‘Aku Tak Vote Dia’

Tempoh seminggu di penghujung Februari 2020 mungkin menjadi satu minggu yang paling diingati dalam negara kita.

Bermula dengan Langkah Sheraton oleh beberapa fraksi politik, diikuti dengan langkah keluar masuk istana, sehingga terciptanya sejarah pertama kali dalam negara kita – terlantiknya seorang Perdana Menteri Interim.

Dalam keadaan yang meributkan sehingga hampir membawa kepada keributan politik, tiba-tiba muncul satu tindakan anti-klimaks – Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik menjadi Perdana Menteri Kelapan. Ya, orang yang kau tak vote itu. Siapa dia Muhyiddin? – Dialah Perdana Menteri kita hingga ke saat ini.

* * *

Ketika keributan politik melanda Putrajaya, nun tidak jauh di sana berlakunya satu himpunan raksasa di Masjid Seri Petaling. Dikhabarkan sekitar dua belas ribu hingga enam belas ribu orang tabligh dari seluruh negara dan beberapa negara jiran hadir ke dalam himpunan tersebut.

Himpunan tersebut pada awalnya bukan isu. Tiada siapa peduli soal Covid-19 pada ketika itu. Perlawanan bola sepak memenuhi stadium. Upacara keagamaan, solat berjemaah, solat Jumaat malah perarakan Thaipusam berjalan seperti biasa.

Rakyat Malaysia is nothing to fear. Semua orang hidup seperti biasa. Bekerja, melancong, bersiar-siar, makan luar, main bola, tengok wayang.

Kes Covid-19 dianggap kes terpencil, dan tiada simpati untuk Wuhan. Sekadar satu topik berita yang dipaparkan di layar televisyen. Tidak ramai ambil pusing apatah lagi apabila menonton berita ketika makan nasi. Habis makan, tukar channel. Selesai.

* * *

MAC 2020. Segalanya masih seperti biasa. Permulaan Mac disambut dengan angin perubahan dalam kerajaan Malaysia. Ada yang bersetuju dan ada yang tidak bersetuju. Tetapi perdebatan itu dilihat tergantung di situ.

Tan Sri Muhyiddin mengangkat sumpah, diikuti dengan perlantikan kabinetnya seminggu (lebih) kemudian. Kehidupan rakyat pun masih berjalan seperti biasa, merancang dan berkira-kira apa yang akan dibuat semasa cuti sekolah beberapa hari ke depan – sama ada melancong dalam negara, balik kampung atau hadir kenduri kahwin.

Malah, tak kurang juga yang rambang mata keluar negara. Mana tidaknya? Harga tiket kapal terbang yang dahulunya harga Yahudi dah bertukar zuhud. Umpama tiada harga.

Maka melompatlah sekalian yang kepingin. Biarpun negara terkena wabak teruk, kalau nak mati, tidur di rumah pun boleh mati. Sigh!

Di awal Mac itu juga, kes pertama Covid-19 terjadi di Brunei. Mula-mula ramai yang tidak ambil pusing. Akan tetapi, aku ketika mendengar berita tersebut telah mula berasa tidak sedap hati. Apatah lagi bila terdengar khabar dia jemaah tabligh yang baru pulang dari Malaysia.

Ketika itu, beberapa pihak telah mula bersiap siaga – frontliners semestinya. Tetapi butang panik masih belum dinyalakan. Everything is under control. Begitulah keadaannya. Ketika itu, 9 Mac 2020.

Bermula 9 Mac itu, hari ke hari kes jangkitan Covid-19 di Malaysia mula meningkat. Jemaah tabligh menerima national call daripada pihak hospital. Semakin ramai mula menunjukkan prihatin di media sosial. Perdebatan, analisis dan tuding menuding mula berlaku. Kekalutan itu hanya berlegar di ruang sosial.

Ironinya, tarikh 9 Mac di Malaysia juga bersejarah – bukan kerana Covid-19, tetapi kerana pada hari itulah barisan kabinet kerajaan Perikatan Nasional terbentuk.

Mood rakyat Malaysia ketika itu sudah tentulah lebih terarah menjadi pakar sains politik – menilai sama ada Menteri itu Menteri ini layak atau tidak. Malah pada waktu itu, rakyat sedang seronok menghentam Ustaz Tuan Ibrahim sebagai Menteri Alam Sekitar. Covid-19 masih belum menjadi isu yang besar.

* * *

Datuk Seri Adham Baba. Mungkin ada yang mengutuk beliau soal air suam. Membanding beza cara beliau dengan mantan Menteri Kesihatan sebelumnya. Tetapi aku respect sama dia.

Hari pertama dia menjadi Menteri sehingga ke saat ini (kurang sebulan), beliau telah melakukan satu tindakan yang besar.  Jika diibaratkan gear kereta, sudah masuk ke gear turbo agaknya.

Inilah uniknya sistem pentadbiran negara kita. Siapa pun Menteri, di belakang beliau ada seorang individu yang penting – tidak lain tidak bukan KP Kesihatan, Dr. Noor Hisham.

Jadi, kehebatan Menteri Kesihatan (yang dulu) dan (yang sekarang) bergantung kepada kehebatan KP Kesihatan itu sendiri.

14 MAC 2020. Cuti sekolah bermula. Kehidupan rakyat seperti biasa. Kenapa aku begitu yakin? Kerana aku pemandu Grab separuh masa. Walaupun sudah semakin ramai yang bimbang untuk keluar rumah, pusat beli belah, restoran, kelab dan tempat tumpuan berjalan seperti biasa.

Orang ramai masih bebas ke sana sini. Sebahagian besarnya mula bertopeng muka. Kebimbangan terhadap wabak Covid-19 semakin meningkat. Pun begitu, kenduri kahwin, jalan-jalan dan balik kampung masih berlaku dalam kalangan rakyat negara ini.

16 MAC 2020. Situasi semakin kritikal. Covid-19 mula menjadi pandemik. Bukan hanya angka di negara kita. Tetapi di seluruh dunia. Pada malam itulah, seorang lelaki, yang ramai tak vote dia membuat suatu keputusan berani yang paling penting. Keputusan yang sepatutnya dibuat awal lagi di bulan Januari. PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN.

Beliau muncul tenang. Itulah sifatnya. Dalam ketenangan, beliau memikul cabaran yang maha besar. Bukan untuk dia, tapi untuk kita semua – untuk negara. Aku bukan pentaksubnya. Malah bukan penyokongnya.

Tetapi sejarah akan mencatatkan kisah orang ini – MUHYIDDIN BIN YASIN sebagai seorang Perdana Menteri yang banyak mencipta sejarah.

18 MAC 2020 telah merubah kehidupan rakyat Malaysia sehingga saat ini. Kita menjadi saksi hidup kepada apa yang berlaku pada hari ini. Kebebasan hidup kita disekat dan tersekat. Tiada lagi melepak, tiada lagi mengeteh, tiada lagi Mamak. Ramai orang tidak boleh berkerja, tidak boleh berniaga, tidak boleh belajar dan bersekolah.

Ketersekatan itu bukan disebabkan diserang tentera negara lain, bukan disebabkan banjir besar yang sering berlaku di akhir tahun atau disebabkan jerebu seperti tahun lalu. Dan tidak juga disebabkan panas melampau el nino yang melanda di tahun 2015.

Kebebasan kita sebagai seorang freeman, direntap oleh sesuatu yang kita tidak nampak. Tiada terlihat di mata kita, bukan bermaksud ia tiada. Samalah seperti hantu, syaitan, jin, iblis.

Dan sehingga aku bersurah tentang kisah ini, kita masih lagi terikat. Diikat oleh sekecil-kecil makhluk Allah yang bernama Covid-19. Adakah kamu tidak melihat, bagaimana Allah mengalahkan kesombongan tentera bergajah itu dengan burung kecil – Ababil?

Dan kini – adakah kamu tidak melihat, bagaimana Allah mengalahkan kesombongan KITA dengan tentera virus? Maha Suci Allah. Aku bukan seorang ustaz. Sembahyang aku entah ke mana-mana selama bertahun ini. Tetapi aku bersyukur, hadirnya wabak ini mengingatkan kita kepada Allah. Insaflah dan berserahlah diri kepada Allah.

Ia bukan soal kesombongan China, Amerika atau mana-mana negara, ia soal kesombongan SEBAHAGIAN BESAR DARIPADA KITA SENDIRI KEPADA ALLAH!

Dan sekiranya anda bukan non-Muslim membaca tulisan ini, saya berharap anda mampu berfikir dari lubuk hati yang paling dalam. Bertanyalah kepada hati kecil anda, adakah aku benar-benar telah menemui sebenar-benar Tuhan?

* * *

AKU TAK VOTE DIA. Ya, betul. Tetapi “dia” telah membuat banyak perkara yang betul dan besar sepanjang tempoh kurang sebulan ini.

Sedarlah hakikat bahawa di dalam kekuasaan Allah jualah sesiapa yang diberikan kerajaan. Allah telah mentakdirkan bahawa perancangan-Nya itu Maha Agung. Dia telah memberikan kita seorang Perdana Menteri yang betul pada waktu dan ketika ini.

Walaupun dalam kelembutan tutur katanya, beliau mempunyai ketegasan dalam membuat keputusan penting. DUA KALI keputusan yang penting yang sukar.

Pertama, apabila mengumumkan PKP pada 18 Mac 2020. Kedua, apabila melanjutkan PKP sehingga 14 April 2020. Malah, aku rasa sekiranya tiada tanda-tanda kelegaan menjelang 14 April ini, beliau mungkin akan terpaksa mengambil keputusan yang sukar sekali lagi.

Selain bersifat profesional sebagai Perdana Menteri, beliau muncul sebagai Perdana Menteri pertama yang berserah diri dan bertawakkal kepada Allah secara langsung, mengajak rakyat sama-sama berdoa dan bertawakkal setelah berusaha. Beliau mendengar setiap pandangan penting daripada pelbagai pihak dalam tempoh sukar ini.

Sekiranya ramai yang menganggap tulisan aku ini sebagai retorik dan sekadar memuja-muja, lihatlah pakej rangsangan ekonomi yang dibentangkan beliau. Semuanya untuk rakyat.

Pertama kali dalam sejarah, hampir setiap rakyat menerima bantuan khas termasuk golongan M40. Bayaran pinjaman dibekukan, wang simpan KWSP dibenar guna dan beberapa inisiatif bantuan penting diberikan.

Kita semua mungkin terkesan teruk daripada wabak ini, akan tetapi bantuan yang diberikan walaupun mungkin tidak mencukupi, sekurang-kurangnya sedikit ada untuk kita meneruskan kelangsungan hidup.

Bagi aku, apa jua tindakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri pada ketika ini ada merit untuk dipuji. Apa yang berlaku selepas ini, bersama-samalah kita bersyukur dan berserah diri kepada Allah.

Bersyukurlah, kerana dalam keadaan puluhan negara yang terpukul teruk akibat wabak pandemik ini, kerajaan Malaysia muncul sebagai antara yang terbaik dalam membantu kelangsungan dan survival hidup rakyatnya.

* * *

EPILOG

Hayat beliau sebagai Perdana Menteri mungkin di persimpangan menjelang PRU-15. Beliau bukan mewakili blok parti-parti utama di negara ini, baik di sebelah Barisan Nasional mahupun Pakatan Harapan. Akan tetapi, beliau telah membuat sesuatu yang dirasakan betul pada ketika ini.

Selamat memimpin, Tan Sri!

Ya, aku tak vote dia.

– HBA (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *