Assalamualaikum, Terima kasih kepada IIUMC berkongsi confession aku.
Aku En Oyen, bagi mereka yang tak kenal aku, agak terlewat untuk anda meneruskan pembacaan. Terpulang kepada anda dalam menilai. Sudah 2 siri nasihat aku ketengahkan. Semuanya dibalas dengan nasihat dan kecaman. Aku terima kesemuanya.
Boleh baca,
https://iiumc.com/nasihat-poyo-buat-wanita/
https://iiumc.com/rezeki-bukan-datang-dari-tuhan/
Aku kira sudah sampai ke pengakhiran menulis, mungkin ada 1-2 penulisan lagi. Bagi aku, kita semua manusia yang lemah dalam menyampaikan nasihat dan ianya milik Allah untuk jentik hati manusia itu dekat kepadanya.
Adakalanya berdiam diri itu lebih baik dari berkata-kata. Namun Nasihat itu perlu. Bagi mereka yang setuju dengan apa yang aku nasihatkan dalam siri lepas, Terima Kasih kerana anda juga sedang menasihati aku untuk berubah menjadi lebih baik.
Dalam kita memberi nasihat ada pelbagai kaedah dan teknik, boleh sahaja kita menulis tentang contoh kehidupan sendiri, tentang kelakarnya sesuatu situasi, atau dengan menasihati secara lemah lembut.
Itu terpulang kepada kaedah dan teknik masing-masing dalam menyampaikan nasihat. Yang paling penting adalah niat seseorang itu baik dalam menyampaikan nasihat.
Tak perlu kita lihat kepada siapa yang menulis. Tapi lihat kepada apa yang nak disampaikan dalam penulisan tersebut. Tiada yang mampu menilai niat manusia, Hanya Allah sahaja mampu menilai niat manusia itu baik atau buruk.
Bagi aku yang menulis tentang nasihat, ianya adalah dengan niat yang baik supaya wanita diluar sana faham akan erti tanggungjawab. Apabila kita semua fahami tanggungjawab, kita dapat meneruskan kehidupan dengan tenang disamping mengharungi ujian yang melanda.
Ujian dan Kesabaran ini adalah satu proses untuk kita menjadi orang islam yang baik, seterusnya untuk kita capai pengakhiran kehidupan yang baik.
Aku bersyukur sangat, dalam aku cuba menasihat, ada juga yang menasihat kembali supaya aku mengambil peluang mendalami ilmu alam rumahtangga dengan lebih baik.
Antara salah satu tujuan aku menggunakan “kecaman dalam penulisan” supaya mendapat maklumbalas untuk aku belajar lebih lanjut tentang mendirikan rumahtangga dengan lebih baik.
Dalam perkongsian aku siri lepas, bukannya nak kata lelaki-lelaki diluar sana sudah baik, tapi perkongsian tersebut adalah dalam cubaan untuk aku membawa perubahan pada generasi akan datang.
Yang mana boleh menerima nasihat adalah orang-orang yang Allah bukak pintu hatinya untuk membawa perubahan pada masa akan datang.
Kembali kepada tujuan penulisan kali ini, adalah perihal melahirkan anak yang soleh dan solehah dan peringkat mendidik yang dianjurkan dalam islam.
Tajuk diatas sebagai mukadimah kepada teguran yang aku terima, namun perkongsian nasihat kali ini adalah berkaitan dengan proses kita mendidik anak-anak menjadi anak yang soleh solehah.
Kita sebenarnya gagal untuk fahami tanggungjawab, seterusnya kita gagal untuk mendidik.
Persoalan pertama adalah; Apa yang kita nak persiapkan anak-anak kita dalam kehidupan ini?
Ramai yang akan menceritakan tentang, pendidikan, mengejar impian, belajar rajin-rajin, dapatkan kerjaya yang baik, kumpul harta supaya kehidupan lebih terjamin dimasa hadapan. Tak salah, namun kena kembali kepada perkara utama tanggungjawab kita.
Kemana perginya agenda untuk mendidik anak-anak menjadi anak yang soleh-solehah? Bila diteliti semula kita cuma sekadar menyebut dibibir mulut “Ibu nak abang/ kakak/ adik jadi anak yang soleh/solehah” tetapi dari segi pelaksanaanya, agak menyimpang jauh.
Dasyatnya fitnah akhir zaman itu diluar fikiran kita sebenarnya. Kita kebanyakkan nya memilih cabang-cabang kehidupan yang membawa keluarga kita untuk capai nikmat dunia yang sementara.
Harus kita sedar bahawa generasi akan datang, lebih bergantung kepada nikmat dunia sehingga lupa akan apa itu tujuan kehidupan sebenar.
“APA SEBENARNYA KAU NAK NASIHATKAN INI? WANITA TAK PERLU BEKERJA ? DAH TU SURUH SAHAJA ISTERI KAU DUDUK DIRUMAH. HAK BEKERJA HAK KAMI, TAK PERLU KAU NAK ATURKAN”
Apa yang aku nak sampaikan adalah Pembentukkan Pendidikan Anak-Anak bermula dirumah oleh seorang ibu. Ibu yang memainkan peranan penting dalam mendidik anak lelaki maupun anak perempuan itu menjadi anak yang pada masa hadapan seorang yang soleh/solehah.
“DAH TU SUAMI DIA BUAT PE ?, KO MEMANG NAK SALAHKAN WANITA JE KAN ? HAH AKU TENGAH TANYA, KO JAWAB SEKARANG”
Peranan ini perlu digalas oleh seorang ibu, kerana suami itu tanggungjawabnya besar, antaranya keluar mencari rezeki yang halal untuk keluarganya. Rezeki yang halal juga membawa impak yang baik kepada anak-anak dalam proses mendidik.
Aku faham asas tanggungjawab mendidik anak-anak ini jatuh kepada suami dan isteri, Suami itu PERLU BERTANGGUNGJAWAB mendidik isteri dan anak-anaknya.
Perbincangan aku pada awal siri, memfokuskan kepada seorang isteri,ibu kerana fitrah kepada manusia, Ibu merupakan pendidik yang awal kepada anak-anak semasa kecil.
Sebagai contoh “bonding process” ketika menyusu, ada komunikasi kasih sayang diantara anak-anak yang akan memberi impak pada masa depannya.
Suami kebiasaannya keluar mencari nafkah, setelah pulang baru berkesempatan untuk bersama anak-anak,mengajar, bermain, dan sebagainya. Suami lebih kepada memantau dalam pendidikan anak-anak, suami tugasnya lebih fokus kepada keseluruhan pendidikan anak-anak.
Boleh kita anggap lebih kurang situasi di sekolah, Dimana Guru Besar (Suami) merangka pendidikan pelajar (anak-anak) dan melihat progress pembelajaran pelajar (anak-anak). Sebarang masalah dan kesukaran dalam mendidik pelajar (anak-anak) harus direport oleh guru (Isteri).
Rangka kepada acuan pendidikan anak-anak perlu digalas oleh Suami, namun pelaksana kepada rangka pendidikan awal anak-anak adalah seorang Isteri.
Kelebihan ini hanya kepada isteri yang mempunyai masa seharian bersama anak-anak. Maka Seharusnya aku ketengahkan fokus kepada wanita untuk fahami tanggungjawab ini.
Minta Maaf jika anda seorang wanita berkerjaya, agak sukar untuk anda teruskan pembacaan. “YES, THIS IS NASIHAT SAMPAH, KAU CUBA UNTUK RENDAHKAN KEMAMPUAN WANITA BERKERJAYA, KAU INGAT WANITA BERKERJAYA TIADA BONDING DENGAN ANAK DIA ?”.
Pada pendapat aku, wanita bekerjaya agak kurang masa “Bonding” yang baik bersama anaknya di peringkat awal anak-anak membesar. Bagi situasi Isteri yang bekerja demi keluarga, demi agama, Aku faham akan situasi “Terpaksa Berkorban Masa” tersebut.
Perlu juga kita fahami proses mendidik anak-anak oleh pusat pendidik dengan seorang ibu sangat berbeza, sekalipun kita hantar di pusat pendidik yang berteraskan agama. Yang membezakannya adalah Kasih Sayang seorang ibu dalam mendidik anak-anaknya.
Sebagai contoh Doa yang dibaca oleh seorang ibu ketika mendidik anak-anaknya sangat lah bermakna. Seorang ibu apabila mendidik, diiringi doa dalam hatinya untuk anaknya mudah faham, mudah dengar cakap, mudah menerima dengan baik segala apa yang disampaikan.
Tolong BERSEDIA untuk menjadi seorang ibu pendidik bila memulakan kehidupan rumahtangga. Ini adalah antara tanggungjawab isteri membantu suaminya yang sedang keluar mencari nafkah. Aku sudah kongsikan perihal “Rezeki” di siri lepas, Jika ada yang tak dapat hadamkan. Aku minta maaf.
Fokus kali ini sepenuhnya tentang tanggungjawab mendidik anak-anak. Kalau kita bahagikan masa ibu dan ayah, kelebihan seorang ibu berkasih sayang ini seharusnya digunakan sebaik mungkin diawal pendidikan anak-anak dengan harapan anak-anak membesar menjadi seorang anak yang soleh solehah.
Rasululllah S.A.W telah menggariskan Empat tahap mendidik anak-anak iaitu:
Tahap Pertama: Anak yang baru lahir sehingga Mumayyiz (6 tahun) hendaklah kita banyak bergurau dan manjakan mereka dengan penuh kasih sayang.
Ini antara yang aku cuba bawa dalam perkongsian siri lepas “Nasihat Poyo Buat Wanita”. Tahap Pertama ini paling kritikal dalam membentuk anak-anak yang rata-rata kita gagal memahami konsep “Minda Bawah Sedar Anak-anak”.
Jika kita teliti semula, bonding ibu sangat penting dalam membawa watak anak pada tahap seterusnya. Setiap pelukkan, setiap sentuhan, setiap kata-kata seorang ibu ini, setiap masa yang ibu bersama anak-anak memberi impak pada minda bawah sedar anak-anak.
Ibu ini sebenarnya sangat penting dalam membentuk pendidikan awal anak-anak. Ibu yang bonding dengan baik, tidak stress terhadap anak-anak akan menzahirkan anak-anak yang bertanggungjawab.
Pada waktu itu juga seorang suami perlu memainkan peranan menjaga emosi isteri. Aku tahu banyak masalah suami yang cuai dalam membentuk keluarga yang baik. Tapi perkongsian aku memfokuskan kepada Wanita bergelar ibu, bakal isteri.
Tahap Kedua: Anak berumur tujuh tahun sehingga baligh (14 tahun) hendaklah kita mendidik mereka dengan arahan, disiplin dan diberi tanggungjawab.
Jika kita gagal pada tahap pertama, kesukaran untuk mendidik anak-anak menerima arahan, untuk diberi tanggungjawab semakin sukar. Mereka cepat untuk menjawab, meronta-ronta, semata-mata untuk dapatkan perhatian kasih sayang kita.
Pada masa ini kita akan cuba untuk salahkan anak-anak gagal untuk memahami erti susahnya kehidupan. Kita akan gunakan segala ketegasan dalam mendidik. Sedangkan anak-anak cuma nak dapatkan kasih sayang mereka ketika pada tahap pertama.
Perkongsian aku bukan untuk kita kesal dengan tanggungjawab masing-masing, tetapi untuk membantu melahirkan generasi akan datang yang lebih baik.
Tahap Ketiga: Anak berumur 15 tahun hingga dewasa (21 tahun) hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan horm4ti pendapat anak-anak selagi tidak bertentangan dengan syariat.
Tiada huraian seterusnya, kerana kita sepatutnya jelas.
Tahap Keempat: Anak berumur lebih 21 tahun. Hendaklah para ibu ayah memberikan kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan dengan syariat. Ibu ayah perlu bertindak sebagai penasihat agar segala tindakkan anak-anak terkawal.
Proses mendidik diawal peringkat tahap pertama ini penting, ianya digalas oleh seorang isteri yang tahu akan tanggungjawab tersebut. Fitrah seorang ibu berkasih sayang akan melahirkan anak-anak yang berkasih sayang kelak.
Nasihat ini sebenarnya nak bawa kepada pengakhiran anak-anak yang soleh-solehah. Anak – anak merupakan harta kita yang paling berharga, doa mereka merupakan antara doa yang sampai kepada kita ,walaupun apabila kita sudah tiada kelak, doa anak yang soleh/ solehah tetap sampai.
Aku tahu, mempunyai anak soleh solehah merupakan idaman dan dambaan ibu ayah. Namun kita gagal pada awal-awal pendidikan mereka menyebabkan apabila mereka membesar, kita semakin sukar untuk menasihati mereka menjadi anak yang soleh solehah.
Aku juga melihat kepada aspek situasi masyarakat kita yang menghadapi kesukaran dalam mendidik anak lelaki yang baik terhadap isteri, atau anak perempuan yang baik terhadap suaminya.
Maka sehingga sekarang kita akan kekal “Keep Blaming Each Other’s Gender”. Sedangkan punca kepada masalah adalah kegagalan ibu dan ayah mendidik anak-anak diawal pendidikan mereka. Ibu dan ayah gagal untuk fahami tanggungjawab sebenar.
Aku faham Ujian kehidupan itu tetap ujian, baik mana sekalipun persediaan yang kita buat,baik mana sekalipun perancangan yang kita buat. Kita tetap kena tempuh ujian dalam kehidupan ini.
Kehidupan kita bukan nya kehidupan fantasi yang serba lengkap, perfect dari A sehingga Z. Akan ada masalah demi masalah untuk kita selesaikan. Segala-galanya adalah ujian yang sementara buat kita di muka bumi ini. Ianya cara Allah menguji hambanya mendekatkan diri kepadanya.
Terima Kasih kepada yang sudi membaca sehingga selesai. Jika ada yang ingin menasihati aku silakan, aku baca kesemua komentar.
Jika ada yang tidak setuju, nyatakan pendapat dalam bentuk perkongsian ilmu, teknik penyampaian itu terpulang, yang penting aku dapat belajar dan fahami permasalahan mendirikan rumahtangga.
Perlu kita sedar, harta dalam dunia ini bukan tujuan utama kepada kehidupan kita. Apa yang nak dikejar adalah kehidupan kita pada masa akan datang. Ini aku tekankan dalam siri lepas.
Kita mengimpikan pengakhiran hidup yang baik. Namun kita masih gagal untuk fahami konsep asas kepada pengakhiran hidup yang baik. Terima Kasih.
– En Oyen (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit