Isteri Yang Dimanipulasi

Assalamualikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca budiman…

Terima kasih admin kerana menyiarkan luahan saya ni..

Saya Zarieyna berumur awal 40 an dan seorang kakitangan awam berskim ijazah dan berkhidmat di selatan tanahair. Sudah berkahwin hampir 15 tahun dengan penjawat awam juga tetapi bukan skim ijazah dan dikurniakan 3 orang anak yang sedang meningkat remaja.

Disebabkan perbezaan skim, maka gaji saya lebih tunggi hampir 2 kali ganda dengan suami. Di awal perkahwinan saya tidak hiraukan tentang soal nafkah pun dan saya dengan rela hati banyak membantu suami dalam perbelanjaan rumahtangga.

Terus terang saya tidak pernah merasa mendapat nafkah zahir untuk setiap bulan malahan saya yang macam menjadi ketua keluarga.

Duit gaji suami ke mana? Ini yang memusykilkan saya, tapi saya faham dia pernah meminjam loan peribadi dari bank untuk membuat modal perniagaan dan akhirnya perniagaan itu tidak berjaya. Saya juga dipujuknya untuk membuat loan peribadi bagi membantunya.

Bukan itu sahaja semua barang kemas saya telah digadaikan serta pernah juga dia mengambil wang dari akaun bank serta wang pendahuluaan kad kredit tanpa pengetahuan saya.

Peribadi suami saya sebenarnya baik tetapi kadang-kadang suka mengutamakan kawan-kawan. Dia juga saya tahu ada bermain nombor ekor dan kemungkinan ada hubungan lain dengan perempuan lain.

Saya redha apa yang saya hadapi dan saya sentiasa berdoa agar kehidupan kami akan jadi lebih baik. Tidak pernah terfikir untuk menuntut cerai sebab fikirkan anak-anak dan terlalu takut untuk menjadi JANDA.

Sejak 2017 saya dapati dia selalu mendapat panggilan telefon daripada orang yang meminta hutang dan katanya dari pinjaman berlesen.

Tanpa berfikir panjang saya berhasrat untuk menjual rumah yang kami telah diduduki selama 10 tahun dengan harapan boleh membantu suami membayar semua hutangnya dengan pinjaman berlesen. Setelah rumah dijual kami menyewa rumah lain yang setiap bulan sewanya saya yang bayar sehinggalah sekarang.

Sejak itu panggilan telefon yang menuntut hutang berkurangan dan saya rasa lebih aman dan tenang. Namun rasa tenang itu tidak lama, iaitu pada tahun lepas dia mengaku dia masih ada hutang yang perlu dibayar dan yang menakutkan saya dia kata dia meminjam dengan ahlong pula.

Luruh jantung saya dan saya rasa macam terancam sangat memandangkan semua duit hasil jualan rumah sudah pun habis dia gunakabn.Pelik saya apalah yang dia buat dengan semua duit itu sedangkan banyak perbelanjaan rumah termasuk sewa rumah saya yang bayar.

Saya rasa macam hilang kesabaran dan rasa macam down sangat. Saya berkorban berhabis semua aset saya untuk dia sedangkan saya tak pernah merasa mendapat nafkah zahir yang sewajarnya seorang isteri dapat. Saya mula rasakan tiada masa depan.

Namun setelah dipujuk saya bersetuju menggadai tanah pula dan menolong pinjamkan duit dari adik beradik untuk membantu dia sekali lagi. Saya akur tetapi sudah menyatakan keinginan untuk dia menceraikan saya.

Saya rasa macam saya dimanipulasikan sahaja oleh suami saya yang sepatutnya seorang isteri bergantung kepada suami tetapi bagi kes saya, boleh jadi terbalik pula. Adilkah bagi saya sebagai seorang isteri yang dinafikan hak nagkah dan kena menanggung hutang suami?

Saya bertahan, dan kadang- kadang rasa sangat tertekan. Namun saya kuatkan hati demi anak-anak. Saya cuba libatkan diri dengan bisnes online dengan hasrat untuk menambah pendapatan keluarga.

Saya tidak pernah bercerita dengan rakan sebab saya tidak mahu membuka aib suami. Berkali-kali saya memintanya melepaskan saya secara baik tapi dia masih berdalih. Apa yang saya fikir saya hendak cari kehidupan saya sendiri tanpa dibayangi dia.

Hari demi hari bila saya tegaskan lagi sekali untuk berpisah, dia mula menyatakan saya hendak berpisah disebabkan saya ada orang lain yang menghasut dan beranggapan saya ada hubungan dengan lelaki lain.

Saya menjadi lebih tertekan dan apabila saya menceritakan masalah saya pada keluarga saya, rupanya mereka amat menggalakkan saya untuk berpisah sebab mereka memang sudah lama nampak saya yang macam seolah-olah ketua keluarga dari segi perbelanjaan rumah tngga.

Saya hendak berpisah tetapi saya macam tidak ada lekuatan untuk ke mahkamah dan dia juga mengeluarkan beberapa ancaman kepada saya jika saya pergi merujuk ke mahkamah syariah.

Saya buntu dan rasa amat sedih dan tertekan, saya sedar dia tidak akan melepaskan saya dengan mudah kerana saya ini macam sumber kewangan dia. Pernah suatu hari dia mengurung saya di rumah, bertengkar dan memukul saya apabila saya katakan hendak pergi ke pejabat agama.

Perlukah saya bertahan dan berdiam diri atau perlukah saya meneruskan hasrat saya untuk berpisah dan mencari kebahagianan saya sendiri??? Saya berharap pembaca boleh berikan pendapat dan pandangan dan doakan yang terbaik untuk saya.. Terima kasih.

– Zarieyna (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *