Assalamualaikum semua. Terima kasih admin sudi siarkan kisah/coretan saya kali ini. Menerusi tajuk di atas, bunyi macam lagu Misha Omar kan? Tetapi hakikatnya, ini adalah kisah hidupku.
Aku anak bongsu dari 3 beradik. Ayahku melayu dan ibuku cina. Aku lahir dari keluarga yng bercerai. Sejak kecil aku dibela oleh ayah, atok dan makcik di kampung.
Oleh kerana dibesarkan oleh individu yang berlainan, maka tingkah laku aku pun secara semula jadi matang sebelum usia.
Sejak kecil aku sudah mula mencari duit sendiri hasil menjaja kuih di kampung. Aku juga tahu memasak dan menguruskan diri sendiri. Pakaian ku, aku basuh sendiri, tidak pernah mengharapkan bantuan sesiapa.
Jika ditanya mengenai kasih sayang, ya memang aku kurang kasih sayang, tetapi bukan pilihan aku untuk memberontak seperti orang tiada akal.
Aku lebih kepada menerima apa sahaja ketentuan yang telah tertulis dalam diri aku. Cuma kadang-kadang aku pernah bertanya pada diri sendiri kenapa aku yang Allah pilih untuk jalani semua dugaan dan kepahitan tersebut.
Secara jujurnya aku tidak kuat menempuh masa sukar dan duka anak yang lahir dari keluarga bercerai. Aku sebenarnya rindu dengan kasih sayang daripada seorang ayah mahupun ibu.
Namun, kini aku telah dewasa. Sudah bekerja, masih bujang. Pengalaman lampau membuatkan aku sukar untuk menerima sesiapapun yang cuba untuk mengenali diriku. Aku lebih suka memendam dan bersendirian.
Kini ujian lebih berat telah menimpa diriku, keluarga di kampung bergaduh kerana harta, ayahku juga bermasam muka dengan makcik ku yang dulu pernah besarkan aku.
Aku kini berbelah bagi. Tidak tahu mahu menyokong sesiapa. Ditambah pula menerima berita atok yang menjaga aku sejak kecil sakit dan sedikit tenat di kampung.
Abangku pula semakin hari semakin terjebak dengan judi online sehingga dibuang kerja dan hanya duduk dikampung menghabiskan beras dan menadah tangan untuk meminta duit keluarga di kampung.
Aku dapat rasakan dia kecewa dengan kehidupan dia yang sejak azali tidak pernah dihiraukan oleh ibu dan ayah. Kakak ku pula, kahwin di usia muda, dan kini kerap mempunyai masalah kewangan.
Dan aku sebagai anak bongsu, yang telah menjejakkan kaki ke universiti dan sudah bekerja menjadi sasaran untuk meminjam duit yang tidak berkesudahan.
Secara kesimpulannya, aku menjadi lali dengan semua ini. Aku hanya mampu berserah pada yang Maha Esa untuk memudahkan segala urusanku, memberi kesihatan yang baik.
Aku senyum dalam menangis, aku ketawa dalam duka, aku bahagia dalam derita, aku bersyukur dalam pasrah, aku lena dalam kecewa, aku bebas dalam penjara.
Terima kasih kepada semua yang sudi meluangkan masa membaca coretan saya ini.
– Noa (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit