Anak Haruman Syurga II

Assalamualaikum. Alhamdulillah jika confession ini disiarkan. Syukur yang tak terhingga sekiranya luahan ini dibaca tanpa mengira sesiapa kerana luahan ini ditulis khusus buat para isteri di luar sana yang masih mengharapkan kehadiran cahaya mata.

Ya, saya adalah kakak kepada anis nasuha yang pernah menyiarkan kisah tentang ‘anak haruman syurga’. Boleh baca di sini, (https://iiumc.com/anak-haruman-syurga/).

Confession yang ditulis baru-baru ini benar ditujukan kepada saya tanpa diberitahu olehnya. Tergerak hati untuk membuka pautan yang dikongsinya di halaman facebooknya dan berderailah airmata ini bila membacanya.

Anis adalah adik yang sangat baik. Dialah bahu sandaran saya ketika saya jatuh tanpa disambut sesiapa. Dialah jugalah segalanya bagi saya dan dialah contoh ‘anak haruman syurga’ sesungguhnya.

Banyak yang ingin saya kongsikan di sini. Bila membaca setiap satu komen yang diberikan saya amat bersyukur kerana sentiasa dikelilingi oleh insan-insan yang berhati mulia seperti kalian semua.

Selama 12 menanti zuriat, selama 12 menahan telinga dari kata-kata yang meruntun hati, selama 12 kami menutup mata melihat kebahagiaan keluarga lain akhirnya kami mendapat seorang cahaya mata yang telah lama kami tunggu. Syukur kepada tuhan yang maha pendengar setiap luahan hati hambaNya.

Selama 12 kami berusaha kesana sini. Beribu ringgit wang dihabiskan untuk segala ikhtiar agar kami mendapat zuriat namun selagi Allah tidak berkata ‘ya’ maka kami masih menunggu dengan penuh sabar.

Saya pernah memberikan suami izin untuk berkawin lain kerana malu pada mertua dan malu pada rakan rakan suami yang sibuk bertanya bila kami akan mendapat zuriat tapi suami menolak.

Ya. Saya terlalu lemah jika disoal tentang ini. Saya malu, saya hanya perlukan sokongan dan semangat dari mereka yang memahami tapi tiada. Ramai yang menghakimi dan cuba menjadi tuhan, menghukum tanpa saya mampu berbuat apa-apa.

Tiapkali ada yang bertanya kepada kami soal anak, suami terus mengenggam tangan saya seolah memberitahu agar saya sentiasa kuat. Ya, mungkin dulu hati saya terlalu rapuh bila acapkali disoal tentang anak tapi masa berjalan dan mengajar saya untuk terus kuat dan sabar menunggu.

Hubungan saya dan mertua masih baik. Walaupun acapkali disoal adakah saya merancang keluarga, saya hanya menjawab tidak. Belum ada rezeki hanya itu jawapan yang mampu saya berikan.

Ada satu masa ketika saya ke rumah mertua, keluarga mertua berkumpul di ruang tamu dan saya ke dapur membancuh air, ketika mahu keluar menghidangkan air, telinga saya mendengar sendiri ibu mertua mengatakan saya berketurunan mandul dan meminta suami berkawin lain. Saya keluar dan berlakon seperti biasa dan kemudian lari ke bilik dan menangis di belakang pintu.

Setelah melalui tempoh 6 tahun tanpa kehadiran zuriat, saya mula memikirkan ‘jalan lain’ sekiranya saya akan diceraikan. Ya, saya takut jika masa itu tiba dan saya belum bersedia.

Saya mula berkerja dan mengumpul aset sendiri demi kepentingan saya di masa hadapan. Takut terjadi apa-apa dan saya boleh bergantung dengan hasil titik peluh saya sendiri.

Tapi Allah itu maha mengasihi, tiada pekara buruk yang berlalu dalam rumahtangga saya. Suami saya sentiasa ada dalam setiap susah senang kami. Hanya kadangkala campur tangan pihak luar yang merosakkan sedikit hubungan kami.

Jika ditanya apakah ujian yang saya terima sudah tentu panjang berjela tapi tiada daya untuk saya menolak setiap ujian yang diberikan kerana saya tahu diluar sana masih banyak yang menunggu bahkan lebih lama dari saya sendiri.

Buat puan hazeiza firza dan puan adibah semis, malah buat semua isteri yang pernah senasib seperti saya dulu, saya membaca komen anda semua dan saya cukup mengerti perasaan anda. Tiada kurdat yang mampu saya berikan kecuali bersemangatlah meneruskan hidup ini tanpa sebarang keluhan. Doa saya dan anis sentiasa bersama dengan insan seperti anda. Selalu kuat ya?

Rezeki itu bukan hanya terletak pada kehadiran zuriat tapi juga pada rumahtangga. Di anugerahkan suami yang baik dan penyayang itu juga rezeki, diberikan kesihatan dan perkerjaan yang baik itu juga rezeki, dikurniakan rumahtangga yang bahagia itu juga rezeki, diberikan keluarga mertua yang baik itu juga rezeki dan di kasihi orang-orang disekeliling itu juga rezeki.

Maka nikmat Tuhan yang manakah kita mahu dustakan?

Saling memahami dan mendengar luahan hati antara suami isteri. Itu mampu membuatkan kita tahu apa yang tersurat dalam hati masing-masing. Saling berkomunikasi dan layanilah dia seperti raja ketika berada di rumah.

Urut badannya ketika dia pulang dari kerja, memasak hidangan yang sedap, bercakap dengan lembut dan hadiahkan kepada suami walau sekecil-kecil hadiah kerana lelaki ini mereka juga seperti wanita yang sifatnya suka dimanjakan. Itu adalah antara cara saya memikat hati suami.

Saya tahu akan wujud rasa dengki dan iri hati bila melihat rakan-rakan membuat posting berkaitan pengalaman mereka mengandung dan mempunyai anak di media sosial. Buang perasaan itu. Itu ujian kita, jangan dibebankan lagi hati itu dengan rasa buruk hati sesama manusia.

Jika mereka sibuk bersama anak kita sibukkan diri kita dengan minat sendiri contohnya menanam bunga, berkebun, membela kucing atau haiwan peliharaan lain. Apa saja minat asalkan kita tidak terlalu melayan perasaan.

Abaikan setiap anasir luar yang cuba membuat kita rebah. Pedulikan kata-kata yang cuba membuat kita lemah. Hanya ingat, tuhan tidak memberikan kita anak kerana kita mungkin belum bersedia memikul amanah yang besar.

Tuhan mahu kita berbahagia bersama suami dan keluarga. Tuhan mahu kita belajar untuk menghargai mereka disekeliling dan tuhan mahu kita sentiasa duduk bersujud menadah tangan memohon kepadaNya kerana mungkin dengan cara itu kita lebih dekat kepadaNya.

Buat masyarakat di luar sana. Jagalah bahasa dan percakapan anda. Jangan dilukai lagi hati yang sudah terluka dengan kata-kata anda. Hanya berdoa yang baik baik dan tidak perlu dibahas soal anak kepada mereka yang belum mempunyai zuriat ibarat seperti anda bertanya kepada si kudung bilakah mereka akan ada tangan. Mustahil untuk dijawab bukan?

Ingatlah, kifarah itu berbalik. Mungkin tidak pada kita tapi mungkin keturunan kita. Hanya doakan yang baik baik kerana itu sahaja semangat yang mereka perlukan dan ketahuilah doa itu adalah senjata terhebat seorang muslim.

Saya tidak bercakap sebagai seorang ibu, saya tidak bercakap sebagai seorang isteri mahupun sebagai seorang wanita. Saya bercakap sebagai seorang kakak, seorang ahli keluarga yang memahami setiap luka ahli keluarganya. Bersabarlah sehingga sampai satu masa kita akan tahu apakah hikmah disebalik sebuah kesabaran yang indah.

Selalu senyum ya? Biar dunia tahu betapa manisnya senyuman yang telah lama hilang dari bibir kalian.

Yang akan sentiasa mendoakan,

Kakak.

– Anis Nabilah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *