Muflis di Akhirat

Assalamualaikum wbt pembuka bicara untuk confession aku ni. Terlebih dahulu, aku sangat berterima kasih kepada IIUMC yang menyiarkan confession aku ni serta menyediakan satu medium untuk orang ‘voiceless’ seperti aku ni untuk ‘bersuara’.

Aku adalah salah seorang isteri yang menjadi ‘korban’ kepada rumahtangga sendiri. Karekter aku berubah dari seorang periang, penuh bersemangat, suka berkawan, sehinggalah menjadi seorang yang sangat pasif, menyendiri, aku jauhkan diri daripada semua orang baik keluarga sendiri mahupun rakan baik.

Semuanya kerana seorang lelaki bernama Suami.

Aku selalu termenung fikirkan suami aku. Kenapa, mengapa dia sebegitu? Aku didera secara mental fizikal bertahun-tahun dalam perkahwinan aku ni, yang akhirnya merubah diri aku sendiri.

Suami aku boleh dikatakan calon idaman kalau mak-mak mertua dan perempuan. Hormat ibu bapa, baik dengan adik-beradik, rajin tolong orang, peramah; pendek kata A-list punya orang. Sebab aku pun terpikat dengan dia sebab list tu lah.

Hakikatnya dia bukan seperti yang aku sangka. Lain, tersangat lain. Seolah-olah dunia dia bila dengan aku, adalah dunia penuh kekejaman berbanding dengan dunia dia bersama orang lain.

Ibaratnya; di luar rumah adalah syurga, di dalam rumah neraka.

Ibaratnya; di luar rumah medan dia mengumpul pahala, di dalam rumah medan mengumpul dosa.

Ibaratnya; di luar rumah selangkah menuju syurga, di dalam rumah selangkah ke neraka.

Kenapa aku cakap macam ni?

1. Ketaatan kepada Ketaksuban

Suami aku memang anak yang taat ibu bapa. Tapi aku lihat ketaatannya adalah seperti ketaksuban. Ketaatan melebihi Allah swt. Sedangkan bukankah kita tidak boleh meletakkan makhluk di kedudukan atas melebihi Allah swt?

Jika di rumah, suami tak solat. Culas solat. Tinggal. Al Quran pun tak pernah disentuh mahupun dibaca walau dah bertahun-tahun berkahwin. Tak pernah lagi aku mendengar alunan suara suami aku mengaji.

Kali terakhir aku dengar adalah ketika dia membaca Yaasin ketika majlis tahlil rakannya. Solat Jumaat pun ditinggal-tinggal, apatah lagi solat fardhu ketika waktu dia bekerja (dapat makluman dari rakan sepejabatnya).

Tapi apabila dia di rumah mak bapak dia, dia solat. Sebab? Sebab mak bapak dia suruh. Tiba-tiba di rumah mak bapaknya dia lah paling awal ambil wuduk, bentang sejadah, rajin ke masjid, gerakkan adik-beradiknya untuk bangun solat.

Boleh aku katakan, suami menyembah mak bapak dia, bukan menyembah Allah swt. Sebab dia solat demi mak bapak dia, bukan kerana Allah swt.

Sudahnya rumahtangga kami tidak aman, kerana rumah sendiri tidak menjadi ‘syurga’. Sebagai isteri, aku sudah puas menasihati suami aku untuk solat, aku belikan Al Quran (ini sebagai ‘hint’ untuk dia mengaji tapi sudahnya Al Quran itu hanya terbiar di dalam kotak hadiah yang aku beri).

2. Neraca senget ke mana?

Suami aku sangat tegas dalam hal tanggungjawab pada mak bapak dan keluarga dia. Bab duit, bab pertolongan atau apa sahaja, dia memang buat lubuk kumpul pahala. Kalau tolong orang lain, suamilah orang paling bersimpati betul pada orang susah lain.

Setiap bulan tak pernah suami culas bab hulur duit pada mak bapak dan adik-beradik. Banyak pahala dia.

Berat timbangan neraca pahala dia.

Tapi, apabila berkaitan hal isterinya, timbangan neraca yang pada mulanya senget ke arah beratnya pahala, senget pula ke arah beratnya dosa.

Nafkah langsung tidak diberi. Segala keperluan aku sebagai isteri terabai. Suami ambil kesempatan kerana aku bekerja, pandai-pandailah tanggung sendiri hidup. Kehidupan aku menanggung diri sendiri tak ubah langsung seperti aku hidup bujang.

Kalau berjalan dengan suami aku, dia pantang kalau nampak peminta sedekah atau orang susah, pasti terus dia hulur wang ringgit. Kalau orang lihat, beruntungnya aku sebagai isteri kerana dapat suami pemurah.

Hakikatnya, aku minta suami duit untuk beli minuman pun aku diherdik. Beli panadol waktu demam pun sesen suami tak hulur.

Aku puas bergaduh dengan suami apabila aku luah dan bangkitkan isu hak seorang isteri. Sudahnya apa yang aku dapat hanyalah lebam-lebam dan caci-maki.

Cukuplah 2 situasi untuk aku terangkan di sini kenapa aku terfikir tentang muflisnya nanti suami aku di akhirat kelak.

Bukan aku mendoakan keburukan buat suami. Tetapi, aku sedih untuk suami aku. Sebagai seorang isteri, aku tak pernah berhenti mendoakan suami aku untuk berubah dan bertaubat. Pastilah sebagai seorang isteri aku ingin melangkah ke syurga bersama suami aku.

Dunia & rumahtangga tempat menuai pahala. Di akhirat kelak dapatlah hasil tuaiannya.

Memang hanya Allah swt sahaja yang Maha Mengetahui akan amal ibadat kita. Tanggungjawab suami sepatutnya membimbing, menjadi asbab ke syurga buat seorang isteri.

Aku tak mahu di akhirat kelak Allah swt menyoal aku kenapa aku tidak nasihatkan suami.

Aku berdoa agar suami aku akan meletakkan Allah swt sebagai yang paling atas dan paling utama.

Aku berdoa agar suami aku menjadikan rumahtangga kami, keluarga kecilnya ini juga sebagai medan menuai pahala, bukan dosa; medan asbab ke syurga, bukan neraka.

Semoga kita tidak menjadi manusia muflis di akhirat.

– Tiara (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *