PhD: Ilmu dan Kerjaya

Assalamualaikum. Saya tergerak hati untuk berkongsi pengalaman setelah membaca salah satu artikel di IIUM Confessions, berkenaan Post-PhD Depression. Boleh baca confession berkenaan di sini, (https://iiumc.com/post-phd-depression/).

Saya adalah bekas pelajar UIA bidang kejuruteraan elektronik dan tidak lama selesai majlis konvokesyen, saya mengambil keputusan untuk melanjutkan Masters (mixed-mode) yang juga dalam bidang kejuruteraan secara separuh masa kerana ketika itu saya sedang bekerja sebagai test development engineer di salah sebuah syarikat multi-national di Kuala Lumpur.

Di akhir pengajian, saya mendapat tawaran kerja yang lebih baik di luar Kuala Lumpur, jadi saya berulang-alik dari tempat kerja ke UIA yang mengambil masa hampir tiga jam perjalanan selepas waktu bekerja untuk menghadiri kelas dan bekerja seperti biasa keesokan harinya. Hanya Bapa menjadi teman saya ketika itu.

Saya terus membina career dan pada masa yang sama, tidak putus asa untuk melanjutkan pelajaran di tahap yang tertinggi. Kerana saya terus berpegang pada pesan ibu bapa saya, untuk menggapai kejayaan di peringkat yang tertinggi.

Alhamdulillah berkat doa ibu bapa, saya kini memiliki ijazah PhD (Kejuruteraan Biomedik) dari salah sebuah universiti terkemuka di United Kingdom yang tersenarai di dalam world’s top 100 universities.

Dengan ijazah PhD dalam bidang kejuruteraan biomedik, saya kini bekerja di sebuah syarikat antarabangsa di United Kingdom (juga) sebagai test development engineer.

Walaupun di luar bidang kajian PhD, tetapi semasa menghadiri interview bersama Technical Director, saya katakan padanya bahawa saya terbuka pada apa-apa peluang. Dari industri ke akademik dan kembali ke industri. Saya bukan sahaja wanita tunggal di department saya bekerja tetapi juga Muslim tunggal di syarikat tersebut.

Yang penting adalah strategi. Di akhir tahun pengajian PhD saya mula menghantar CV globally untuk mencari peluang pekerjaan. Saya juga bina hubungan yang baik dengan bekas supervisors (Masters & PhD) yang banyak memberi nasihat tentang peluang pekerjaan yang ada di seluruh pelosok dunia. Pencarian saya tidak terhad dalam satu bidang di sebuah negara.

Saya tahu rezeki dan ujian kita semua berbeza. Tetapi percayalah yang Allah itu Adil dan tidak pernah menyusahkan atau menzalimi hambaNya.

Rezeki Allah itu luas, jika kita bersedia untuk berjauhan dengan keluarga dan berhijrah/bermusafir mencari rezeki, peluang itu akan ada di tempat lain inshaAllah. Tetapi kita harus kuat dan bersedia menghadapi cabaran berada di tempat orang yang asing untuk kita.

Setiap daripada kita ada pendapat masing-masing dan dari pengalaman saya, saya tidak pernah menyesal melanjutkan pelajaran hingga PhD.

Memang benar ilmu boleh di cari di mana-mana, tidak semestinya di universiti sahaja tapi dari pengalaman juga, saya merasakan wajar untuk kita terus menimba ilmu hingga peringkat tertinggi sekiranya diberi peluang kerana kelak satu masa nanti kita pasti akan perlukannya. Untuk anak bangsa dan generasi yang bakal menerajui negara.

– Doc BTJ (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *