Salam Sejahtera diucapkan kepada pembaca setia IIUM Confession.
Sejak akhir-akhir ini kadar perceraian dikalangan orang muda semakin meningkat. Ianya sangat menggerunkan. Apatah lagi kanan kiri sahabat handai kedengaran bosan dengan pasangan (belum 10 tahun kahwin) dan merungut segala seribu satu tentang pasangan.
Rata-rata mengatakan suaminya tidak romantik. Langsung tiada rasa ingin mewujudkan suasana-suasana yang boleh menambahkan bibit-bibit cinta. Ada pula yang berkahwin tetapi seperti sahabat sahaja.
Sebelum menyalahkan suami, koreksi diri terlebih dahulu. Adakah anda, si isteri seorang yang romantik? Tanya pada diri anda terlebih dahulu apakah usaha anda untuk menimbulkan suasana romantik dalam hubungan?
Tidak pandai? Belajar. Banyak bahan bacaan boleh didapati dengan hujung jari. Google. YouTube. Malu? Paksa diri anda. Itu kan suami anda? Suami yang sudah tau segala perkara busuk tentang anda.
Para suami, usahakanlah untuk menjadi romantik. Isteri hanya inginkan suami yang sentiasa bersamanya dan memberi perhatian kepadanya. Benda simple je pun boleh buat isteri bahagia taw.
Ini adalah tips untuk anda si isteri & suami untuk mengembalikan romantika dalam hubungan.
1. Sentiasa ambil berat mengenai pasangan.
Tanya pada pasangan anda. Apakah yang dilakukannya seharian? Bagaimana pekerjaannya hari ni? Jika suri rumah, boleh tanya dia buat apa seharian ini? Sudah makan atau belum? Simple kan? Tapi boleh buat pasangan rasa dihargai.
2. Sentuhan.
Kebanyakkannya masa mula-mula kahwin je sebelum tido berpelukan dan berpegangan tangan. Hari ini, sebelum tidur cuba anda peluk pasangan anda atau paling kurang rapatkan diri dan pegang tangan sehingga tertidur.
Sentiasa mengucup suami/isteri bila-bila masa sahaja. Berikan kucupan hangat di pipi (bagi suami) dan di dahi (bagi isteri).
3. Wujudkan fantasi yang diingini suami/isteri.
Jika isteri mempunyai fantasi, ceritakan pada suami. Jika suami mempunyai fantasi, ceritakan pada isteri. Jika perlu untuk mewujudkan suasana romantik, dalam bilik di rumah sahaja sudah mencukupi.
Anak-anak sudah tidur. Pasang musik romantik dan lilin dalam bilik. Menari la bersama menikmati romantiknya suasana atau perkara-perkara lain yang anda inginkan.
4. Komunikasi.
Perkara paling asas. Gagal berkomunikasi, gagallah segala-galanya. Buang ego anda bila bersama pasangan. Percayalah tidak rugi menjadi seorang yang telus kerana anda juga akan merasai nikmatnya sebuah perkahwinan.
Dan yang terakhir, usaha! Usaha haruslah bersama. Satu pihak sahaja yang usaha tidak akan jadi apa-apa. Jagalah hubungan perkahwinan anda seperti emas yang dijumpai, betapa berharganya emas itu begitulah berharganya sebuah perkahwinan.
Moga anda amalkan tips ini hari ini!
– Siti Sayang (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit