Assalamualaikum Warahmatullahi Taala, Wabarakatuh dan salam sejahtera saya ucapkan kepada semua pembaca-pembaca laman IIUM Confessions.
Berkenaan dengan tajuk luahan saya diatas, izinkan saya berkongsi kisah hidup saya. Tetapi sebelum itu, maafkan saya sekiranya luahan saya ini agak panjang dan agak membosankan dan saya memohon identiti saya dirahsiakan sekiranya luahan saya ini disiarkan
Saya adalah seorang individu yang boleh dikatakan agak malang daripada segala segi tetapi itu bukan tujuan saya menulis luahan ini. Sekali lagi, kembali kepada tajuk, ya.
Luahan saya adalah mengenai bahana dosa yang terpaksa saya tanggung diatas perbuatan orang lain sedangkan saya adalah seorang yang telah cuba sehabis baik untuk tidak melakukan segala laranganNya dan juga telah sehabis baik cuba untuk memenuhi segala tuntutanNya
Saya mempunyai tiga orang adik beradik dan dibesarkan dalam keadaan yang sederhana dan saya juga adalah yang paling bongsu. Tidak daif, tidak mewah namun segala keperluan mencukupi.
Walaupun saya bongsu, tetapi saya bukan anak yang manja. Ibu dan ayah telah mendidik kami bertiga menjadi insan yang berdikari
Cukup dengan pengenalan, saya mulakan luahan saya dimana saya terpaksa menangung bahana dosa yang dilakukan oleh abang saya dan ianya bermula semenjak empat tahun lalu.
Pada empat tahun yang lalu, saya dengan abang telah diberhentikan kerja dek masalah kewangan syarikat dimana syarikat tempat kami berkerja menanggung kerugian yang amat teruk
Semenjak daripada itu, abang menjadi seorang yang lebih berat timbangannya ke kiri. Abang meneguk air haram dan boleh dikatakan, abang selalu bertukar teman wanita setidak-tidaknya empat kali dalam masa sebulan.
Setiap kali abang bertukar teman wanita, syurga tempat kami bertiga (abang, emak dan saya) berteduh itulah yang akan menjadi tempat abang dan teman wanitanya melalukan perkara terkutuk pada malam hari
Tetapi, yang amat menyedihkan saya ialah, setiap kali abang menjemput teman wanitanya ke rumah, ibu seolah-olah langsung tidak mempedulikan akan kelakuan tidak bermoral abang di rumah kami.
Sedangkan ibu adalah seorang yang warak, berpengetahuan agak tinggi dalam ilmu agama suci kita dan juga seorang yang selalu ke tikar sejadah 5 kali dalam sehari setiap kali sampai waktunya. Tahajud juga tidak dilupakan setiap kali selepas tengah malam
Abang tanpa segan silu dan rasa bersalah terhadap ibu selalu memimpin teman wanitanya ke dalam bilik dan berlalu begitu sahaja di depan ibu. Dan seperti biasa juga, ibu langsung tidak memberikan apa-apa tindak balas.
Saya selalu bercakap dengan ibu tentang hal ini namun selalu itu juga tidak diendahkan oleh ibu. Pernah juga saya berdepan sendiri dengan abang tetapi dia masih dengan sikapnya sambil mengherdik dan menengking yang bahawa saya, selaku adik tidak layak berkata sedemikian terhadapnya
Saya, diselubungi dengan rasa putus asa kerana sikap abang yang takkan berubah dan sikap ibu yang takkan peka dengan sikap abang, membawa diri ke ibukota dengan harapan saya dapat mencari ketenangan dan ingin mengumpul sedikit wang.
Namun saya silap. Disinilah tempat dimana saya mula menuai hasil tempias daripada istidraj abang
Walaupun hidup penuh dengan dosa-dosa, namun, dapat saya lihat yang hidup abang jauh lebih baik daripada diri saya. Abang dikurniakan dengan ramai kawan yang boleh dikatakan boleh diharap. Manakala saya selalu berkawan dengan orang-orang negatif yang suka mengambil kesempatan
Di ibukota inilah titik permulan saya menuai segala hasil tempias dosa-dosa istidraj abang. Waktu saya berkerja di ibukota, pada awalnya, air masih lagi tenang dan tidak berombak. Tetapi, ketenangan itu tidak kekal lama apabila orang atasan mula melayan saya seperti pekerja asing buruh kasar.
Namun begitu, pada waktu yang sama, saya berkenalan dengan seorang yang boleh dikatakan seorang muslimah dan kami menjadi semakin rapat sehingga pada satu saat, saya berfikiran yang dia adalah jodoh saya. Dia adalah sumber kekuatan saya
Namun, sekali lagi, saya silap. Tidak lama selepas kami berkawan, saya mendapati yang sikap wanita muslimah itu semakin dingin dengan silih bergantinya hari.
Dengan kuasa Sang Pencipta, pada satu hari, saya terlihat satu susuk tubuh wanita muslimah yang saya kenal di satu tempat yang selalu saya lalu kerana tempat itu menghubungkan kediaman dan tempat kerja saya.
Tanpa berfikir panjang, saya meneruskan langkah untuk menyapa dan tidak lama kemudian, satu lagi susuk tubuh lelaki menghampiri dan melabuhkan punggungnya betul-betul di sebelah wanita muslimah tersebut.
Seperti disambar petir, alangkah terkejutnya saya pada masa itu, dimana saya menyaksikan dua susuk tubuh itu saling bercumbuan dengan sangat berahi
Dengan hati yang masih mempunyai luka yang sangat perit, belum sembuh sepenuhnya dan masih terasa sakitnya, saya menggagahi diri ini dan mengambil keputusan untuk menukar tempat kerja dan memutuskan segala hubungan dengan wanita itu.
Apabila setibanya di tempat kerja yang baharu, sekali lagi saya dilayan seperti pekerja asing buruh kasar. Tidak kira dimana sahaja tempat yang saya pergi, keputusannya tetap sama. Berjumpa dengan kawan-kawan baharu yang bertalam dua muka dan tempat kerja yang mempunyai orang atasan yang tidak baik.
Akhirnya, setelah berhempas pulas selama dua tahun, dan masih tidak mempunyai apa-apa hasil, saya memutuskan untuk kembali ke tempat asal dan alangkah terkejutnya saya melihat kehidupan abang, sang pendosa yang serba mewah.
Abang mendapat apa sahaja yang diinginkannya tanpa berhempas pulas. Manakala, saya, yang berkerja keras, cuba menjadi yang terbaik di sisi Sang Pencipta, menerima pelbagai musibah berat. Kakak telah menemui kebahagian dengan suaminya.
Sanak saudara yang lain kelihatannya tidak mempunyai apa-apa masalah. Ibu masih juga seperti itu. Seperti biasa. Membiarkan sahaja abang yang terus hanyut terjerumus ke lubang dosa. Dosa air haram. Dosa hubungan haram. Ayah telah tenang disana. DisisiNya
Sekali lagi, saya cuba jauhkan diri daripada keluarga ini. Dan sekali lagi, saya cuba untuk hidup sendiri. Telah banyak tawaran kerja yang saya pohon di tempat asal. Namun semuanya memberikan jawapan yang sama.
Duit simpanan telah habis digunakan dan kini, saya tidak mampu berbuat apa-apa. Saya selalu menjadi mangsa sindiran dan herdikan abang. Dan ibu? Hanyalah berdiam diri.
Kenapa hanya saya seorang sahaja yang menerima tempias dahsyat, dosa daripada istidraj abang?
– Hamba Allah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit