Confessor ‘Tanggungjawab Suami’ Puan “Isteri Terseksa”, saya Nur.
Boleh baca confession berkenaan di sini, (https://iiumc.com/tanggungjawab-suami/).
Juga telah melayari alam rumahtangga selama 3 tahun. Juga hidup bersama suami yang bergaji kurang dari saya. Cuma beza kita, gaji suami saya memang kecil, kurang dari RM3K & gaji saya pun bukan terlalu besar, tak sampai RM5K.
Puan dah ada anak? Dari tulisan & cerita puan, saya anggap puan belum punya zuriat. Saya bersama suami telah mempunyai seorang cahaya mata. Bakal menginjak ke usia 2 tahun.
Saya pernah mengalami pengalaman yang hampir sama. Tidak 100 peratus sama tetapi mungkin boleh membantu puan serba sedikit untuk mengurangkan tekanan puan.
Puan, tak perlu sediakan barang dapur. Tak perlu fikir untuk beri makan pada 2 mulut. Itu bukan tugas puan. Itu tanggungjawab suami puan untuk sediakan makanan untuk puan sekurang-kurangnya 2 kali sehari. Suami puan yang perlu fikir untuk suap 2 mulut. Puan jangan stress.
Puan lapar? Makan di kedai berseorangan. Tak perlu masak kalau bahan masakan suami tak sediakan. Kalau puan tak tanggung keseluruhan komitmen keluarga, saya rasa puan mampu kan untuk makan di luar? Kalau puan rasa tak mampu, puan masak untuk diri sendiri sahaja.
Suami lapar? Dia perlu cari makan sendiri. Puan tak kejam. Sudah cukup baik puan tak demand untuk diberi makan oleh suami. Puan tak berdosa juga. Jangan stress.
Untuk bil-bil di rumah, nak tak nak puan perlu bayar kalau suami memang hati batu, sebab puan juga tinggal di rumah yang sama & memerlukan elektrik & air. Tapi apa yang saya boleh cadangkan, cuba kurangkan kos bil terutama bil elektrik. Macam saya, bil elektrik anggaran RM50-70 sahaja sebulan.
Jadi walaupun jika saya yang membayarnya, saya tak ralat. Saya anggap saya bayar untuk keperluan saya & selebihnya saya anggap sedekah pada suami. Yang ni kena cuba ikhlas kan, sebab pahala bersedekah pada suami MasyaAllah sangat besar.
Rumah saya tiada penghawa dingin & pemanas air (water heater). Saya ada menggunakan mesin air, jadi tak perlu guna kettle. Saya rasa, penggunaan kettle yang kerap pun menyumbang kepada bil elektrik yang tinggi. Setakat ni, penggunaan mesin air tak membebankan bil elektrik rumah saya, Bil air pulak setakat ni tak perlu bayar. Alhamdulillah.
Jadi kalau puan rasa ada kos-kos yang boleh dikurangkan, cubalah kurangkan. Kalau banyak suami yang guna (main game sampai lewat malam / tengok movie / sikap membazir tak tutup suis etc), perlulah berbincang untuk suami bayar bil.
Kalau saya, memang nekad puan. Dia tak nak bayar, elektrik kena potong, saya keluar dari rumah sementara. Duduk dengan kawan / keluarga sementara suami uruskan pembayaran.
Bab balik kampung, saya sekarang dah tak ikut balik kampung suami kalau suami tak sediakan duit minyak. Alhamdulillah rumah keluarga kami tak jauh mana, kurang sejam. Tapi di awal perkahwinan, bebanan kewangan kami agak kritikal. Jadi RM50 pun berat bagi saya.
Masa itu, saya masih bertolak ansur. Saya pendam sendiri. Saya ikutkan kemahuan suami. Setiap dua minggu akan balik. Kadang-kadang selang seminggu bila ada hal keluarga di rumah orang tua nya. Tapi sekarang, tidak lagi. Bila suami ajak balik kampung dia, saya minta dia hulur duit untuk isi minyak. Kalau dia bagi alasan tiada duit, saya cakap tak perlu balik.
Dengan mak mertua pun saya berterus terang, anaknya tak cukup duit nak balik kampung, jadi kami jarang balik. Saya dah tak kisah apa mertua akan cakap / komen. Dan saya juga tak nak lagi tutup kekurangan suami pada keluarga dia. Tapi, saya masih jaga segala aib rumahtangga dari pengetahuan keluarga saya.
Bila saya nak balik kampung saya & suami tak nak menghulur, saya balik seorang diri dengan anak, dan bagi alasan pada ibu saya yang suami terpaksa bekerja. Ya saya terpaksa menipu untuk menutup aib suami.
Rumah yang puan beli, adakah atas nama bersama? Kalau ya, susah puan. Nak berpisah pun susah. Tapi kalau atas nama puan seorang, puan boleh halang suami dari duduk di rumah itu. Biar suami terus menyewa di rumah sekarang & puan pindah seorang diri ke rumah puan. Baru suami tahu susah payah puan bayar sewa rumah selama ini. Biar suami tahu susah bila puan tiada di sisi.
Pendek kata, puan hanya jaga diri sendiri sahaja. Puan tak bertanggungjawab pada suami. Puan tak perlu risau. Fikirkan jalan untuk sediakan keperluan diri puan yang tak membebankan. Saya nampak perubahan suami saya. Sedikit, tapi ada. Dan masih berusaha untuk memperbaiki rumahtangga & keluarga.
Tapi niat saya, bukan untuk membebankan suami dengan keperluan diri saya & anak. Niat saya hanya satu – saya tak mahu suami saya dipertikaikan & dihukum di akhirat kelak, tentang kewajipan & tanggungjawabnya pada isteri dan anak. Saya sayangkan suami saya.
Jadi saya hanya demand yang paling minima mengikut hukum Islam.
Makanan 2 kali sehari.
Pakaian 2 pasang lengkap (kain / seluar, baju, pakaian dalam, tudung, kasut) setahun.
Tempat tinggal termasuk bil elektrik & air.
Perubatan.
Kelengkapan mandian.
Ingin ditekankan, semua ini hanya cadangan dari saya, yang pernah mengalami perkara yang hampir sama. Kalau tak sesuai, saya mohon maaf ye puan. Diharap dapat membantu puan.
Berpisah? Saya no komen. Puan yang tanggung, jadi puan yang tahu level kritikal masalah keluarga puan & adakah berpisah itu jalan penyelesaian terbaik?
Saya sendri di masa kesempitan, terlalu kerap fikir untuk berpisah. Terlalu kerap rasa tak ikhlas dengan setiap sen yang saya sumbangkan, terlalu kerap berlawan dengan hati & memberontak dari dalam mempertikaikan itu dan ini.
Alhamdulillah Allah masih panjangkan jodoh saya dan suami hingga ke hari ini. Mungkin ada hikmahnya. Mungkin Allah nak bagi ganjaran pada saya. Mungkin dalam rezeki saya ada rezeki suami.
Puan jangan stress ya.
– Nur (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit