Hebatnya Kuasa Doa

Assalamualaikum. Bismillahirrahmanirrahim. Semoga Allah jua menjadikan confession ini sebagai asbab hidayah untuk semua. Terkesan membaca confession Berangkatkan Umrah Buat Anak Ini, (https://iiumc.com/berangkatkan-umrah-buat-anak-ini/), membuatkan saya terpanggil jua untuk berkongsi pengalaman keajaiban panggilan umrah saya dan keluarga.

Dari masih bersekolah saya memang menyimpan impian halus untuk ke Mekah apabila melihat tok dan nenek ke Mekah mengerjakan umrah dan haji. Tapi dalam fikiran saya pada waktu itu berangkatnya seseorang itu ke Mekah kerana mereka punyai wang yang lebih, yang berkemampuan, senang cerita orang kaya kaya sahaja mampu ke Mekah, sedangkan keluarga saya hanyalah keluarga sederhana..

Ayah dan ibu juga tidak pernah ke Mekah. Jadi impian saya untuk ke sana saya simpan kemas di hati. Boleh jadi bila saya sudah bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri, barulah saya mampu untuk ke sana. Perihal tujuan umat islam ke Mekah pada waktu itu juga sangat kabur bagi saya. Yang saya tahu saya ingin ke sana untuk beli jam tangan dan gelang plastik gulung sebagaimana itulah buah tangan yang selalu saya perolehi bila menziarah orang baru pulang dari Mekah.

Impian untuk ke Mekah selalu diulang oleh ibu saya betapa beliau sangat teringin untuk ke sana mengerjakan umrah. Impian yang diulang ulang itu membuatkan saya tanam hasrat untuk mengumpul wang dan menghantar beliau ke Mekah suatu hari nanti. Sehinggalah saya memasuki alam pekerjaan, kadang kadang impian itu seolah dilupakan dan terkubur begitu sahaja dek kerana kesibukan bekerja. Hasrat kecil itu masih ada tapi saya tidak pernah bersungguh untuk merealisasikannya walau sudah punya pendapatan. Seakan terlampau sibuk dengan urusan dunia.

Sehinggalah lebih kurang setelah 4 tahun saya bekerja, saya diuji dengan satu ujian yang bagi saya sangat besar untuk saya laluinya. Saya seolah jatuh terduduk yang mungkin pada ketika itu saya sudah tidak punya daya untuk bangun berdiri lagi. Lalainya saya pada Sang Pencipta selama ini membuatkan saya merangkak mencariNya kembali.

Pada ketika itu saya betul betul memerlukan ketenangan,saya betul betul menyerahkan diri saya kembali kepadaNya. Lantas pada ketika itu juga hasrat hati saya yang selama ini tersimpan kemas terbuka kembali lipatannya. Saya fikir mungkin ubatnya pada waktu itu saya perlu ke Mekah dan Madinah untuk mendapatkan lebih ketenangan.

Mungkin juga doa saya akan cepat didengar Allah jika saya ke sana pada waktu hati saya betul betul remuk dan memerlukan Dia menyembuhkan saya. Ceteknya iman saya dan bodohnya saya pada waktu itu dengan berfikiran begitu. Saya tanam lagi hasrat itu dengan melipat gandakan doa saya supaya dijemput ke sana menjadi tetamuNya.

Ajaibnya pada waktu itu selang lebih kurang setahun lebih selepas ujian berat yang menyebabkan saya terduduk itu, ibu saya diajak oleh seorang kenalan untuk menyertai mereka mengerjakan umrah. Saya yang mendengar saat itu terasa seperti Allah telah memakbulkan doa saya untuk ke sana di saat hati saya yang masih lagi gundah dan bersedih begini. Boleh jadi jemputan kepada ibu saya itu adalah satu tiket untuk saya turut serta bersama ibu. Boleh jadi inilah masanya doa saya akan dimakbulkan.

Oh kalau ada yang tertanya ujian apa yang saya lalui, saya diuji dengan pertunangan yang terputus di tengah jalan hanya beberapa bulan selepas pertunangan dimetrai. Terputus tanpa alasan yang membuatkan saya pada waktu itu sangat sangat mempersoalkan Yang Maha Esa apakah hikmah di sebalik semua ini.

Jadi saya fikir jemputan ibu saya untuk ke sana adalah saat yang paling tepat juga untuk saya ke sana memandangkan hati saya yang masih bersedih yang betul betul memerlukan jawapan kepada kegundahan hati saya dan duit yang disimpann untuk majlis kahwin juga masih ada tidak terusik. Duit sudah ada, sepatutnya tiada lagi masalah lain untuk saya ke sana dengan kemahuan saya yang membuak buak pada ketika itu.

Soal mahram juga tidak pernah saya fikirkan kerana melihatkan ada segelintir teman dan public figure yang berjaya ke sana tanpa mahram membuatkan saya lebih bersemngat dan tidak lansung bimbang mengenai soal mahram. Jika mereka boleh pergi tanpa mahram begitu juga saya. Jadi, iada lagi alasan untuk saya tidak boleh ke sana.

Namun apa yang saya fikirkan dan aturkan di dalam kepala saya ternyata jauh mensasar kejadiannya. Pada ketika itu kerajaan Saudi baru sahaja memperketatkan syarat untuk jemaah umrah wanita dengan lansung tidak membenarkan jemaah wanita di bawah umur 45 tahun mengerjakan umrah tanpa kehadiran mahram.

Ianya kerana kerajaan Saudi pada ketika itu cuba menghadkan kemasukan jemaah memandangkan pengubahsuaian Masjidil Haram sedang rancak dikakukan. Kebanyakan travel agent tidak berani untuk mengambil jemaah tanpa mahram pada ketika itu. Maka kecewa lah lagi saya untuk kesekian kalinya. Kecewa pada kali ini saya fikir lebih teruk dari kecewanya saya sewaktu putus tunang dahulu.

Hati gelap dan kotor saya merasakan Allah tidak mahukan saya pada ketika itu. Allah tidak sudi untuk menerima kedatangan saya pada ketika itu.. Mungkin masih banyak dosa saya yang tidak diampunkan membuatkan impian saya untuk kesana disekat. Bodohnya saya, khilaf dan jahilnya saya pada ketika itu berprasangka buruk kepada Sang Pencipta sendiri.

Maka pemergian ibu saya ke Mekah pada ketika itu hanya saya iringi hingga ke airport dengan kiriman doa supaya ibu saya membacakannya di hadapan Kaabah. Doa yang masih berkisar soal hati saya yang masih tertanya tanya kenapa bekas tunang memutuskan pertunangan tanpa alasan.

Allah maha kaya, Allah maha berkuasa.. Berkat doa seorang ibu yang tiada hijab di hadapan Kaabah, Allah menunjukkan kekuasaan Nya kepada saya secara terang terangan menjawab doa yang saya kirimkan pada ibu untuk dibacakan di hadapan kaabah.

Tiada bahasa tersirat tiada petunjuk2 yang membuatkan saya perlu berfikir apakah ia. Pada waktu itu juga Allah menghantar wakilnya menunjukkan kepada saya tentang persoalan yang bermain di minda saya selama ini.. Seolah saya melihat layar filem pada ketika itu. Terus saya terduduk dan menangis. Allah putuskan pertunangan saya kerana Dia sayangkan saya. Terasa seperti saya berada kemas di dalam dakapan Nya pada ketika itu.

Bila sudah terjawab persoalan di minda saya, saya move on dan meneruskan hidup seperti biasa. Saya seolah terlupa sekali lagi tentang hasrat saya untuk ke Mekah, tentang doa yang kusyuk sebelum ini yang ingin menjadi tetamu Nya di sana.

Untuk pengetahuan semua, Saya seorang yang suka mengembara melihat keindahan kebesaran alam ciptaanNya.. Telah banyak negara yang saya jejaki demi untuk memenuhi minatbdan suka saya. Bila disindir oleh segelintir teman, sudah banyak negara dijejak tapi ke Kota Mekah sahaja yang belum,ada juga yang menyindir lebih baik kerjakan umrah terlebih dahulu dari membuang duit berjalan ke merata tempat lain..

Saya sering menjawab sindiran tersebut dengan mengatakan saya memang ingin ke sana dan memberikan alasan tiada mahram untuk menemani saya menjadi penghalangnya saya ke sana. Hanyalah alasan yang saya cipta kerana jika saya betul betul bersungguh ingin ke sana saya boleh saja mengumpul duit dan menaja adik lelaki untuk mengerjakan umrah bersama sama saya.

Sehinggalah pada suatu hari saya mendengar perkongsian dari seorang PU atau imam muda saya lupa, yang mengatakan beliau megerjakan umrah sebanyak dua kali secara percuma sahaja. Satu sen pun tidak dikeluarkan belanja.. Rahsianya senang sahaja katanya.. Rahsianya minta sahaja pada Allah dengan berdoa.. syaratnya kita kena yakin bahawasanya Allah akan memakbulkan doa kita.

Kongsi ustaz itu lagi pada ketika itu dia terlalu ingin untuk mengerjakan umrah tapi tidak mempunyai wang yang cukup untuk membolehkan dia ke sana. Jadi beliau berdoa bersungguh sungguh untuk mengerjakan umrah tapi secara percuma.. Sungguh Allah maha mendengar maha berkuasa.. Bukan sekali tapi dua kali dijemputnya ustaz itu mengerjakan umrah secara percuma.

Saya sangat sangat terkesan dengan perkongsian ustaz tersebut. Saya mahu ke Mekah mengerjakan umrah tapi saya tidak punyai wang yang cukup untuk turut menaja mahram saya untuk ke sana. Jadi saya pilih untuk berdoa supaya saya dapat mengerjakan umrah bukan saja untuk saya tapi untuk seluruh ahli keluarga saya.

Saya berdoa dengan yakin yang Allah akan memakbulkan doa saya yang saya akan mengerjakan umrah dengan seisi keluarga saya. Kalau doa ustaz itu Allah blh makbulkan sebiji sebiji kenapa tidak doa saya.. Saya berdoa supaya saya dapat wang tersepak atau durian runtuh yang banyak bagi membolehkan saya membawa seisi keluarga saya mengerjakan umrah bersama sama saya. Setiap solat setiap sujud setiap doa tidak pernah saya tinggalkan doa ini. Saya betul betul yakin yang Allah akan memakbulkannya

Doa saya hanya dijawab oleh Nya 4 tahun selepas itu.. Sebiji sebiji sepertimana doa saya sebelum ini tapi ada plot of twist dimana durian runtuh itu diperolehi oleh ibu saya dan Allah menjawab doa saya melalui ibu. Kami sekeluarga dijemput oleh Nya mengerjakan ibadah umrah di atas tajaan ibu. Bukan seorang mahram bersama sama saya tetapi tiga. Mungkin juga doa saya yang dimakbulkan dan mungkin juga doa ibu di hadapan kaabah 6 tahun lepas yang ingin membawa semua anak menantu ke Mekah yang dimakbulkan.

Bodohnya saya pada suatu ketika dulu marah dan kecewa kepadaNya kerana tidak dijemput 6 tahun lepas. Bodohnya juga saya tidak mahu muhasabah diri bahawa 6 tahun lepas saya masih belum betul betul bersedia untuk mengerjakan umrah. Boleh jadi jika saya dijemput pada ketika itu saya hanya akan dipengaruhi oleh emosi yang sarat lantas ibadah terabai. Allah jadikan sesuatu itu pada waktu yang tepat sesuai dengan waktu kerana Dia jua lah yang maha mengetahui apa yag terkebelakang atau pun terkedepan.

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?

Nikmatnya berada di Kota suci Mekah dan Madinah membuatkan saya ingin pergi kesana berkali kali lagi dan berhasrat membawa orang yang tidak mampu untuk merasai nikmat yang sama bila berada di sana

Berdoalah kawan kawan jika ada hasrat di hati. Percayalah andai terdetik walau sedikit di hati rindu untuk berada di Mekah dan Madinah itu tandanya Allah telah memanggil kita untuk ke sana. Yakinlah bahawa Dia maha mendengar maha penyayang dan maha memakbulkan. Allah tidak menjemput siapa yang mampu tapi Allah akan memampukan sesiapa yang dijemputNya.

Akhir kalam saya juga mohon doa kalian untuk saya dimurahkan rezeki membawa orang orang yang tidak mampu merasai lazatnya menghadirkan jasad di Tanah Haram. Semoga teman yang sangat teringin untuk ke sana dimudahkan jalannya. Terima kasih kerana sudi membaca coretan saya.

– OBnsn (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *