Nafkah Daripada Suami Yang Dirindui

Terima kasih kepada yang sudi membaca sekiranya luahan aku ini disiarkan..

Aku Laili semestinya bukan nama sebenar. Berumur awal 30-an, sudah berkahwin dan mempunyai 3 orang anak hasil dari perkahwinan yang hampir berusia 10 tahun.

Kedua ibu-bapaku sudah meninggal dan aku satu-satunya anak tunggal mereka. Suamiku, Halim, berumur lewat 30 an, anak sulung dari 3 beradik.

Aku dan suami berkahwin atas suka sama suka, tiada istilah kahwin paksa. Aku redha menerima segala kekurangan dan beliau sendiri menerima kekurangan aku, lagi pula waktu bercinta semuanya indah tanpa sedikit pun cacat cela.

Suamiku seorang yang boleh dikatakan warak, cukup solat fardunya, dia juga dikenali sebagai ‘ustaz’ di tempat kerjanya, jika diajukan soalan tentang agama, dia mampu mengulas berjam-jam jika tidak diganggu. Jika dilihat dari mata kasar, aku cukup bertuah kerana dapat bersuamikan beliau.

Suamiku juga sering menyinsing lengan untuk membantu aku dalam urusan rumah tangga, aku cukup bertuah kerana mempunyai suami yang memahami kepenatan aku yang turut membanting tulang mencari pendapatan untuk keluarga.

Aku kini diuji, ye ujian adalah satu perkataan yang terbaik untuk aku ungkapkan buat masa ini. Aku diuji dengan perasaan iri terhadap nafkah yang sepatutnya aku terima dari suami. Pada usia perkenalan aku dan suami, aku berjawatan lebih tinggi darinya, gaji aku juga lebih tinggi dari gaji suami.

Aku redha bila suami tidak dapat memberikan nafkah kepada aku, aku juga redha apabila mengeluarkan duit gaji sendiri untuk memenuhi perbelanjaan rumah tangga.

Dari awal perkahwinan, senarai perbelanjaan telah kami bahagi dua, suami akan membayar segala bayaran bil-bil di rumah dan telefon. Aku pula membayar ansuran bulanan kereta dan minyak kereta, belanja dapur, dan keperluan anak-anak.

Aku dan suami tinggal di rumah peninggalan kedua ibu bapaku, jadi tiada bayaran yang perlu kami keluarkan untuk rumah. Beberapa tahun yang lepas, suami aku dinaikkan pangkat, jawatannya sama seperti aku, gajinya juga bertambah dari gaji yang dulu.

Suami aku juga ada mengikuti suatu kumpulan keagamaan (bukan kumpulan ajaran sesat), katanya kenaikan pangkat beliau adalah hikmah dirinya mendekatkan diri dengan agama.

Dengan gaji suami yang sedikit bertambah, aku seperti boleh menarik nafas lega kerana dalam firasat aku mungkin suami akan membantu aku memenuhi perbelanjaan yang dari awal perkahwinan aku tanggung. Tapi ternyata aku salah, suami tidak pernah cuba membantu.

Dengan baki gaji yang ada, dia terlebih dahulu membuat pindahan nafkah kepada kedua ibu-bapanya yang masih berkerja sebagai cikgu. Seperti yang aku katakan, suami adalah anak sulung kepada 3 beradik.

Dalam keluarga suami, ayat ‘syurga di bawah tapak kaki ibu’ adalah seperti paku yang telah lama dibenamkan ke dalam kepala. Suami cukup menjaga ‘darjatnya’ sebagai anak sulung lelaki yang wajib berbakti kepada kedua ibu-bapanya.

Sedikit dari baki gaji yang ada dipindahkan kepada kumpulan agama yang dianggotainya dan selebih dari gaji suami entah ke mana perginya. Gaji aku pula masih lagi digunakan untuk perbelanjaan yang sama dari dulu, atau sebenarnya bertambah dengan kehadiran 3 orang cahaya mata.

Aku pernah beberapa kali cuba berdialog dengan beliau mengenai urutan pemberian nafkah dalam Islam, namun ditolak oleh suami, katanya beliau akan mendapatkan penerangan lebih lanjut dari ustaz persatuan agamanya.

Dan sampai sekarang sekarang masih lagi sama, suami masih lagi menunaikan tanggunjawab kepada ibu bapanya yang mempunyai pendapatan tetap dan masih lagi memberikan sokongan kewangan kepada persatuan agama beliau.

Manakala aku masih lagi cuba menyusun sebaiknya gaji aku sendiri untuk memenuhi perbelanjaan rumah tangga.

Sekiranya aku gagal membuat penyusunan belanja yang betul, maka aku terpaksa mengeluarkan duit simpanan yang ada atau membuat pajakan barang kemas untuk memenuhi perbelanjaan bulanan kami sekeluarga.

“Kesian sayang, abang tak mampu nak bagi nafkah pada sayang, duit gaji sayang pun habis bantu abang”, ayat yang biasa suami aku berikan kepada aku. Aku tidak lagi mampu untuk berfikiran positif kerana aku tahu setiap sen aliran keluar gaji suami.

Aku sebagai isteri teringin mendapat nafkah dari suami, aku faham sekiranya dia tak mampu tapi sekarang dia sudah lebih dari mampu… Berdosakah aku sekiranya aku kerap iri hati dengan mertua dan jalan keagamaan yang suami lebih utamakan?

– Laili (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit