Bekas Kekasih

Aku berumur lewat 20-an, dah berkahwin, ada anak seorang. Suami aku baik sangat. Rajin tolong aku, selalu mengalah bila aku emosi, layankan semua yang aku nak, dengan keluarga aku pun dia tak berkira. Suami aku kerja biasa-biasa, gaji tak sampai 3K. Tapi alhamdulillah setiap bulan boleh menabung.

Tengok dari luaran, boleh kata aku dan suami tak ada masalah. Kalau ada konflik pun, masuk waktu solat mesti dah baik balik. Sebab kami akan solat sama-sama. Boleh kata hidup kami semua baik. Mertua baik, ipar duai baik, kewangan baik, dsb. Tapi masalah sekarang pada konflik jiwa aku. Ini cerita aku.

Aku waktu SPM pernah bercinta dengan seorang lelaki. Cinta pertama aku. Kami memang serius untuk bernikah. Memandangkan perjalanan kami ketika itu masih jauh, aku buat keputusan untuk gantung perhubungan kami.

Aku cakap pada dia, kita kejar dulu cita-cita kita dan perbaiki diri. Andai ada jodoh, kita teruskan. Pada awalnya dia tak boleh terima, lama-lama dia dah boleh terima. Ini dari sumber risikan aku, teman wanita kawan baik dia.

Aku dan dia jarang berhubung, apatah lagi berjumpa. Kalau ada pun sekadar tanya pasal belajar. Ada la sekali dia ajak aku keluar makan pizza waktu cuti semester. Oh ya, kami sambung pengajian di IPTA yang berbeza. Aku di utara semenanjung, dia di Lembah Klang.

Sambung cerita, aku pegang pada apa yang aku cakap pada dia. Aku baiki diri aku. Aku ikut usrah, aku pergi majlis-majlis ilmu sebab aku nak buat persediaan menjadi yang terbaik untuk dia. Aku memang tak pandang lelaki lain. Kebetulan bidang pengajian aku pun tak ramai lelaki. Maka, ia bukan satu masalah bagi aku. Aku selalu doakan yang terbaik untuk kami.

Satu hari, aku sangat rindu dia. Aku nak pm dia di facebook, aku pergi ke profile dia. Waktu tu aku terkejut sebab kami dah tak berkawan di facebook. Aku sedikit kecewa, aku nak tanya dia. Tapi memandangkan ketika itu minggu peperiksaan, aku simpan dulu. Fokus! Lagipun, cuti semester nanti kami ada reunion budak batch. Tambahan lagi, aku tak ada nombor telefon dia. Dia dah tukar nombor baru.

Hari kami reunion, dia datang menyapa aku. Dia duduk sebelah aku. Kami pun mula bersembang, bertanya khabar dsb. Aku tanya dia, “Kenapa kita dah tak berkawan di facebook?”. Aku ada buat silap ke. Ke dia dah ada orang lain.

Dia cakap, posting aku yang lalu di news feed dia akan buat dia teringat pada aku. Dan, dia tak suka keadaan bila dia teringat aku. Aku tak faham apa yang dia cakap. Tapi aku dapat rasakan yang dia dah tak nak aku. Aku tak dapat nak tanya dia apa maksud dia sebab kawan-kawan lain dah ajak bergambar.

Balik dari reunion, aku buka fb group kami untuk tengok gambar-gambar yang kawan-kawan upload. Ada satu gambar yang membuatkan hati aku berkecai. Gambar dia dengan kawan sekelas aku. Orang yang sama yang pernah nak sondol dia waktu aku awal-awal bercinta dengan dia dulu. Aku tinggal komen di gambar tu dan aku tunggu dia pm aku untuk jelaskan semuanya. Tapi, dia diam seribu bahasa.

Beberapa bulan berlalu, dan dia masih berdiam. Aku anggap sahaja hubungan kami dah berakhir. Bermulalah zaman gelap dalam hidup aku. Aku diuji dengan patah hati dan pada masa yang sama aku diuji dengan keputusan peperiksaan yang sangat mengecewakan. Hingga aku hampir dibuang universiti. Aku salahkan diri aku atas semua yang berlaku. Aku yang mulakan dulu dengan idea untuk gantung perhubungan kami.

Natijahnya, aku kemurungan. Aku hilang berat badan, aku hilang minat pada pelajaran, aku hilang semangat untuk hidup. Lama aku ambil masa untuk hidup balik. Kembalikan semula semangat aku yang dulu. Setiap hari aku menangis, setiap masa jiwa aku meraung. Aku bawa diri, aku bergelut untuk terus hadir usrah dan membaiki diri. Alhamdulillah aku jumpa kawan yang setia bantu aku. Perlahan-lahan aku betulkan niat aku untuk baiki diri, bukan lagi sebab si dia, tapi semata-mata sebab Ilahi.

Lebih setahun selepas aku kecewa, aku berjaya padam semua ingatan aku pada dia, si bekas kekasih. Aku buka pintu hati aku untuk terima seorang lelaki. Sama universiti tetapi lain bidang pengajian. Alhamdulillah semua dipermudahkan. Dari aku mula berkenalan dengan dia sehingga kami bernikah.

Sebulan sebelum aku bernikah, bekas kekasih pm aku untuk merisik khabar. Mama nasihatkan aku untuk abaikan tanpa sebarang balasan. Beberapa hari sebelum aku bernikah, aku pm juga dia untuk bagitahu dia aku bakal bernikah. Dan aku minta maaf atas segala salah silap sepanjang aku menjadi kekasih dia. Dia bagitahu dia sudah lama memaafkan aku. 0-0!

Sekarang dah masuk tahun ke-5 aku sebagai seorang isteri dan tahun ke-3 aku sebagai seorang ibu. Beberapa hari lepas, aku mimpi bekas kekasih datang balik. Ajak aku kembali pada dia. Bermula hari itu, memori aku bersama dia dah kembali dalam ingatan aku. Aku terbayangkan dia, aku teringatkan kenangan kami waktu dulu, yang kebanyakannya manis-manis sahaja. Seolah-olah aku masih hidup sebagai kekasih dia. Sedangkan aku sekarang isteri orang! Arghhhhhh!

Ada juga bisikan-bisikan untuk pm dia, sembang-sembang. Info tambahan, dia sekarang masih bujang. Perempuan yang pernah sondol dia dulu pun dah ada keluarga sendiri. Aku tak tahu maksud mimpi itu. Aku anggap sahaja mainan tidur yang akan hilang dengan sendiri seperti mimpi-mimpi lain.Tapi, sampai sekarang aku masih terbayang.

Mula-mula aku nak rahsiakan dari suami. Tapi, selagi aku simpan selagi itu hati aku tak tenang. Dia memang tahu aku ada kisah lama, ada bekas kekasih. Sebab kami suami isteri memang tak simpan rahsia. Semua kami kongsi. Chat aku dia baca, chat dia pun aku baca. Akhirnya, aku berjaya juga cerita pada suami aku tentang mimpi itu. Dan keadaan aku yang diburu kenangan bekas kekasih.

Aku menangis depan dia sebab aku rasa sakit sangat. Sakit sebab teringat cerita lama, dan sakit sebab aku sakiti dia. Berkali-kali aku minta maaf pada dia. Dia cakap dia maafkan aku, tapi aku tahu, jauh di lubuk hati, dia pasti terluka. Dia pujuk aku, dia bagi aku semangat untuk aku lupakan balik segalanya.

Aku ada juga cerita pada Mama. Mama nasihatkan untuk tenung wajah suami aku ketika dia tidur. Cuba letak diri aku pada tempat dia. Apa perasaan aku kalau suami aku cakap dia teringat pada bekas kekasih?

Kemudian, Mama pesan lagi, setiap kali teringat, cepat-cepat istighfar dan lawan perasaan tu. Syaitan sedang memasang perangkap. Dan sekarang, aku menaip cerita ini dalam keadaan jiwa dan minda aku masih bergelut untuk padam semua bayangan dan kenangan itu. Kawan aku pesan, “It is okay to remember. But, don’t go too deep”. Aku pegang pesan Mama dan kawan aku.

Zaman sekarang, banyak kes curang. Aku sangat takut bila fikirkannya. Aku takut aku terjebak. Aku sibukkan diri aku supaya aku tak termakan dengan bisikan. Aku dah luahkan pada Allah, pada suami, pada Mama, pada kawan aku. Aku tahu, ini konflik kecil sahaja. Namun, ia tetap ujian bagi aku sebab aku pernah separuh mati sayang dia.

Aku menaip dan bercerita di sini bukan untuk menambah ingatan aku pada bekas kekasih. Aku cuma nak lepaskan sisa bebanan yang jiwa aku sedang tanggung. Kerana bagi aku, menulis itu satu terapi. Aku sentiasa doakan kebahagiaan bekas kekasih aku sepertimana aku doakan kebahagiaan aku dan suami.

Ini sekadar cerita dari sudut aku. Aku tak cerita dari sudut dia. “There is always two sides of a coin”. Terima kasih kepada yang sudi membaca. Dialukan untuk tinggalkan nasihat dan kata-kata semangat. Jangan membawang, tapi doakan aku dapat lupakan bekas kekasih aku dan fokus pada cinta dunia akhirat aku.

– Fighter (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *