Assalamualaikum semua. Cuba check jam sekarang pukul berapa. Hampir 4 petang? Dah solat Zuhur ker belum? Kalau belum, cepat-cepat ambil wuduk dan solat Zuhur sekarang.
Sementara nak masuk waktu Asar tu, berzikir la dahulu. Dengar jer azan Asar terus solat tau, jangan tangguh. Hati akan cakap, takper, lima minit lagi. Tengok jam, ada masa lagi, last2 solat Asar pon lewat dekat nak Maghrib. Macam mana nak dapat keberkatan hidup kalau ibadah asas pun kita alpa.
Solat itu tiang agama. Ibarat rumah, tanpa tiang, rumah tidak akan dapat didirikan. Begitu juga solat, jika tidak solat bagaimana pahala amalan lain boleh dambil kira. Dikatakan pahala yang mula-mula sekali akan dikira adalah solat.
Abu Hurairah berkata: “Aku mendengar Rasullullah SAW bersabda: “Sesungguhnya yang pertama kali dihisab pada hari kiamat dari amalan manusia adalah solatnya, jika amalan solatnya baik maka dia akan bahagia dan beruntung, Jika amalan solatnya buruk maka dia termasuk orang-orang yang rugi.”
Saya dahulunya bukanlah orang yang mementingkan solat. Rasa jiwa tak tenang, rasa sedih, nak exam baru terfikir nak solat. Rasanya dulu memang jarang cukup 5 waktu solat, kalau dapat penuh tu rasa gembira sangat-sangat.
Sehinggalah umur menghampiri 40an, kebetulan saya berhijrah ke negeri lain dan belum dapat kerja baru. Saya nekad betul2 berhijrah untuk istiqamah solat fardu 5 waktu.
Alhamdulillah, saya berjaya walaupun sehingga kini saya masih struggle, kadang-kadang ada juga yang terlewat dek kerana kesibukan kerja ataupun kemalasan yang melanda.
Solat itu penawar jasmani, segala gerak fizikal di dalamnya Allah ciptakan untuk memberi manfaat kepada tubuh badan manusia. Kerana itu, semasa dan selepas solat, kita akan merasakan tubuh kita energetic, seperti bateri yang sudah di recharge.
Untuk memulakan solat, kita diwajibkan berdiri tegak. Apabila kita berdiri tegak, ini akan membetulkan postur badan kita, dan pernafasan pun akan menjadi sangat relaks.
Anda akan rasa lebih banyak oksigen yang dapat disedut berbanding dengan postur badan yang sedikit bongkok. Pastikan anda berdiri tegak dengan betul ya, tulang belakang tegak bukan perut ke depan, ramai orang termasuklah saya sendiri selalu terlupa perkara asas ini.
Sebelum niat lagi pastikan tulang belakang betul2 tegak, jangan mendepankan perut dan regangkan badan sedikit kemudian barulah mulakan solat.
Kemudian, perlakuan rukuk dalam solat. Pastikan anda rukuk sehingga badan rata 90 darjah dan akan rasa ketegangan antara tulang sulbi sehingga kedua-dua belakang kaki anda. Ini ibarat stretching bilamana kita melakukannya, otot yang letih akan berasa relaks.
Secara sains, dalam buku ‘Alquran vs Sains Modern menurut Dr. Zakir Naik’, dijelaskan bahawa tulang sulbi merupakan tempat keluarnya pembuluh darah yang memberikan darah kepada testis dan ovarium yang memperbaiki sistem pembiakan manusia.
Perlakuan sujud pula ramai yang sudah tahu manfaatnya. Ketika sujud, darah akan mengalir ke otak di mana menurut kajian, terdapat beberapa urat saraf di dalam otak manusia yang tidak dimasuki darah sedangkan setiap inci otak manusia memerlukan darah yang cukup untuk berfungsi secara normal dan sempurna.
Kerana itu, orang yang kerap solat dengan betul dan sujud yang sempurna, Insya Allah, akan cergas fikirannya kerana segala urat saraf di kepala telah dipenuhi oksigen.
Ketika sujud, pastikan kesemua jari di kedua-dua tapak kaki dimasukkan ke dalam dan akan rasa sedikit tegang. Badan pula dalam keadaan 45 darjah, juga pastikan 7 anggota sujud benar-benar ke bumi.
Tahiyat awal dan duduk antara dua sujud juga ramai yang salah melakukannya. Ini antara kesalahan solat yang sering berlaku di mana-mana, di masjid pun ada yang selalu salah. Untuk posisi semasa tahiyat awal, ia digelar sebagai iftirash.
Iftirash membawa maksud seseorang itu duduk dengan meletakkan bahagian punggungnya di atas kaki kirinya manakala tapak kaki kanan itu ditegakkan dan jari jemarinya dimasukkan menghadap ke arah kiblat.
Manakala, kedudukan pada tahiyat akhir pula digelar sebagai tawarruk.Tawarruk pula membawa maksud duduk dalam keadaan tapak kaki kanannya berdiri tegak dan jari jemari kaki kanannya menghadap ke arah kiblat.
Manakala, kaki kirinya dilipat ke arah kaki kanan dan dia meletakkan bahagian punggungnya di atas lantai atau tanah. Dalam salam terakhir, semasa berpaling ke kanan atau ke kiri, usahalah berpaling sehinggakan berasa regangan di kepala, leher,pinggang dan kaki.
Jika sudah boleh solat berjemaah selepas PKP ini dan merapatkan saf, lagi besar pahala yang kita peroleh, 27 kali ganda darjatnya.
Kajian sains mendapati sentuhan yang berlaku antara tubuh kita dengan tubuh ahli jemaah lain yang berada di kiri dan kanan kita akan menstabilkan kembali cas-cas yang diperlukan oleh tubuh.
Ia berlaku apabila cas yang berlebihan – sama ada negatif atau positif akan dikeluarkan, manakala yang berkurangan akan ditarik ke dalam kita. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang cas dalam tubuh kita.
Untuk masa ini, patuh dahulu pada social distancing yang kerajaan sarankan sehingga reda virus covid-19.
Insya Allah, dengan pergerakan dan kedudukan yang betul semasa solat, kita akan rasa diri lebih energized, rasa tenang dan akan menjadi penawar jasmani.
Tidak perlu lagi ke kelas yoga, solat itu sendiri ada perlakuan stretching dan meditasi, sudahlah percuma dapat pahala lagi jika melakukannya. Untuk pergerakan fizikal yang betul di dalam solat, bolehlah merujuk kepada mereka yang arif.
Sebelum terlupa, jangan ditinggalkan tomakninah dalam setiap perlakuan solat. Tomakninah ni adalah berhenti seketika selepas melakukan pergerakan solat sebelum perlakuan yang seterusnya. Sekadar menyebut Subhanallah dalam hati, lebih kurang 3 ke 5 saat begitu.
Pada saya, selain sujud, tomakninah ini adalah keadaan yang paling tenang dalam solat. Rasa nak lama-lama jer dalam keadaan begitu, tenang sangat.
Solat dari segi rohani adalah solat dari hati menuntut kita memahami segala maksud bacaan dalam solat.
Solatlah semata-mata mengharapkan keredhaan Allah pada masa yang sama mengakui keEsaan Tuhan dan pengabdian kita sebagai hambaNya. Mengadulah kepada Allah, minta agar ditunjukkan jalan yang lurus dan berikan ketenangan pada hambaNya.
Dalam doa iftitah kita melafazkan , “Sesungguhnya, solatku, ibadatku, hidup dan m4tiku adalah untuk Allah, Tuhan sekalian alam.” Jikalau kita am4ti maknanya, tidak ada satu pun di dunia ini milik kita, semuanya milik Allah.
Bermaksud, segala apa perlakuan kita di muka bumi ini haruslah mengikut ketentuan dan hukum Allah. Bukan mengikut akal fikiran dan logik kita sendiri.
Kita banyak mengucapkan “Allahu Akbar”, Allah Maha Besar di dalam solat. Rukuk dan sujud kita menyebutkan Subhanallah, Maha suci Tuhan yang Agung/ Maha Tinggi dengan segala sifat kepujiannya.
Yang paling saya suka adalah ayat semasa duduk di antara dua sujud. “Tuhanku, ampunilah aku, cukupkanlah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, berilah aku petunjuk, ‘Afiyah (keselamatan/kesejahteraan dari penyakit dan bala), dan maafkan aku.
Di dalam tahiyat awal dan akhir kita ada mengucapkan “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad pesuruh Allah.” Setiap kali solat, kita sentiasa akan memperbaharui syahadah dan kembali kepada rukun islam yang pertama.
Semoga kita semua kembali kepada rukun Islam yang 5, dan solat adalah perkara yang wajib untuk semua umat Islam. Cubalah untuk istiqamah, mulakan dengan satu hari solat 5 waktu, minta pada Allah sungguh-sungguh supaya tetapkan hati dan keimanan kita.
Dirikan solat taubat supaya Allah ampunkan segala dosa-dosa kita yang lepas dan semoga dipermudahkan segala urusan kita dengan Allah.
Jika sudah cukup solat 5 waktu, cuba pula untuk solat di awal waktu. Manfaatkan aura warna yang Allah ciptakan untuk kebaikan manusia.
Untuk solat subuh, frekuensi warna biru adalah sama dengan tiroid yang mempertingkatkan metabolism tubuh. Hikmah dalam penawar, rezeki dan komunikasi.
Sewaktu solat zuhur, akan bertukar aura ke warna kuning, yang baik untuk perut dan hati dan meningkatkan fungsi pencernaan dan memberikan keceriaan.
Bertukar ke waktu Asar, warna jinggan atau oren yang baik untuk anggota prostat, uterus, ovari dan testis iaitu sistem pembiakan manusia. Ianya bagus untuk meningkatkan daya kreativiti.
Apabila tiba waktu Maghrib, aura warna akan berubah ke warna merah yang baik untuk anggota otot, saraf dan tulang. Ini akan mempertingkatkan system fizikal dan menambahkan keyakinan kita.
Seterusnya waktu Isyak, akan bertukar kepada aura warna ungu. Frekuensinya akan meningkatkan system penjagaan otak yang bagus untuk minda kita. Hikmahnya adalah untuk istirehat, ketenteraman dan kedamaian.
Selain itu, kita juga disunatkan untuk solat dhuha di mana frekuensi hijau di waktu ini adalah bagus untuk system tubuh dan menajamkan intuisi atau gerak hati. Ianya bagus untuk tenaga yang aktif.
Akhirnya, waktu qiamulail dan tahajud. Aura warna putih, merah jambu, ungu di waktu ini adalah bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitary, thalamus dan hipotalamus.Ianya akan memberikan ketenangan spiritual dan jiwa selain untuk kesyukuran, mengimbangi dan adil.
Betapa Allah ciptakan segalanya bukan sia-sia. Terdapat banyak hikmah solat yang sebenarnya jika kita tak amalkan, akan merugikan diri kita sendiri. Oleh itu, kembalilah kepada fitrah manusia, dirikanlah solat kerana Allah, kerana kita adalah hambaNya.
– Bunga Melati (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit