Pemergian Tok

Minggu lepas, genaplah setahun pemergian tok, meninggalkan kami dan meninggalkan segala-galanya. Tok, wanita yang dalam diam aku cukup kagumi walaupun tak pernah terzahir melalui kata-kata.

Hati aku tiba-tiba terdetik untuk berkongsi tentang tok, kerana bagi aku, sepanjang aku hidup, belum pernah lagi aku jumpa secara lahiriah seorang wanita sifatnya seperti tok, termasuk orang sekeliling aku dan aku sendiri masih tidak mampu jadi seperti tok.

Aku mulakan cerita daripada asal-usul tok (belah mak). Cerita ini aku dapat daripada mak aku, dan juga daripada pengalaman dan pemerhatian aku sepanjang membesar dan mengenal tok.

Tok berasal daripada keturunan cina. Kira moyang kami dulu orang cina, bagi tok pada keluarga melayu untuk dijaga.

Zaman dulu-dulu kehidupan sangat susah, dan orang dulu-dulu jenis beranak ramai anak, jadi kisahnya tok aku ni satu-satunya dalam keluarga cina dia yang diserahkan kepada sebuah keluarga melayu disebabkan mak kandung dia tak mampu nak jaga anak ramai-ramai.

Membesarlah dia dalam sebuah keluarga melayu islam yang hidup mereka serba susah.

Alhamdulillah, tok dipilih Allah untuk jadi seorang muslim dengan takdir-Nya memilih keluarga angkat tok tu orang islam, dan jugak membesar menjadi seorang muslim yang sangat bagus sepanjang pemerhatian aku terhadap tok.

Bermulalah episod kisah hidup tok, sudahlah diserahkan kepada keluarga angkat yang tiada pertalian darah, hidup pulak dalam kesusahan pada masa itu. Itu ujian yang tuhan bagi pada tok seawal usia dia masih terlalu mentah untuk mengerti apa-apa.

Tok membesar, dan bertemu jodoh dengan wan, mereka berkahwin diusia yang muda. Dapat anak pertama iaitu mak long aku, juga diusia yang sangat muda. Dengan anak seramai 6 orang semuanya, hiduplah tok dan anak-anaknya dalam keadaan serba daif.

Wan hanya bekerja kampung, dan juga mengambil upah merawat orang kampung secara tradisional (macam dukun kampung). Dengan duit yang tak banyak, dan anak yang agak ramai ketika tu, memang hidup mereka terhimpit.

Mak aku pernah cerita tok pernah masak telur sebijik, senipis-nipisnya dan belah kepada 6 bahagian. Seorang anak dapat makan satu bahagian. Mereka juga pernah makan nasik dengan garam dan gula sebagai lauk.

Tok akan kutip macam-macam tumbuh-tumbuhan, yang sampai sekarang mak aku sendiri tak tau apa benda yang dia makan tu, mungkin daun-daun atau pucuk-pucuk paku yang tumbuh meliar, untuk dibuat lauk, lalu dimakan mereka anak beranak.

Disebabkan kesusahan masa tu, anak-anak tok iaitu mak, pak cik dan mak cik aku, mereka lebih peka tentang kepentingan pelajaran, sehingga kebanyakkan mereka berjaya jadi cikgu.

Didikan tok dan wan memberikan kekuatan pada mereka untuk ubah nasib hidup. Itulah bagi aku kesusahan kedua dalam hidup tok. Tapi tok tabah, tok kuat, besarkan anak-anak sehingga mereka semua berjaya jadi manusia berguna.

Anak-anak semua dah mula bekerja, dan tok dah mula dapat hidup senang sikit. Rumah dapat upgrade jadi lebih selesa, rumah yang dulu kayu kini diupgrade guna batu-bata.

Dulu makan kena catu, sekarang dah boleh makan sedap-sedap sikit. Dulu makan pucuk paku atau sayur, sekarang dah boleh makan daging ayam.

Banyak benda perlahan-lahan berubah bila anak-anak dah bekerja dan mampu tolong tok. Tapi satu ja benda yang tak berubah, iaitu diri dan sifat tok.

Tok bagi aku wanita yang sangat baik, sejak dia muda, sifat dia masih sama. Luaran memang nampak dia agak garang dan tegas sedikit.

Dia tak banyak bercakap, dengan cucu tak pandai tunjuk kasih sayang. Sebab tu bila kami balik kampung, kami tak rapat sangat dengan tok. Tak banyak sembang dan tanya sangat pasal tok.

Dulu masa kecik aku rasa macam tok tak sayang kami (sebab kami duduk negeri lain, dan jarang balik), dan aku rasa dia cuma sayang cucu-cucu dia belah pak cik aku (sebab rumah tok sebelah rumah pak cik aku).

Tapi tok akan tetap ajak kami makan, dan satu benda tok tak kan tinggal, iaitu sedekah pada semua cucu-cucu dia sebelum kami balik. Nilainya mungkin cuma RM1, tapi nilai itulah yang menyebabkan aku ingat sampai bila-bila sifat tok ni.

Tok tak bekerja, duit yang dia dapat daripada anak-anak dia simpan untuk keperluan dia dan jugak untuk dia sedekah.

Dia tak banyak duit, tak hidup mewah, tapi dia sangat suka sedekah. Daripada aku kecik berhingus, sampai dah nak masuk angka 30, satu benda ni aku perhati tok tak penah tinggal. Dan aku sangat kagum dengan sifat istiqamah tok dalam bab ni.

Malah masa dia sakit dan tinggal dirumah kami untuk beberapa bulan, dia masih sedekah pada kami, sama RM1 macam masa kami kecik-kecik dulu.

Satu lagi sifat tok, tok sangat yakin pada ajaibnya doa. Seharian hidup dia dipenuhi dengan amalan ibadat dan mulut dia sentiasa hafal doa dan ayat-ayat suci Quran.

Kalau mak aku sakit, kadang-kadang dia akan call tok, mintak tok doakan untuk dia, dan tok juga akan ajar doa minta kesembuhan. Mak aku cakap, tok sangat jarang jatuh sakit yang teruk atau terlalu lama.

Dia pernah bagi doa untuk elak keracunan makanan pada mak aku dan suruh mak aku fotostat doa tu letak kat meja makan rumah kami. Sampai sekarang ada kat situ, tiap kali kami terpandang kertas doa tu, kami akan ingat tok.

Dia nak semua orang amalkan doa. Dia sangat yakin pada khasiat doa dan dia nak semua orang jugak yakin pada hebatnya doa. Hubungan dia dengan Tuhan bagi aku sangat istimewa. Keyakinan dia pada tuhan jugak sangat istimewa.

Kehidupan dia berjalan seperti biasa, sehinggalah tok diuji lagi. Wan minta kahwin dua, dengan seorang janda yang sudah ada 2-3 anak. Tok masa tu tenang, tak menjerit-jerit marah maki wan atau minta cerai terus.

Kami sendiri pernah pergi ke rumah bini no 2 wan, dan aku masa tu masih agak kecik untuk mengerti apa-apa, hanya aku tahu, wan masa tu ada lagi seorang isteri. Tapi aku belum dapat menyelami perasaan tok masa tu.

Tok tetap pertahankan perkahwinan dia dengan wan sehingga ke saat terakhir, walaupun masa tu anak-anak semua dah besar, dia tak mintak cerai atau memberontak mengabaikan wan, demi anak-anak dan mungkin jugak demi cinta dan tanggungjawab dia pada wan.

Wan aku ni, karakter dia seorang yang sangat tegas dan garang, tapi dia sebenarnya seorang yang baik, sangat bertanggungjawab bab anak dan nafkah daripada apa mak aku cerita, sampai anak-anak dia boleh berjaya walaupun serba miskin. Tapi satu kelemahan wan, sifat marah dia.

Bila dia marah, kadang-kadang depan cucu dia akan marah tok,tapi tok tetap sabar. Rumah tangga wan dengan bini kedua tak bertahan lama, mereka bercerai selepas tu. Wan kembali kepada tok, isteri pertama dia yang sentiasa setia dengan dia, susah dan senang.

Masa wan sakit teruk sampai kena duduk kat wheelchair, tok la yang jaga wan daripada hujung kaki ke hujung rambut. Setia, tok wanita yang sangat setia dengan wan.

Wan meninggal selepas beberapa tahun dia jatuh sakit. Hiduplah tok seorang diri, menanggung rindu pada wan.

Tapi rindu tok pada wan bukan dengan merintih sedih atau menanggis setiap hari, tapi dengan cara yang sangat istimewa, hadiah terbaik seorang isteri untuk si suami di alam sana, iaitu kiriman doa-doa.

Tok banyak habiskan masa dalam bilik dengan mengaji, solat dan berdoa, dan pahala itu disedekahkan kepada wan. Dalam hati tok, dia sentiasa sayang pada wan, cinta sejatinya, cinta hidup dan m4tinya.

Cuma ada seorang lelaki saja dalam hidupnya, dan lelaki itu adalah wan. Apa pun yang pernah berlaku sepanjang hidup mereka, tok sangat menghargai wan.

Malah walaupun wan dah tiada, tok masih tetap jalankan tanggungjawab dia pada wan. Dia berdoa setiap hari, setiap saat untuk wan. Dan perkara tu aku perhatikan selama bertahun-tahun, tidak pernah jemu, dan tidak pernah lupa.

Bagi aku, wan seorang lelaki yang sangat bertuah, memiliki seorang isteri yang sangat taat dan setia seperti tok, yang tidak pernah lupakan dia, walaupun jasad dia dah tiada di atas bumi ni.

Tahun demi tahun berlalu, tok melalui kehidupan macam biasa, keseorangan dan sisa usianya dihabiskan dengan mengabadikan dirinya pada Tuhan.

Tok dah lama tak keluar rumah berjumpa orang sejak lutut dia mula sakit. Mulut dia selamat daripada mengumpat atau bercerita tentang orang, sebaliknya banyak dihabiskan dengan zikir dan doa. Satu demi satu doa dia hafal.

Walaupun sudah tua, memori dia masih kuat. Sehinggalah tiba masanya, Tuhan menarik semula nikmat kesihatan dia. Dan inilah ujian terakhir dalam hidup dia. Tok mula jatuh sakit sehingga tak dapat berjalan.

Pak cik aku yang banyak jaga dia, uruskan dia. Tapi tok tak penah tinggal ibadat. Dia sentiasa baca ayat-ayat suci yang dia hafal dulu. Dia dah mula terlantar kat katil. Mak aku pernah cerita, ada satu malam,tok aku terbangun. Dia cakap yang dia mimpi wan dan dia terus tanya pasal wan.

Pernah juga dalam tidur, tok sebut-sebut nama wan. Betapa tok sebenarnya sangat rindu pada wan. Tahun berganti, keadaan tok semakin teruk, sehingga satu hari, dia dimasukkan ke hospital.

Doktor bagitau tok ada kanser tahap ke-4, dah mula merebak ke organ-organ tertentu. Masa tu tok mula tak sedarkan diri. Dia tak dapat nak makan dan bercakap macam orang normal. Dia terbaring diam sepanjang masa.

Selepas operation, keadaan tok makin teruk. Dan selepas beberapa hari, tok akhirnya meninggal. Tamatlah segala penderitaan tok, dan tamatlah jugak kisah hidupnya didunia ini.

Masa uruskan jenazah tok, pak cik aku cakap sangat mudah. Dan masa kami semua tengok tok untuk kali yang terakhir, wajah dia sangat tenang dan bersih, tiada cacat cela, umpama bayi yang baru dilahirkan.

Semua yang hadir pada masa tu, cakap bila tengok tok, rasa macam tok tengok tidur nyenyak. Urusan mandi dipermudahahkan, urusan pengebumian jugak dipermudahkan.

Kembalilah tok kepada PenciptaNya, dengan meninggalkan beberapa pengajaran berguna untuk kami semua yang masih hidup.

Tok contoh wanita dan isteri yang cekal, taat dan hebat. Dan jugak yang pasti, cinta dan kesetiaan dia pada wan digenggam dan dibawanya hingga ke hujung nyawa.

Semoga tok tenang damai disana, dan semoga tok dan wan bertemu semula di syurga nanti, disebuah tempat yang mana mereka tidak akan terpisah lagi buat selama-lamanya. Aamiin.

– EZ (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *