh dia dibenarkan pulang. Keadaan wad seperti biasa, dan hari-hari berikutnya berlalu pantas.

3 bulan kemudian, aku masih bekerja di wad yang sama pada syif malam. Nak dijadikan cerita, seorang pesakit perempuan ingin dihantar dan dimasukkan ke wad lelaki, memandangkan wad perubatan perempuan sudah penuh. Memang tak dinafikan, adakalanya, keadaan di dalam wad terlalu penuh sehinggakan pesakit perlu ditumpangkan ke wad lain.

Kadangkala pesakit lelaki terlalu ramai dan kami perlu menumpangkan pesakit ke wad perempuan pula. Begitulah adatnya. Terpaksa memerlukan antara satu sama lain kerana bilangan pesakit semakin hari semakin ramai, bukan semakin sedikit.

Apabila aku membaca nama pesakit ini, terus aku kenal, dia adalah Puan Sofia, isteri kepada Encik Osman. Keadaannya malam itu sedikit teruk kerana dia memerlukan topeng oksigen. Tekanan darahnya juga tidak stabil, dan rendah. Aku bersama SN Nora menguruskan pemindahan pesakit daripada stretcher ke katil wad.

Keadaan pesakit boleh duduk sendiri, cuma tidak mampu berjalan.

Dia tersenyum melihat aku, kerana aku pasti, 3 bulan bukanlah masa yang lama, dan memori yang tersemat pasti boleh diingatinya. Aku, SN Nora dan pesakit sendiri berada di dalam bilik isolasi, katil yang sama menempatkan Encik Osman dulu.

Aku mencari idea untuk memulakan perbualan.

“Kenapa masuk wad ni kak?”

“Demam dan batuk-batuk misi. Ni mulut pun penuh dengan ulser. Dah ke klinik tetapi tidak kebah-kebah, last-last pergi kecemasan terus”, katanya.

“Oh, siapa yang hantar ke hospital?”, aku bertanya lagi untuk meneruskan perbualan.

“Ambulans misi, terpaksa call 999 tadi”, jawabnya.

“Encik Osman macam mana? Sihat tak dia?”

Saat terdengar soalan itu, tiba-tiba raut wajahnya menjadi sugul. Matanya berkelip-kelip dan mukanya merah padam. Ibarat terpukul dengan soalan aku. Otak aku dengan laju berfikir, takkanlah soalan sedemikian menyebabkan dirinya sedih dan marah tiba-tiba? Apa justifikasinya yang menyebabkan dia sedih?

“3 bulan lepas kan suami saya masuk wad. Tapi entah siapa dan bagaimana dia boleh tahu saya curang dengannya serta tahu saya pembawa HIV juga”, katanya. Aku dan SN Nora memandang mukanya. Dia menyambung,

“Lepas seminggu dia dimasukkan ke wad ini, dia dibenarkan untuk balik. Saya menjemput dia daripada hospital. Dia berdiam diri sahaja, langsung tidak respon dengan kata-kata saya. Saya cuma terfikir dia sedang terlalu penat sahaja. Petang tu saya ke pasar memandangkan dia masih sakit dan tak larat nak berjalan jauh. Saya ke pasar memandu kereta berseorangan dan membeli barang-barang di kedai runcit.

Apabila saya balik rumah, dia tiada di dalam bilik. Saya terus ke dapur. Saya hampir nak pitam apabila saya terlihat dia menggantung dirinya di dapur”, Puan Sofia berhenti daripada bercakap dalam beberapa minit. Aku menghulurkannya sekeping tisu memandangkan dia mulai menangis.

Badan dia dah kejung, keras dan pucat. Di atas lantai juga ada satu botol racun rumpai yang sudah kosong. Dia telan racun tu, kemudian dia menggantung dirinya serta merta. Saya cepat-cepat telefon ambulans walaupun saya tahu suami saya sudah pun mati, tapi saya masih memberi harapan walau sedikit pun untuk dia diselamatkan. Namun, kuasa Allah manalah saya boleh pertikaikan…”

Aku dapat lihat muka SN Nora yang mendegar penerangan isterinya pucat lesi macam mayat. Dia terlalu takut, dan aku seakan-akan boleh membaca isi hatinya, yang barangkali menyalahkan dirinya yang memberitahu Encik Osman mengenai perkara tersebut yang akhirnya membunuh pesakit.

“Saya jumpa satu nota di poket seluarnya, inilah dia”, kata Puan Sofia memberikan sekeping kertas yang diambil daripada beg tangannya. Dia memberikan kepadaku. Aku membaca kertas lusuh dipenuhi capukkan habuk dan kesan jari,

“Assalamualaikum wbt. Jika kau terbaca surat ini, bermakna aku sudahpun tiada lagi di dunia ini. Susah senang kita bersama dulu. Kau ingat tak aku buat overtime setiap hari hanya kerana aku mahu mengumpul duit untuk kita menikah. Aku kerja siang malam tak henti-henti, nak dapatkan sesuap nasi untuk keluarga kita dan anak-anak kita, tetapi kau perlakukan aku sebegini.

Aku percaya kau. Aku beri kepercayaan sepenuhnya kepada kau. Aku tinggal kau dirumah sebab aku percaya kau boleh jaga anak-anak kita. Kau boleh jaga harta benda kita. Tetapi kenapa? Tak cukupkah kasih sayang yang aku berikan? Aku tak faham?.

Hati aku remuk kerana kau buat dengan abangku sendiri. Biarlah apa yang berlaku. Hidupku sudah tidak bermakna lagi. Aku cuma nak kau tahu, aku tidak akan memaafkan kau. Selagi boleh, aku pastikan hayat kau di dunia ini sentiasa merana bersama Hamdan. Terima kasih atas hadiah yang kau berikan.

Kau ingat, aku buat perkara ini kerana kau. Kau yang minta. Kau yang mahukan. Aku harap kau tak akan dapat lupakan aku langsung. Bila kau makan, minum, tidur, jaga, kau akan sentiasa ingat peristiwa hari ini. Selamat tinggal”.

Aku mula merasakan linangan air mataku jatuh menitis satu per satu. Aku memberi surat tersebut kepada SN Nora, dia membaca dan tak semena-mena dia jadi kaget dan kaku.

“Saya sorokkan surat ni daripada pihak polis yang menyiasat kematiannya. Saya tak mahu orang lain tahu mengenai hal ini. Setakat ini polis memang sudah mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut dengan cara membunuh diri… Tetapi itulah dia, saya tahu salah saya…” kata Puan Sofia.

Aku meminta izin untuk keluar dari bilik rawatan sambil menarik tangan SN Nora yang kaku dan seolah-olah terdiam. Aku lihat wajahnya semakin muram dan duka, terus aku berkata kepada dia.

“Kak, okay ke ni?”

“Entahlah, ni mesti salah akak yang terus…”, aku memotong percakapannya.

“Tidak, jangan begini. Saya yakin akak tak buat salah kerana lagipun akak tak tahu perihal kes ni kan?”

“Tapi…”

“Tiada tapi-tapi kak. Kalau kakak tak beritahu pun, lambat laun dia akan tahu juga. Kerana ini bukanlah sesuatu yang boleh dirahsiakan lama-lama”.

Aku cuba menenangkan Kak Nora walaupun jauh di sudut hatiku, aku berasa aku yang patut dipersalahkan kerana aku gagal memberitahu mengenai rahsia hal ini, dan yang kedua, andai kata aku boleh memberi nasihat atau bimbingan dalam bentuk kata-kata kepada Encik Osman, saat dia bertanyakan aku soalan mengenai cara dia nak menghadapi isteri dia semula, sudah tentu ada kemungkinan nyawanya dapat diselamatkan.

Aku meneruskan tugasan seperti biasa walaupun apa yang bermain di dalam kotak fikiranku membuatkan aku sedikit berasa celaru, resah dan gelisah. Kerja sebagai runner memang pada orang lain tidak memenatkan, namun dikala pesakit yang terlalu ramai di dalam wad, yang mana menyebabkan aku sering turun naik tangga untuk mengambil ubat daripada farmasi dan memulangkan mana-mana botol ubat yang telah kosong memang sesuatu yang amat memenatkan.

Aku baru sahaja nak melabuhkan punggung di kerusi yang terletak di balik kaunter jururawat, aku disuruh oleh jururawat lain untuk mengambil darah sebanya 3 pint di unit tabung darah. Aku bergegas pergi kerana ada seorang pesakit yang memerlukan darah dengan cepat memandangkan kes pesakit itu agak kritikal di mana dia mulai muntah darah akibat penyakit pembuluh darah yang membengkak di saluran esofagus pesakit.

Aku membawa buku yang diperlukan untuk aku mengisi data pesakit dan jumlah darah yang aku ambil, Sesampai sahaja di wad, aku terus serahkan kepada Dr Hanan, yang membuat pemeriksaan supaya darah yang betul diberi kepada pesakit tadi. Aku kembali ke pantri wad untuk minum sedikit air bagi melegakan tekakku yang haus. Aku melaui bilik Puan Sofia, dan secara tiba-tiba, aku terdengar teriakkan daripada bilik tersebut.

Aku mula menjengah dan kelihatan Puan Sofia sedang baring dan mengerekot. Dia meletakkan bantal di atas kepalanya seolah-olah cuba menyembunyikan dirinya daripada sesuatu. Aku segera masuk, dan memegang tubuh Puan Sofia yang panas akibat suhu badannya yang tinggi kerana demam.

“Misi! Tolong saya misi! Abang Osman di balik tirai ni tadi. Tolong saya!”.

Aku jadi gelabah, pada awalnya aku tidak tahu apa yang perlu aku buat, tetapi aku ternampak SN Nora di luar bilik pesakit, dan aku menarik tangannya dengan segera untuk ke bilik Puan Sofia. Dia masih lagi berada dalam keadaan yang ketakutan, menyembunyikan diri sambil merintih dan menjerit-jerit nama arwah suaminya.

Tak semena-mena dia mengambil gelas di atas rak di sisinya sambil membaling ke arah dinding.

“Prang!”, bunyi gelas kaca tersebut saat terkena pada dinding.

“Berambus kau! Berambus kau! Kau dah mati, kau dah mati!”, jeritnya.

Aku cuba mengawal dituasi, walaupun ditepis-tepis dan ditendang kuat. SN Nora memanggil Dr Hanan saat keadaan mula tidak terkawal. Dia mulai merentap keluar jarum di tangannya, membuang topeng oksigennya sera meracau nama arwah suaminya,

Dr Hanan hadir membawa ubat untuk menenangkan pesakit. Dia jadi gelabah kerana kedua-dua jarum yang tertusuk pada tangan kanan dan kiri Puan Sofia sudah direntap, menyebabkan dia tiada cara lain memberi ubat tersebut melainkan dengan cara cucukan secara intramuscular di punggung pesakit.

Beberapa saat kemudian, pesakit membaring dan terlentang akibat kesan ubat yang membataskan pergerakkannya. Dia tidak tidur, matanya terbeliak keluar macam nampak hantu sambil mulutnya tak henti-henti meracau dan menyebut nama arwah suaminya. Aku disuruh untuk melekatkan wayar yang tersambung pada cardiac monitornya itu.

Dr Hanan memesan kepadaku supaya mengalih pesakit ini ke acute cubicle. Perletakkan pesakit di situ adalah untuk dia sentiasa berada dalam pandangan jururawat atau doktor, kerana dia ditakuti akan meracau tak semena-mena lagi. Aku memindahkan pesakit ke katil 13, yang mana dia agak bernasib baik kerana katil di acute cubicle ini ada satu tempat yang kosong.

Aku melihat wajah dia yang pucat di kala bau mulutnya yang dipenuhi jangkitan kuman di ulser di dalam mulutnya yang berbau busuk. Dia tidak respon dengan panggilan aku, sebaliknya kedua-dua matanya yang terbeliak hanya mampu memandang ke sebelah kanan pesakit. Aku mulai cuak juga, takut-takut ada apa-apa yang memunculkan diri scara tiba-tiba dikala malam yang gelap ini.

Saat aku meletakkan pad di dadanya dan disambung dengan mesin cardiac monitor itu, aku terlihat bentuk gelombang yang ditunjukkan di skrin monitor tersebut sebagai satu garisan lurus sahaja. Aku segera memanggil doktor, dan meminta SN Nora menolak troli bewarna merah dengan ke arahku dengan segera.

“Ya Allah, patient collapse!”, Dr Hanan berteriak sebaik sahaja dia merasakan tiada nadi di bahagian leher pesakit.

Beberapa doktor mula menghadirkan diri, untuk menolong apa yang boleh. Cardiopulmonary resuscitation (CPR) dimulakan dengan pantas. Tiada satu pun jarum yang ada di tangannya, kerana direntap tadi. Doktor mula mencari salur darah yang sesuai untuk dicucuk bagi membolehkan cecair dan ubat-ubatan, tetapi tidak berjaya.

Aku menyambung tekanan dada pesakit kerana aku lihat Dr Hanan pun sudah penat, semput dan lelah. Satu jarum besar dimasukkan ke salur darah yang terletak di leher pesakit. Cecair dialirkan dengan pantas. Para doktor mengambil darah secepat mungkin untuk dihantar ke makmal. Dr Munir, seorang medical officer sampai dan mula melakukan pemeriksaan dengan lampu suluh di mata Puan Sofia. Usaha demi usaha dilaksanakan dengan terbaik, namun, selepas 45 minit yang memenatkan, Dr Munir berkata kepada semua,

“That’s it you guys. Call off the CPR”, yang mana bertujuan untuk menghentikan proses resusitasi saat pesakit tidak lagi mampu untuk diselamatkan.

“Time of death, 8.45 PM. Hanan, let me know if patient’s PAP arrive, I will talk to them” katanya lagi.

“Doktor, kenapa tiba-tiba dia jadi macam ni? Meroyan dan ada halusinasi pula?”, aku bertanya.

“Ni, tengok ni keputusan CT Scan dia. Nampak bintik-bintik bewarna putih ni?”, kata Dr Munir.

“Yalah, ni kes apa sebenarnya doktor? Macamana kita nak talley kan diagnosis sebegini dengan pesakit yang meracau dan tiba-tiba ada halusinasi?”, aku bertanya lagi.

“Yeah, inilah namanya cerebral toxoplasmosis. Mana-mana bahagian dalam otak ni kalau affected akan jadi simptom-simptom seperti halusinasi, mimpi-mimpi buruk dan kadangkala mengalami sakit kepala dan boleh lumpuh, bergantung kepada berapa banyak otaknya yang telah rosak dan bahagian mana yang affected juga”, kata Dr Munir sambil menulis di atas BHT seorang pesakit lain.

Aku pernah dengar kes yang dipanggil cerebral toxoplasmosis, yang mana penyakit ini agak eksklusif untuk pesakit-pesakit RVD. Kuman penyebabnya adalah Toxoplasmosis gondii, yang mana untuk orang yang mempunyai imuniti yang normal, jangkitan ini tak akan berlaku, dan sebaliknya kalau imuniti badan terlalu rendah, seperti dalam kes ini, dengan mudah kuman tersebut masuk di dalam otak memandangkan hampir tiada sel darah putih untuk menyerang mana-mana bakteria yang memasuki dalam badan pesakit.

Dr Hanan mulai duduk di sebuah kerusi untuk mengisi borang-borang kematian yang memerlukan tandatangan Dr Munir sebagai pengesahan. Aku mula mengemas katil tersbut yang bersepah seperti tongkang pecah. Aku tertanya-tanya juga di manakah PAP pesakit? Tetapi tidak ada di wad berkenaan.

Tanpa disuruh, aku lihat Dr Hanan telahpun membuat panggilan kepada waris pesakit berdasarkan nombor yang terdapat dalam fail. 30 minit kemudian, seorang lelaki berbadan kurus dan cengkung hadir untuk menuntut jenazah serta mendapatkan borang kematian. Aku lihat sebentar wajahnya, dan terus bertanya,

“Awak ni nak tuntut jenazah ya? Apa pertalian awak dengan pesakit?”

“Saya abang ipar dia”, katanya.

“Oh, awaklah yang duduk berdekatan rumah pesakit ni ya? Abang Encik Osman?”, aku bertanya lagi.

“Ya, saya lah tu”

“Anak pesakit ni sekarang di mana?”

“Arwah Sofia ni hantar mereka ke sekolah madrasah. Saya sahajalah yang tolong buat apa yang patut memandangkan Arwah ni tak terjaga anak-anak dia sendiri. Lagipun, semakin hari sakitnya bertambah teruk. Saya suruh dia dapatkan rawatan tetapi dia tak mahu. Saya sendiri pun on treatment lama dah”

Kata-kata dengan muka selamba dan tidak menunjukkan apa-apa kesedihan atau penyesalan menyebabkan aku terlalu berang. Aku menggenggam kedua-dua tanganku. Bibirku jadi ketap, jantung aku berdegup dengan pantas dan telinga aku berdesing.

Aku terus berlari ke tandas staf wad ini. Aku terduduk di lantai tandas yang basah. Titisan air mata pantas mengalir, dan aku menangis teresak-esak kerana tidak dapat mengawal emosi aku yang terlalu marahkan abang kepada Encik Osman. Aku terlalu geram, dan terlalu sakit hati memikirkan apa yang berlaku.

Sial punya jantan, puaka. Celakalah kau wahai jantan tak tahu malu. Kaulah punca segalanya. Engkaulah! Aku ibarat nak menjerit, dan melepaskan segalanya dengan memaki hamun sekuat-kuat hatiku kepada dia. Namun, aku tahu, aku tidak boleh berkelakuan sedemikian atas dasar profesional. Aku tahu, ini lebih kepada personal, bukanlah apa yang dilakukan sebagai tugas.

Aku mendiamkan diri sahaja. Kepalaku ibarat nak pecah. Tekanan darahku ini pasti meningkat secara mendadak. Setelah aku lepaskan dan luahkan sepenuhnya dalam tangisan, aku berasa sedikit lega. Aku keluar daripada tandas, dan aku ternampak SN Nora baru sahaja keluar daripada bilik sister di wad berkenaan.

Dia hanya memberikan senyuman hambar kepadaku. Aku tahu, itu bukanlah senyuman gembira, sebaliknya adalah satu senyuman untuk berfungsi sebagai topeng, menyembunyikan rasa sedih, marah dan resah gelisah.

Itulah kali terakhir aku melihat SN Nora di wad berkenaan. Hari-hari selepas kejadian, dia tidak muncul untuk datang kerja langsung. Namanya juga tidak kelihatan saat jadual jururawat yang baru dikeluarkan.

Seminggu selepas itu, barulah aku perasan dia telahpun meletakkan jawatan kerana kata sister wad ini, dia mengaku bahawa orang sepertinya tidak layak bertugas sebegini. Dia merasakan perbuatannya yang suka kecoh dan kepoh tidak sesuai diletakkan di dalam satu pekerjaan yang berurusan dengan manusia lain.

Permintaan aku untuk berpindah juga disahkan 2 tahun selepas itu. Kini, aku menjaga pesakit di klinik ibu dan anak sahaja. Kenalanku bernama SN Nora itu langsung tidak kelihatan selepas berlakunya peristiwa hitam yang meragut 2 nyawa. Inilah apa yang orang kata, kerana pulut santan binasa, kerana mulut, nyawa (badan) binasa.

TAMAT…

Pengalaman sebenar SN Nor*%&^.

– Ditulis dan disunting oleh Ilzanno Sharky

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Share via
Copy link
Powered by Social Snap