Assalamualaikum dan selamat sejahtera admin dan para pembaca. Terima kasih admin jika sudi publish perkongsian saya ini.
Dalam waktu pkp ini banyak perkara yang bermain dalam fikiran saya. Saya insan biasa yang sentiasa mencuba untuk jadi lebih baik daripada semalam. InsyaAllah.
Saya sudah berkahwin selama enam tahun, dikurniakan dua orang anak lelaki yang comel.
Alhamdulillah.. Saya ada mendengar berita mengenai statistik panggilan ke talian NUR semakin meningkat. Sedihnya hati saya. Tentulah banyak kes yang berpunca dari dalam rumah.
Pernah dengar istilah rumahku syurgaku? Saya sangat percaya akan quote ini kerana dari rumahlah terbina tamadun. Iye, tamadun.. Bukan masyarakat saja. Kenapa saya berkata begitu?
Saya tinggal di kawasan kejiranan berbangsa cina. Setiap pagi saya melihat mereka bangun awal bersenam, rumah sudah ada bunyi memasak. Mungkin tidak semua tempat begini, tetapi ini apa yang saya lihat di kawasan tempat tinggal saya.
Sementelah saya lihat di rumah jiran saya yang serumpun masih lagi bergelap. Tingkap belum dibuka, tiada sebarang bunyi. Pukul 12 atau petang sikit barulah saya nampak ada pergerakan di rumah tersebut.
Saya bukan mengintai atau busy body akan jiran saya. Saya memang kenal jiran tersebut. Kami sering bertukar makanan. Dia sering mengadu masalah rumahtangganya kepada saya.
Dia sendiri bercerita dalam musim pkp ini anak-anak dan suaminya bangun lewat. Tengah hari atau petang baru bangun. Tidur malam pula setelah 3/4 pagi. Saya sedih mendengarnya kerana dia pun sudah tak tahu nak buat bagaimana.
Saya tak tahu bagaimana mereka mampu untuk bangun solat subuh. Jika sudah lewat tidur begitu, mudahkah untuk bangun pagi?
Rutin ini saya lihat bukan hanya pada sebuah keluarga. Saya biasa terlihat situasi ini jika pulang ke kampung. Bila cuti lama, pasti pagi pagi tersebut tiada lagi yang bangun. Semuanya masih enak dibuai mimpi.
PKP fasa dua sudah tiba di penghujung, tetapi kita perlu teruskan lagi pkp di fasa 3.
Saya pasti ramai yang sudah tidak tahu mahu membuat apa di rumah. Sudah tepu setiap hari melalui rutin yang sama. Tambah jika tidur sehingga waktu tengahari dan tidur lewat malam. Pasti badan akan letih dan lebih penat.
Pertama sekali lihat keadaan rumah kita. Adakah bersih, ceria dan kemas? Sesungguhnya Islam amat menitik beratkan kebersihan.
Hari ini cuba kita kemaskan bahagian ruang tamu, buat deep cleaning. Bersihkan ruang kabinet TV yang mungkin sudah berhabuk. Esok kita mencuci tandas pula.
Saya suka ikuti perkongsian Hani Mynis. Bagi saya beliau bukan inginkan perfect dalam setiap perkara, tetapi beliau berkongsi cara untuk mencuci, membersih dan mengemas rumah dengan betul.
Ajaklah anak-anak dan suami untuk membantu. Sediakan tugas untuk mereka. Jika selama ini suami tidak pernah pegang penyapu, marilah kita ajak dia mengemas rumah.
Saya tahu tidak mudah jika suami sudah sebati dengan keadaan begitu, tetapi tak mengapa. Kita para isteri Allah memberi kekuatan untuk kita laksanakan kerja rumah, niatkan kerana Allah s.w.t..
Suami? Jika begitu juga sikapnya, kita nasihat. Jika tidak berubah juga kita abaikan. Doa dalam diam.
Saya pasti suami yang baik dan budiman pasti segan atau malu alah jika isteri bertungkus lumus membuat kerja rumah sedangkan dia hanya makan dan tidur saja. Kita tidak boleh mengubah sikap suami, tak mengapa… Moga Allah membolak-balikkan hatinya.
Anak-anak yang ramai dan menyepahkan rumah setiap hari? Anak-anak memerlukan aktiviti untuk mereka lalui setiap hari.
Sebagai ibu bapa sediakan permainan atau aktiviti yang menarik untuk mereka lakukan. Jangan biarkan mereka bermain gajet lebih daripada sejam dalam satu sesi.
Sedih saya melihat anak jiran saya terlampau ketagih akan gajet hingga tidur lewat malam semata-mata menonton YouTube. Anaknya baru berusia dua tahun lebih.
Apa yang saya lakukan untuk anak-anak saya, saya akan berada di samping mereka ketika mereka menonton YouTube. Saya akan menyanyi dan menyebut apa isi dalam kandungan tersebut. Kemudian, saya limitkan masa seperti habis dua video kita main lego pula.
Anak-anak memerlukan perhatian daripada kita. Oleh itu, kita perlu habiskan masa bersama mereka dalam apa jua aktiviti. Jika kita biarkan mereka sendiri-sendiri, mereka akan explore sesuatu di luar jangkaan kita.
Selain itu, waktu inilah masa untuk kita mengasingkan pakaian yang tidak lagi digunakan. Mengasingkan barang-barang yang tidak digunakan lebih setahun.
Masalah menyimpan barang kerana sayang akan menyebabkan rumah kita semakin bersepah dan bertimbun dengan pelbagai barang.
Waktu lain kita boleh menambah ilmu dengan membaca, mendengar ceramah video, belajar tajwid dan menghafal ayat al-Quran. Sesungguhnya waktu ini merupakan peluang dan ruang untuk kita berubah ke arah yang lebih baik.
Jika sebelum ini kita sibuk dengan kerja, tidak sempat mengenali anak dengan lebih dekat, tidak memahami pasangan setulusnya, asyik sibuk dengan dunia luar.
Maka, manfaatkan waktu ini untuk memberi dan memberi. Kita ubah suasana dan landskap rumahtangga kita.
Saya menyeru para ibu dan para isteri menonton video ceramah Ustazah Asma. Perjuangan dalam rumahtangga tonggaknya pada kita para ibu dan isteri.
Ingatkan kalian cerita Asiah, isteri firaun yang terus beribadat kepada Allah walaupun suaminya menyekutukan Allah?
Suami hanya pinjaman, asbab pahala dan dosa untuk kita. Maka kita pilih jalan pahala untuk terus berbakti kepada keluarga tercinta.
Anak-anak akan tercorak kerana didikan kita. Tamadun dibina dari dalam rumah kita. Ayuh bangunlah para ibu, para isteri.. Kuatkan semangat dan jihad kita kerana Allah taala.
Salam sayang, moga Allah kurniakan rahmat dalam rumah kita, syurga kita. Aamiin.
– Puan isteri (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit